Anda di halaman 1dari 19

TAJUK 1: MENGURUS PEMBELAJARAN

1.0 HASIL PEMBELAJARAN


Selepas membaca bab ini, pelajar akan:
1) Mengenalpasti Teori Split Brain dan Teori Pelbagai Kecerdasan dan mengaplikasikannya
dalam pengurusan pembelajaran.
2) Mengetahui kaedah pembelajaran yang efektif dalam pengurusan.
3) Merungkai permasalahan dan langkah mengatasinya dalam mengurus pembelajaran.

2.0 PENGENALAN
Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran merupakan bidang pengurusan yang paling utama dalam
pendidikan. Bidang ini memberi kesan yang besar bagi sesebuah institusi pendidikan dalam
melaksanakan tanggungjawab organisasi sekolah untuk mencapai prestasi yang cemerlang dalam
aspek akademik pelajar. Melalui penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), negara
berhasrat melahirkan modal insan yang seimbang dan berpotensi untuk mengembangkan dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berasakan kepercayaan kepada tuhan. Maka dengan hasrat inilah
kerajaan telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk melahirkan guru yang cemerlang
dari segi akademik dan kokurikulum.
Jika dilihat dari aspek akademik, melahirkan guru yang profesional adalah matlamat yang
ingin dicapai untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Sehubungan dengan itu, Malaysia kini
ingin melahirkan pendidik sebagai muallim (Penyampai ilmu), mudarris (Pendidik), murabbi
(Pengasuh dan pendidik dengan kasih sayang), muaddib (Pembentukan adab dan akhlak) dan
mursyid (Pembimbing ke arah kebaikan). Dalam aspek kokurikulum pula, guru perlu melatih dari segi
jasmani pelajar agar sihat dan cerdas dalam menuntut ilmu. Hal ini kerana, sistem pengambilan
pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam (UA) lebih mementingkan pelajar yang bergiat aktif dalam
kokurikulum seiring dengan akademik. Oleh itu, secara langsung kita dapat melahirkan guru yang
profesional baik dalam proses luar kelas mahupun di dalam kelas iaitu ketika proses pembelajaran dan
pengajaran.
Berbalik kepada proses pembelajaran dan pengajaran, guru telah diterapkan pelbagai ilmu
baik dalam pengurusan rasmi dalam kelas mahupun luar kelas seperti mengelola program atau
seumpamanya. Ini merupakan hasrat dalam melahirkan guru yang baik dalam pengurusan
pembelajaran kepada murid. Ada pelbagai aspek yang disentuh dalam mengurus pembelajaran seperti
mengaplikasikan teori Split Brain dan teori kepelbagaian kecerdasan, kaedah pembelajaran yang
efektif, masalah dan langkah mengatasi dalam mengurus pembelajaran. Tegasnya, pengurusan
pembelajaran adalah aktiviti yang teratur atau sistematik bagi mencari jawapan kepada beberapa
soalan khusus yang dikemukakan tentang sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenal pasti.

3.0 KONSEP MENGURUS PEMBELAJARAN


Menurut Noradanisha (2012) secara umumnya pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi
melaksanakan proses kerja yang terancang melalui dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur
serta mempunyai garis panduan tertentu. Ini bermakna sesuatu tugas dapat dilaksanakan dengan
berkesan melalui pengurusan. Kerana pengurusan merupakan satu seni atau budaya yang tersusun
dalam melaksanakan bidang tugas individu sesebuah organisasi. Maksud pengurusan menurut Follet
(Universiti Pengurusan Profesional, 2011) pula, beliau mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni
melakukan kerja melalui sumbangan orang lain. Ini bermakna pengurusan dirancang oleh seseorang
dan pelaksananya adalah individu atau kumpulan dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi
tersebut dan pengurusan hanya berlaku dengan wujudnya sumbangan tenaga atau idea dari pelbagai
pihak atau subordinat sesebuah organisasi. Berdasarkan takrifan ini kita dapat melihat bahawa
pengurusan mencapai objektif dengan cara memberikan tugasan kerja kepada orang lain supaya kerja-
kerja dapat dilaksanakan bagi mencapai objektif tersebut. Pengurusan secara fitrah melibatkan
perhubungan pengurus dengan pekerja bawahannya atau subordinat.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah proses merancang pengajaran dan
pembelajaran agar mencapai matlamat, menentukan atau memberi garis panduan perkara-perkara
yang perlu dilakukan oleh guru, menentukan mata pelajaran yang diajar guru mengikut kepakaran,
memimpin dan memberi inspirasi kepada guru dan mengawal aktiviti serta memantau pelaksanaan
agar ianya berjalan sebagaimana yang dirancang (Nurlia Mohamad, komunikasi peribadi, 26
Disember 2012). Tambahan pula, menurut Kolaborasi Ilmu (2012) pembelajaran pula ialah suatu
gerak balas kepada rangsangan-rangsangan yang membawa kepada satu perubahan. Pembelajaran
ialah suatu proses mental atau fizikal yang membawa kepada perubahan tingkah laku. Pembelajaran
juga bermaksud satu proses memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang baru.
Oleh itu, pengurusan pembelajaran pelajar adalah berkaitan dengan aspek-aspek merancang
pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan, melaksanakan pengajaran seperti yang telah
dirancang, menilai keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dan membuat tindakan
susulan berdasarkan penilaian yang telah dibuat termasuk membuat penambahbaikan.

4.0 TEORI SLIT BRAIN (OTAK KIRI-OTAK KANAK)


Kajian-kajian tentang fungsi otak kiri dan kanan telah dihasilkan oleh Dr. Roger W. Sperry iaitu
seorang ahli psikologi dan rakannya Dr. Michael S. Gazzaniga. Kajian mereka tentang otak ini telah
memenangi hadiah Nobel dalam tahun 1981.
Otak manusia dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu hemisfera otak kiri (HOKI) dan
hemisfera otak kanan (HOKA). Hoki mengawal semua anggota di sebelah kanan badan manakala
HOKA pula mengawal semua anggota di sebelah kiri badan. Daripada kajian mereka, otak kanan
lebih khusus dalam memproses maklumat secara holistik atau keseluruhan. Otak kanan bertindak
balas dengan irama, imej, warna, dan berkhayal (day dreaming). Manakala, otak kiri pula memproses
maklumat satu persatu. Otak kiri bertindak balas dengan perkataan, nombor, logik dan analisis.
Sebagai contoh, otak kiri melihat rumput helai demi helai, panjang pendek dan bentuk yang berbeza
tetapi otak kanan pula melihatnya secara keseluruhannya sebagai sebuah padang yang rata, berwarna
hijau dan damai hati memandangnya. Berikut merupakan fungsi otak kanan (HOKA) dan otak kiri
(HOKI). Terdapat perbezaan fungsi antara otak kiri dan otak kanan. Perbezaan ini dapat dilihat
dari segi kriteria sikap setiap individu itu sendiri. Oleh itu, para pelajar khususnya haruslah
mengaplikasikan teori ini dalam pengurusan pembelajaran mereka. Sebelum itu, para pelajar mesti
mengetahui adakah otak mereka lebih dikategorikan kepada otak kiri ataupun otak kanan. Untuk
mengetahuinya, letakkan jari telunjuk di bawa lubang hidung secara melintang. Kemudian hembuskan
udara melalui lubang hidung. Jika hembusan udara dari sebelah kiri kuat berbanding sebelah kanan
maka otak pelajar tersebut dikategorikan sebagai otak kanan (HOKA), manakala jika sebaliknya ialah
otak kiri (HOKI). Pengaplikasian teori ini dalam pengurusan pembelajaran dapat dilakukan dari segi
cara pembelajaran iaitu jika pelajar tersebut otaknya lebih kepada otak kanan (HOKA) maka pelajar
tersebut ketika membaca suatu buku ilmiah boleh menggunakan teori ini dengan berimaginasi,
berfikir menggunakan gambaran dan membaca sambil mendengar lagu supaya lebih berkesan untuk
memahami apa yang dibaca.
Setiap guru perlu mengaplikasikan teori ini pada setiap murid mereka. Hal ini dapat
memudahkan mereka dalam memahami dan menghayati sesuatu pembelajaran. Bukan itu sahaja,
apabila para pelajar didedahkan dengan teori ini mereka dapat mengetahui otak mereka lebih kepada
otak kanan ataupun otak kiri.

