Anda di halaman 1dari 17

Topik

Tingkah Laku Sosial

HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. Menghuraikan peranan penghargaan kendiri, konsep kendiri dan kasih sayang dalam membentuk imej kendiri yang sihat; 2. Menerangkan kepentingan remaja memelihara kehormatan diri; 3. Membincangkan dua isu tingkah laku sosial remaja iaitu delinkuen juvenil dan masalah psikologi; dan 4. Membincangkan kesan pengabaian dalam menjaga kehormatan diri remaja.

PENGENALAN

Mari kita mulakan Topik 7 ini yang berkisar tentang tingkah laku sosial. Secara spesifiknya, topik ini akan membincangkan tingkah laku sosial bagi remaja kerana isu ini menjadi perbualan pada setiap masa. Pembangunan yang pesat, perubahan sosioekonomi, demografi serta budaya menyebabkan remaja masa kini berhadapan dengan kehidupan yang amat berbeza daripada alam remaja kita pada suatu masa dahulu. Perubahan ini bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga dalam mendidik remaja malahan golongan remaja sendiri terpaksa belajar menyesuaikan diri. Pendidikan kemahiran sosial yang baik di rumah mahupun di sekolah tidak selalunya dapat membentuk semua remaja kita menjadi warga yang sempurna. Sebagai orang dewasa kita tidak sepatutnya menilai masalah sosial remaja pada konteks pengalaman zaman lampau kita sendiri. Kita hanya akan bersikap tidak adil kepada mereka dan mungkin menyebabkan mereka lebih memberontak. Memahami perkembangan zaman dan kaitannya dengan perubahan sosial remaja akan membantu kita memikirkan cara penyelesaian yang lebih baik. Oleh kerana itu, topik ini akan menerangkan peranan penghargaan kendiri, konsep

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

97

kendiri dan kasih sayang dalam membentuk imej kendiri yang sihat. Ini diikuti dengan penjelasan kepentingan remaja memelihara kehormatan diri dan isu-isu yang berkaitan dengan tingkah laku remaja. Akhir sekali, kita akan membincangkan kesan pengabaian dalam menjaga kehormatan diri remaja seperti kehamilan remaja dan kesannya. Diharapkan topik ini dapat membantu anda memahami tingkah laku sosial yang berlaku pada remaja di sekeliling anda. Selamat belajar.

7.1

IMEJ KENDIRI

Kita mulakan topik ini dengan imej kendiri. Tahukah anda penghargaan kendiri, konsep kendiri dan kasih sayang memainkan peranan dalam imej kendiri seseorang? Oleh itu, kita akan melihat dengan lebih lanjut ketiga-tiga komponen ini dengan lebih lanjut dalam sub-sub topik berikut.

7.1.1

Penghargaan Kendiri

Setiap individu dilahirkan sebagai insan istimewa. Namun, dalam proses sosialisasi sama ada dalam lingkungan keluarga sendiri atau masyarakat, pertumbuhan kendiri setiap individu adalah berbeza. Oleh kerana itu, ada antara kita akan membesar dengan imej kendiri yang positif, manakala ada pula yang negatif. Penghargaan diri membawa pengertian yang luas. Penghargaan diri memainkan peranan dalam menentukan keterampilan diri. Penghargaan diri boleh dianggap sebagai tunjang kepada kesihatan fizikal, mental, sosial, emosi dan rohani. Ini adalah berdasarkan definisi kesihatan yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kesihatan bukan sekadar tiada penyakit tetapi kesihatan yang menyeluruh termasuk fizikal, mental, sosial, emosi dan rohani. Bagi ahli psikologi dan falsafah Amerika bernama William James (1890), beliau menerangkan penghargaan diri sebagai persepsi mental seseorang tentang kualiti dirinya dan bukan ciri-ciri fizikalnya. Nathaniel Branden (1969) pula melihat harga diri sebagai pengalaman kemahiran yang membantu gaya tindak balas seseorang terhadap cabaran-cabaran asas dalam kehidupan. Mari kita lihat dari sudut pandangan Maslow pula mengenai harga diri. Maslow menjelaskan harga diri sebagai keinginan untuk dihormati oleh orang lain dan rasa menghormati diri sendiri. Harga diri menurut pendapat Maslow memerlukan kemahiran, keyakinan diri, penguasaan, pencapaian, berdikari dan kebebasan.

