Anda di halaman 1dari 16

ISU BULI DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH

Berdasarkan kepada era remaja masa kini, kita dapati banyak berlaku isu-isu yang semakin
meruncing dan membimbangkan seperti gejala buli di kalangan pelajar sekolah ini.
2.0 Definisi Buli
Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk
menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung mejadikan mereka yang lemah
mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Ada maksud lain yang menyatakan bahawa buli
bermaksud tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang dilakukan
secara berulang kali ke atas mangsa dan ia bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, aman,
tenteram dan harmoni. Secara keseluruhannya, perbuatan membuli merupakan perbuatan yang
tidak baik serta boleh membuatkan orang lain boleh menjadi mangsa serta boleh mendatangkan
ketidak selesaan kepada orang lain.

2.1 Kategori buli


Pembuli terdiri daripada pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat, lima dan enam. Pembuli
juga memiliki tubuh badan yang besar, tegap dan tinggi. Ia biasanya melibatkan sekumpulan
pelajar dan pada kebiasaannya umur mereka adalah sebaya. Bagi mereka, membuli adalah satu
cara untuk menghilangkan perasaan bosan di sekolah. Kejayaan mereka membuli pelajar junior
akan menunjukkan mereka kuat, berkuasa dan tidak mudah digertak.
Di Malaysia, pelajar-pelajar yang sering menjadi mangsa buli adalah pelajar menengah
rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga serta pelajar sekolah rendah. Mereka yang dibuli ini
memiliki tubuh badan yang kecil dan tidak pandai melawan apabila di buli. Sasaran pembuli juga
biasanya adalah mereka yang kerap dipuji oleh guru. Begitu juga bagi murid baru di sekolah
tersebut.

2.2 Sebab-sebab Berlakunya Gejala buli


Sebenarnya terdapat banyak sebab kenapa mereka suka membuli. Diantaranya adalah disebabkan
faktor rakan sebaya yang mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah tigkah laku pelajar.
Individu yang membuli ini mungkin ingin memperlihatkan rasa tidak puas hati mereka. Mereka
juga mungkin pernah menjadi mangsa buli. Disebabkan itu mereka ingin membalas dendam
dengan cara membuli orang lain.Mereka juga mungkin mengalami gangguan personaliti seperti
antisosial golongan yang tidak pernah berasa bersalah apabila membuat kesilapan.
Selain itu, individu yang gagal mengendalikan emosi dengan baik seperti kanak-kanak
hyperactive atau cergas yang melampau yang sering bersikap tidak pernah mengambil peduli
perasaan orang lain juga sering membuli. Ada juga pembuli ini terdiri daripada orang yang tidak
berjaya dalam pelajaran, nakal dan mempunyai masalah disiplin. Diantara sebab lain juga adalah
akibat perceraian antara ibu bapa yang akhirnya membawa mereka bersikap sebagai seorang
pembuli.
Ada juga diantara pembuli adalah mereka yang terlalu dimanja oleh ibu bapa . oleh itu
mereka akan bertindak membuli orang lain dan ianya dilakukan hanya untuk suka-suka. Dan
sekadar mahu berseronok sahaja. Selain itu, ada juga yang menjadi pembuli disebabkan oleh rasa
bosan dengan sekolah dan untuk menghilangkan perasaan bosan tersebuat, mereka akan membuli
pelajar lain.
Terdapat juga pembuli ini adalah mereka yang mempunyai dendam dan perasaan marah
pada orang yang dibuli disebabkan cemburu contohnya mangsa adalah murid kesayangan guru.
Disebabkan rasa iri hati pada murid tersebut, maka buli adalah satu cara untuk membalas
dendam. Selain itu, ada juga pembuli yang ingin menunjukkan kekuatan sendiri.
Faktor teknologi juga adalah penyumbang kepada gejala ini. Ini adalah kerana, peranan
media massa dan cetak yang memaparkan aksi, pertuturan dan tingkah laku yang ditayangkan di
media elektronik dan cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi role
model bagi golongan remaja.
Selain itu, terdapat juag pembuli yang terdiri daripada perempuan. Biarpun peratusannya
agak sedikit, namun perkara tersebut mampu mendorong kepada perbuatan yang serius jika tidak
dibendung. Buli di kalangan perempuan biasanya melibatkan ejekan dari segi fizikal. Contohnya,
jika terdapat pelajar perempuan yang berbadan gemuk dan berkulit gelap, mereka akan menjadi
mangsa untuk dijadikan bahan ejekan. Walaupu begitu, kes buli di kalangan perempuan tidak
terlalu ganas berbanding pelajar lelaki.
2.3 Jenis-jenis buli
Buli merupakan gejala yang mengancam kesihatan dan perkembangan pelajar. Terdapat
beberapa jenis buli yang biasanya terjadi di kalangan pelajar sekolah. Di antaranya adalah buli
berbentuk fizikal. Buli jenis ini melibatkan pukul-memukul, memeras ugut, menampar,
menendang,menarik rambut,menolak, mencubit atau sepak terajang hingga menyebabkan
kecederaan. Lebih teruk lagi sehingga menyebabkan kematian.
Terdapat juga buli berbentuk buli mental yang mana ia lebih kepada ejek-mengejek,
contohnya mengejek nama bapa disebabkan nama bapa pelajar tersebut agak pelik dan luar
biasa,maka itu akan dijadikan sebagai bahan ejekan pelajar lain terutamanya senior. Sungguhpun
kes buli seperti ini kurang mendapat perhatian media massa, ia sebenarnya serius berlaku
disekolah.