5.0 TEORI KEPELBAGAIAN KECERDASAN


Teori Kepelbagaian Kecerdasan telah dipelopori oleh profesor Psikologi dari Universiti Harvard iaitu
Howard Gardner. Teori ini dikenali sebagai Multiple-Intelligence atau The Seven Intelligences
dalam bukunya Frames of Mind (1983). Idea-idea dari neurobiologi, psikologi, antropoogi, falsafah
dan sejarah telah digabungjalinkan untuk menghasilkan teori ini.
Teori pelbagai kecerdasan mempunyai pengaruh signifikan dalam pendidikan serta membawa
kesan penting pembelajaran organisasi. Gardner berpendapat bahawa pendidikan tradisional dengan
proses pengujian tradisional (ujian IQ) telah mengabaikan pelbagai kecerdasan manusia.hal ini
kerana, ujian IQ hanya mengukur kebolehan verbal, bahasa dan pemikiran logikal atau matematikal.
Kemahiran lain seperti sosial, interpersonal atau emosi yang membolehkan manusia berfungsi dengan
berkesan telah dikecualikan daripada ujian IQ tradisional. Howard Gardner percaya manusia
mempunyai pelbagai kecerdasan atau kehebatan yang tersendiri. Oleh itu, terdapat sembilan
kepelbagaian kecerdasan antaranya ialah kecerdasan logik-matematik, kecerdasan verbal-linguistik,
kecerdasan muzikal, kecerdasan visual-spatial, kecerdasan kinestatik, kecerdasan interpersonal,
kecerdasan intrapersonal, kecerdasan naturalis dan kecerdasan eksistensialisme.

5.1 Kecerdasan Logik Matematik


Kecerdasan Logik Matematik terdiri daripada kebolehan menaakul, memikir secara logikal seperti
pola, abstrak, perkaitan sebab dan akibat, dan menggunakan nombor untuk menyelesaikan masalah.
Kecerdasan ini juga melibatkan pemikiran saintifik yang termasuk pemikiran heuristik, induktif dan
deduktif, mengkategorikan, membuat inferens, generalisasi, penghitungan dan pengujian hipotesis.
Contohnya, saintis, jurutera, arkitek dan doktor lazimnya memiliki kecerdasan ini.

5.2 Kecerdasan Verbal Linguistik


Kecerdasan Verbal Linguistik ialah kebolehan menggunakan bahasa dan kata-kata untuk
menyampaikan sesuatu secra berkesan sama ada secara lisan atau penulisan. Ia merupakan
kemampuan berkomunikasi dengan perkataan secara berkesan termasuklah membaca, menulis,
memanipulasikan ayat, gaya bahasa dan pengucapan dengan baik dan sempurna. Individu yang mahir
dalam bidang ini ialah seperti pengarang, pensyarah, wartawan, penyunting, penyair, penulis skrip dan
novelis. Sebagai contoh di Malaysia ialah seperti Munshi Abdullah, A. Samad Said manakala di luar
negara pula ialah seperti William Shakespeare dan Enid Blyton.

5.3 Kecerdasan Muzikal


Kecerdasan Muzikal ialah kemampuan untuk menggemari, mendeklamasikan dan meluahkan
perasaan melalui muzik. Kecenderungan ini termasuk kepekaan terhadap ritma, melodi atau
kelangsingan hasil muzik. Kecerdasan ini memberi kelebihan kepada seseorang untuk
menginterpretasikan, melahirkan dan membentuk serta memanipulasi bunyi-bunyian secara kreatif.
Mereka yang tergolong dalam kategori ini dapat mengubah lagu, menyampaikan nyanyian, membuat
alat-alat muzik juga termasuk jurutera rakaman. Sebagai contoh, kehebatan P. Ramlee dengan
ciptaannya yang ever green, Manan Ngah, Habsah Hassan , Beethovan, Kitaro, Kenny G dan lain-
lain lagi individu yang mempunyai kecerdasan ini.

5.4 Kecerdasan Visual Spatial


Kecerdasan Visual Spatial ialah kebolehan mencipta gambaran mental dan mengamati dunia visual.
Individu yang mempunyai kecerdasan ini boleh melukis, menterjemah rajah-rajah dan menggunkan
peta. Mereka juga adalah peka terhadap warna, garis bentuk dan ruang. Selain itu, mereka juga
berkebolehan menggambarkan visual secara spatial dan mengorientasikan diri dalam matriks ruang.
Mereka yang tergolong termasuk pelukis, arkitek dan perancang bandar. Contohnya, Azhar Mansor,
Yuri Gagarin dan sebagainya.

5.5 Kecerdasan Kinestatik


Kecerdasan Kinestatik adalah berkaitan dengan pergerakan dengan kemahiran fizikal seperti
mengkoordinasi, kesimbangan dan kelenturan badan. Individu yang berkecerdasan kinestatik mampu
menggunakan badan untuk meluahkan idea dan perasaan secara berkesan. Mereka juga mempunyai
kehebatan gerak geri badan yang mempunyai kesenian yang halus. Tambahan lagi, mereka juga
berupaya mengawal diri secara fizikal. Darpada gerak geri itu, tercetuslah kesenian yang halus seperti
penari, pesilat, ahli gimnastik, pelakon dan pakar bedah. Sebagai contoh, Shalin Zukifli, Nicole
David, Ong Beng Hee, Wong Choong Hann dan sebagainya.

5.6 Kecerdasan Interpersonal


Individu yang mempunyai kecerdasan interpersonal boleh berinteraksi secara harmoni dengan
pelbagai lapisan masyarakat dan berkebolehan memahami orang lain. Mereka juga boleh
berkomunikasi dengan berkesan. Kecerdasan interpersonal mempunyai kaitan rapat dengan
kecerdasan intrapersonal. Pendakwah, kaunselor, jururunding, imam dan paderi adalah contoh mereka
yang mempunyai kecerdasan ini. Sebagai contoh, Dato Dr Fadzilah Kamsah, Pope Benedict XVI dan
sebagainya.

5.7 Kecerdasan Intrapersonal


Individu yang mempunyai kecerdasan intrapersonal mempunyai kesedaran tentang diri sendiri,
berfikiran meta kognitif dan berkebolehan untuk menilai dan memahami diri sendiri. Mereka juga
mempunyai gambaran yang tepat tentang diri sendiri. Dengan kesedaran terhadap mood dalaman,
kehendak, motivasi, kemarahan dan dorongan diri mereka mampu untuk mendisiplinkan diri dan
menunjukkan jati diri. Sebagai contoh, pemipin, ahli falsafah, pendeta dan pemikir.

