Anda di halaman 1dari 5

Refleksi Seminar: Stigma Warga Sekolah Terhadap Kaunselor Pelatih

Skema: Model Gibbs

a) Deskriptif

Pandangan warga sekolah terhadap kaunselor pelatih merupakan salah satu aspek yang amat
penting di sekolah. Semasa saya berinternship di sebuah sekolah dahulu, pada awalnya saya
merasakan warga sekolah hanya terdiri daripada murid dan guru. Saya tak merasakan bahawa
kita perlu menjaga hubungan baik dengan semua warga sekolah. Namun setelah melalui
beberapa peristiwa, barulah saya sedar yang kita perlu untuk menjaga hubungan baik dengan
semua orang di sekolah itu. Isu yang akan saya bawakan pada hari ini ialah stigma warga
sekolah terhadap kaunselor pelatih lelaki. Di sekolah tempat saya berinternship itu, saya
merupakan kaunselor lelaki yang pertama menjejak kaki di sekolah itu, jadi ia menimbulkan
pelbagai pandangan oleh warga sekolah terhadap saya contohnya dimana isu saya ingin
melaksanakan sesi individu dengan klien perempuan, saya perlu memastikan tidak menutup
pintu dan memastikan ada kaunselor di dalam bilik kaunseling itu untuk tidak menimbulkan
sebarang syak wasangka mereka terhadap saya. Selain itu mana-mana pelajar perempuan yang
ingin membuat sesi dengan saya haru membuat appointment terlebih dahulu dan setelah itu
baru boleh buat sesi.

Perkara ini terjadi kerana pada minggu ke 6 tak salah saya, ada seorang pelajar perempuan yang
membuat sesi bersama saya selepas rehat. Tiba tiba saya mendapat panggilan dari seorang guru
yang meminta saya memulangkan pelajar tersebut kerana menurut guru tersebut, pelajar itu
hanya ingin ponteng kelas subjeknya. Setelah memulangkan pelajar tersebut, saya
mendapatkan satu berita yang dia telah disoal siasat dan dipaksa oleh guru tersebut untuk
bercerita masalah yang pelajar tersebut cerita pada saya. Alasannya ialah kenapa nak cerita
dengan cikgu Luqman, cikgu Luqman tu lelaki. Saya berasa agak terkejut mendengar ayat
tersebut. Selain itu ada mata-mata di sekolah yang mungkin melihat keakraban saya dengan
pelajar-pelajar perempuan di sekolah tersebut dan menyebabkan ada mulut-mulut yang
menyebarkan khabar-khabar angin yang kurang senang didengar dan ia membakar pihak pihak
pentadbir untuk memanggil saya dan bertanya tentang isu ini. Akhirnya saya menerangkan
bahawa ini semua hanya salah faham dan guru pembimbing saya juga menyatakan perkara
yang sama mengenai hal ini. Agak mencabar menjadi kaunselor pelatih lelaki yang pertama di
sebuah sekolah yang tidak pernah mempunyai kaunselor lelaki sebelum ini, tambahan pula
saya agak muda jadi memang hubungan saya dengan pelajar di situ kelihatan seperti abang-
abang yang menegur adik. Namun mungkin ada beberapa orang warga sekolah yang tidak puas
hati dengan layanan saya terhadap pelajar dan risau yang pelajar tersebut akan mengambil
kesempatan terhadap saya.

b) Perasaan

Dari segi perasaan, mestilah saya rasa sedih dan kecewa tentang pandangan mereka terhadap
saya yang meletakkan bahawa saya ini seperti melebih-lebih melayan anak murid perempuan
sehingga ada yang mengambil kesempatan terhadap saya. Sejujurnya saya mogok dengan
pihak sekolah selama seminggu, dimana saya tidak melakukan apa apa tugasan pada waktu itu
selain masuk kelas relief dan meronda satu sekolah. Saya tidak melaksanakan sesi saya, tidak
menguruskan report dan lain-lain kerana berasa sedih. Bilik kaunseling yang saya cuba
penuhkan dengan kehadiran pelajar, kini kosong akibat buah mulut dan pandangan mereka-
mereka terhadap saya. Lama saya cuba tenangkan diri. Akhirnya saya berbuat keputusan untuk
berbincang dengan kaunselor dan guru pembimbing saya tentang perkara ini. Saya juga meluah
kepada penyelia saya tentang perkara ini. Saya menerima semua nasihat dan mendengar
pendapat mereka mengenai perkara ini. Ada yang baik dan buruk walaupuan sakit namun tetap
kena hadam. Itulah proses pembelajaran ketika kita di lapangan ini. Saya berasa sedikit lega
ketika sudah mula terima dengan suasana ini dan masalah ini dan cuba untuk atasinya.