2.4 Kesan Buli


Terdapat beberapa kesan yang akan dialami oleh pembuli dan orang yang dibuli. Bagi pembuli,
pada kebiasaannya apabila dewasa kelak berkemungkinan akan lebih cenderung untuk menjadi
seorang penjenayah. Lebih menyedihkan, ada di kalangan mereka akan bertindak lebih agresif
seperti merogol, merompak, atau menjadi seorang pendera terhadap isteri.
Selain itu, terdapat juga kesan yang akan dialami oleh orang yang menjadi mangsa buli.
Bagi mangsa buli mereka akan mengalami kesan sama ada dari luaran mahupun dalamannya.
Dari segi luaran, mereka akan membalas dendam kepada orang lain. Tujuannya adalah untuk
mengembalikan harga diri yang hilang akibat dibuli. Selain itu, akibat dibuli juga akan
menyebabkan mereka mengalami kecederaan dan mungkin juga kematian. Dari segi dalaman
pula, orag yang dibuli akan menjadi hilang keyakinan diri, mangsa akan sanggup membiarkan
dirinya diperlakukan apa sahaja, ia juga sanggup melakukan sesuatu demi membahagiakan orang
lain, ada juga yang dibuli tidak mahu pergi ke sekolah. Lebih parah lagi, mereka sanggup
mencederakan diri sendiri kerana merasakan diri mereka tidak berguna.

2.5 Cara menangani kes Buli


Menurut Datin Dr. Noran Fauziah yaakub selaku Presiden Persatuan Psikologi Malaysia,
terdapat beberapa tahap untuk menangani masalah buli iaitu 1. Tahap sekolah 2. Tahap kelas 3.
Tahap individu.
Dari segi tahap sekolah, ada sesetengah sekolah menangani masalah buli ini dengan cara
memasang kamera CCTV. Pihak sekolah juga perlu mendapatkan maklumat tentang kes buli
yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada dalam bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh
dilakukan dengan meminta para pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli. Selain
itu, pelajar juga boleh menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapatkan
respons tertinggi tentang perkara ini, identiti pelajar perlulah dirahsiakan.
Menurutnya lagi, pihak sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan
buli. Ini bukan sahaja dilakukan dengan cara menampal poster tentang anti buli di sekolah,
tetapi juga mengedarkan risalah anti buli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu
bapa. Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, petua mudah untuk
menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli, contohnya talian
hotline buli 1-800-884774.
Tindakan disiplin seperti merotan dan buang sekolah adalah hukuman sewajarnya kepada
pembuli. Penggunaan kamera litar tertutup ( CCTV ) di sekolah-sekolah juga secara tidak
langsung dapat mengekang kejadian gangster. Pihak sekolah juga perlu mewujudkan satu
jawatankuasa penyelaras anti buli peringkat sekolah.Antara ahli yang terlibat adalah terdiri
daripada pengetua sekolah, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar.
Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya. Perbincangan
tentang buli juga hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (
PIBG ) sekolah.
Menurut Datin Dr. Noran Fauziah yaakub lagi, dari segi tahap kelas pula, perlu
diwujudkan satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli. Peraturan tersebut
mestilah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli ( psikologi
dan fizikal ), dan hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya. Untuk
menjalankannya, setiap pelajar hendaklah diberikan senarai peraturan berkenaan tingkah laku
buli dan hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan akan disimpan dalam fail
pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini
merupakan tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah. Selain itu,
guru-guru juga hendaklah membincangkan tentang isu buli dari semasa ke semasa.
Menerusi tahap idividu pula, Datin Dr. Noran Fauziah yaakub menyarankan agar
Jawatankuasa penyelaras anti buli mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah
tersebut bukan sahaja antara pembuli dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka.
Tahap ini biasanya melibatkan pembuli dan juga mangsa. Selain itu, guru kaunseling juga
bolehlah mengadakan sesi yang memainkan peranan terhadap tingkah laku empati ( daya
menyelami dan memahami perasaan dan emosi orang lain ) atau tidak agresif dengan pembuli.
Latihan pemulihan perlu diadakan dengan mangsa.