5.8 Kecerdasan Naturalis


Kecerdasan naturalis ialah kebolehan menghargai dan beroperasi dalam dunia semula jadi. Mereka
adalah perihatin dan berminat kepada alam sekitar termasuk flora dan fauna. Mereka turut peka
terhadap perubahan sekeliling. Sebagai contoh, nelayan mempunyai kebolehan menentukan ikan di
laut manakala ahli saintis pula yang mengkaji pergerakan burung.
5.9 Kecerdasan Eksistensialisme
Kecerdasan Eksistensialisme ini dimiliki oleh mereka yang mempunyai kepekaan dan keupayaan
untuk menjawap soalan yang berkaitan dengan kewujudan manusia dan kematian. Antara ciri-ciri
mereka yang mempunyai kecerdasan eksistensialisme ini ialah taat kepada ajaran agama masing-
masing dan minat belajar hal-hal agama.
Dalam pengurusan pembelajaran, guru memainkan peranan yang amat penting. Oleh itu, guru
perlu mengaplikasikan teori Howard Gardner ini dalam pembelajaran iaitu dengan merancang aktiviti
yang berguna serta relevan yang dapat membantu dalam proses pelajaran dan pembelajaran. Bukan itu
sahaja, dengan adanya teori ini guru dapat menentukan perbezaan kebolehan dan bakat yang ada pada
pelajar. Hal ini dapat meningkatkan kreativiti, motivasi melalui proses pelajaran dan pembelajaran
yang menyeronokan. Secara tidak langsung, dapat menggalakkan inovasi dan penyelidikan baru
dalam pelajaran dan pembelajaran.
Teori Howard Gardner ini menyedarkan kita bahawa sekiranya kanak-kanak tidak pandai
dalam akademik, tidak semestinya mereka tidak cerdas. Tetapi mungkin sahaja mereka mempunyai
kecerdasan kinestatik. Oleh itu, sekiranya mereka mendapat bimbingan dan galakan, mungkin sahaja
suatu hari nanti mereka boleh berjaya menjadi atlet sukan negara seperti Nicole David.

6.0 KAEDAH PEMBELAJARAN YANG EFEKTIF DALAM


6.1 Rangsangan Persekitaran
Rangsangan persekitaran merangkumi empat unsur utama iaitu cahaya, bunyi, suhu, dan susunan
tempat belajar.
Faktor pengcahayaan amat penting. Kebanyakan bilik darjah di Malaysia mempunyai alat
elektrik seperti lampu dan kipas. Guru memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan alat
tersebut berfungsi dan melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawap di sekolah untuk pembaikan
sekiranya alatan tersebut rosak. Di sesetengah bilik darjah, papan putihnya akan mengalami masalah
silau pada waktu tertentu. Keadaan ini akan menyukarkan pembelajaran terutamanya jika guru
menggunakannya untuk pengajaran. Maka, sebagai seorang guru haruslah bijak mencari inisiatif lain,
misalnya mengumpulkan wang dan membeli langsir untuk mengurangkan masalah silau. Oleh itu,
terdapat beberapa ciri-ciri pengcahayaan yang baik, iaitu belajar hendaklah di bawah pengcahayaan
yang cukup dan terang, lampu mestilah lampu kalimantang 4 kaki atau 2 kaki yang berkuasa 18-20
watt, lampu mentol yang bercahaya merah tidak sesuai terutamanya jika rendah dari 100 watt,
kedudukan sumber cahaya mestilah tidak menyilaukan mata dan belajar di bawah cahaya yang tidak
cukup akan menjadikan mata menjadi rabun.
Bunyi-bunyian juga memainkan peranan yang amat penting dalam proses pembelajaran yang
efektif. Hal ini kerana, bunyi-bunyian boleh mendatangkan ketenangan pada minda. Sebagai contoh,
bunyi deruan ombak, air sungai, tiupan angin di puncak gunung, titisan air hujan dan sebagainya.
Bunyi-bunyi ini boleh mendatangkan ketenangan pada minda untuk memudahkan saranan berlaku.
Saranan akan merangsang kedua-dua belah otak untuk menerima pelajaran. Dr. Georgi Lazanov,
seorang pengkaji super leanring berpendapat bahawa muzik yang berirama perlahan iaitu sekitar
60 bit seminit seperti muzik Baroque oleh Vivaldi, Bach, Handel, Tchaikovsky dan Pachelbel boleh
merangsang pembelajaran. Menurut beliau muzik boleh menjadi sebahagian proses dalaman
pembelajaran yang membawa kepada ketenangan sebelum, ketika dan selepas belajar. Berbeza pula
dengan pendapat Dr. Steve Halpern iaitu muzik yang keras atau kasar akan menjejaskan kesihatan
apatah lagi proses pembelajaran. Namun begitu, terdapat juga murid yang hanya boleh menumpukan
perhatian terhadap pembelajarannya dalam keadaan yang senyap, sunyi dan tenteram. Ia bergantung
dengan keselesaan pelajar itu sendiri gaya pembelajaran yang dia selesa adakah belajar sambil
mendengar lagu mahupun dalam keadaan persekitaran yang senyap.
Suhu turut mempengaruhi sesi pengajaran dan pembelajaran. Dalam iklim khatulistiwa yang
panas dan lembab ini, guru perlu memastikan pintu dan tingkap sentiasa dibuka untuk pengudaraan.
Hal ini sangat kritikal terutama apabila sesebuah kelas mempunyai 40 murid. Keadaan yang panas
akan menyebabkan murid berasa mengantuk, tidak selesa dan keletihan. Bukan itu sahaja, suhu yang
sejuk dan nyaman dapat mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran. Hal ini kerana, ramai pelajar
tidak suka belajar di bawah cuaca yang panas tanpa kipas atau berhawa dingin. Tegasnya, suhu
mempengaruhi dalam proses pembelajaran kita di dalam kelas. Oleh itu, setiap pelajar perlu
memastikan proses pembelajaran mereka dalam keadaan yang selesa.
Susunan tempat belajar yang kondusif turut membantu dalam proses pembelajaran. Oleh itu,
pilihlah dan sediakan tempat belajar yang tetap, lengkap, selesa dan sempurna. Jangan belajar merata-
rata dengan menyepahkan peralatan dan mengganggu anggota keluarga atau kawan-kawan lain
melakukan kerja-kerja mereka. Terdapat beberapa ciri-ciri meja belajar yang baik, iaitu meja
menghadap ke arah kiblat dan elak daripada membelakangkan kiblat ketika belajar, meja menghadap
ke tingkap atau ke arah sumber aliran udara yang bersih, memilih ketinggian meja yang sesuai iaitu
tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, keadaan meja yang kukuh iaitu tidak senget atau
bergoyang, permukaan meja licin supaya tidak menganggu apabila menulis, mempunyai rak-rak untuk
menyusun buku-buku teks, rujukan dan perpustakaan peribadi, ada laci-laci yang boleh dikunci untuk
menyimpan dokumen, peralatan dan barangan lain dan pokok hidup sebagai hiasan yang membantu
mengeluarkan oksigen berhampiran meja. Susunan tempat belajar mampu mempertingkatkan
keberkesanan pembelajaran. Oleh itu, ramai pelajar suka belajar di tempat duduk yang sesuai dengan
gaya duduk tersendiri.