98 X

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

Bagaimanakah rasa dihormati daripada orang lain diperoleh? Rasa dihormati oleh orang lain diperoleh dari segi pengiktirafan, penerimaan, status dan penghargaan. Tanpa perasaan ini Maslow menganggap seseorang itu tidak bersemangat, lemah dan berasa rendah diri. Dalam konteks tingkah laku sosial, harga diri menjadi faktor penentu sama ada seseorang akan memilih untuk melibatkan diri dalam perlakuan sosial yang baik atau sebaliknya. Mereka yang memiliki harga diri yang positif dilihat lebih berjaya sama ada dalam kehidupan berkeluarga, bersosial mahupun dalam kerjaya. Sebaliknya bagi mereka yang mempunyai harga diri yang rendah, mereka lebih cenderung berasa tidak mampu untuk berjaya, tidak disukai dan antisosial. Mereka juga sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial yang negatif seperti penagihan dadah dan keganasan.

7.1.2

Konsep Kendiri

Bagaimana pula dengan konsep kendiri? Pertama sekali, tahukah anda apakah maksud kendiri? Kendiri merujuk kepada diri atau empunya diri. Bagi konsep kendiri, ia merujuk kepada cara mana seseorang membuat tanggapan terhadap dirinya. Sebagai contoh: Saya orang yang baik dan Saya pandai memasak. Bagi Carl Rogers (1947), beliau menjelaskan kendiri sebagai produk sosial yang dibangunkan hasil daripada hubungan interpersonal dan usaha seseorang untuk sentiasa konsisten. Sebagai produk sosial (hasil proses sosialisasi), konsep kendiri dipelajari daripada pengalaman yang berulang dan berterusan. Harus diingat bahawa kita tidak dilahirkan dengan konsep kendiri. Kita mempelajari kemahiran sosial sama seperti kita belajar kemahiran menggunakan anggota fizikal kita. Pembelajaran sosial kita bermula dari rumah lagi. Apabila seseorang kanak-kanak didedahkan kepada masyarakat umum, dia akan mula belajar perlakuan sosial yang baharu atau sekadar memperkukuhkan pembelajaran sosial yang dipelajari dalam keluarga. Contohnya, bersalam dengan orang yang lebih tua. Dalam erti kata lain, kita boleh simpulkan bahawa konsep kendiri merupakan hasil pembelajaran kita terhadap sesuatu perkara. Pembelajaran berlaku pada setiap ruang masa dan lingkungan secara berterusan. Namun begitu, individu akan cuba mempertahankan konsep kendirinya jika dia berasa pembelajaran sosial yang baharu adalah bertentangan. Jika pengalaman sosial yang baharu adalah sesuatu yang menguntungkan, maka pengalaman ini akan diterapkan ke dalam

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

99

kendiri untuk memperkukuhkan konsep kendiri yang sedia ada. Misalnya cara berkomunikasi yang lebih positif. Terdapat keluarga yang kurang mahir dalam mendidik anak dengan cara berkomunikasi secara positif. Namun pengalaman baharu dari sekolah atau institusi lain tentang cara berkomunikasi positif akan ditambah dalam konsep kendiri seseorang. Anda tentu sedar bahawa konsep kendiri yang baik atau melihat diri secara positif akan melahirkan individu yang berperibadi positif. Didikan nilai moral positif oleh institusi keluarga, masyarakat, sekolah dan agama boleh membentuk konsep kendiri yang positif. Namun begitu, konsep kendiri positif yang dipupuk semasa zaman kanak-kanak akan berhadapan dengan pelbagai cabaran sosial yang negatif seperti isu seksualiti, rokok, alkohol, dadah, jenayah dan lain-lain. Jadi, apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu mengurangkan masalah ini? Bagaimanakah kita boleh membantu kanak-kanak supaya mampu mengekalkan status konsep kendiri positif mereka? Terdapat beberapa agensi kerajaan dan swasta yang boleh membantu golongan kanak-kanak dan remaja memperkukuhkan konsep kendiri mereka. Antaranya ialah Jabatan Pelajaran, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Agensi Antidadah Kebangsaan dan sebagainya. Agensi-agensi ini ada merangka beberapa program yang dapat membantu kanak-kanak dan remaja memperkukuhkan konsep kendiri mereka. Selain itu, program seperti kem jati diri, motivasi, gaya hidup sihat, PINTAR, PROSTAR dan Doktor Muda juga diadakan agar dapat memperkukuhkan konsep kendiri seseorang. Misalnya, program PROSTAR (Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja) diwujudkan untuk membantu remaja membentuk imej kendiri dari aspek kesihatan yang baik supaya remaja mampu mencapai tahap kesihatan yang optima. Program PINTAR (Program Intelek Asuhan Rohani) pula oleh Agensi Antidadah Kebangsaan pula adalah untuk memberi input melalui aktiviti yang dirancang agar mampu memperkukuhkan konsep kendiri positif mereka. Ini adalah supaya mereka mampu mengatakan TIDAK kepada dadah.