2.6 Apa yang perlu dilakukan oleh mangsa buli


Biasanya mangsa buli adalah seorang yang pendiam dan pemalu. Mereka tidak pandai
mempertahankan diri sendiri dan lama-kelamaan, mangsa buli mulai berfikir bahawa mereka
memang layak untuk dibuli. Mangsa buli boleh membalas percakapan dengan berkata Jagan
buat begini pada saya, Saya tidak takut, mereka harus diajar supaya sentiasa tenang dan cuba
bertutur dengan nada tenang dalam suara yang kuat dan jelas. Seterusnya mangsa cuba berjalan
dan tinggalkan tempat berkenaan tetapi jangan berlari walaupun hatinya sebenarnya sangat takut.
Ambil peluang untuk berjumpa guru utuk meminta tolong. Ibu bapa juga boleh mengambil
tindakan untuk menghentikan perkara ini.
Mangsa buli perlu diberi perlindungan dan sokongan supaya keyakinannya tidak terjejas.
Kanak-kanak yang suka membuli perlu diberi bantuan kaunseling. Ianya dapat membantu
pembuli memahami mereka tidak boleh berkelakuan demikian. Ia juga membantu pembuli untuk
berubah dan bergaul dengan rakan secara sihat. Pada masa yang sama juga, ibu bapa perlu
diberikan kaunseling supaya boleh sama-sama berubah demi kebaikan anak yang masih kecil.
Kajian jelas menunjukkan bahawa pembuli biasanya mempunyai pencapaian pelajaran
yang kurang baik dan berkemungkinan tidak dapat menamatkan sekolah. Rentetan itu, mereka
akan cenderung untuk terbabit dalam pelbagai jenayah apabila dewasa kelak khususnya apabila
sukar mendapatkan pekerjaan. Malah ada kajian mendapati pembuli lebih berisiko
menyalahgunakan dadah dan alkohol.
Sebahagian pakar psikologi mengatakan bahawa, ibu bapa perlu membantu anak-anak
mereka mempunyai kawan sama ada di sekolah atau luar sekolah yang saling memberi sokongan
antara satu sama lain. Kehadiran kawan dapat mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa
buli. Pada masa yang sama, ibu bapa juga disarankan untuk memperkasakan emosi anak-anak.
Antara caranya adalah dengan bertanya apa yang dilakukan anak-anak ketika di sekolah.
Tanyakan dengan siapa mereka akan makan dan bermain, siapa yang duduk di sebelah mereka di
dalam kelas dan dalam bas, apa yang berlaku dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah,
adakah mereka nampak rakan mereka diejek atau dipulaukan.
Antara kaedah lain yang berguna untuk membantu mangsa adalah dengan memasukkan
atau melibatkan mereka dengan kelas seni mempertahankan diri. Mereka selalu diterapkan
supaya tidak menyalahgunakan ilmu yang ada sebaliknya ia digunakan bagi melindungi diri
sendiri. Kanak-kanak yang belajar ilmu mempertahankan diri biasanya berasa lebih yakin dengan
diri sendiri dan ia juga secara tidak langsung dapat menjadi pendinding daripada dibuli kerana
pembuli biasanya mencari orang yang lemah dan takut.
Namun, apa yang paling penting adalah didikan asas di rumah supaya anak sentiasa
menghormati, mengambil berat dan menyayangi orang lain. Jika kita melihat anak murid kita
suka membuli, cuba tanyakan padanya adakah dia suka sekiranya dia diperlakukan begitu. Guru
perlu mengambil perhatian serius sekiranya dapat mengesan ada diantara anak muridnya adalah
pembuli. Buat peraturan dan denda ( yang tidak menyebabkan kesakitan fizikal ) jika dia
membuli. Maklumkan kepada guru kaunseling , guru disiplin dan pentadbir sekolah sekiranya
terdapat masalah tersebut.Pantau aktiviti dan pergerakan pelajar berkenaan Libatkan pelajar
tersebut dengan pelbagai aktiviti . Berikan pujian sekiranya pelajar tersebut berkelakuan baik dan
sentiasa beritahu bahawa perbuatan baik adalah perbuatan yang disukai oleh manusia dan
disayangi allah.