6.2 Rangsangan Emosi


Emosi berkait rapat dengan perasaan dan jiwa sesorang. Motivasi merupakan salah satu unsur emosi
yang berkesan dalam mengurus pembelajaran. Motivasi ini dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu
motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.
Motivasi intrinsik diwujudkan semula jadi daripada rangsangan dalaman. Ia terdiri daripada
dorongan dan minat seseorang individu untuk melakukan sesuatu aktiviti tanpa berharap atau
meminta sebarang ganjaran. Motivasi jenis ini dikaitkan dengan naluri ingin tahu dan dorongan
mencapai kecekapan sebagai motivasi intrinsik murid yang baru masuk sekolah. Walaubagaimanapun,
bukan semua motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi. Hal ini kerana, terdapat motivasi
intrinsik yang dibentuk daripada pembelajaran dan pengalaman yang membawa kepuasan. Misalnya,
tabiat membaca buku cerita dan bermain alat muzik adalah daya gerakan motivasi intrinsik yang
dibentuk daripada pembelajaran dan pengalamannya. Manakala, motivasi ekstrinsik pula diwujudkan
daripada rangsangan luaran dengan tujuan menggerakkan orang untuk melakukan sesuatu aktiviti
yang akan membawa faedah kepadanya. Motivasi sebegini boleh dirangsangkan dalam bentuk-bentuk
seperti memberi peneguhan positif seperti pujian, insentif, hadiah, gred dan membentuk ilkim alam
belajar yang kondusif untuk mendorong mereka belajar.
Setiap guru hendaklah bijak dalam mengatur strategi pengajaran-pembelajaran untuk
mewujudkan motivasi kepada murid mereka. Misalnya, menggunakan teknik peneguhan untuk
memupuk dan mengekalkan motivasi pelajar dalam pembelajaran yang selanjutnya. Dengan ini, dapat
merangsang emosi setiap murid yang termotivasi.
6.3 Kurikulum yang baik dan Seimbang
Sistem pendidikan di Malaysia menggunakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sebagai satu
wadah atau asas kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah di semua institusi
pendidikan di Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa Pendidikan di
Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.Usaha ini adalah
bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, dalam usaha negara
mencapai Wawasan 2020, kurikulum telah dibentuk bagi mendokong hasrat negara melahirkan warga
Malaysia yang seimbang dari segi semua aspek melalui medan pendidikan.
Kurikulum berasal daripada perkataan Latin currere bermaksud race course iaitu laluan
atau jejak mahupun jurusan. Kurikulm di dalam Bahasa Inggeris Curriculum yang membawa
maksud jelmaan. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kurikulum membawa maksud
segala rancangan pendidikan yang dikendalikan oleh sesebuah sekolah atau institusi pendidikan untuk
mencapai matlamat pendidikan. Kurikulum adalah suatu rancangan yang meliputi skop ilmu
pengetahuan, kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan serta kepercayaan
masyarakat.

6.3.1 Reka bentuk kurikulum di Malaysia


Kurikulum yang dijalankan di dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah berpandukan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.Pendidikan merupakan salah satu faktor utama dalam
mencapai Misi Nasional dan guru memainkan peranan penting bagi memastikan kejayaan ini.Justeru
itu, guru perlu memahami, memberi komitmen dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam
melaksanakan inisiatif dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan
(Organization for Economic Co-operation and Development (OECD), 2005). Dalam usaha mencapai
matlamat pendidikan, kandungan kurikulum terbahagi kepada dua bahagia; pertama sukatan pelajaran
dan kandungan mata pelajaran serta segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kedua; aktiviti
kokurikulum seperti sukan, permainan, kelab dan unit beruniform.
Kurikulum Kebangsaan hendaklah digunakan oleh semua sekolah. Menurut Akta Pendidikan
1996, menteri hendaklah menetapkan suatu kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Kebangsaan
yang, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah digunakanoleh semua sekolah dalam Sistem
PendidikanKebangsaan. Kurikulum Kebangsaan yang ditetapkan di bawah subseksyen (1) hendaklah
menentukanpengetahuan, kemahiran dan nilai yang dijangka akandiperolehi oleh murid-murid pada
akhir tempohpersekolahan masing-masing dan hendaklah termasukmata pelajaran teras yang
dinyatakan dalam Jadual dan apa-apa mata pelajaran lain yang ditetapkan. Dalam hal sekolah swasta,
subseksyen (1) hendaklah disifatkan telah dipatuhi jika mata pelajaranteras Kurikulum Kebangsaan
yang dinyatakan dalamJadual diajarkan di sekolah itu. Menteri boleh dari semasa ke semasa melalui
perintah yang disiarkan dalam Warta menambah, meminda atau mengubah Jadual.

6.3.2 Kurikulum berasaskan kompetensi


Pelaksanaan kurikulum berasaskan kompetensi telah dipopularkan di negara-negara Barat sekitar
1970-an bertunjangkan kepada arus perubahan dan inovasi dalam pendidikan ke arah outcome-based
education. Trend tersebut telah menjalar di kebanyakan negara hinggalah ke Malaysia dan telah
menjadi satu anjakan paradigma dalam kalangan warga pendidik dalam usaha mewujudkan
pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang komprehensif. Kompetensi merupakan perpaduan,
pengetahuan, nilai dan sikap yang direfleksikan melalui cara berfikir dan bertindak. (Gordon, 1988 :
109) menjelaskan beberapa aspek yang terkandung dalam konsep kompetensi iaitu pengetahuan
(knowledge), pemahaman (understanding), kemahiran (skill), nilai (value), sikap (attitude) dan minat
(interest). Melalui penjelasan tentang apa itu konsep kompetensi, maka Kurikulum Berasaskan
Kompetensi (KBK) dapatlah disimpulkan bahawa satu konsep kurikulum yang memfokuskan kepada
perkembangan tentang keupayaan melakukan kompetensi-kompetensi dengan standard peformans
tertentu sehinnga matlamat dapat direalisasikan kepada pelajar oleh warga pendidik khususnya.
Terdapat dua jenis kompetensi iaitu kompetensi umum (Generic Competencies) dan kompetensi
Khusus (Functional Competencies). Kompetensi umum merupakan pengetahuan, kemahiran dan ciri-
ciri peribadi serta tata kelakuan yang perlu dimiliki oleh setiap anggota dalam sesuatu perkhidmatan
berkenaan. Kompetensi hhusus pula merupakan pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang
spesifik bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi sesuatu jawatan dan kumpulan jawatan.

6.3.3 Konsep kopetensi Guru


Guru merupakan tunjang kepada sistem pendidikan. Guru adalah pelaksana segala dasar dan matlamat
kurikulum yang telah digariskan oleh pihak kerajaan. Tanpa penglibatan dan sokongan kaum guru,
segala perancangan pendidikan yang telah disediakan akan terbengkalai begitu sahaja. Justeru itu,
kependidikan dan perguruan adalah aspek yang signifikan bagi menjamin kegemilangan sesebuah
negara. Kompetensi guru boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu pengetahuan guru,
kemahiran guru dan peribadi guru. Pengetahuan guru merupakan kebolehan pendidik meningkatkan
pengetahuan secara berterusan bagi memperbaiki prestasi diri dengan berkesan. Kemahiran guru pula
adalah kebolehan pendidik mengguna dan memanfaatkan (ability to use in practice) pengetahuan dan
kemahiran yang diperolehbagi melaksanakan tugas dengan cemerlang untuk mencapai objektif
pengajaran. Peribadi guru merupakan nilai-nilai peribadi dan perlakuan (personal attributes and
behaviours) yang perlu dihayati dan diamalkan oleh warga pendidik. Guru perlu mempunyai ketiga-
tiga kategori kompetensi di atas bagi memastikan hala tuju pendidikan negara yang telah dirangka
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang menggariskan satu matlamat iaitu untuk menjadikan
pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan bertaraf dunia terlaksana.
Standard profesional perguruan boleh digunakan sebagai satu set kriteria dari kompetensi
minimum yang ditunjukkan dalam perlaksanaan kerja guru. Kompetensi guru termasuklah perkara
yang berkaitan personal, profesional dan sosial seperti pengajaran, kepakaran dalam subjek,
kepakaran dalam teori yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran, menguruskan proses
pembelajaran, adaptasi dalam komuniti dan personaliti. Beare (2001) mengenal pasti kompetensi
minimum bagi guru terhadap lima komponen yang sepatutnya kompeten. Lima komponen itu ialah
kurikulum, pedagogi, penilaian, sumbangan kepada sekolah dan sumbangan kepada profesion. Dalam
komponen kurikulum, guru sepatutnya mempunyai pengetahuan tentang isi kandungan kursus yang
diajar (kepakaran subjek) dan ianya dikemas kini. Komponen pedagogi pula, guru mestilah tahu
mengajar, menguruskan kelas menggunakan mod pembelajaran dan kaedah pengajaran yang sesuai
dan teknologi pengajaran yang sesuai. Komponen penilaian memerlukan guru tahu untuk menilai
hasil kerja pelajar, bagaimana menilai kemajuan pelajar, bagaimana melaporkan kemajuan kepada
pelajar dan ibu bapa, bagaimana menyimpan rekod kemajuan pembelajaran dan bagaimana
menetapkan tahap kemajuan. Komponen sumbangan kepada sekolah pula, sebagai staf institusi
pelajaran, setiap guru seharusnya memberi sumbangan yang kontruktif kepada sekolah secara meluas,
menerima tanggungjawab fungsi yang luas kepada sekolah secara formal, secara tidak formal
mengambil berat terhadap tugas dan budaya, mempunyai pelajar yang baik, reputasi dan pendirian
komuniti serta hubungan ibu bapa dan seluruh komuniti. Komponen sumbangan professional, setiap
guru diharapkan dapat mengamalkan profesion pergurun dengan menyertai perkembangan
profesional, aktif dalam aktiviti.