7.1.3

Kasih Sayang

Anda tentu bersetuju bahawa kasih sayang adalah ungkapan yang istimewa dalam kehidupan bersosial manusia. Tidak akan indah sebuah lagu jika tanpa ungkapan kasih sayang. Tidak akan lengkap sebuah drama jika tanpa episod kasih sayang. Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan kasih sayang? Apakah kepentingan kasih sayang kepada tingkah laku sosial manusia? Bagaimana kita memupuk kasih sayang agar ia berkekalan?

100 X

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

Kesihatan sosial yang baik diperoleh jika kita memastikan mental dan emosi kita sihat. Aspek kesihatan ini saling berhubung kait. Jika emosi tidak sihat, mental juga tidak sihat dan keadaan ini akan turut mempengaruhi perkembangan fizikal dan sosial seseorang. Kasih sayang adalah perasaan yang membentuk emosi kita. Perasaan ini adalah inti pati yang penting dalam membentuk individu, keluarga dan masyarakat yang sihat secara menyeluruh. Kita dilahirkan atas dasar perasaan kasih dan sayang yang wujud dalam jiwa seorang lelaki dan wanita. Jadi, mengapakah kasih sayang penting dalam kehidupan sosial? Kita telah memahami daripada topik harga diri dan konsep kendiri bahawa kita adalah hasil proses sosialisasi. Salah satu inti pati proses sosialisasi ialah pengajaran dan pembelajaran kognitif dan kemahiran berkasih sayang. Sedarkah anda bahawa kita telah ditunjukkan perasaan dan kemahiran berkasih sayang semenjak usia bayi lagi? Si ibu mempamerkan perasaan kasih dan sayang terhadap anaknya dengan cara mencium, memeluk, menyusu dan memelihara bayinya dengan sebaik mungkin. Apabila anak ini membesar, dia akan diajar bersalaman dan mencium abang atau kakaknya (jika dia mempunyai abang atau kakak). Pengalaman pembelajaran ini adalah proses sosialisasi berkasih sayang yang diperturunkan oleh keluarga kepada seorang anak. Perasaan dan kemahiran ini akan diteruskan oleh anggota masyarakat yang lain dan juga dipelajari secara formal di sekolah. Perasaan dikasihi dan disayangi serta kemahiran mengasihi dan menyayangi dikaitkan dengan harga diri dan konsep kendiri yang positif. Perasaan ini akan membantu setiap individu untuk sentiasa sihat dari segi mental dan sosial. Perasaan saling mengasihi dan menyayangi akan menjauhkan masyarakat daripada pelbagai aspek sosial yang negatif seperti berprasangka buruk, tuduh menuduh, perasaan mengkhianati dan lain-lain. Malah, perasaan kasih sayang juga akan membentuk masyarakat yang sihat. Masalah delinkuen remaja dan sosial negatif orang dewasa dilihat berpunca daripada kurang perasaan kasih sayang terhadap diri sendiri dan masyarakat. Sebagai contoh, isu buli dalam kalangan remaja atau pelajar sekolah. Ia dianggap sebagai kekurangan kemahiran dalam menunjukkan kasih sayang kepada rakan sebaya. Kegagalan ibu bapa menunjukkan kasih sayang yang positif kepada anak turut menjadi punca masalah ini. Tahukah anda bahawa kasih sayang dalam konteks keluarga meliputi juga aspek penjagaan? Jika aspek ini lemah, anak tidak dapat mempelajari sepenuhnya kemahiran berkasih sayang daripada ibu bapanya. Kekurangan ini akan

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

W 101

ditonjolkan oleh beliau dalam tingkah laku sosialnya yang negatif seperti vandalisme dan sebagainya. Oleh itu, anda tentu setuju bahawa ibu bapa merupakan model terbaik untuk mempamerkan kemahiran berkasih sayang bagi rujukan anak-anaknya.

AKTIVITI 7.1
1. Apakah peranan keluarga dalam pembentukan harga diri, konsep kendiri dan kemahiran berkasih sayang? 2. Apakah kesan sosial jika seseorang memiliki harga diri dan konsep kendiri yang rendah?