c) Penilaian

Berdasarkan penilaian saya, mungkin warga sekolah terlampau melihat hubungan rapat saya
dengan pelajar ini tanpa bertanya kepada saya atau mengenal diri saya, jadi saya cuba
mendekati warga-warga sekolah dan menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka. Selain
itu untuk pihak pentadbir, setiap minggu saya akan tunjukan report mengenai bilangan sesi
yang dijalankan dan statik lelaki dan perempuan yang menjalankan sesi dengan saya agak tidak
dipandang saya hanya mementingkan pelajar perempuan sahaja. Bagi saya, cara saya untuk
atasi masalah dan isu stigma terhadap kaunselor pelatih lelaki ini adalah saya perlu kemukan
bukti kepada mereka yang saya melakukan tugas saya dengan baik dan adil tanpa ada niat untuk
mengambil kesempatan, atau bermain-main dengan pelajar perempuan di sekolah itu. Saya
nilai yang ada juga kelemahan saya pada awal-awal itu kerana tidak serius dalam menekankan
apa yang saya lakukan di sekolah tersebut. Selain itu saya menerima satu cadangan yang
diberikan pihak pentadbir itu iaitu semua yang datang untuk membuat sesi dengan saya harus
book appointment dulu. Saya mengadaptasi cadangan itu dan cuba melaksanakan sesi saya
dengan baik. Setelah saya terima kesalahan saya dan Cuma perbaikinya saya merasakan
bahawa saya lebih tenang. Hubungan saya dan pihak sekolah juga semakin baik. Jadi mudah
untuk saya meminta murid bagi menjalankan sesi dan juga mula bagi saya melaksanakan
program.

d) Analisis

Terima kasih atas padangan dan nasihat yang diberikan oleh guru pembimbing, kaunselor dan
penyelia saya yang memberi semangat kepada saya dalam menguatkan semangat
menghabiskan internship saya ini. Saya sedar bahawa hubungan baik antara warga sekolah
akan memberi kita lebih semangat untuk datang ke sekolah dalam vibes yang positif. Saya
teringat seminggu semasa isu tersebut berlaku. Ia sangat menganggu emosi saya dimana saya
berasa tidak ingin datang ke sekolah dan vibes yang saya rasa hanya vibes negative di sekolah
itu. Namun saya sedar, jika saya terus begitu saya merasakan semua tugasan saya tidak akan
siap dan saya akan gagal dalam internship ini. Saya sangat bersyukur kerana merasakan
pengalaman ini dan ia akan membantu saya dalam menjaga batas saya sebagai kaunselor lelaki
semasa di sekolah kelak. Seperti kita tahu, murid-murid sekarang sangat kehadapan dalam
semua jenis bahagian, kadang kala mereka lebih advance dari kita. Jadi bermacam perkara yang
tidak boleh kita expect akan berlaku. Lebih baik kita sentiasa bersiap sedia dengan pelabagai
kemungkinan bak kata pepatah sediakan paying sebelum hujan.

e) Kesimpulan

Kesimpulannya, bukan mudah untuk kita menyesuaikan diri dalam sesuatu kawasan dan bukan
mereka yang kena berubah untuk kita, namun kita sebagai kaunselor pelatih perlu
mengadaptasi dengan suasana sekolah tersebut. Bukankah seorang kaunselor itu kena
fleksible? Jadi dalam perkara ini saya ingin menitikberatkan tentang menjaga hubungan yang
lebih positif dengan warga sekolah. Pupuk sabar yang tinggi dan tak salah jika kita mengalah
dalam sesetengah perkara kerana kita datang ke tempat orang untuk belajar. Harapan saya agar
saya akan sentiasa mengingati pengalaman ini dan tidak mengulangi kesalahan saya ini ketika
sudah bergelar guru tetap kelak.
Kegunaan "Inovasi E-Brosure @Hellokaunselor"