6.3.4 Personaliti, pengalaman mengajar dan mata pelajaran yang di ajar oleh
guru dalam mengurus pembelajaran
Falsafah Pendidikan Guru (FPG) telah digubal bertujuan menjadi panduan bagi merealisasikan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPG menjelaskan jenis guru diperlukan oleh negara kita.Apa
yang terkandung di dalam FPG ialah guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan
saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan budaya negara, menjamin
perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif
dan berdisiplin.Oleh yang demikian para guru memainkan peranan penting dalam mencorakkan
kehidupan pelajar. Guru adalah orang yang penting dalam kchidupan pelajar.
Tingkah laku guru mudah mempengaruhi pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar mudah
menginterpretasi sesuatu yang dilakukan oleh guru sama ada cara guru bertutur atau bertingkah laku.
Guru haruslah menunjukkan sikap yang positif dalam diri pelajar bagi menanamkan sikap yang positif
dalam diri pelajar. Selain itu, sifat keprihatinan guru terhadap pelajar juga adalah penting dalam
pembentukan sahsiah pelajar khususnya didalam bilik darjah semasa proses pengajaran dan
pembelajaran berlaku.

7.0 MASALAH DALAM MENGURUS PEMBELAJARAN


Menurut Noradanisha (2012) secara umumnya pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni
bagi melaksanakan proses kerja yang terancang melalui dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur
serta mempunyai garis panduan tertentu. Ini bermakna sesuatu tugas dapat dilaksanakan dengan
berkesan melalui pengurusan kerana pengurusan merupakan satu seni atau budaya yang tersusun
dalam melaksnakan bidang tugas individu sesebuah organisasi. Menurut Kolaborasi Ilmu (2012)
pembelajaran pula ialah suatu gerak balas kepada rangsangan-rangsangan yang membawa kepada satu
perubahan. Pembelajaran ialah suatu proses mental atau fizikal yang membawa kepada perubahan
tingkah laku. Pembelajaran juga bermaksud satu proses memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap
dan nilai yang baru.
Mengurus pembelajaran di sekolah sememangnya menjadi peranan guru dan juga pihak
sekolah. Mengurus pembelajaran bukan lah sesuatu yang mudah. Hal ini demikian kerana terdapat
beberapa kekangan dan halangan yang menyebabkan mengurus pembelajaran tidak dapat dijalankan
secara efektif. Mengurus pembelajaran secara efektif amat penting untuk mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang kondusif di samping supaya pembelajaran dapat dijalankan di mana-mana sahaja
tempat yang bersesuaian bergantung kepada keselesaan guru dan murid. Selain itu, pembelajaran yang
efektif penting agar pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan sekaligus tahap pengajaran
dan pembelajran (PnP) dapat dipertingkatkan. Pembelajaran yang efektif juga berupaya membantu
memudahkan sistem pengurusan pelajar.
Masalah-masalah yang wujud sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pelajaran murid kerana
berlakunya halangan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Terdapat beberapa aspek yang boleh
dikaitkan dengan masalah mengurus pembelajaran di sekolah. Aspek-aspek tersebut melibatkan tiga
pihak iaitu guru, pelajar dan pihak sekolah. Ketiga-tiga aspek ini saling berkait dan dirungkaikan
menjadi faktor masalah mengurus pembelajaran di sekolah.
7.1 Guru
Guru merupakan insan terpenting di sekolah. Guru memikul tanggungjawab yang besar untuk
mengajar dan mendidik pelajar agar dapat menjadi seorang yang cemerlang kelak seterusnya berbakti
kepada agama, bangsa, dan negara. Peranan guru bertambah penting lebih-lebih lagi dalam abad ke-
21 ini yang menuntut kerjaya seorang guru lebih mencabar kerana berhadapan dengan era globalisasi
dan era digital. Guru digesa untuk meningkatkan kemahiran teknologi maklumat (IT) kerana majoriti
sekolah memerlukan guru yang pakar dalam bidang teknologi maklumat untuk memudahkan mereka
mengajar nanti.
Pada era digital ini, guru tidak lagi memainkan peranan sebagai penyampai ilmu kepada
pelajar. Dalam zaman ledakan maklumat ini, pelajar berupaya memperoleh ilmu melalui pelbagai
wadah dan wahana, seperti internet, e-buku, majalah, surat khabar malah televisyen satelit. Ekoran
daripada itu, guru perlu bertindak sebagai fasilitator untuk membimbing pelajar menimba ilmu.
Mutakhir ini, guru bukan sahaja perlu menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang majornya tetapi
juga perlu menguasai ilmu psikologi dan ICT supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif dalam
pembelajaran dan pembelajaran. Dalam situasi ini, pelajar lebih minat dan beria-ia untuk mengikuti
pelajaran. Sebagai impaknya, guru yang menguasai teknologi maklumat dan komunikasi dapat
membimbing pelajar mencapai akademik yang cemerlang.
Namun, dalam mengurus pembelajaran terdapat beberapa masalah yang wujud akibat
daripada sikap sesetengah guru yang kurang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka di
sekolah. Hal ini akan menjadi halangan dalam menghasilkan pengurusan pembelajaran yang efektif di
sekolah sekaligus menjejaskan prestasi sekolah tersebut.

7.1.1 Kaedah mengajar yang digunakan tidak menarik


Kaedah mengajar merupakan salah satu elemen terpenting dalam mengurus pembelajaran di sekolah.
Guru dituntut untuk lebih kreatif dan inovatif dalam mewujudkan kaedah pengajaran yang berkesan.
Namun malangnya, pada abad ke-21 ini, masih terdapat sesetengah guru yang masih lagi berada pada
takuk yang lama iaitu masih menggunakan kaedah pengajaran lama yang biasa digunakan di sekolah
sejak bertahun-tahun yang lalu. Situasi ini menyebabkan pelajar mudah bosan dan tidak berminat
untuk belajar.
Di samping itu, kaedah mengajar yang tidak bersesuaian akan membuatkan murid tidak
memahami subjek yang diajar. Keadaan ini akan membuatkan pelajar tidak berminat untuk belajar
sehingga menyebabkan mereka cenderung untuk ponteng kelas. Situasi sebegini pastinya akan
mengganggu pembelajaran murid dan menjatuhkan reputasi sesebuah sekolah. Justeru itu, guru perlu
kreatif dalam merancang pembelajaran dan menyediakan kaedah mengajar yang pelbagai agar murid
bertambah minat untuk belajar. Kaedah mengajar yang berkesan hendaklah dititikberatkan agar tidak
lagi timbul isu pelajar tidak berminat untuk belajar. Guru seharusnya berfikir di luar kotak dan
berfikiran kreatif serta kritis agar dapat melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan
kokurikulumnya.

