Anda di halaman 1dari 13

PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat dibicara semua
rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan
oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada
nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan
Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi
kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga
mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang
dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang
menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam
merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan
berjaya. Jadi, kerana hendak seribu daya tak hendak seribu dalih, prakarsa ini hendaklah dimulakan
dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah
menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus
membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu
bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka.
Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan
pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan
yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan
cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri
ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas
dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan
membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada
menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa
akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk
mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya
mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka.
Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah
satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.
Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan
salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas
kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak
merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir
pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang
utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak
dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari
rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu
menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana
yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh
itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-
mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah
itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka.
Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah
Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan
ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah
dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan.
Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah
bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah
menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-
anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang
boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan
binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur
bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka.
Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang
diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal
ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti
masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat
seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.
Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering
berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam
mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan
membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan
ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi.
Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan
anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan
kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak
penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang
digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan
dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan
sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah
Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh
pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak
dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat
signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah
mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan
bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi
muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara
anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada
27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang
sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam
ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit
dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu
bapa mereka terutama ketika umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu
bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk
kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak
mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa
mereka.
Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh
dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua
perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka
masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal
dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang
sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa
hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil
rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan,
kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal
memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia
lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila
berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat
dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Tuntasnya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk
membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa
mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan
batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah
menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini.
Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama
berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-
besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu
membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi
kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan
ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan
bangsa
Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti
yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan
urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka,
perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak
mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak
menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan,
contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang
tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik
dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan
penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini
membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu,
“melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil,
sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan
pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara
dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan
penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi
pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati
semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan
perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan
seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu
akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan
atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media
massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran
kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara
kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan
radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau
program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-
pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem
seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan
negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian
dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat
memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan
perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan
dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga
perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik
daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan
suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan
dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin
negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara
itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat
patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan
menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang
kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana,
kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila.
Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang
dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang
akan datang.

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan
sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk
melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna
kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi
juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan
pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat
patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan
negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu
dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan
dalam kalangan masyarakat.
Peranan Kita dalam Usaha Mengantarabangsakan Bahasa Melayu

PERENGGAN ISI:

Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa lain tidak akan
menyebarkan bahasa Melayu ke seantero dunia, kecuali kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita
hendaklah mempunyai iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa
terpenting pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah yang pertama ialah kita perlulah memastikan
bahawa bahasa Melayu mestilah diterima di tanah air sendiri. Jika bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan juga bahasa rasmi di negara kita ditolak oleh sebilangan besar rakyat di negara kita,
bagaimanakah penduduk dunia mahu menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka?
Oleh hal yang demikian, kita mestilah menyokong segala usaha yang bertujuan meningkatkan atau
memartabatkan bahasa Melayu di negara sendiri.

Selain itu, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui peranan kita sebagai
duta kecil ketika berada di luar negara. Sama ada kita sebagai pelajar, pelancong, atau pekerja, kita
mestilah sentiasa berusaha untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dengan pelbagai cara. Ketika
berada di luar negara, apalah salahnya jika kita mengajar rakan kita dari negara lain untuk
mempelajari bahasa Melayu. Untuk menarik perhatian mereka, kita juga mestilah bersedia untuk
mempelajari bahasa mereka. Jika kita bersedia untuk mempelajari bahasa mereka, mereka juga pasti
bersedia untuk mempelajari bahasa kita.

Seterusnya, kita hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui pejabat kedutaan negara
kita di luar negara. Di seluruh dunia, terdapat 104 buah kedutaan Malaysia yang mampu memainkan
peranannya untuk menyebarluaskan bahasa Melayu. Melalui kedutaan tersebut, kita hendaklah
mengetengahkan bahasa Melayu di negara-negara asing dalam pelbagai acara atau majlis. Melalui
usaha ini, bahasa Melayu akan lebih dikenali, dipelajari, dihayati dan seterusnya dihormati oleh
warga dunia. Pepatah Melayu mengatakan,"tak kenal maka tak cinta". Sebagai rakyat yang
mempunyai semangat `bahasa jiwa bangsa’, kita hendaklah mempunyai iltizam atau kesungguhan
untuk mempromosikan bahasa Melayu walau di mana-mana jua kita berada.

Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini pula, rakyat Malaysia mestilah memanfaatkan
penggunaan Internet. Mereka yang pakar dalam bidang ini seperti ahli akademik, pakar bahasa dan
sebagainya hendaklah menyebarluaskan bahasa Melayu melalui laman web atau blog bagi
membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati dan mempelajari bahasa Melayu. Dalam era
globalisasi ini, kebanyakan masyarakat di duni mencari dan memperoleh maklumat melalui Internet.
Oleh itu, kita mesti;ah mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan bahasa Melayu. Oleh
sebab Internet merupakan medium yang paling murah, mudah dan cepat untuk menyebarkan
maklumat, kita mestilah mengeksploitasikan kelebihan ini untuk mengantarabangsakan bahasa
Melayu ke seantero dunia.
Bukan itu sahaja, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui filem. Jika
penerbit filem di negara kita mampu menghasilkan filem yang bermutu, sudah pasti masyarakat
antarabangsa akan menerima filem kita. Apabila mereka menerima filem kita, hal ini akan
memberikan peluang kepada mereka untuk mendalami dan mempelajari bahasa dan budaya
Melayu. Namun, masalah yang kita hadapi ialah penerbit filem negara kita masih belum mampu
menghasilkan filem yang bertaraf antarabangsa seperti filem yang dihasilkan oleh negara Hongkong,
Jepun, Korea , Bollywood, dan sebagainya Jadi, jika kita mahu menggunakan filem sebagai satu cara
untuk menyebarluaskan bahasa Melayu, kita mestilah memartabatkan dan mengantarabangsakan
filem Melayu juga.
Langkah-langkah untuk Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam

“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama
menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk
menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami
pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi
untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di
negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT),
Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia
menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang
proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan
pengangkutan awam.

