Anda di halaman 1dari 4

Contoh karangan A+ [SPM 2010]

PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi
bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai
prakarsa telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga,
namun hal ini seolah-olah tiada noktah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan
oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk
membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang
digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung
keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh
anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang
menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anakanak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang
dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu
dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu
menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali
jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk
keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk


membahagiakan ibu bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan
kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila
keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira.
Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti
akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang
diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu
bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah
terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar
bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa
mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang
gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk
dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan
kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis
segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya,
sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah
satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasarwasa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga
merupakan salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua
mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat
yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika
semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga,
jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini
dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama
keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anakanak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh

biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang
berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang
berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka
mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha
menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana
imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang
menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati
mereka. Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang
termaktub dalam Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform
utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini,
aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua
mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat
yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman
dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah
menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi
pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan
sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang
berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak
hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang
diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek
intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi
membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus
membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti
masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat
hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan
mereka.
Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering
berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi,
dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang
dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja
memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhuwah
kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat
membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling
membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja
rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak
penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini,
beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan
warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus
mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang
dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008
yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap
hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu
meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan
untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah
mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat
menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa

dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes
pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa
mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di
akhbar Harian Metro bertajuk, Tragedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah
tua. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi
hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti
kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah
pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka.
Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke
daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga.
Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa
maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang
boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat
dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu
bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka
setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah
menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan
hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin
selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini
dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan,
di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan,
kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja
bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa
kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya
berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak
yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata
yang penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh
anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu
berusaha membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar hangathangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga
mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah
anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya,
anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama
berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan
transformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan.
Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan
dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan
2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya
mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.
[1 414 patah kata]

Nukilan daripada Mohamad Syamir bin Shamsher Ahmad - SMK Impian Emas

Soalan SPM 2010


Soalan 2

Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu
dapat menjaga seorang ibu.

Situasi seperti di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat.


Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu
bapa.

Anda mungkin juga menyukai