7.1.2 Guru tidak membuat persediaan sepenuhnya sebelum mengajar


Persediaan yang rapi sebelum memulakan kerja bagi sebarang tugas amat dititikberatkan bagi
memastikan setiap produktiviti atau hasil yang diperolehi adalah berkualiti dan dapat menepati
objektif dan sasaran yang telah ditetapkan. Ia juga dapat melicinkan perjalanan proses yang terlibat.
Terdapat pelbagai kemungkinan yang akan berlaku sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam bilik darjah, makmal dan lain-lain. Ianya boleh mengganggu proses pengajaran dan
pembelajaran. Namun, sebagai langkah bagi memastikan perjalanan proses pengajaran yang lancar,
guru harus bersedia dan mempersiapkan diri sebelum memulakan tugas mengajar. Persediaan
mengajar mempunyai tiga komponen penting iaitu komponen persediaan, penyampaian, dan penutup.
Sikap segelintir guru yang tidak membuat persiapan sepenuhnya sebelum mengajar turut
menimbulkan masalah dalam mengurus pembelajaran. Hal ini demikian kerana apabila seseorang
guru tidak bersedia untuk mengajar, sudah pasti sesi pengajaran dan pembelajaran yang berjalan tidak
dapat dilakukan dengan sebaik mungkin kerana tiadanya persediaan. Sesetengah guru juga tidak
berupaya merancang pembelajaran dengan sebaik mungkin sehingga menyebabkan murid tidak dapat
belajar dengan efektif. Sikap sesetengah guru yang sambil lewa menyebabkan sesi pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas tidak kondusif. Oleh itu, persediaan sebelum mengajar sangat signifikan
kerana sekiranya persediaan mengajar disediakan sebelum memulakan proses pengajaran dan
pembelajaran, hasil atau impak pengajaran tersebut dapat diperolehi di akhir sesi pengajaran di mana
guru dapat menilai keberkesanan pengajarannya sama ada ia perlu diteruskan atau perlu dilakukan
penambahbaikan dari segi pendekatan, kaedah, teknik dan sumber serta bahan yang telah digunakan.

7.2 Pihak Sekolah


Salah satu langkah untuk melahirkan insan yang bekualiti ialah melalui peranan yang dimainkan oleh
pihak sekolah. Sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk melahirkan insan
yang bekualiti .Oleh yang demikian, Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk
meningkatkan prestasi sesebuah sekolah dalam sistem pendidikan di Malaysia. Setiap tahun, ada
sahaja hasil-hasil baharu bersaskan sekolah-sekolah yang ditubuhkan. Sebagai contoh, penubuhan
penubuhan sekolah primier yang menjadi kebanggaan kepada negara kerana kecermelangannya dan
penubuhan sekolah kluster yang bertujuan untuk mengembangkan potensi sekolah dalam kluster
kecemerlangan. Namun begitu, pihak sekolah tidak terkecuali dalam menjadi faktor timbulnya
masalah dalam mengurus pembelajaran.

7.2.1 Tiada penyelarasan dari segi pengagihan tugas guru di peringkat pihak
pentadbir sekolah
Perkara ini berlaku adalah disebabkan tiada perbincangan di kalangan guru-guru penolong kanan
dalam mengagihkan tugas-tugas khas kepada guru. Ini menyebabkan agihan tugas yang tidak
seimbang di kalangan guru. Menurut Suhana Minhat (2013) terdapat pengetua atau guru besar tidak
berjaya berperanan dalam menstrukutur organisasi. Lambakan tugas guru ini memberi kesan negatif
terhadap pengurusan pengajaran dan pembelajaran guru.
Menurut pemantauan yang dilakukan oleh Guru Data HRMIS terdapat guru yang memegang
sebilangan jawatan atau tugas sampingan (Norsiah Abu Bakar, komunikasi peribadi, 17 April 2013).
Ini menyebabkan guru tidak mempunyai masa untuk membuat persediaan pengajaran dan
pembelajaran mereka kerana banyak terlibat dengan tugas-tugas seperti menyiapkan kertas kerja,
mengisi borang, memasukkan data, pemfailan dan lain-lain. Tugas yang pelbagai juga menyebabkan
guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyemak hasil kerja murid, mengenal pasti
kelemahan dan membuat pemulihan terhadap murid.
Guru banyak melakukan tugas yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran.
Masalah ini memberi kesan yang negatif kepada pengurusan pengajaran dan pembelajaran. Ini
menyebabkan guru tidak dapat merancang pengajaran dan pembelajaran dengan baik. Sebagai contoh,
guru dibebani dengan kerja-kerja perkeranian, pengurusan disiplin dan persediaan untuk pemantauan
pihak atasan menyebabkan terdapat guru yang tidak sempat menyediakan buku rekod pengajaran dan
pembelajaran. Mereka juga tidak dapat menyediakan bahan bantu mengajar dengan lengkap.
7.2.2 Guru ditugaskan mengajar mata pelajaran bukan mengikut kepakaran
Guru ditugaskan mengajar mata pelajaran bukan mengikut kepakaran juga menyebabkan pengurusan
pengajaran dan pembelajaran tidak berkesan. Fenomena ini berlaku apabila guru dikehendaki
mengajar mata pelajaran yang di luar pengetahuan guru tersebut. Menurut beberapa graduan, wujud
keadaan dimana graduan pendidikan ekonomi dan bukan bersekolah aliran agama diberi tugasan
untuk mengajar Pendidikan Islam sewaktu melaporkan diri (UPSI Kini, 16 Januari 2012). Ini akan
menyebabkan guru tersebut tidak bersedia untuk mengajar serta kurang input untuk menyebarkan
ilmu pengetahuan.
Selain itu, guru yang mengajar bukan opsyen ini tidak berkeyakinan dalam menyampaikan pengajaran
dan pembelajaran. Masalah ini menyebabkan pengurusan pengajaran dan pembelajaran tidak dapat
dilaksanakan dengan berkesan. Pelbagai masalah juga akan timbul sekiranya masalah guru mengajar
tidak mengikut opsyen ini berterusan berlaku. Keadaan ini berpunca daripada kekosongan guru dalam
sesebuah matapelajaran sehingga menyebabkan pihak sekolah menarik guru matapelajaran subjek lain
untuk mengajar subjek yang tidak mempunyai guru tersebut.
Impaknya, situasi ini akan menjatuhkan kredibiliti seorang guru sehingga guru tersebut tidak
dapat mengajar dengan baik kerana kurang pengetahuan terhadap matapelajran di luar bidangnya.
Kesannya kepada pelajar ialah pelajar menjadi tidak yakin dengan apa yang guru berkenaan
sampaikan dan sudah pasti keadaan ini akan menjejaskan prestasi pelajar dan menyebabkan keputusan
peperiksaan merosot.

7.2.3 Pengurusan pembinaan jadual waktu pengajaran dan pembelajaran


didapati kurang berkesan
Pembinaan jadual waktu yang kurang berkesan mengakibatkan berlakunya proses pengajaran dan
pembelajaran yang tidak lancar. Terdapat guru yang terpaksa mengajar 30 masa atau lebih dalam
seminggu. Keadaan ini menyebabkan guru tersebut kurang komitmen terhadap pengajaran dan
pembelajaran kerana tiada masa untuk menyediakan bahan untuk mengajar. Kepadatan jadual waktu
mengajar seseorang guru memberi tekanan kepada guru dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik
(Kamidah Marsithi, komunikasi perIbadi, 15 April 2013). Jadual yang terlalu banyak bagi seseorang
guru menyebabkan kualiti mengajar guru menurun kerana guru tidak sempat untuk membuat
persediaan sebelum mengajar. Sedangkan sistem sekolah adalah kaedah atau cara yang teratur untuk
mencapai matlamat sesebuah institusi (Mohd Najib, 2010). Ini menyebabkan proses pengajaran dan
pembelajaran tidak berjalan sebagaimana yang diharapkan.

