Anda di halaman 1dari 15

1.

KEKELUARGAAN

I Seorang ibu atau ayah boleh menjaga lapan hingga sepuluh orang anak.
Namun, lapan orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu atau
ayah. Berikan pandangan anda.

Jawapan

Ketika pertama kali mendengar kata-kata ini, sewaktu masih remaja dahulu, terus
terang saya agak tidak bersetuju. Mana mungkin! Apa mungkin? Bagaimana
mungkin begitu? Sepuluh anak tidak boleh menjaga seorang ibu sedangkan seorang
ibu mampu menjaga sepuluh orang anak. Kebetulan di kampung kami banyak
keluarga yang mempunyai ramai anak. Jika semua anak itu, bila besar dan bekerja
memberikan RM100 untuk ibubapa mereka setiap bulan, bererti orang yang
mempunyai lima anak boleh menerima RM500 sebulan. Itu perkiraan yang mudah
dan sederhana. Maka sudah tentu, keluarga yang mempunyai ramai anak akan
merasa sangat beruntung. Tetapi pada masa dulu, kehidupan kebanyakan keluarga
di kampung kami hidup dalam keadaan miskin dan agak daif. Kalau bukan petani,
pekerjaan utama penduduk kampung kami adalah nelayan.Tidak seperti sekarang,
pada waktu itu, orang bertani hanya untuk memenuhi keperluan sara diri.
Bagaimanapun, hubungan antara anggota keluarga, antara ibu bapa dan anak,
antara adik beradik, antara saudara sepupu, makcik pakcik dan sebagainya amatlah
erat dan kukuh. Kadang-kadang, bila ada waktu, ibu selalu bercerita, dengan
caranya sendiri mengenai bagaimana seharusnya sebuah keluarga itu didirikan.
Asasnya tentulah saling bantu membantu, saling kasih mengasihi, saling hormat
menghormati,saling maaf memaafi, saling faham memahami, toleransi dan
sebagainya. Beliau juga sering berpesan betapa restu ibu amatlah penting dalam
menentukan mulia tidaknya kehidupan.Kehidupan yang diredhai, mestilah yang
paling penting ialah mendapatkan restu ibu. Kita tidak boleh menyakiti hati
ibu.Menggores hati mereka adalah hal-hal yang sepatutnya dijauhi. Hati seorang ibu
tidak boleh disakiti. Ibu sering berpesan agar anak-anak sentiasa menghormati
orang tua mereka. Syurga berada di bawah telapak kaki ibu, katanya selalu
mengingatkan kami. Seorang ibu, sejak dari waktu mengandungkan anak, sudah
menanggung bebanan derita dan sengsara.Kemudian dia akan memelihara anaknya
sehingga anaknya atau anak-anaknya yang membesar. Seorang ibu boleh
memelihara sepuluh orang anak tetapi sepuluh anak belum tentu dapat menjaga
seorang ibu. Itulah hakikatnya.Hakikat yang pahit. Kita pernah terdengar betapa ada
yang tidak mempedulikan orang tua mereka. Ada yang malah sanggup menghantar
ibu bapa mereka ke rumah orang tua. Ada yang menyerahkan penjagaan ibu bapa
mereka kepada orang gaji dan jarang menjenguk ibu bapa. Malah seorang rakan
saya bercerita mengenai pengalamannya beberapa hari menjaga adiknya di
hospital. Beliau melihat betapa ramai ibu atau bapa yang terlantar dan dijaga orang
lain, yang bukan anak-anak mereka. Anak-anak mereka yang ramai itu agak sibuk,
bekerja dan sebagainya. Mungkin bukan salah mereka juga. Tetapi saya fikir nilai
masyarakat kita berubah.Kalau dulu tak ada yang sampai hati membiarkan ibu bapa
mereka tinggal atau menetap sendirian. Meskipun tidak semua orang yang memiliki
sifat-sifat yang yang kurang baik.Masih ramai di kalangan masyarakat kita yang
penyayang dan prihatin terhadap orang tua mereka. Beruntunglah orang yang
mempunyai anak yang ramai. Dan anak yang ramai itu pula, prihatin dan menjaga
anak-anak mereka. Seorang ibu mampu menjaga, memelihara dan membesarkan
sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga
seorang ibu. Betapa benar kata ibu , betapa pahit realiti menjadi ibu bapa sekarang.