7.2

TINGKAH LAKU REMAJA

Sekarang mari kita fokus kepada tingkah laku remaja. Kita tentu sedar bahawa remaja perlu menjaga kehormatan dirinya. Oleh itu, kita akan membincangkan kepentingan memelihara kehormatan diri bagi remaja dalam subtopik berikutnya. Selain itu, kita sedar bahawa masa remaja adalah masa bagi remaja tersebut mencari identitinya. Oleh itu, beliau mudah dipengaruhi kerana masih mentah dan belum matang dalam pemikirannya. Jika remaja tersebut mendapat pengaruh yang kurang sihat atau kurang baik, dia mudah terjebak dalam masalah delinkuen juvenil dan masalah psikologi. Kita akan melihat dua masalah ini dengan lebih lanjut selepas mempelajari kepentingan memelihara kehormatan diri.

7.2.1

Kepentingan Memelihara Kehormatan Diri

Sebelum kita melihat kepentingan memelihara kehormatan diri, mari kita pelajari dahulu apakah kategori umur bagi remaja. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan remaja sebagai mereka yang berumur di antara 10 hingga 19 tahun. Bagaimana pula dengan istilah keremajaan? Keremajaan adalah masa peralihan dari zaman kanak-kanak kepada zaman kedewasaan. Keremajaan dicirikan dengan pelbagai perubahan fizikal, mental, emosi dan sosial. Zaman remaja berkembang sebagai fenomena fizikal, budaya dan sosial. Ia juga merupakan proses pertumbuhan normal bagi manusia. Fasa akil baligh merangsang pengeluaran hormon yang mendorong perubahan fizikal dan emosi

102 X

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

remaja. Perubahan emosi ini akan mempengaruhi tingkah laku sosial remaja. Kadang kala perubahan ini memperlihatkan kecenderungan mereka untuk melepaskan diri daripada kongkongan keluarga dan peraturan. Remaja akan lebih tertarik kepada pengaruh rakan sebaya. Mereka dikaitkan dengan ciri suka mengambil risiko seperti mencuba sesuatu yang mencabar kemampuan mereka, dan mencabar peraturan dan norma sosial masyarakat. Contohnya pengambilan dadah, amalan seks tidak selamat dan memandu tanpa lesen, berpesta tanpa sempadan dan sebagainya. Tarikan yang kuat ke arah perlakuan negatif atau suka mengambil risiko boleh menyebabkan remaja hilang kehormatan diri. Kita harus peka bahawa memelihara kehormatan diri berkait rapat dengan harga diri dan konsep kendiri kita. Oleh itu remaja perlu memiliki kemahiran memelihara kehormatan diri. Kemahiran memelihara kehormatan diri memerlukan remaja tersebut mempunyai emosi dan mental yang stabil di samping pengetahuan yang lengkap dan betul. Misalnya jika seseorang mempunyai pengetahuan yang baik tentang kesan penyalahgunaan dadah, dia tidak akan terjebak ke dalam kancah tersebut kerana telah memahami implikasi penyalahgunaan dadah. Selain itu, bagi seseorang yang mempunyai harga diri dan konsep kendiri, dia tidak akan mudah terpengaruh. Dia diumpamakan seperti memiliki jaring dalam dirinya yang mampu mempertahan dirinya daripada dibolosi anasir sosial yang negatif. Tetapi bagi remaja yang rendah harga diri serta konsep kendirinya, dia akan mempunyai kurang kemahiran memelihara kehormatan diri. Oleh kerana itu dia dikatakan mudah terpengaruh. Dia juga boleh dikaitkan dengan aspek kerohanian yang lemah. Akibatnya remaja tersebut mudah terjerumus dengan aktiviti yang tidak sihat.

7.2.2

Delinkuen Juvenil

Sekarang kita beralih pula ke isu delinkuen juvenil. Pernahkah anda mendengar istilah ini? Tahukah anda bahawa perlakuan delinkuen juvenil adalah antara isu tingkah laku sosial? Ia semakin menular dalam masyarakat kerana sejak akhirakhir ini kita dikejutkan dengan kes buli, pecah rumah, mencuri, melacur, malah kes membunuh dalam kalangan remaja bawah umur. Masalah sosial ini bukan sahaja melanda negara kita tetapi juga merupakan masalah global. Mengapakah perkara ini berlaku? Di manakah silapnya kita, keluarga, agama, masyarakat dan peraturan sehingga wujudnya kelompok yang melihat delinkuen ini sebagai gaya hidup mereka? Jadi, apakah yang anda faham tentang delinkuen juvenil? Bolehkah anda memberikan definisinya?

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

W 103

Delinkuen juvenil merujuk kepada salah perlakuan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang dilakukan oleh mereka yang di bawah umur.

