Pelbagai jenis kelompok telah dikemukakan sebagai satu pendekatan spesifik bagi
menangani masalah yang boleh dirawat melalui kaunseling kelompok. Antaranya ialah
Terapi Kelompok Alderian yang telah digunakan oleh Rudolf Dreikus bagi menangani
masalah kanak-kanak. Carl Rogers pula telah mengenengahkan Kaunseling Kelompok
yang mengguna pendekatan terapi Pemusatan Perorangan. Albert Ellis dengan
kelompok terapinya telah menerapkan Terapi Rasional Emotif Perlakuan. Robert
Carkhuff pula giaenjalankan Latihan Perkembangan Sumber Insan dan Arnold
Lazarus menerapkan Teknik Terapi Pelbagai Modal dalam Kelompok Terapi Perlakuan
Seorang kaunselor mesti sedar tentang elemen yang mempengaruhi personaliti dalam
pengendalian kelompok. Kaunselor mestilah menunjukkan sikap yang bersungguh-
sungguh semasa menjalankan tugasnya. Sikap penyayang juga dikehendaki agar boleh
dicontohi oleh ahli. Kaunselor juga perlu tabah dengan cabaran yang dihadapi semasa
mengendalikan kelompok. Ianya berkait dengan pengendalian yang bersifat terbuka
dan telus tanpa emosi, pemikiran dan perlakuan yang terselindung.
Pembentukan kelompok perlu disediakan secara rasional dan rapi serta perlu selari
dengan jenis kelompok yang akan diselenggarakan. Perkara ini mesti difikirkan
secara mendalam oleh kaunselor yang mengetuai perjalanan kelompok yang dibentuk
itu. Sehubungan itu kejayaan penyelenggaraan kelompok juga akan bergantung
kepada keperluan yang dikehendaki oleh bakal ahli yang akan menganggotai kelompok
tersebut.
Namun kaunselor juga perlu prihatin untuk mempertimbangkan perkara yang perlu
dihormati dan tidak wajar diluahkan oleh ahli sebagai klien dalam kelompok bagi
menjaga martabat dan kehormatannya, melainkan ahli yang terlibat benar-benar
bersetuju dan berani mengambil risiko kesan pada dirinya
Corey dan Corey (1977) mengatakan, seseorang ketua harus dapat bertindak balas
secara sensitif dan simpati terhadap setiap individu dalam kelompoknya serta
berkomunikasi dengan reaksi ahli-ahlinya. Mereka juga seharusnya menyaksikan
kelompok dinamik melalui kemahiran-kemahirannya memproses interaksi yang
kompleks dalam kelompoknya. Seorang ketua kelompok yng berkesan adalah benar-
benar diasuh dan dilenturkan mengikut mesej kliennya dan bertindak balas cepat
daripada cuma berkata-kata tentang dunia luas sahaja atau tidak fokus.
Dalam menguasai kemahiran ini kaunselor harus mempunyai daya memerhati yang
kuat serta nampak apa yang sedang berlaku dalam kumpulannya. Pemerhatian yang
dibuat haruslah diterangkan kepada ahli-ahli supaya mereka sedar tentang perlakuan
dan reaksi mereka dalam kumpulan. Kaunselor tidak dapat menolong ahli mengubah
perlakuan jika kaunselor sendiri tidak sedar apa yang berlaku dalam kumpulannya.
Kaunselor juga mesti faham tentang budaya berinteraksi antara berlainan jantina
dan umur.
Kemahiran mendengar
Kaunselor memerlukan kemahiran mendengar yang tinggi kerana ini adalah kemahiran
yang paling asas dan penting. Mendengar bukan satu kemahiran mudah tetapi perlu
mendengar dengan berkesan terutama untuk mendengar maklumat yang dikeluarkan
oleh beberapa orang. Dari proses mendengar kaunselor menunjukkan kepada ahli
kualiti kaunselor yang berkesan iaitu dengan mendengar dengan teliti apa yang
disebutkan oleh ahli dan tidak membuat prejudgemental . Kaunselor seterusnya
memberi peluang kepada ahli menceritakan pandangan mereka tanpa mengecil atau
mempermainkan mereka.
Kaunselor menyatakan semula perasaan ahli dan menunjukkan tanda empati serta
menunjukkan minat terhadap pendapat dan pandangan ahli. Menurut Mahler (1969)
dan Dinkmeyer (1971) ketua kelompok berinteraksi sesama ahlinya dengan berkongsi
pengalaman, perasaan dan pengetahuan. Ia juga membantu penyertaan menjadi lebih
rancak, bermoral dan perasaan yang positif, di mana penyertaan ahli-ahli akan
mewujudkan penerimaan perasaan ahli oleh ketua itu.