Jawapan

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat
menjadi bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun
berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan
keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran.
Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan
Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam
institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga
dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini
mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak
cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga
mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam
merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang
dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak
seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita
perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah
menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa
dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk


membahagiakan ibu bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan
dan kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun
apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan
bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang
bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat
keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit
seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan
membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh
itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut
acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan
bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus
asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak
semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka
akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman
yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah
bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu
tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga
merupakan salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada
orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-
kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak
melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan
tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi
segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa
anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan
keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa
yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya,
anak-anak telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu menangkis segala
hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang
tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang
unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti
mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga
bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci
kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka
menghormati mereka. Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual
dan sosial yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu
menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi
menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah
dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan
mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua
pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum
pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila
berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah
menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang
boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi kerana
mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah
sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan
tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek
intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa
bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini
sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah
tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah
bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu
membahagiakan mereka.
Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang
sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat
Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan
sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah.
Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat
mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam
menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu
bapa dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak
daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah
dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan
kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu
bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan
dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang
perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang
menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap
hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu
meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat
signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa
adalah mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang
dapat menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang
membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di
Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak
dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang
berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, Trajedi pilu 9 anak
membuang ibu mereka yang sudah tua. Wajarkah 9 orang anak bertindak
sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika
seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan
mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga
kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka. Janganlah anak-
anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi
kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga.
Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu
bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa
mereka.

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa
yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini,
boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan
kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan
kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian,
seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan
diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa
hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa.
Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan
seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak
hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan
rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan
urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di
dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa
bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang
soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata
yag penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan


oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah
selalu berusaha membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar
hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini
juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu
ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini.
Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang
bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam
menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat
dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi
kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi
kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa
mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa
dan bangsa.
K Penggunaan telefon pintar memberi kesan kepada institusi
kekeluargaan. Bahaskan

Jawapan

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PENGGUNAAN TELEFON MUDAH ALIH DALAM KALANGAN


REMAJA
Kini, telefon pintar dianggap sebagai satu trend gaya hidup para remaja, tidak kira
sama ada dari golongan atasan atau kelas pertengahan. Tidak dinafikan bahawa gajet atau
telefon pintar ini telah mempengaruhi cara masyarakat mengendalikan urusan seharian
mereka. Namun, adakah penggunaan telefon bimbit ini memberikan kesan yang baik
kepada masyarakat terutamanya golongan remaja ?

Antara kebaikan telefon pintar ialah gajet ini boleh dijadikan sebagai alat
perhubungan. Sebagai contoh, telefon pintar membolehkan ahli keluarga yang berjauhan
berhubung antara satu sama lain untuk bertanya khabar berita dan secara tidak langsung
hubungan silaturrahim antara ahli keluarga dapat diperkukuhkan lagi. Tambahan pula, kita
juga boleh menggunakan telefon pintar ini untuk bertanyakan hal-hal yang berkaitan
pelajaran. Misalnya,rakan-rakan rapat boleh di hubungi dengan segera walaupun kita tidak
dapat berada di dalam kelas. Secara tidak langsung,semua perkara penting yang di
sampaikan oleh para guru dan pensyarah dapat di ketahui dengan cepat dan mudah serta
hubungan dengan rakan-rakan juga akan menjadi erat dan bertambah mesra.

Selain itu, telefon pintar juga boleh dijadikan sebagai alat untuk melayari
internet. Pada masa kini, penggunaan internet amat penting kepada para pelajar bagi
membuat kajian atau menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah atau guru masing-
masing. Oleh itu, dengan kemajuan dan kecanggihan telefon pintar ini, golongan remaja
boleh melayari internet dengan menggunakan gajet mereka di mana-mana sahaja dan pada
bila-bila masa, malah sesuatu maklumat yang diperlukan boleh di akses dengan cepat dan
mudah.