3. CONTOH ISU BULI


Kes 1 : Video Buli pelajar berlaku di asrama anak yatim di Perlis
Memetik laporan berita Bernama yang diterbitkan pada tarikh 6 November 2014 bahawa kes
video klip aksi buli yang membabitkan tujuh pelajar dan seorang mangsa menjadi viral di laman
sosial dan media massa telah berlaku di Asrama Anak Yatim, Kompleks Penyayang Doktor Siti
Hasmah, di Jejawi, Kangar.
Menurut Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun selaku Pemangku Timbalan Ketua Polis
Negara, kes itu merupakan kes lama yang telah dilaporkan dan kertas siasatan telah dikemukakan
kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut. Video tersebut melibatkan tujuh orang
pelajar iaitu tiga pelajar tingkatan satu, dua pelajar tingkatan dua dan dua pelajar tingkatan tiga
yang bersekolah di sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajudin yang telah memukul seorang
pelajar darjah lima yang bersekolah di sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau.
Menurut beliau juga, mangsa dipukul kerana enggan membersihkan bilik sedangkan pada
hari berkenaan merupakan gilirannya berbuat demikian. Klip video berdurasi enam minit 51 saat
itu memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja lain di dalam sebuah bilik
dipercayai asrama sebuah sekolah. Keadaan ini telah menimbulkan rasa marah dalam kalangan
masyarakat.

Kes 2 : Pelajar dakwa dibelasah senior sekolah agama di Pendang


Menurut sebuah laporan berita Astro Awani yang telah diterbitkan pada 20 April 2015. Kes telah
berlaku di Sekolah agama Pokok Tai, Pendang yang melibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu
yang telah mendakwa dirinya dipukul oleh 15 pelajar senior sekolah berkenaan.
Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Ammar memberitahu bahawa kejadian itu berlaku
selepas dia mengambil duit sebanyak RM60 di dalam dompet yang dijumpainya di kantin
sekolah selepas selesai bermain bola kira-kira jam 6 petang. Namun, mangsa tidak sempat
memberikan wang tersebut kepada pihak sekolah dan bercadang melakukannya pada keesokan
harinya.
Bagaimanapun, pada malam tersebut, mangsa yang tidur di asrama didatangi sekumpulan
15 orang pelajar tingkatan empat dan lima kira-kira pada jam 12 malam dan bertanyakan wang
tesebut. Mangsa mengaku ada menemui dan mengambil dompet serta wang tersebut namun
belum sempat untuk menegembalikannya. Ekoran itu, mangsa terus ditampar di muka dan
ditendang di bahagian dada sehingga tersungkur. Tidak cukup dengan itu, mangsa dipukul,
dibakar rambut dan dibotakkan kepalanya. Selain itu, mangsa juga dipijak sehingga hampir
sejam. Pelajar merayu agar tidak diperlakukan sebegitu, namun tetap dipukul di seluruh
badannya dengan menggunakan tuala.
Pelajar-pelajar lainyang berada di bilik itu hanya mampu melihat dan tidak mampu
berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat mangsa dipukul. Mangsa juga diberi amaran agar
tidak memberitahu kepada sesiapa sebelum kumpulan pembuli itu beredar. Akibat kejadian itu,
mangsa mengalami lebam di seluruh badan termasuk di bahagian belakang, paha dan mata selain
sakit pada bahagian dada dan belakang. Kejadian itu hanya disedari oleh bapanya kerana melihat
perubahan pada anaknya yang kemudian terus ke sekolah terbabit. Seorang guru telah
memaklumkan bahawa mangsa telah dibuli oleh sekumpulan pelajar senior sehingga mengalami
kecederaan tersebut.
Sehubungan itu,mangsa telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan sebelum laporan
polis dijalankan. Mangsa telah mengalami trauma dan bertekad untuk tidak bersekolah disitu.
Kecederaan yang dialami melibatkan tulang belakang, paha dan dada mangsa. Mangsa
menceritakan bahawa beliau telah ditendang di bahagian dada dan kepalanya telah diketuk
dengan telefon bimbit. Pihak polis telah menjalankan siasatan selepas menerima laporan
daripada bapa mangsa.