Strategi yang boleh digunakan ialah mengelakkan diri dari menjadi orang yang mula-
mula memecahkan suasana kesenyapan setiap kali dengan bertanya, mengeluarkan
komen dan pendapat. Gunakan masa kesenyapan untuk memerhati gerak laku ahli-ahli
seperti rasa bosan, gelisah , cemas, ingin bercakap tetapi takut dan reaksi-reaksi
lain lagi. Masa itu digunakan untuk memerhati dan dan mengumpul data tanpa bahasa
dari ahli. Sekiranya kaunselor tidak yakin menghadapi kesenyapan mungkin
menyebabkan kaunselor mengeluarkan komen yang menjejaskan penerimaan ahli.
Satu cara yang baik untuk mengatasi keadaan ini ialah dengan mengetahui sedikit
bahasa sehari-hari ahli supaya perbincangan tidak menjadi terlalu formal. Elakkan
dari bercakap terlalu panjang dan berbelit-belit. Tentangan mata juga adalah
sebahagian daripada komunikasi yang menunjukkan anda memberi perhatian dan
berminat
Kemahiran Konfrantasi
Kemahiran yang memerlukan ahli-ahli menghadapi persoalan diri sendiri yang mereka
secara sedar mengelakkan diri dari menerimanya. Menggunakan teknik ini harus
berhati-hati kerana ahli boleh merasa terancam apabila belum bersdia untuk
menerima hakikat diri mereka. Kemahiran ini berguna untuk memperbetulkan dalih
atau ketidakseimbangan kenyataan atau maklumat yang diberi oleh ahli. Dengan cara
ini ahli akan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap peranan dan tindakan mereka.
Teknik ini berkesan digunakan dalam kumpulan yang telah mencapai kepercayaan dan
keyakinan di antara ahli. Masalah timbul kepada kaunselor untuk menggunakan teknik
ini kerana budaya dan cara hidup masyarakat khususnya Melayu mengajar bahawa
bersemuka dan berterang-terangan adalah tidak sopan dan tidak bertimbang rasa.
Kaunselor dalam masa yang sama harus mengekalkan rasa penerimaan dan rasa
hormat daripada ahli. Untuk itu kaunselor perlu mengenal pasti perlakuan-perlakuan
yang bercanggah samada dari segi tingkah laku, perasaan dan pemikiran.
Percanggahan ini hendaklah dibentangkan supaya ahli nampak dan sedar tetapi tidak
sampai menunjukkan rasa menghukum, menyalah atau menuduh.
Kemahiran Intervensi
Kemahiran Meneroka
Rumusan
Kaunseling kelompok bukanlah sebuah pasukan bola sepak yang mahukan kemenangan.
Ia lebih menekankan kepada pencapaian matlamat, memenuhi kehendak dan
menyediakan pengalaman nilai terhadap individu-individu dalam kelompok. Kelompok
juga dapat menyediakan peluang mengenal diri dan dalamannya melalui perasaan
sendiridan tingkah lakunya semasa berbincang dalam kelompoknya secara terbuka
dan bebas. (Yalom, 1975).
Selain itu kaunseling kelompok dapat membentuk peluang yang berlanjutan kepada
klien bagi memperkembangkan hubungan biasa dan positif dengan orang lain
memandangkan bentuk kaunseling ini membenarkan ahli-ahlinya mengalami dan
belajar mengawal hubungan antara peribadi mereka sendiri. Kemahiran dan teknik
kaunseling yang berkesan akan membantu mengoptimumkan pencapaian objektif
Kaunseling Kelompok.
Bibliografi
Aminah Hashim dan Arthur P. Lloyd, Bimbingan dan Kaunseling Dalam Pendidikan,
Federal Publications, Kuala Lumpur. 1995
Aminah Hashim dan Arthur P. Lloyd, Bimbingan dan Kaunseling Di Malaysia, Dewan
Bahasa dn Pustaka, Kuala Lumpur. 1992
Aminah Hashim dan Arthur P. Lloyd, Bimbingan dan Kaunseling Dalam Pendidikan,
Federal Publications, Kuala Lumpur. 1995
Gerald Corey, Theory and Practice of Counseling and Psychotherapy, Brooks/ Cole
Publishing Company, California. 1986
Muhd Mansur Abdullah, Kaunseling Teori, Proses dan Kaedah, Fajar Bakti Sdn Bhd,
Kuala Lumpur. 1993
Zuraidah Abdul Rahman, Pengenalan Kaunseling Kelompok IBS Buku Sdn Bhd,
Selangor. 1996