Telefon pintar juga boleh dijadikan sebagai alat hiburan untuk merehatkan minda.
Dengan memiliki telefon pintar, kita dapat mendengar lagu dan menonton video kegemaran
pada bila-bila masa dengan cara memuat turun video kegemaran di laman sesawang dengan
pantas. Gajet ini juga mempunyai pelbagai aplikasi permainann yang mengikut gaya masa
kini. Aplikasi permainan ini amat disukai oleh golongan remaja bagi mengisi masa lapang
mereka atau selepas menyiapkan tugasan mereka.

Walaupun, telefon mudah alih ini memberi kebaikan kepada penggunanya, namun
keburukannya tetap wujud apabila berlaku penyalahgunaan teknologi ini. Antara keburukan
telefon pintar ialah gajet telefon pintar ini boleh mengganggu pelajaran malah akan
memberi peluang kepada remaja untuk mengakses laman pornografi dan menyebabkan
berlakunya aktiviti-aktiviti sumbang dalam kalangan remaja serta membawa kesan atau
implikasi yang negatif kepada masyarakat sekeliling. Tambahan pula penggunaan telefon
pintar dalam kalangan pelajar akan mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa untuk
menambah nilai kos kredit yang tinggi pada setiap bulan yang sepatutnya boleh digunakan
untuk perkara yang lebih berfaedah.

Selain itu, aplikasi hiburan yang disediakan dalam gajet telefon pintar ini boleh
mendatangkan impak yang negatif sekiranya golongan remaja terlalu taksub. Hal ini boleh
dilihat apabila ramai di kalangan remaja sering mengabaikan pelajaran dan kurang
mengulang kaji pelajaran mereka kerana terlalu fokus kepada alat teknologi ini. Sebagai
contoh, mereka lebih memilih untuk melayari laman sesawang pada setiap masa seperti
Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya daripada melakukan perkara yang lebih
berfaedah untuk diri dan masa depan mereka.

Kesimpulannya, penggunaan telefon pintar dalam kalangan remaja memberikan


seribu satu faedah kepada sesiapa sahaja yang menggunakannya, tetapi sebagai pengguna
kita perlu bijak menggunakan gajet atau alat yang dicipta dalam dunia serba canggih ini
dengan cara yang betul. Jika tidak di gunakan untuk kebaikan, perkara ini mampu
merosakkan masa depan dan fikiran remaja itu sendiri. Sewajarnya, golongan remaja yang
merupakan tonggak negara pada masa hadapan lebih bijak dalam memikirkan pro dan
kontra sesuatu perkara sebelum melakukannya bak peribahasa tepuk dada tanya selera.

Jawapan

Hubungan kekeluargaan yang semakin renggang

Keburukan penggunaan telefon bimbit juga dilihat menerusi hubungan kekeluargaan yang
semakin renggang. Jika diperhatikan dengan jelas, kebanyakan masyarakat kita seolah-olah
tidak mempedulikan perihal keluarga masing-masing. Mereka seakan-akan tidak mahu
mewujudkan komunikasi yang harmoni bersama-sama keluarga. Contoh yang dapat dilihat
apabila sebuah keluarga yang keluar makan bersama-sama, mereka sibuk dengan telefon
bimbit masing-masing sehinggakan komunikasi antara keluarga amat terbatas. Keadaan ini
tidak seharusnya terjadi kerana keluarga tergolong dalam kalangan orang terpenting dalam
kehidupan kita. Perbualan yang terlampau kurang akan menjadikan hubungan kekeluargaan
menjadi sangat renggang dan menjauhkan jarak hubungan masing-masing. Situasi atau
masalah ini akan menular kepada anak-anak sekiranya ibu bapa tidak tahu memainkan
peranan masing-masing. Anak-anak berkemungkinan besar akan menjadi sangat tersisih dan
menjadikan mereka individu yang pasif dewasa kelak. Hal ini tidak seharusnya berlaku
kepada masyarakat kita kerana bimbang masa depan anak-anak bakal terjejas. Penggunaan
telefon bimbit tidak salah tetapi haruslah bijak menggunakannya dan tidak terlalu lalai
dengan kemajuan dunia sehingga melupakan perkara terpenting dalam hidup.

