Anda di halaman 1dari 3

2.

0 Refleksi

Pertama-tamanya, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya,
saya dapat menyiapkan tugasan EDU 3093 Guru dan Cabaran Semasa ini. Kerja
kursus ini memerlukan saya menulis sebuah esei mengenai isu dan cabaran
semasa yang membolehkan guru mengenalpasti, mereflek serta menyesuaikan dan
menyediakan diri dengan perubahan dalam bidang pendidikan. Justeru, saya perlu
menyatakan satu isu dan menghuraikan cara-cara bagi guru untuk menghadapi isu
tersebut.
Saya mempelajari banyak perkara di sepanjang saya melaksanakan kerja
kursus ini. Antaranya ialah saya menjadi lebih peka terhadap isu-isu yang timbul
dalam bidang pendidikan, tidak kira ia berlaku pada beberapa tahun dahulu mahu
pun sekarang. Selama ini, saya hanya melihat isu yang terjadi dari kaca mata
seorang pelajar, tetapi pandangan saya kini semakin luas apabila saya dapat
meneliti isu yang sama melalui sudut seorang guru. Misalnya, isu belajar Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris. Sewaktu di sekolah menengah, saya selalu
mempertikai sebab isu ini diperbesar-besarkan kerana saya dan rakan-rakan yang
lain tidak mengalami masalah untuk belajar dua subjek berikut menggunakan
bahasa asing. Namun, setelah saya melihat isu tersebut dari perspektif guru, saya
dapat merasai tekanan yang dihadapi oleh guru matapelajaran Sains dan
Matematik, di mana mereka terpaksa berdepan dengan pelajar yang lemah dalam
Bahasa Inggeris dan mengajar subjek mereka pada masa yang sama. Sensitiviti
terhadap isu-isu semasa ini juga mengingatkan saya supaya sentiasa bersedia
dalam menempuh dunia pendidikan sebenar. Hal ini kerana, guru bekerja dengan
murid lalu tindakan yang diambil oleh seseorang guru pasti akan memberi kesan
kepada murid.
Selain itu, kerja kursus ini telah menyedarkan saya akan keperluan untuk
mempertingkat dan memperbaiki kemahiran, teknik dan kaedah mengajar saya.
Saya sedia maklum bahawa murid-murid pada masa sekarang adalah jauh berbeza
dengan kelompok murid terdahulu. Mereka lebih banyak terdedah dengan
kemudahan ICT dan penggunaan gadjet yang canggih. Oleh itu, pendekatan yang
seharusnya digunakan ke atas mereka mestilah berbentuk eksperimen atau
penerokaan yang boleh menarik minat mereka berbanding kaedah chalk and talk
dan belajar melalui buku teks semata-mata. Saidina Ali bin Abi Talib r.a juga pernah
berkata, Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya, lalu seorang guru perlu
mengetahui kecenderungan murid-muridnya sebelum mengajar mereka.
Pendekatan dan teknik yang bersesuaian turut menjamin keberkesanan mutu
pengajaran guru di samping memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran yang
ditetapkan dapat dicapai oleh setiap murid.
Seterusnya, pendedahan terhadap isu dan cabaran semasa dalam dunia
pendidikan ini mengajar saya bahawa kerjasama antara guru dan ibu bapa adalah
penting. Sebarang masalah atau isu yang dihadapi oleh pihak sekolah khasnya
mampu dibendung dengan mudah sekiranya ibu bapa terjun padang untuk
mengatasinya. Sebagai contoh, kes jenayah murid di sekolah. Guru yang
mempunyai kuasa boleh menghukum murid-murid yang melakukan jenayah, tetapi
dendaan tidak akan membawa kesan yang berpanjangan kepada mereka jika ibu
bapa mereka sendiri tidak menegur atau membetulkan kesalahan mereka di rumah.
Jelas, hubungan dua hala yang baik antara dua kuasa besar ini adalah perlu demi
menjamin perkembangan murid yang sepenuhnya, iaitu bukan sahaja meliputi aspek
tingkah laku malah prestasi akademik dan kokurikulumnya.
Sementara itu, saya berpendapat bahawa semua pihak hendaklah mengambil
kira minat murid dan idea daripada guru dalam merangka apa-apa program di dalam
kementerian. Hal ini kerana, apabila bertukar tampuk pemerintahan, pasti ada dasar
yang baru diperkenalkan dan menggantikan dasar yang sedia ada. Ia secara
langsung akan mendatangkan kesan terhadap pencapaian guru dan murid kerana
dua kumpulan ini yang melaksanakan dasar yang dibuat. Justeru, melalui kerja
kursus ini, saya belajar bahawa kita semua bergerak di dalam satu sistem. Dari
peringkat kementerian hingga di sekolah, kita bekerja bersama-sama dan bukannya
secara individu mahupun bekerja untuk kepentingan sesiapa. Saya percaya bahawa
jumlah isu yang timbul dalam bidang pendidikan boleh dikurangkan sekiranya setiap
pihak berfikiran sedemikian, seterusnya meringankan bebanan dan cabaran yang
harus digalas oleh guru pada masa akan datang.
Akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekelas
yang banyak membantu saya dalam menyiapkan kerja kursus ini. Ucapan terima
kasih juga kepada pensyarah kami, Pn. Siti Saleha di atas bimbingan, bantuan dan
tunjuk ajar beliau kepada kami. Semoga ilmu yang diperolehi ini dapat saya
manfaatkan untuk menjadi guru yang berguna sewaktu ditempatkan di sekolah
kelak.


Sekian, terima kasih.

.......................................................
(Faikha Munirah binti Mohd Taher)