Kes 3 : Kerana sidai tuala, pelajar tingkatan 4 maut dibelasah rakan


Menurut sebuah laporan berita Astro Awani bertarikh 12 Mei 2015 memaparkan kisah yang
berlaku di Kota Bharu yang mana seorang pelajar tingkatan empat Kolej Vokasional Bachok
maut dipercayai akibat dibelasah rakannya di asrama sekolah berkenaan.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12 tengah malam itu, mangsa yang bernama
Mohd Nor Akram Zime, 16 tahun, didakwa disepak akibat perselisihan faham berhubung kain
tuala yang didakwa disidai oleh mangsa di kepala katil rakannya itu.
Menurut Zimie Yakoob selaku bapa mangsa, arwah dikatakan telah disepak di bahagian
badan dan lehernya berdasarkan laporan saksi dan kenyataan rakan anaknya. Warden asrama
telah menelefon bapa mangsa dan diminta agar segera ke hospital kerana mangsa berada dalam
keadaan tenat. Sehubungan itu, seramai dua anggota polis turut datang ke rumah bapa mangsa
dan memberitahu bahawa mangsa telah meninggal dunia.
Sebelum belajar di Kolej berkenaan, mangsa pernah belajar di Sekolah Menengah Sains
Tengku Abdullah, Raub Pahang. Mangsa berpindah ke sekolah berkenaan 3 bulan sebelum
kematiannya bertujuan memudahkannya kerana lebih dekat dengan keluarga.
Menurut Mohd Nor Aminuddin selaku abang mangsa, mangsa adalah seorang yang
mudah bergaul dan seorang yang tidak mempunyai masalah di rumah. Adiknya juga seorang
yang pendiam jika di hadapan orang ramai dan suka menolong orang.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk
proses bedah siasat dan telah dikebumikan di kampong Gelam, Pasir Puteh. Sementara itu suspek
yang juga rakan mangsa sudah ditahan polis.
4. CARA-CARA PENYELESAIAN
Berdasarkan kepada beberapa kes yang dinyatakan, saya telah memilih teori Psikoanalisis
sebagai salah satu cara untuk menangani kes dan mengatasi berlakunya gejala buli pelajar
sekolah yang kian hari semakin membimbangkan ini.

4.1 KAITAN DENGAN TEORI PSIKOANALISIS

a. Pengenalan teori
Pada pertengahan abad ke-19, psikologi muncul sebagai displin ilmu yang berdiri dengan
sendiri. Psikologi merupakan kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya
berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan, pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau
sesuatu kumpulan tertentu dan kebijaksanaan memahami sifat manusia. Jelas disini, psikologi
berkaitan dengan perasaan, pemikiran, ramalan atau tindak balas manusia terhadap sesuatu sama
ada di peringkat kesedaran atau tidak sedar. Di bawah konsep-konsep asas untuk menerangkan
keadaan psikologi tertentu, muncullah pelbagai teori-teori yang dikemukakan oleh para sarjana
misalnya teori psikoanalisis ini.
b. Penerangan teori
Teori ini diperkenalkan oleh Sigmund Freud yang berasal daripada Freiberg,
Cekoslovakia. Selama 40 tahun beliau telah menyelidiki proses ketidaksedaran dengan metode
asosiasi bebas dan mengembangkan teori-teori keperibadian yang komprehensif. Pemahaman
Freud tentang keperibadian manusia diperoleh melalui penelitian terhadap pesakitnya sendiri,
analisis mimpi-mimpi dan beliau banyak membaca buku-buku atau jurnal mengenai ilmu
kemanusiaan. Teori ini akan dibahaskan berdasarkan empat konsep iaitu tahap-tahap aktiviti
mental, bahagian-bahagian fikiran, kedinamikan keperibadian dan penelitian khas dan metod
penelitian.
Bahagian utama teori ini yang membincangkan tahap-tahap aktiviti mental
dikemukakan oleh Frued diantara tahun 1890 hingga 1939. Pengalaman-pengalaman beliau
dalam terapi memberi keyakinan bahawa ketidaksedaran merupakan faktor penentu tingkah laku
yang penting dan dinamik. Dalam hubungan terapeutik, beliau mendapati bahawa kata-kata
pesakitnya kebanyakan tidak tepat secara berulang misalnya waktu dan tempat. Teori ini
menyimpulkan bahawa terdapat tahap-tahap pemikiran manusia iaitu ketidaksedaran,
keprasedaran dan kesedaran. Ketidaksedaran merupakan sikap, perasaan, dan fikiran yang tidak
mampu dikawal oleh kemahuan seseorang. Walaupun kita menyedari tingkahlaku atau
perbuatan, kita sering tidak menyedari proses mental yang berada di sebalik tingkah laku
tersebut. Misalnya jika seseorang individu bergaduh, ia tidak sedar sepenuhnya tujuan dan
keadaan ketika pergaduhan itu berlaku, sesuatu yang kelihatan irasional.
Tahap keprasedaran pula bermaksud persepsi atau keadaan yang hanya sedar untuk
sementara waktu. Fikiran-fikiran yang cepat berubah diantara sedar dan tidak sedar ini umumnya
bebas daripada kecemasan dan dalam setiap percakapannya akan didorong oleh gambaran-
gambaran yang tidak sedar. Namun, teori ini hanya menekankan setiap keadaan yang berlaku
dalam tindakan dan fikiran manusia berpunca daripada alam tidak sedar.
Fikiran di tahap kesedaran memainkan peranan yang sangat kecil dalam teori
psikoanalitik dan dapat didefinisikan sebagai elemen-elemen mental dalam kesedaran pada saat
tertentu. Kesedaran merupakan tahap secara lansung tersedia bagi kita. Fikiran-fikiran dapat
mencapai kesedaran dari dua arah berbeza. Yang pertama dari sistem sedar perseptual yang
diarahkan ke dunia luar dan bertindak sebagai medium persepsi terhadap stimulus-stimulus
eksternal. Dengan kata lain, apa yang kita persepsikan melalui organ-organ pancaindera kita bila
tidak terlalu mengancam akan memasuki kesedaran. Sumber kedua dari elemen-elemen sedar
berasal dari dalam struktual mental dan meliputi fikiran-fikiran yang tidak mengancam dari alam
prasedar. Walaubagaimanapun, Freud berhujah bahawa tahap kesedaran tidak akan berlaku
dengan penuh, elemen prasedar akan menyusup masuk menyebabkan seseorang itu tetap akan
berada di bawah tahap ketidaksedaran.