Penyebaran fitnah atau khabar angin

Seterusnya, penggunaan telefon bimbit boleh membawa kepada masalah penyebaran fitnah
atau khabar angin. Manusia tidak lari daripada menyuarakan sesuatu tidak kira sama ada
perkara tersebut dianggap benar mahupun tidak benar. Berita mengenai khabar angin yang
disebarkan kadang kala boleh menjatuhkan seseorang dan ini bukanlah satu perkara yang
baik malah harus dielakkan. Penggunaan SMS sememangnya telah menjadi kaedah utama
dalam menyebarkan khabar angin tidak benar atau fitnah terhadap seseorang. Cara ini
dilakukan apabila seseorang menghantar kiriman SMS tentang khabar angin palsu mengenai
seorang individu kepada individu yang lain. Kepada pihak yang mempercayai secara terbuka
tanpa usul periksa akan menyebarkan kepada pihak lain sebagai bahan cerita tanpa bukti
yang sahih. Ini akan memberi kesan negatif kepada individu terlibat atau pihak-pihak
tertentu.

Pembaziran masa

Sesetengah pihak menganggap penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja


membazirkan waktu. Ramai pihak yang bersetuju dengan kenyataan ini terutamanya
golongan ibu bapa. Telefon bimbit yang canggih mempunyai banyak kelebihan fungsi yang
boleh melalaikan para pelajar. Masa mereka akan banyak dihabiskan dengan bermain
games, melayari internet terutamanya Facebook dan Twitter, memuat turun lagu-lagu
kegemaran, video, dan memuat naik gambar profil, berchatting dan berSkyppe. Waktu
mereka yang terluang sepatutnya diisi dengan aktiviti beriadah, belajar dan meluang masa
bersama keluarga namun kesan penggunaan telefon bimbit telah menyebabkan mereka
membuang masa begitu sahaja. Kesan yang mendatang dapat dilihat menerusi kemerosotan
prestasi pelajaran di sekolah anak-anak, ketidakhadiran di sekolah dan sukar memeberi
tumpuan di kelas.

Pembaziran wang

Penggunaan telefon bimbit bukan sahaja membazirkan masa tetapi turut menyebabkan
pembaziran wang ringgit. Kebanyakan kita menggunakan kad pra bayar atau pasca bayar
untuk membuat isian semula kredit bagi memudahkan kita membuat panggilan, kiriman
SMS, MMS atau melayari internet. Malah individu yang menggunakan kad pra bayar ini tidak
memperuntukkan jumlah tertentu dan hanya bergantung kepada kadar penggunaannya.
Ada ketikanya kad pra bayar bernilai RM 50 boleh dihabiskan dalam masa seminggu.
Semakin banyak kadar penggunaan semakin banyak kos yang dikeluarkan untuk menambah
nilai kredit. Selain itu, terdapat juga kalangan individu yang gemar bertukar-tukar telefon
bimbit. Mereka terlalu ghairah untuk memiliki pelbagai jenis telefon bimbit kerana
kepelbagaian fungsi yang terdapat di dalamnya. Dalam pada itu, individu yang menukar
telefon bimbit kerana ingin bergerak seiring dengan trend semasa. Mereka tidak mahu
dikatakan ketinggalan di belakang. Sesetengah pelajar sanggup menggunakan duit belanja
untuk membeli telefon bimbit dan ada pula yang menggunakan biasiswa atau pinjaman
yang diberikan. Keadaan ini akan merugikan mereka. Tambahan pula, individu yang gemar
bertukar telefon bimbit mungkin ingin menunjukkan kepada rakan mereka. Walau apa pun
yang kita lakukan perlulah diselaraskan dengan bajet dan kemampuan masing-masing
kerana ianya boleh mendatangkan kesan negatif kepada seseorang individu.
Menjejaskan Pelajaran