7.3 Murid
Masalah seterusnya dalam mengurus pembelajaran ialah cabaran guru dalam berhadapan dengan
murid. Kita sedia maklum bahawa antara cabaran Wawasan 2020 kepada guru adalah menwujudkan
masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri,
menwujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mewujudkan masyarakat
yang bermoral etika,liberal dan bertolak ansur, saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan
tinggi dan memandang ke depan, masyarakat penyayang dan budaya menyayangi. Dengan itu, guru
memainkan peranan yang penting dalam mencapai hasrat Wawasan 2020 dalam menghasilkan insan
modal yang berakhlak mulia. Pelbagai kajian telah dilakukan untuk mengenal pasti cabaran-cabaran
yang dihadapi oleh guru dalam profesion tersebut dan langkah-langkah untuk mengatasi cabaran-
cabaran tersebut.
7.3.1 Masalah disiplin dalam kalangan murid
Antara cabaran tersebut ialah guru terpaksa berhadapan dengan karenah dan sikap murid di sekolah.
Masalah disiplin dalam kalangan murid bukan lah polemik baharu. Fenomena ini telah pun melanda
sejak beratahun-tahun yang lalu namun seiring dengan pesatnya teknologi dewasa ini, masalah
disiplin ini kian meruncing dan kian membimbangkan. Dalam era globalisasi ini, sememangnya tugas
guru dalam menangani murid semakin mencabar. Teknologi komunikasi yang berkembang pesat
banyak mempengaruhi sikap murid. Murid yang terpengaruh dengan perkara negatif di media sosial
akan cenderung menimbulkan masalah disiplin di sekolah.
Antara masalah disiplin yang timbul ialah datang lewat ke sekolah, melawan guru, bergaduh
dan terlibat dengan masalah sosial lain nya. Hal ini sudah pastinya memberikan impak negatif bukan
sahaja kepada pelajar itu sendiri bahkan juga kepada sekolah. Masalah disiplin bukan sahaja berpunca
daripada sikap murid malah turut berpunca daripada kaedah pengajaran dan bahan yang tidak sesuai.
Seperti yang telah dijelaskan pada awal tadi, bahan pengajaran yang terlalu bersifat lama dan formal
akan menimbulkan kebosanan dalam kalangan pelajar. Hal yang demikian kerana bahan tersebut tidak
dapat menarik perhatian pelajar dan terlaku sukar untuk diikuti serta difahami oleh pelajar. Contohnya
dapat dilihat apabila guru hanya menggunakan kaedah pengajaran seperti membaca, menulis, dan
berkomunikasi sehala semata-mata. Keadaan yang bosan akan mendorong pelajar untuk
memberontak. Contohnya, murid sekolah cenderung untuk ponteng sekolah, ponteng kelas,
menganggu pelajar lain, membuat bising, dan sebagainya.
Secara keseluruhannya, masalah yang timbul dalam mengurus pembelajaran bukan datang
daripada satu pihak sahaja bahkan melibatkan segenap aspek dalam menguruskan pembelajaran di
sekolah termasuk guru, pelajar dan pihak sekolah. Dalam menangani masalah-masalah yang timbul,
semua pihak perlu bijak dalam mengambil langkah yang efektif agar masalah ini dapat dikekang.
Pembelajaran yang efektif dapat dicapai sekiranya semua pihak sedar akan peranan dan
tanggungjawab masing-masing dan menjalankannya dengan penuh komitmen. Justeru itu, hasrat
Malaysia untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek
akan menjadi kenyataan dan Wawasan 2020 dapat dicapai.

8.0 LANGKAH MENGATASI MASALAH PEMBELAJARAN


8.1 Masalah disiplin dalam kalangan murid
Masalah displin yang kian meruncing dalam kalangan murid semakin membimbangkan. Hal ini
menjadi halangan dan kekangan dalam mengurus pembelajaran dengan efektif. Sekiranya tidak segera
dibendung, masalah disiplin berpotensi membawa kepada masalah sosial yang lainnya. Justeru itu,
institusi pendidikan seperti sekolah hendaklah memainkan peranan dalam membentuk akhlak pelajar.

8.1.1 Peranan pihak sekolah


Pihak sekolah sewajarnya memandang serius masalah disiplin dalam kalangan murid dengan
mengambil tindakan yang tegas terhadap murid yang terlibat dengan masalah disiplin. Hukuman yang
setimpal wajar dikenakan agar murid serik melakukan kesalahan disiplin yang melanggar peraturan
sekolah. Di samping itu, pihak sekolah juga hendaklah bijak mengawal tingkah laku pelajar di sekolah
agar tidak bertindak di luar kawalan yang boleh menjejaskan pelajaran mereka seterusnya menjadi
halangan kepada sekolah dalam mengurus pembelajaran.
Selain itu juga, pihak sekolah harus peka terhadap kemudahan dan infrakstruktur sekolah.
Keadaan sekolah yang tidak selesa ini menyebabkan pelajar tidak gemar untuk belajar. Pihak sekolah
perlu mengubah dan memperbaiki kemudahan yang ada untuk keselesaan pelajar dalam menuntut
ilmu. Contohnya, kipas angin dalam kelas yang tidak dapat berfungsi. Hal ini menyebabkan pelajar
tidak selesa dan juga guru. Guru mengajar dalam keadaan panas dan kurang selesa untuk guru
tersebut menyampaikan ilmu kepada murid-murid dan murid-murid juga tidak selesa dan sukar
menerima ilmu yang diajar oleh guru berkenan kerana ketidakselesaan yang dihadapi.

8.1.2 Peranan guru


Peranan guru dalam profession mereka adalah sangat penting kerana guru merupakan arkitek
pembangunan negara. Dalam konteks dunia pendidikan yang serba mencabar dewasa ini, guru-guru
perlu peka dan beriltizam untuk menjadikan mereka dan juga produk mereka mendapat pengiktirafan.
Oleh itu, kaedah dan pendekatan pengajaran haruslah dititikberatkan agar proses pengajaran dan
pembelajaran dapat dicapai dan berjalan dengan baik. Sebagai seorang yang kreatif, guru boleh
melakukan pengajaran dan pembelajaran dengan sesuatu cara yang unik. Guru haruslah berfikir di
luar kotak, melihat sesuatu daripada perspektif baru, membuka minda dengan idea-idea baru,
menerbitkan idea besar kepada idea-idea yang lebih kecil, berfikir secara fleksibel dan membuat
sintesis, imaginasi dan visualisasi. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan daya imaginasi mereka
dalam proses mencerna minda pelajar.
Guru boleh memulakan pengajaran mereka dengan mengemukakan soalan-soalan yang
umum. Hal ini dapat membuka minda pelajar supaya dapat berfikir di luar kotak. Selain itu, media
berbentuk visual, audio, teks dan grafik juga boleh membantu menjana minda pelajar. Namun begitu,
penggunaan media-media seperti ini perlulah selaras dengan strategi pedagogi yang sesuai agar
objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai.
Selain itu, guru juga harus memahami keupayaan pelajar masing-masing dengan cara
memberi kerja dan latihan pada masa yang sesuai dan mewujudkan suasana yang tenang dan mesra
dalam proses pengajaran. Di samping itu, guru perlulah memberikan layanan yang adil kepada setiap
pelajar tanpa meletakkan jurang antara pelajar yang cemerlang dan kurang cemerlang.
Secara kesesluruhannya, kemerosotan disiplin pelajar akan berterusan sekiranya pihak yang
terlibat enggan berganding bahu untuk mengorak langkah bersama-sama menangani masalah ini. Jika
dibiarkan berterusan, keadaan yang sedia ada boleh menjejaskan pengurusan pembelajaran di sekolah
di samping mengugat perkembangan pelajar dan sistem pendidikan di negara ini. Bagi membentuk
sekolah yang cemerlang dan kurang masalah disiplin ini, organisasi kepimpinan sekolah perlulah
mantap dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah. Selain itu juga, guru haruslah menekankan
persekitaran sekolah yang positif dan dipenuhi nilai-nilai murni agar pelajar dalam keadaan yang
tenang untuk menuntut ilmu.