c. Isu buli dari perspektif teori Psikoanalisis di kalangan remaja


Teori psikoanalitik melihat keagresifan adalah naluri semula jadi manusia dan ia tidak
dapat dielakkan daripada realiti kehidupan manusia. Menurut teori psikoanalisis, struktur
personaliti individu terdiri daripada id,ego dan superego. Pendorong kepada tingkah laku dan
sifat keagresifan ialah id. Ego pula berfungsi sebagai pemikiran, persepsi dan kawalan motor
yang akan menilai secara tepat keadaan persekitaran. Ego merupa pengimbang antara id dan
superego.
Dalam usaha untuk memenuhi fungsi adaptasi ini, ego mesti berupaya mengukuhkan
penangguhan kepuasan impuls naluri daripada id. Untuk mempertahankan dirinya daripada
impuls-impuls yang tidak dijangkakan, ego perlu membentuk mekanisma khusus yang dikenali
sebagai mekanisma bela diri. Mekanisma-mekanisma ini termasuklah represi, penyingkiran dan
pengukuhan pola-pola tingkah laku yang secara langsung bertentangan dengan keperluan tidak
sedar. Perkembangan personaliti wujud melalui penempatan berperingkat `libido yang memberi
tenaga kepada tubuh untuk menukarkannya kepada stimulasi. Ianya berfungsi sebagai penyebab
utama aktiviti mental dan tingkah laku manusia dalam memburu keseronokan dan ketegangan.
Konflik dalam kehidupan akan mewujudkan kebimbangan. Kebimbangan ini akan dihadapi oleh
individu dengan menggunakan mekanisma bela diri.
Pembuli lazimnya wujud daripada kalangan kanak-kanak atau pelajar yang mempunyai
latar belakang keluarga yang bermasalah. Pembuli mungkin wujud dalam kalangan keluarga
yang mempunyai bapa yang bersifat seorang pembuli. Latar belakang keluarga yang mempunyai
pelbagai masalah seperti, kurangnya interaksi prososial, pengukuhan terhadap tingkah laku
agresif, ketidaktekalan serta kaedah disiplin yang lemah mempengaruhi tingkah laku kanak-
kanak untuk menjadi pembuli. Pengalaman lampau sebagai mangsa buli akan menyebabkan
kanak-kanak tersebut bertindak untuk membuli orang lain sebagai mekanisma bela dirinya untuk
merasai dirinya adalah individu yang berkuasa.
Sejak peringkat awal perkembangan kanak-kanak, ibu bapa harus menunjukkan suasana
yang positif dan agar kanak-kanak melihat keadaan toleransi dan kasih sayang. Oleh sebab
itulah, keseimbangan diantara id, ego dan superego penting kepada individu terutama remaja
kerana peringkat keremajaan merupakan satu tahap yang penuh dengan konflik, tekanan dan
cabaran.

4.2 CARA MENGATASI BULI MENGIKUT PANDANGAN ISLAM


Pelajar sekolah masakini seolah-olah kehilangan identiti sebagai seorang pelajar sekolah yang
sepatutnya dari sudut pembelajaran dan perlakuan. Jika kita lihat dewasa ini perilaku pelajar
sekolah seakan-akan sudah hilang kawalan dengan perlakuan seperti gejala buli ini yang boleh
dikategorikan sebagai masalah kehilangan identiti dan jatidiri.