Bagi kalangan pelajar sekolah, penggunaan telefon bimbit selalunya mendatangkan


keburukan di mana pelajaran mereka boleh terjejas sekiranya masa yang diperuntukan
untuk mengulangkaji pelajaran telah diganti dengan masa melayan telefon bimbit. Ibu bapa
yang tidak memantau aktiviti anak-anak mungkin tidak menyedari anak mereka terlalu leka
berbual dan barbalas SMS. Ianya sekaligus malalaikan mereka terutamanya apabila telefon
bimbit dibawa ke sekolah. Pelajar-pelajar sukar memberi tumpuan sepenuhnya di dalam
kelas kerana terlalu asyik bermain dengan telefon bimbit daripada mendengar guru
mengajar. Tanpa disedari, keadaan ini telah menjadikan pelajar ketagih sehingga tidak mahu
menyiapkan kerja sekolah. Kebenaran membawa telefon bimbit di sekolah menggalakkan
lagi para pelajar untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak baik misalnya meniru sewaktu
peperiksaan. Dengan adanya telefon bimbit para pelajar beranggapan bahawa mereka tidak
perlu bersusah payah untuk menelaah buku selama berjam-jam dan bersusah payah untuk
belajar sehingga lewat malam. Hal ini kerana dengan penggunaan telefon bimbit sahaja
mereka dengan mudah untuk meniru sewaktu peperiksaan berlangsung. Kebenaran untuk
membawa telefon bimbit harus dipertimbangkan oleh banyak pihak kerana ianya lebih
banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Menjejaskan kesihatan

Di sebalik semua perkembangan teknologi, ramai yang tidak mengambil serius terhadap
kesan sampingan yang bakal dihadapi. Ramai yang menolak kebenaran berkenaan khabar
angin yang mengatakan bermacam jenis teknologi mungkin mengancam ksihatan atau
keselesaan hidup. Terdapat pula individu yang membuat pelbagai andaian dan bertindak
melulu tanpa maklumat yang sahih. Bagaimanapun, dengan kurangnya kesedaran mengenai
kesihatan diri maka kebanyakan individu menggunakan telefon bimbit secara tidak terhad.
Para pengkaji telah membuat beberapa kajian yang melibatkan kesan penggunaan telefon
bimbit terhadap kesihatan manusia misalnya penggunaan telefon bimbit yang terlampau
lama boleh menjejaskan kesihatan. Mata terpaksa bekerja kuat dan akan menjadi cepat
letih kerana memberi fokus yang terlampau lama pada screen?yang kecil. Bahu dan tengkuk
juga akan terasa sakit akibat lama menunduk mengadap telefon bimbit. Jari juga boleh sakit
sekiranya terlampau lama membalas SMS. Di samping itu juga, sinaran radiasi juga dikhuatiri
mampu untuk mengganggu kesihatan dalam jangka masa yang panjang. Masyarakat zaman
moden lebih banyak bergantung dengan pelbagai jenis teknologi kerana setiap pekerjaan
menjadi mudah tanpa perlu bersusah payah. Kebergantungan terhadap teknologi seperti
telefon bimbit mempunyai kebaikan dan keburukan. Selain itu, penggunaan telefon bimbit
turut merisikokan nyawa seseorang daripada diserang tumor telinga akibat penggunaan
telefon bimbit yang melebihi jangkaan sepuluh tahun.

Jawapan

SUATU ketika dulu, agak mudah untuk kita menyapa mereka yang tidak dikenali kerana pada
masa itu masyarakat lebih mesra dan mudah bertegur sapa.

Tetapi kini, orang ramai lebih gemar 'membayar' untuk menghubungi kenalan yang jauh
walaupun ada orang yang lebih dekat untuk dijadikan teman berbicara.
Pada masa lalu, makan bersama keluarga adalah satu situasi yang mana ibu menunjukkan
kebolehannya memasak manakala abang akan bangga bercerita tentang perlawanan bola
sepak di sekolahnya.

Ketika itu jugalah si adik akan 'menyambar' ketulan ayam goreng di pinggan kakaknya.

