Anda di halaman 1dari 3

Refleksi keseluruhan

Pertama-tamanya, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, saya dapat menyiapkan tugasan EDU 3107 Bimbingan dan Kaunseling Kanak-kanak ini. Kerja kursus ini memerlukan saya menulis esei mengenai konsep, matlamat, keperluan dan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah, serta membincangkan tentang kemahiran-kemahiran dan teori-teori kaunseling yang dapat membantu pembentukan muridmurid yang seimbang. Selain itu, saya juga diminta untuk menyatakan satu kes masalah disiplin murid dan menghuraikan cara-cara untuk membimbing murid berikut. Tugasan ini sememangnya bukan satu benda yang baru kepada saya kerana saya pernah belajar dan membuat tugasan yang hampir sama sewaktu di semester 2 iaitu untuk subjek Murid dan Alam Belajar. Namun, ini tidak bermakna saya tidak menghadapi sebarang masalah di sepanjang proses menyiapkan tugasan. Contoh masalah terbesar saya adalah kekangan dari segi masa di mana saya harus membahagikan masa saya di antara kerja kursus dan praktikum. Mujur saya membuat jadual kerja sendiri dan dapat menyelesaikan kerja-kerja dengan merujuk jadual tersebut. Masalah lain yang timbul adalah talian internet yang perlahan, virus dari pendrive rakan yang melembapkan laptop dan mesin pencetak yang kerap jammed. Saya bernasib baik kerana rakan-rakan saya sudi berkongsi maklumat yang mereka peroleh jadi saya tidak perlu melayari internet setiap masa dan mereka turut meminjamkan mesin pencetak mereka untuk kegunaan saya. Pada masa yang sama, saya telah belajar banyak perkara ketika membuat tugasan Bimbingan dan Kaunseling ini. Antaranya ialah: 1. Refleksi tindakan saya terhadap tingkah laku murid yang tidak diingini semasa PBS dan praktikum yang lepas. Saya seorang yang kekok dengan budak-budak. Oleh itu, saya selalu buntu idea yang boleh saya lakukan dengan murid yang menangis, bergaduh, mengajuk kata-kata saya dan sebagainya di dalam kelas. Saya khuatir jika saya terlalu melayan murid-murid sebegini, mereka akan menjadi manja tetapi saya juga risau mereka menganggap saya tidak sayangkan mereka apabila saya tidak mempedulikan mereka. Walaupun begitu, apa yang saya sering buat ialah saya hanya membiarkan murid yang bermasalah sendiri kerana saya fikir mereka akan berubah lama-kelamaan. Kini, setelah menyiapkan tugasan ini, barulah saya sedar bahawa saya sepatutnya berusaha untuk mendekati murid-murid saya terlebih dahulu.bagi membantu menyelesaikan masalah yang mereka lalui.

2. Mengetahui cara-cara yang sesuai untuk membantu murid yang memerlukan khidmat Bimbingan dan Kaunseling. Seorang guru atau kaunselor tidak boleh terburu-buru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi murid. Kadangkala, jika kita lihat di drama atau filem tempatan, watak guru itu sekadar mendenda muridnya yang membuat salah tanpa usul periksa. Terdapat segelintir guru yang memberikan penyelesaian yang kurang sesuai untuk murid mereka juga. Akibatnya, masalah yang murid lalui bukan sahaja tidak dapat diatasi malah ia semakin memburukkan keadaan. Daripada tugasan ini, saya belajar tentang tujuh peringkat kaunseling yang harus dipatuhi. Saya berpendapat bahawa sekiranya guru mengamalkan peringkat-peringkat tersebut, murid akan lebih bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima pertolongan daripada guru. 3. Mengetahui jawapan dan penyelesaian yang tepat bagi setiap permasalahan yang dihadapi oleh murid. Saya mendapati bahawa masalah-masalah murid ini berbeza-beza. Justeru, mereka tidak boleh diberikan ubat yang sama setiap masa. Hal ini kerana, ada murid yang bermasalah tingkah laku, ada yang mengalami tekanan emosi dan ada juga yang mempunyai pemikiran yang tidak rasional terhadap sesuatu perkara. Meskipun pendekatan yang sama dilakukan oleh guru berulang-kali ke atas murid-muridnya masih dapat membantu, ia sebenarnya lebih sesuai jika guru menggunakan penyelesaian atau ubat yang tepat untuk menangani masalah murid ini. Sebagai contoh, teori behavioris bagi mengatasi masalah tingkah laku dan teori PCC untuk masalah berkaitan emosi murid.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekelas saya yang banyak membantu saya dalam menyiapkan tugasan ini. Ucapan terima kasih juga kepada pensyarah kami, Pn. Haslinda di atas bimbingan, bantuan dan tunjuk ajar beliau kepada kami. Semoga ilmu yang baik ini dapat saya manfaatkan untuk menjadi guru yang berguna apabila saya ditempatkan di sekolah kelak. Sekian, terima kasih.

....................................................... ()

Anda mungkin juga menyukai