Di negara kita, bawah umur merujuk kepada mereka yang berada di bawah usia 18 tahun. Mengapakah berlakunya masalah delinkuen juvenil ini? Banyak faktor yang boleh mendorong perlakuan salah ini berlaku. Antara yang sering dibincangkan ialah: Kegagalan sistem keluarga atau kelemahan kemahiran keibubapaan. Kekurangan sokongan dan campur tangan masyarakat. Tarikan keseronokan di luar yang lebih kuat. Kurang daya kawalan diri akibat harga diri dan konsep kendiri yang lemah. Kurang didikan kerohanian yang dapat memperkukuhkan keimanan seseorang.

Kita menyedari bahawa keluarga merupakan institusi paling asas yang terlibat dalam memberikan pengalaman awal kepada seorang kanak-kanak. Ahli keluarga khasnya ibu bapa memainkan peranan dalam membentuk kemahiran mengawal diri. Kemahiran mengawal diri memerlukan kefahaman terhadap nilai sosial baik di samping perkara yang salah dan betul di sisi peraturan mahupun undang-undang. Gaya keibubapaan yang baik akan menjadi teladan dan ikutan anak-anaknya. Secara tidak langsung mereka telah menurunkan atau mewariskan nilai-nilai murni ini kepada anak-anaknya. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu menjadi model yang terbaik untuk anak-anak mereka. Namun, berapa ramaikah antara kita yang memiliki kemahiran keibubapaan ini? Jika kita mempunyai kemahiran ini, adakah kita mempraktikkannya di kalangan anak-anak kita? Bagaimana dengan fungsi keibubapaan yang tidak kesampaian? Misalnya dalam kes ibu tunggal. Ibu tunggal yang bekerja akan kurang mempunyai masa terluang dan kesuntukan masa untuk menurunkan nilai-nilai ini kepada anakanak.

104 X

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

Bagaimana pula dengan tanggungjawab seorang bapa? Keadaan akan menjadi lebih buruk jika perkara ini berlaku dalam sistem keluarga nuklear. Selain itu sokongan daripada ahli keluarga yang lain juga adalah kurang. Perkara beginilah yang dilihat sebagai penyumbang kepada masalah delinkuen juvenil dalam masyarakat hari ini. Anda mungkin bersetuju jika dikatakan pada masa sekarang, sikap tidak suka menjaga tepi kain orang juga turut menyumbang kepada masalah ini. Kita sememangnya hidup berkelompok tetapi saling dipisahkan oleh tembok batu dan besi. Maka, ciri-ciri individualistik pun menjadi lebih ketara. Malah, tidak dinafikan bahawa kita kadang kala kita enggan menegur salah laku anak jiran kerana tidak mahu sebarang konflik timbul atau tidak mahu ambil pusing kerana itu anak orang lain dan dia bukanlah tanggungjawab kita. Adakah anda bersetuju jika sekarang ini kita jarang berkongsi nilai-nilai baik sosial seperti mana masyarakat dahulu? Budaya saling bertegur sapa, bantu membantu, mesra serta prihatin terpaksa disarankan oleh kerajaan kerana kemerosotannya dalam gaya hidup masyarakat kini. Dunia luar ibarat lorong, tempat hiburan dan mana-mana lubuk untuk remaja melepak kerana ia menjanjikan keseronokan yang lebih baik. Ditambah pula dengan tarikan pengaruh rakan yang senasib dengan mereka. Perlakuan delinkuen diperlihatkan sebagai satu identiti untuk kumpulan mereka dan satu cara remaja melepaskan keinginan serta tekanan yang dihadapi oleh mereka. Ketagihan keseronokan dapat mengatasi dan menghakis pengetahuan dan kemahiran hidup positif yang lain apabila kumpulan ini berkumpul. Kurang kemahiran mengawal diri yang berpunca daripada harga diri dan konsep kendiri yang lemah juga turut menyumbang kepada perlakuan delinkuen ini. Mari kita imbas kembali bagaimana perlakuan remaja yang mempunyai harga diri serta konsep kendiri yang negatif. Cuba anda senaraikan kesannya? Kesannya mereka sering terlibat dengan aktiviti antisosial yang bertentangan dengan nilai baik sosial, agama, peraturan atau undang-undang.

7.2.3

Masalah Psikologi Remaja

Kita telah mempelajari bahawa zaman remaja adalah zaman perubahan fizikal, mental, sosial dan emosi. Perubahan ini seterusnya akan mempengaruhi psikologi remaja. Perubahan ini adalah proses normal yang didorong oleh hormon dan proses sosialisasi yang diperkenalkan oleh keluarga dan masyarakat. Malah perubahan ini akan dipancarkan dalam perlakuan yang prososial ataupun antisosial. Ini adalah kerana remaja mampu berfikir secara lebih abstrak.