Itulah gambaran kemesraan dalam satu keluarga.

Kini, 'masa berkualiti' bersama keluarga makin pudar kerana keriuhan waktu makan menjadi
sepi dan dingin kerana masing-masing lebih gemar memberi perhatian kepada peralatan
komunikasi canggih milik mereka.

Jika dulu, barang kemas dan perhiasan badan seperti emas dan batu permata dijadikan
ukuran simbol kekayaan seseorang, perkara itu bukanlah lagi satu-satunya kayu pengukur di
masa sekarang.

Kini peralatan komunikasi canggih seperti Blackberry, telefon Android, iPhone, iPad dan
komputer peribadi adalah simbol status individu di dalam masyarakat.

Walau terdapat berita positif tentang bagaimana peralatan canggih ini dapat meningkatkan
produktiviti, persoalan yang masih tidak terjawab tetap timbul tentang impak daripada
gajet-gajet ini terhadap rentak hidup sosial masyarakat.

Semakin popular
Penggunaan telefon pintar sudah semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Suatu masa dulu ia hanya mampu diguna oleh warga korporat dan ahli perniagaan tetapi
kini gajet ini mampu dimiliki kebanyakan orang.

Telefon kini menjadi semakin 'pintar' setiap hari. Setiap model peralatan ini disesuaikan
dengan keperluan komunikasi, kerja serta hiburan.

Pelbagai e-mel serentak juga boleh diterima oleh gajet ini. Perisian seperti MS Office dan
PDF reader juga boleh dimasukkan ke dalam telefon pintar untuk kegunaan semasa.

Satu kajian pada tahun 2007 dijalankan oleh Research In Motion (RIM) mendapati pengguna
biasa Blackberry boleh memberi satu jam dari masa muat turun mereka untuk keperluan
produktif setiap hari dan ini meningkatkan darjah efisien sebanyak 30 peratus.

Elemen hiburan merupakan satu lagi faktor yang membuatkan telefon pintar hangat di
pasaran. Keupayaan menyimpan serta memainkan video/filem, video YouTube dan juga
hubungan dengan situs jaringan sosial selain pelbagai permainan yang menarik merupakan
satu lagi aspek yang perlu 'dipunyai' oleh generasi masa kini.

Sehingga kini terdapat lebih 350,000 aplikasi iPhone dan sehingga bulan Januari tahun ini
sebanyak 10 bilion aplikasi dimuat turun sejak produk ini memasuki pasaran pada tahun
2008.

Dibandingkan dengan 10 tahun dulu, mereka yang menggunakan gajet itu kini boleh
mencipta aplikasi telefon mereka sendiri dan menjadikan satu peralatan serba boleh.
Antaranya bertindak sebagai sebuah e-buku, menjadi 'terminal' permainan sehinggakan ada
juga yang menjadi penghalau nyamuk.

Debat tentang kesan telefon pintar terhadap kehidupan penggunanya tetap berterusan.

Bagi kebanyakan badan korporat, mereka mahukan komunikasi 24 jam untuk


mempertingkat kecekapan dan produktiviti. Tetapi adakah ini adil bagi pekerja mereka?

Bila difikirkan, situasi jaringan sosial yang membuatkan pengguna menggunakan gajet
tangan mereka secara berterusan. Sekilas pandang ini boleh memberi kemudaratan.

Bila individu dapat 'diheret' dari kehidupan mereka untuk bekerja (luar dari masa bekerja)
sudah cukup buruk, mengeluarkan mereka dari suasana sekeliling akan lagi memburukkan
keadaan.

Adakah kita akan bergantung kepada teknologi untuk berhubung dengan orang lain
walaupun beliau berada tidak jauh dari diri kita?

Inilah aspek di mana imbangan perlu wujud. Tak akan ada sesiapa yang mahu ke stadium
dan dikelilingi oleh penonton yang bersorak bagi satu gol yang dijaringkan sedangkan pada
masa yang sama mereka juga sibuk menghantar teks laporan kerja kepada majikan.