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa
kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah
mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan
penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket
bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam.
Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan
pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem
tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil
contoh negara barat seperti Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu
tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan
ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur
pejalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat
mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali.

Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah
dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam
haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah
mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen
(bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti
dapat meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik
perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal.
Dengan kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk
menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era
globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan pengangkutan awam
akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap
pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan
rakyat terhadap pengangkutan awam.
Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak
komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan
mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam
perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam seperti Komuter
dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain
menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu
menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan
cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain
rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat
kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terbaharu dan
meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan
penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang
ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran yang minimum.
Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang.

Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak
kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki
pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan
menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya
dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam
lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diberi kepada pelajar
yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang
mendalam di dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang
bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat
meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki
kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api
sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam
kepada mereka.

Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak


perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu
destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan
inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang
paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam
meningkatkan penumpang menaiki pengangkutan awam.
KESAN PEMANASAN GLOBAL

Bumi kini sedang mengalami “demam panas” akibat pemanasan global yang turut membawa
bersamanya iklim dunia yang semakin kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan
pemanasan global lebih banyak mengganggu ekonomi berbanding dengan kesihatan diri. Walau
bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada
semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat
bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai malang.

Tetapi, bagaimanakah pula bagi mereka yang terselamat? Adakah mereka bebas daripada sebarang
ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi? Percaya atau
tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun
2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang
mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di
Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah
dengan 800,000 lagi mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun.

Pemanasan global berpunca daripada pencemaran udara yang meningkatkan jumlah gas-gas karbon
yang turut dikenali sebagai gas rumah hijau di dalam atmosfera bumi. Haba matahari yang pada
kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya
terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula
mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan
menghakis permukaan tanah besar.

Selain itu, suhu tinggi ini turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada
pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk teruk daripada biasa.
Contoh terbaik mangsa perubahan cuaca dunia dapat dilihat dalam gelombang haba di Eropah yang
menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang ‘kepanasan’ ini telah
menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk di Eropah kini jauh lebih tinggi daripada
kebiasaannya.Perubahan sama turut dirasai oleh wilayah beriklim tropika yang menghadapi musim
monsun lebih teruk kini, sementara negara seperti Amerika Syarikat dilanda ribut salji dan ribut
taufan lebih teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005. Pada tahun 2006, sepuluh negara yang
paling teruk dilanda bencana alam ialah Filipina, Korea Selatan, Indonesia, Vietnam, Ethiopia, India,
China, Afghanistan, Amerika Syarikat dan Romania.

Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin teruk jika terus diabaikan atau gagal
dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh kerakusan generasi
kini mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi. Sebarang
bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak dan
warga emas yang sering dilihat menjadi mangsa pertama kejadian bencana.Rakyat Malaysia mungkin
dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa
dengan iklim tropika bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'.

Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat
menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan
menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit
demam panas. Begitu juga dengan penyakit pneumonia atau radang paru-paru yang berpunca
daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap
serta beberapa faktor lain. Sesetengah kawasan turut berhadapan dengan masalah dehidrasi yang
teruk berikutan kemarau panjang yang berpunca daripada gelombang panas dan peningkatan paras
air laut yang mencemari sumber air tawar dengan air masin dari laut.

Peningkatan suhu juga akan menggalakkan pembiakan vektor seperti tikus, nyamuk,kutu dan
pepijat. Penyebaran vektor seperti nyamuk menyebabkan penyakit seperti malaria, denggi dan
demam kuning yang mula dicatatkan di Eropah dan kawasan yang dahulunya beriklim sejuk. Hal ini
terbukti apabila negara beriklim sejuk seperti Nepal dan Bhutan mencatatkan kes malaria pertama di
kawasan-kawasan tanah tinggi dua negara tersebut. Sementara itu, tikus juga dilihat dapat membiak
dengan lebih mudah dalam cuaca panas dan lembab ini. Haiwan ini mampu menyebarkan penyakit
Leptopirosis dan Legionellosis yang disebarkan melalui kuman yang ditinggalkan bersama urin atau
najis tikus.

Ketika banjir, tahap kebersihan amat sukar untuk dijaga terutama kebersihan air. Kesukaran untuk
mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang rami kepada air yang dicemari pelbagai
jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan segai air
minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , disentri dan
pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini
diburukkan lagi dengan peningkatan kes bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam
tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik
untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan
dan bangkai haiwan yang mereput.

Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di
luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam
udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang
banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan
kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh
memberi kesan kepada badan dan jantung.
Tanggungjawab memulihara alam sekitar perlu dipikul oleh semua penduduk dunia dan tidak
sepatutnya dibiarkan kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata
pepatah 'yang ringan sama dijinjing yang berat sama dipikul'. Rakyat turut memainkan peranan
penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan
kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana 'sikap
tamak membawa kerugian'. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat
pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin
individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah
bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.

Anda mungkin juga menyukai