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

W 105

Cara pemikiran ini akan menyebabkan mereka menganggap nasihat keluarga sebagai tidak sealiran dengan generasi mereka. Malah sokongan emosi yang lebih daripada rakan sebaya akan menyebabkan mereka lebih tertarik kepada gaya hidup rakan sebaya. Ini menjadikan mereka ingin hidup berdikari dan enggan terlalu bergantung kepada keluarga. Mereka juga akan mengalami isu identiti psikologi di mana mereka akan mula mencari identiti mereka sendiri. Bagi mereka, ibu bapa bukan lagi model peranan (role model) sanjungan mereka. Remaja akan cenderung mengaitkan diri mereka dengan idola kesukaan mereka sama ada penyanyi, bintang filem atau ahli sukan. Malah mereka juga akan mula meneroka keinginan seksualiti sendiri. Perubahan psikologi ini turut mempengaruhi perlakuan yang kurang berhatihati atau lebih cenderung untuk mencuba sesuatu yang berisiko seperti penyalahgunaan dadah. Perlakuan antisosial lain seperti vandalisme adalah antara hasil konflik psikologi zaman remaja yang melihat peraturan sebagai sesuatu yang menyekat dan bertentangan dengan keinginan bebas mereka. Peranan yang diletakkan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat turut mempengaruhi perubahan psikologi remaja. Ibu bapa sudah pasti mahukan anak-anak mereka menjadi orang yang berjaya. Malah, terdapat juga ibu bapa yang telah mencadangkan jenis kerjaya anak mereka dari awal. Begitu juga ahli masyarakat yang mengharapkan remaja membesar untuk menggantikan mereka dalam memikul tanggungjawab sebagai orang dewasa. Ini boleh menyebabkan remaja tertekan dan terdesak untuk mencari ketenangan di luar. Keadaan ini mendorong remaja terjebak kepada masalah lari dari rumah atau keseronokan palsu yang melampau seperti pengambilan pil khayal.

AKTIVITI 7.2
Apakah perubahan emosi yang dialami oleh remaja? Mengapakah perubahan emosi ini berlaku? Apakah kesannya jika perubahan emosi tidak ditangani dengan baik? Terangkan.

106 X

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

7.3

SEKSUALITI SEMASA KANAK-KANAK DAN REMAJA

Sekarang mari kita bincangkan seksualiti semasa kanak-kanak dan remaja. Terdapat beberapa isu yang berkaitan dengan seksualiti semasa kanak-kanak dan remaja seperti pregenital dan genital, kesan daripada pengabaian menjaga kehormatan diri, dan kehamilan remaja dan risikonya. Mari kita lihat ketiga-tiga isu ini dengan lebih lanjut dalam sub-subtopik berikutnya.

7.3.1

Pregenital dan Genital

Tahukah anda perkembangan seksualiti kanak-kanak dan remaja menjadi bahan kajian sejak dahulu lagi? Antara rujukan yang terkenal bagi perkara ini ialah perkembangan psikoseksual berdasarkan Model Sigmund Freud. Model ini membahagikan perkembangan psikoseksual kepada lima fasa seperti yang digambarkan dalam Rajah 7.1.

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

W 107

Rajah 7.1: Fasa-fasa dalam perkembangan psikoseksual (Model Sigmund Freud)

Namun, tidak semua fasa dari model Freud ini ada kebenarannya. Ini adalah kerana perkembangan seksualiti dalam sesuatu masyarakat turut dipengaruhi oleh budaya dan norma masyarakat setempat. Dalam masyarakat yang dikongkong oleh adat kesopanan, mereka mengharapkan remaja dapat menunjukkan perkembangan seksualiti mereka berdasarkan nilai budaya setempat. Kita mungkin menyedari bahawa isu

108 X

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

seksualiti adalah taboo atau dilarang dalam masyarakat walaupun di zaman serba moden ini. Akibatnya, masyarakat kita jarang membincangkan isu seksualiti secara terbuka. Oleh kerana itu, pembelajaran seksualiti bagi remaja banyak dirujuk dan dipelajari daripada kawan atau sumber lain seperti Internet.

7.3.2

Kesan daripada Pengabaian Menjaga Kehormatan Diri

Isu kedua bagi seksualiti semasa kanak-kanak dan remaja ialah kesan daripada pengabaian menjaga kehormatan diri. Anda tentu setuju bahawa penjagaan kehormatan diri berkait rapat dengan kesihatan menyeluruh fizikal, mental, sosial, emosi dan kerohanian. Bagaimana jika kehormatan diri tidak dijaga dengan baik? Apakah kesannya terhadap kesihatan kita? Masalah HIV/AIDS adalah salah satu contoh yang berkait rapat dengan isu pengabaian menjaga kehormatan diri.