Masalah yang timbul berkenaan buli ini adalah disebabkan beberapa faktor yang menjadi
sebab musabab pelajar sekolah melakukan perlakuan sedemikian. Antara faktor utama yang
menjadi punca masalah ini adalah pengaruh rakan-rakan sebaya yang boleh memusnahkan masa
depan pelajar sekolah ini. Buli ini boleh dikatakan sebagai ketagihan yang merantai diri pelajar
masa kini kerana jika sekali pelajar melakukan perbuatan ini, pasti fenomena buli akan berulang
dan terus berulang.

Ada juga di antara pelajar yang buli disebabkan suasana segelintir pelajar sekolah
bersikap gengsterisme yang mana menyebabkan pelajar-pelajar lain dibuli dan dijadikan tempat
melepaskan geram.

Seharusnya bagi mengatasi masalah bahana buli ini dari terus berleluasa dan semakin
menjadi-jadi, semua pihak harus berganding bahu merangka dan melaksanakan beberapa beban
tanggungjawab agar masalah ini dapat diatasi. Sememangnya memakan masa yang lama untuk
menghapuskan masalah ini, tetapi sekurang-kurangnya beberapa rangka kerja perancangan teliti
dibuat agar masalah ini tidak terus menjadi barah dalam masyarakat.

Menurut Izzat Amin Mohd Nasir selaku YDP Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian
Islam Universiti Malaya menyatakan bahawa peranan yang terpenting dan individu yang
terpenting dalam menyelesaikan masalah bersangkutan anak-anak adalah ibu bapa. Menukilkan
beberapa panduan dalam Buku karya Abdullah Nasih Ulwan bertajuk Tarbiyatul Aulad
menyedarkan kepada ibu bapa betapa beratnya beban tugas ibu dan bapa ini. Peranan yang
dimainkan adalah bermula daripada hari pertama kelahiran anak ke dunia dengan mengajarkan
dia tentang tanggungjawabnya mengenal Tuhan agar kehidupan dewasanya lebih memahami erti
ketuhanan yang menyebabkan anak yang didik menjadi sempurna.

Dalam Surah Lukman ayat ke 13, Allah menukilkan perihal tanggungjawab seorang bapa
dalam mendidik anak yang yang mana bermaksud:

Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran
kepadanya, Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya
mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.

Daripada ayat ini Saudara Izzat Amin Mohd Nasir menyatakan bahawa peranan mendidik
anak adalah peranan yang sangat besar. Bagi buli, ibu bapa perlulah memantau aktiviti anak-
anak dengan perlakuan mereka. Ibu bapa pastinya sedia maklum perubahan demi perubahan
yang dialami oleh anak yang dikandung untuk memastikan perlakuan anak tersebut benar-benar
bersikap mahmudah dan bukannya mazmumah. Sekiranya perilaku sang anak mencurigakan,
pihak ibu bapa harus terus berbicara dan berkongsi masalah yang dihadapi dengan pelajar yang
bergelar anak itu. Sekiranya tidak mendapat sebarang maklumat maka peranan ibu bapa adalah
berjumpa dengan guru yang berautoriti sama ada guru kelas atau guru disiplin untuk memastikan
tingkah laku anak.

Selain peranan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah hendaklah
lebih peka dalam menangani masalah ini. Hubungan yang erat di antara kesatuan guru dan PIBG
membolehkan masalah ini dapat dirangka pelan tindakan diperingkat sekolah agar pelajar yang
terlibat ini sedar betapa beberapa pentingnya nilai keilmuan di dalam waktu persekolahan.

Institusi persekolahan adalah institusi yang amat berperanan dalam menyelesaikan


masalah buli ini. Tertarik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Lepar Hilir Kuantan Pahang yang mana sebelum sesi kelas dimulakan setiap jumaat
semua pelajar akan membaca yasin. Pengetuanya Ibrahim Mat Akil menyatakan kesan paling
ketara yang dapat dilihat menerusi program bacaan Yasin itu, pelajar yang dipanggil selepas
melakukan kesalahan akan mudah menerima nasihat sekali gus tidak lagi mengulangi kesalahan
yang dilakukan. Abdul Qayyum Bin M. Suhaimi pelajar Sejarah dan Tamadun Islam Universiti
Malaya merasakan bahawa tindakan sekolah tersebut amat tepat dalam menyelesaikan masalah
buli ini. Ini berikutan Al-Quran sememangnya mampu untuk melembutkan hati manusia yang
keras.