Seperti yang kita tahu inovasi E-Brosure @Hellokaunselor ini mempunyai 2 kemudahan yang
utama iaitu ia boleh diakses secara Offline dan juga berbentuk Online. Untuk kegunaan
bebentuk Offline yang berbentuk brosure ini, ia boleh diletakkan di sudut bacaan di sekolah, di
dalam kelas juga ditampalkan di papan kenyataan bagi memudahkan warga sekolah untuk
mendapatkan maklumat tentang inovasi ini. Selain itu ia juga boleh diedarkan oleh
pembimbing rakan sebaya (PRS) semasa program-program besar yang melibatkan ibubapa dan
pihak-pihak lain agar mereka dapat melihat kefungsian Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK)
di sekolah itu. Seperti yang kita tahu didalam brosure ini mempunyai pelbagai maklumat dan
mitos-mitos tentang kaunseling. Brosure ini juga boleh digunakan oleh kaunselor pelatih
sebagai satu modul semasa mereka relief kelas bagi menerangkan apa itu kaunseling yang
sebenarnya. Seperti yang kita tahu , murid murid di sekolah kadangkala tidak tahu tentang apa
tu kaunseling dan tugas-tugasnya, mereka hanya percaya dengan apa yang orang lain
perkatakan tentang kaunseling contohnya kaunseling tidak boleh dipercayai, kaunseling itu
hanya untuk orang bermasalah dan lain-lain lagi. Jadi melalui inovasi ini, ketika dibawa ke
dalam kelas relief juga semasa program, murid-murid dan warga sekolah yang lain akan dapat
satu ilmu baharu dan juga membuka mata mereka tentang apa itu kaunseling yang sebenar. Ia
akan mengurangkan sedikit demi sedikit tentang stigma-stigma negative warga sekolah
terhadap kaunselor pelatih perempuan mahupun lelaki.

Untuk kegunaan inovasi E-Brosure @Hellokaunselor secara dalam talian (online), kita dapat
lihat dalam dunia yang serba moden ini, semuanya hanya dihujung jari, bermula dari maklumat,
nak pesan makanan, nak berbelanja barangan, semuanya hanya dihujung jari. Dari kumpulan
kami merasakan inovasi ini bukan hanya boleh dilaksanakan secara bersemuka malahan juga
secara dalam talian. Jadi kami telah mencipta satu link yang membolehkan orang ramai
mengakses E-brosure dan kemudahan-kemudahan lain dengan lebih mudah. Ia sangat berguna
kepada bukan sahaja murid, malah warga sekolah yang lain untuk mendapatkan maklumat
tentang kaunseling. Sudah tentunya kaunselor pelatih akan lebih mudah untuk menjalankan
sesi dan mendapat klien. Hanya klik link https://linktr.ee/Hellokaunselor tersebut dan semua
maklumat juga untuk booking sesi telah disediakan dalam satu laman dan boleh diakses selama
24 jam. Ia akan mengurangkan beban kepada kaunselor pelatih kerana tak perlu menerangkan
satu-satu kepada murid kerana ia boleh diakses pada bila-bila masa sahaja dan dimana-mana
jua. Ia juga akan mengurangkan pandangan buruk warga sekolah kerana kini mereka telah
melihat apa tugas seorang kaunselor pelatih itu dan lebih memahaminya.
Kesimpulan

Sangat penting bagi seorang kaunselor pelatih itu menjaga hubungan yang baik dengan semua
warga sekolah. Saling menghormati antara satu sama lain, saling bertolak ansur dan saling
bermanis muka merupakan antara langkah yang baik dalam kita merapatkan hubungan yang
lebih erat dengan mereka. Sebagai kaunselor pelatih kita kena ingat yang kita ini datang
menuntut ilmu dan pengalaman di tempat orang, seharusnya kita merendah diri dan sentiasa
sabar dengan ujian dan cabaran sepanjang di sana. Janganlah kita mencari masalah dan dan
bermasam muka dengan warga sekolah yang lain. Kita merupakan nadi kepada sekolah itu,
jadi jika kita tidak mempunyai hubungan yang baik dengan warga sekolah maka semua
tugasan, program dan sebarang pelaksanaan akan sukar untuk dijalankan. Sebagai kaunselor
pelatih, kita perlu sentiasa menjaga nama baik profession kita juga nama baik diri dan universiti
agar kita dapat menjaga dan membina jaringan-jaringan yang akan membantu kita di masa
hadapan kelak. Semua pengalaman yang pahit dan manis perlu kita ambil sebagai pengajaran
dan memastikan kita tidak mengulangi semula kesalahan tersebut. Akhirsekali harapan saya
agar kita sentiasa memberi warga sekolah satu stigma yang positif terhadap kaunselor-
kaunselor pelatih dan mampu membuang semua stigma negative mereka terhadap kita.

Anda mungkin juga menyukai