Sumber: UNAIDS dan Malaysian AIDS Council

Seperti yang kita sedia maklum, penyakit ini belum dapat diubat dan tidak ada vaksin untuk mencegahnya. Bayangkan kesannya ke atas kehidupan mangsa, keluarga mereka, sistem kesihatan negara dan negara kita secara amnya. Di negara kita, masalah kesihatan ini dikaitkan dengan penagihan dadah kerana lebih separuh mangsa jangkitan HIV terdiri daripada penagih dadah. Mengapakah ini berlaku? Kegagalan menjaga kehormatan diri menyebabkan mereka terjebak dengan masalah dadah dan akhirnya dijangkiti HIV. Selain itu, perlakuan seks bebas adalah antara pengabaian dalam menjaga kehormatan diri yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan fizikal, mental, emosi dan sosial terutamanya bagi golongan remaja. Perlakuan seks bebas ini bukan sahaja mendedah mereka kepada jangkitan penyakit kelamin tetapi juga risiko kehamilan remaja.

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

W 109

Pengabaian penjagaan kehormatan diri boleh menyebabkan status kesihatan fizikal merosot. Misalnya, jangkitan HIV atau penyakit kelamin yang lain seperti sifilis. Emosi juga akan terganggu kerana perasaan aib yang terpaksa ditanggung. Ahli keluarga mangsa juga akan menanggung malu kerana kerap dipandang serong dan menjadi bahan bualan. Keadaan ini menyebabkan gangguan emosi dan mental. Selain itu, kesejahteraan sosial juga turut terganggu apabila wujudnya rasa malu dan rendah diri apabila berdepan dengan masyarakat. Gangguan emosi dan mental ini akan menjadi lebih ketara bagi remaja perempuan yang terlibat dalam seks sebelum kahwin atau seks bebas yang tidak selamat. Mereka sebenarnya belum bersedia secara fizikal, mental mahupun emosi untuk menghadapi implikasi buruk yang bakal menimpa mereka. Mereka tidak memikirkan risiko jangka panjang dan sanggup mengorbankan harga diri mereka demi keseronokan dan kenikmatan yang sementara. Keadaan ini membawa kepada isu kesihatan dan sosial yang lebih buruk seperti pengguguran bayi secara haram yang boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi, malah struktur masyarakat juga akan turut terjejas.

7.3.3

Kehamilan Remaja dan Risiko Kehamilan Remaja

Sebagai penutup, mari kita bincangkan satu isu yang sangat serius iaitu kehamilan remaja dan risikonya. Pertama sekali, mari kita ketahui dahulu apakah yang dimaksudkan dengan kehamilan remaja. Kehamilan remaja merujuk kepada kehamilan dalam kalangan mereka yang masih di bawah umur.

Di negara kita, kehamilan remaja adalah kehamilan dalam kalangan mereka yang di bawah usia 18 tahun. Tahukah anda bahawa kehamilan remaja juga sering dirujuk sebagai kanak-kanak yang mengandungkan kanak-kanak? Pernahkah anda mendengarnya?

110 X

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

Banyak perbincangan dan perdebatan tentang kehamilan remaja diperkatakan dalam kalangan masyarakat dan media. Anda tentu menyedari bahawa masalah ini bukan hanya berlaku di negara kita sahaja, malah di seluruh dunia. Terdapat juga remaja yang berkahwin pada usia muda. Namun kebanyakan kes yang berlaku adalah mereka hamil hasil daripada hubungan seks sebelum kahwin. Walaupun implikasi kesihatan fizikal sama sahaja bagi kedua-dua kumpulan ini, tetapi remaja yang hamil setelah nikah mempunyai tahap emosi dan mental yang lebih baik berbanding dengan kumpulan yang hamil sebelum nikah. Anda tentu setuju bukan? Tahukah anda bahawa remaja yang hamil dan bersalin akan mengalami implikasi kesihatan yang lebih teruk berbanding orang dewasa? Ini adalah kerana pada usia remaja, kebanyakan organ dan sel-sel tubuh sedang membesar dan belum cukup matang. Perubahan kepada organ yang sedang membesar seperti uterus akan mengganggu proses kematangannya. Oleh kerana itu remaja akan mendapat komplikasi kehamilan yang lebih tinggi berbanding orang dewasa. Mereka mungkin akan mengalami keguguran atau tumpah darah semasa melahirkan anak. Bagi remaja yang cuba menyembunyikan kehamilan mereka pula, kemungkinan mereka tidak akan mendapat pemakanan yang seimbang dan pemeriksaan yang sepatutnya bagi ibu hamil. Ini akan mendedahkan mereka kepada masalah darah tinggi atau kencing manis. Mereka juga berkemungkinan cenderung untuk menggugurkan kandungan mereka yang boleh menyebabkan kecederaan teruk kepada organ reproduktif mereka. Malah, jika jangkitan kuman berlaku atau mereka kehilangan banyak darah, ia boleh membawa maut. Dari segi mental dan emosi, sudah semestinya remaja tersebut belum bersedia untuk menempuh tempoh kehamilan yang mungkin mengundang beberapa masalah kehamilan. Sudah tentu juga mereka tidak bersedia untuk menghadapi proses kelahiran bayi kerana tiada pengalaman dan pengetahuan. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika pasangannya enggan bertanggungjawab. Ini akan menyebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan kemarahan ibu bapa dan cemuhan masyarakat. Selepas melahirkan bayi, mereka terpaksa menjaga bayi tersebut walaupun dalam keadaan tidak bersedia dan serba kekurangan dari aspek pengetahuan