Menguruskan gajet anda


Gajet-gajet ini dicipta dengan niat yang baik iaitu menyenangkan komunikasi antara satu
sama lain. Seperti juga makanan, terlebih penggunaan akan membawa kepada
kemudaratan.

Memilih keutamaan pada masa yang sesuai adalah kunci bagi penggunaan telefon pintar.
Seseorang itu mesti bertindak bijak bergantung pada situasi.

Bila seseorang itu hadir di majlis pengkebumian, adakah beliau perlu menjawab e-mel atau
hantaran Twitter.

Kalau berbuat sedemikian sudah tentu beliau akan dianggap tidak sensitif dan tidak hormat
terhadap keluarga simati. Tambah buruk lagi, ini akan mendatangkan kemarahan ahli
keluarga individu yang meninggal dunia itu.

Tetapi pada seminar di mana penceramahnya membuatkan anda 'mengantuk', jelingan


terhadap perkara terkini yang muncul di telefon anda akan membuat hari anda lebih 'ceria'.

Belajar menjauhkan diri dari gajet anda juga merupakan satu pendekatan yang baik.
Seseorang itu harus belajar 'menyimpan' gajet kesayangannya ketika melakukan aktiviti
seperti senaman, menunaikan ibadat serta keperluan agama ataupun ketika makan bersama
keluarga.

Berikan masa bagi telefon kesayangan anda untuk 'berehat' . Ini akan membolehkan anda
memberi tumpuan kepada kerja-kerja lain yang juga memerlukan perhatian sepenuhnya.
Juga cuba elak daripada bertindak membalas dan memberi respons untuk e-mel yang
diterima berkaitan dengan kerja sebelum masuk tidur. Kalau anda berbuat demikian, ia akan
memberi impak yang signifikan terhadap kesihatan fizikal dan juga mental kerana ini akan
mengurangkan masa rehat.

Cabaran berterusan
Perkembangan teknologi akan terus rancak. Begitu juga permintaan untuknya. Ini akan
membawa cabaran baru bagi setiap individu.

Keupayaan menimbang serta membuat keputusan yang baik bagi mencapai imbangan kerja
dan kehidupan sememangnya diperlukan. Ini memerlukan perubahan sikap selain dari
proses pembelajaran dan percubaan.

Tetapi perkara ini adalah sesuatu yang mesti dan memang perlu dilakukan. Sememangnya
hidup ini adalah lebih bermakna daripada hanya menjawab e-mel dan melayari laman
Facebook.
P Anak-anak yang tidak cemerlang dalam bidang akademik terabai daripada
perhatian ibu bapa, sebaliknya anak-anak yang cemerlang dalam bidang
akademik diberi tumpuan oleh ibu bapa. Bincangkan.

Jawapan

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang. Pada
pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan
yang cemerlang dalam pelajaran.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak,
seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa,
anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa
mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga.
Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai
dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gejala sosial yang tidak baik. Oleh hal yang
demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya cemerlang
dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa
untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?

Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang
dibina dalam situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah
tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan
abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan
selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan
anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa
yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran
anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang
bahagia agar anak-anak dapat menganggap rumahku syurgaku. Anak-anak sudah pasti
dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup
dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa
bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan
ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan
pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya
memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal
ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala
tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir
sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga
mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila
anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap
rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar.
Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya
anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada
setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat sebelum
kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan
tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi
perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak
yang cemerlang dalam pelajaran.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama
dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi,
bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain
putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan
moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang
berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka
juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka
sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama
dan moral yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang
secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran.

Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak
belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu bapa perlu
memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa
perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan
mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-
anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap
untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa juga
perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Ibu
bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam
pelajaran. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai
buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara tidak langsung anak-anak
telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan
dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan
mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan
mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran.

Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak
sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk
mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah
sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini
penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin,
ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-
anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat.
Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi
oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah bersedia menjadi
pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka.
Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak
akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-anak
yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan
akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu
mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang
dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan
untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum
nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa
depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka
terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa
memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak khususnya
untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.

Anda mungkin juga menyukai