Beliau juga menyatakan fakta ini telah terbukti apabila sejarah membuktikan Saidina
Umar Al-Khattab yang berjiwa keras sebelum Islam boleh lembut hanya dengan mendengar
alunan ayat-ayat suci Al-Quran sehingga beliau mengucap kalimat Shahadah tanda Allah
melembutkan hatinya dengan sebab musabah Al-Quran. Abdul Qayyum menambah bahawa
setiap sekolah di Malaysia yang mempunyai pelajar yang beragama Islam, kaedah ini dianggap
sangat berkesan dengan cara ayat-ayat suci ini akan dibaca bersama-sama dengan guru, dan guru
akan mentafsirkan maksud ayat tersebut. Kaedah ini tidak memakan masa yang begitu lama dan
hanya sekitar 5 minit hingga ke 10 minit.

Masyarakat juga perlulah berganding bahu dalam menyelesaikan masalah buli ini dengan
bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab seperti pihak sekolah, pihak polis dan
keluarga pelajar tersebut. Ini kerana dengan peranan masyarakatlah sesuatu masalah yang timbul
dapat diatasi dengan cara yang cepat.

semua pihak haruslah berperanan dalam menjuarai isu ini agar anak bangsa yang bakal
memimpin negara Malaysia masa hadapan tidak akan sesekali melakukan masalah buli. Harus
kita hayati bahawa cara nasihat kepada pelajar ini dengan cara yang berhikmah pasti pelajar
tersebut kembali ke landasan tanggungjawb sebagai pelajar yang harus dipikul. Harus kita
renungkan firman Allah s.w.t dalam surah A-Ashr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud Demi
masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang
beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan
nasihat menasihati dengan kesabaran.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH

Cadangan idea

Remaja perlu mengenal pasti dan menetapkan hala tuju sebenar mereka supaya mereka
tidak mengalami krisis identiti
Ibu bapa perlu menggunakan pendekatan baru untuk mendidik anak-anak remaja masa
kini yang terdedah kepada banyak perkara
Pihak sekolah memberikan kaunseling kepada remaja yang bermasalah untuk mengenal
pasti punca dan mencari langkah-langkah untuk menangani masalah yang dihadapi
Kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan remaja dengan lebih
tegas untuk memberikan keinsafan kepada mereka
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan yang proaktif dengan
merancang pelbagai program bersama-sama dengan pihak sekolah
Guru-guru perlu menerapkan nilai-nilai baik berasaskan pendidikan moral dan agama
supaya remaja kukuh dari segi jati diri dan keagamaan
Ibu bapa perlu sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui hal anak-anak
mereka
Ibu bapa perlu memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak dengan
memperuntukkan masa kepada anak-anak supaya mereka dapat meluahkan masalah yang
dihadapi
Pihak sekolah tidak hanya mementingkan keputusan akademik pelajar semata-mata
dalam pengurusan pelajar sebaliknya banyak memberikan penekanan dalam membentuk
sahsiah pelajar
Media massa perlu melaporkan dengan lebih kerap kepincangan yang dilakukan oleh
remaja untuk meberi kesedaran kepada mereka
Kerajaan perlu memberi peluang kepada remaja meluahkan perasaan mereka dengan
menyediakan tempat-tempat untuk remaja melakukan aktiviti berfaedah
Kerajaan perlu membuat penambahbaikan dalam sistem pendidikan supaya pembinaan
jati diri remaja yang kukuh dapat dibina di peringkat sekolah.
5 RUMUSAN
Konklusinya, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini sebelum nasi
menjadi bubur. Demi mewujudkan generasi dan modal insan yang lebih berguna pada masa
hadapan, maka satu langkah drastik daripa semua pihak patut dilaksanakan. Tindakan daripada
satu pihak tidak akan membuahkan hasil. Jadi, sama-samalah kita berganding bahu untuk
menangani masalah buli ini.
Meskipun terdapat pelbagai cadangan mengenai cara bagaimana mengatasi masalah buli
ini, namun ia hanya akan berakhir di meja perbincangan, forum atau seminar. Sememangnya
terdapat pelbagai program yang dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi hanya memberi manfaat
kepada segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial. Ibu bapa, guru-guru dan
masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul tanggungjawab mendidik
anak-anak dan para pelajar. Adalah wajar supaya pelajar didedahkan akan kesan buruk dalam
masyarakat melalui interaksi mereka di sekolah. Golongan ini juga perlu didedahkan dengan
pengetahuan undang-undang agar mereka gementar dengan hukuman.
Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan
negara. Mereka adalah asset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam
politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah disiplin di
kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan
merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu, segala masalah sosial yang dihadapi
oleh para remaja harus dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar
terhadap asset utama yang merupakan sumber modal insan yang selaras dengan falsafah
pendidikan negara yang akan mempastikan kelangsungan kemajuan dan keharmonian negara.

Anda mungkin juga menyukai