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

W 111

dan kemahiran. Perkara ini akan menambahkan tekanan perasaan yang menjejaskan kesihatan mental mereka. Bagi remaja yang terpaksa menyerah bayi kepada orang lain sebagai anak angkat, perasaan keibuan yang penuh kekesalan akan tetap menghantui mereka. Bagi remaja hamil yang berkahwin, mereka lebih bernasib baik kerana mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan daripada suami dan keluarga. Perkembangan sosial remaja yang hamil turut terjejas. Mereka terpaksa menanggung peranan ibu dan isteri pada usia muda. Bagi yang masih bersekolah, mereka terpaksa menghentikan pengajian. Pembelajaran formal mereka akhirnya terbengkalai pada usia remaja. Ini adalah sesuatu yang merugikan kerana mereka seharusnya menggunakan masa remaja mereka untuk menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman. Kehidupan bersosial juga terbatas apabila memikul tanggungjawab sebagai ibu remaja. Bagi remaja yang cuba menyembunyikan kehamilan dan tidak bersedia untuk menerima kehadiran bayi mereka, kadang kala mereka sanggup bertindak di luar batasan dengan membuang atau membunuh bayi tersebut. Ini sudah semestinya satu masalah yang sangat berat dan serius kerana ia boleh membawa kepada implikasi agama, moral dan undang-undang.

SEMAK KENDIRI 7.1


1. Jelaskan kesan pengabaian menjaga kehormatan diri dalam kalangan remaja. 2. Apakah implikasi kesihatan fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani akibat kehamilan pada usia remaja?

Imej kendiri yang positif dipelajari melalui proses sosialisasi oleh keluarga dan masyarakat. Harga diri, konsep kendiri yang positif serta hidup berkasih sayang membantu seseorang berkembang sebagai orang yang berjaya. Memelihara kehormatan diri berkait rapat dengan harga diri dan konsep kendiri. Remaja perlu memiliki kemahiran memelihara kehormatan diri agar tidak mudah terpengaruh.

112 X

TOPIK 7

TINGKAH LAKU SOSIAL

Harga diri dan konsep kendiri yang rendah menyebabkan seseorang cenderung untuk tidak menjaga kehormatan diri dan mudah terdedah kepada perlakuan delinkuen juvenil dan masalah psikologi. Delinkuen juvenil merujuk kepada salah perlakuan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang dilakukan oleh mereka yang di bawah umur. Perubahan psikologi semasa remaja banyak mempengaruhi perlakuan remaja khasnya yang berkaitan dengan perkembangan sosial. Kekurangan kemahiran menjaga kehormatan diri boleh menyebabkan masalah ketagihan dadah dan kehamilan remaja. Masalah kehamilan remaja boleh membawa pelbagai implikasi kesihatan fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani.

Delinkuen juvenil Imej kendiri Kehamilan remaja Kehormatan diri Konsep kendiri Penghargaan diri Perkembangan psikologi

Perkembangan psikoseksual Perkembangan seksualiti pragenital dan genital Proses pembelajaran Proses sosialisasi Tingkah laku remaja

Malaysian AIDS Council. (2011). HIV statistics. Dicapai pada Oktober, 22, 2012 dari http://www.mac.org.my/v3/?page_id=792 Rogers, D. (1981). Adolescents and youth. New Jersey: Prentice-Hall Inc. UNAIDS (n. d.). AIDSinfo. Dicapai pada Oktober, 22, 2012 dari http://www. unaids.org/en/dataanalysis/datatools/aidsinfo/ Zaleha Kamaruddin, & Raihanah Abdullah. (2002). Kamus istilah undangundang keluarga Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions.

Anda mungkin juga menyukai