8.2 Pengurusan pentadbiran sekolah


Pengurusan pentadbiran sekolah yang sistematik sangat penting dalam megurus pembelajaran. Pihak
pentadbiran sekolah bertanggungjawab memastikan persekitaran di sekolah berada dalam keadaan
yang selesa dan kondusif bagi menarik minat murid untuk belajar. Sekolah juga hendaklah bijak
dalam mengurus organisasi sekolah supaya tidak berlaku pertindihan tugas terutamanya dalam
kalangan guru. Tugas guru perlu dititikberatkan supaya peranan guru tidak terpesong daripada
tanggungjawab asal guru di sekolah yakni untuk mengajar. Guru tidak seharusnya dibebankan dengan
tugas-tugas lain yang bukan menjadi tanggungjawab guru. Oleh itu, pengagihan tugas di sekolah perlu
dilakukan secara bijaksana.
Selain itu, organisasi bilik darjah adalah aspek penting yang mencorakkan suasana
persekitaran bilik darjah. Organisasi bilik darjah yang berkesan dapat menjadikan suasana bilik darjah
lebih sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, persekitaran dan keadaan sekeliling akan
mempengaruhi keupayaan kita berfikir, belajar, dan bekerja. Keadaan bilik darjah yang tidak terurus,
kelas terlalu sejuk atau panas, keadaan lampu yang terlalu malap atau terang, serta warna dinding
yang terlalu terang semuanya akan mengganggu penumpuan pelajar di dalam kelas. Oleh itu, untuk
mengatasi masalah ini pihak sekolah seharusnya bekerjasama dengan pihak arkitek dalam membina
konsep dan reka bentuk sekolah atau bilik darjah yang lebih kondusif untuk aktiviti pembelajaran.
Contohnya, menyediakan ruang kelas yang lebih fleksibel dan segar serta disusun mengikut cita rasa
dan kesesuaain pendekatan guru dan gaya pembelajaran pelajar.
Kedudukan pelajar di dalam sesebuah bilik darjah juga tidak boleh selalu diubah supaya tidak
keliru sewaktu belajar. Beberapa kriteria perlu diambil kira semasa menentukan kedudukan pelajar
seperti kemudahan pengurusan dan pengawalan bilik darjah. Contohnya, pelajar yang nakal, apabila
diletakkan di tempat duduk bahagian belakang akan mengganggu proses pengajaran dan
pembelajaran. Begitu juga pelajar yang mempunyai saiz yang badan ynag kecil akan menghadapi
kesukaran melihat apabila diletakkan di belakang. Bilangan murid yang terlalu ramai di dalam bilik
darjah juga merupakan faktor yang mendorong kepada masalah disiplin dan gaya pembelajaran yang
negatif. Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, pihak pengurusan sekolah seharusnya menetapkan
jumlah murid di dalam sesebuah bilik darjah dalam kuantiti yang minimum, antara 20 hingga 25
orang murid.
Di samping itu, untuk menyelesaikan masalah bilangan pelajar yang terlalu ramai ini, pihak
sekolah juga boleh menetapkan dua sesi pembelajaran iaitu sesi pagi dan sesi petang. Ini bermakna,
jumlah murid yang terlalu ramai tadi akan dapat diminimumkan apabila berlakunya dua sesi
pembelajaran. Hal ini dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran murid berjalan dengan
lebih baik.

9.0 KESIMPULAN
Sebagai rumusannya, terdapat pelbagai teori, kaedah mahupun langkah dalam mengurus pembelajaran
yang dapat diaplikasikan. Oleh itu, terdapat pelaksanaan sekolah bestari yang mana merupakan
contoh dalam mewujudkan transformasi atau perubahan yang meliputi aspek kurikulum, sistem
penilaian, pentadbiran dan pengurusan pembelajaran. Kesan daripada transformasi ini ialah guru dapat
memainkan peranan yang penting dengan menyediakan diri dengan ciri-ciri guru bestari iaitu
meningkatkan keterampilan dari segi menyaring, memgadun, mengacu setiap perkara selari dengan
ketahanan anak bangsa, selaras dengan kehalusan budaya masyarakat dan menyumbang untuk terus
memperkukuh asas kewujudan kita.
Dengan ini, guru haruslah mengadaptasi pedagogi dalam pengajaran & pengajaran (P&P)
kerana ianya boleh memberi impak positif kepada para pelajar. Oleh itu, para pelajar dapat
menerapkan pengetahuan berasaskan teknologi sehingga boleh memupuk semangat kebangsaan yang
unggul di dalam jiwa masing-masing. Bukan itu sahaja, guru juga perlu mengambil berat terhadap
sistem pegurusan pembelajaran (LMS) yang banyak membantu dalam pengurusan pembelajaran
pelajar. Para guru harus mahir dalam multimedia bagi meyelaraskan ilmu pengetahuan dengan aliran
teknilogi yang makin pesat sekarang.
Oleh itu, guru perlu menginovasikan sistem pembelajarannya dengan menyusun, dan
mensepadukan ilmu dengan perkembangan semasa. Pada para pelajar juga perlulah dididik dengan
menggunakan daya fikiran yang tinggi. Pemikirannya perlu lebih kreatif, daya pemikiran yang
tinggi,dan minda konstruktif perlu terarah pada pandangan jauh. Guru perlu juga berpengetahuan
lebih bukan setakat hanya dalam kontek subjek yang di ajari, tetapi pada pengetahuan kemahiran.

10.0 PETA MINDA


11.0 RUJUKAN
Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman (2003). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Tanjung
Malim: Quantum Books.
Ainon Mohd & Abdullah Hassan. (2002). Guru Sebagai Pendorong dalam Bilik Darjah.
Pahang: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Akhiar Pardi & Shamsina Shamsudin (2010). Rancangan Pengajaran Harian. Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Aminah Ayob. (2005). Pembelajaran berasakan minda dan implikasinya kepada pendidikan.
Diperoleh daripada https://www.scribd.com/doc/49361228/Pembelajaran-Berasaskan-
Minda.
Chua Yock Chuan. (2001). Personaliti dan Motivasi Pelajar. Jurnal Pendidikan: PKPSM
Johor, (1). 61-64.
Fazilah Idris & Nur Atiqah Tang Abdullah (2004). Peningkatan Minda. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Gardner, H. (1998). A multiplicity of intelligences. Exploring intelligence, 9(4), 19-23.
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel (2014). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah
Laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Hasan Mohd. Ali (2007). Teknik Menjadi Pelajar Cemerlang. Selangor: PTS Millennia Sdn.
Bhd.
Kamariah Abdul Rahim & Siti Raihanni Selamat. (2014). Penerapan kecerdasan pelbagai
dalam pengajaran jenis-jenis ayat. Seminar Bahasa Melayu 2014, 323-329. Diperoleh
daripada http://www.malaylanguagecentre.moe.edu.sg/files/Paper_29.pdf.
Mohd. Daud Hamzah (1990). Dorongan dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mohd Fadzilah Kamsah & Muhammad Zakaria (2005). Petua Menjadi Peljar Cemerlang.
Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
Mohammed Zin Nordin & Mohd Taib Ariffin (2012). Kemahiran Komunikasi. Perak:
Emeritus Publications.
Mok Soon Sang (2009). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.
Bhd.
Mok Soon Sang (2012). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku (Edisi Ketiga). Puchong,
Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Northern Illinois University, Faculty Development and Instructional Design Center. (Tiada
tarikh). Howard Garders theory of multiple intelligences. Diperoleh daripada
http://www.niu.edu/facdev/resources/guide/learning/howard_gardner_theory_multiple
_intelligences.pdf
Rosnah Ishak (2013). Amalan Pembelajaran dalam Kalangan Guru Sekolah Berprestasi
Tinggi. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 1(2), 52-60.
Suppiah Nachiappan. Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Shukor Ramlah Jantan,
Roslinda Mustapha & Hazalizah Hamzah. (2012). Pembelajaran dan perkembangan
pelajar (Edisi kedua). Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai