Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI PROGRAM ANAK ANGKAT

Setinggi-tinggi kesyukuran saya kepada IPG Kampus Kent kerana memberi keizinan
untuk menjalani program anak angkat pada 6 hingga 8 Oktober 2017 yang lalu. Kursus ini
telah dijalankan di Kampung Serusup. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam
bermula hari Jumaat hingga Ahad. Pogram ini dilaksanakan oleh 59 orang pelajar dari PISMP
Pengajian Pemulihan, Pengajian Bahasa Kadazandusun, Matematik dan beberapa orang dari
Persatuan SRN. Saya rasa sangat beruntung kerana dapat mengisi dalam diri saya dengan
pelbagai pengalaman baru sepanjang program ini berlangsung dan saya menganggap ini
sebagai persediaan pada masa hadapan.

Pada hari permulaan, saya bertolak pada pukul 9.00 pagi bersama peserta-peserta
lain. Sebelum itu, kami telah membuat pelbagai persediaan termasuk alatan-alatan yang perlu
untuk digunakan sepanjang program tersebut. Setelah tiba di tapak program, saya berkumpul
untuk mendengar taklimat oleh pensyarah pembimbing tentang aktiviti yang perlu dijalankan
supaya berjalan lancar. Aktiviti pertama yang dijalankan ialah majlis perasmian dan
pembahagian anak angkat kepada keluarga angkat masing-masing. Saya dapat belajar
tentang bagaimana cara menguruskan program bersama ahli komuniti setempat atau
masyarakat di situ. Banyak faedah yang saya perolehi daripada program ini. Antaranya ialah
dapat memupuk kemahiran saya untuk berkomunikasi secara berkesan dengan keluarga
angkat saya yang baru saya kenali serta berpeluang untuk minum petang bersama keluarga
angkat saya. Saya mengambil kesempatan tersebut untuk berkenalan dengan lebih
mendalam lagi antara kami.

Selain itu, saya berkesempatan untuk berjalan-jalan di kawasan berdekatan. Di sana,


saya dapat memerhatikan corak hidup mereka yang saling bekerjasama. Ketika bersama
keluarga angkat, kami telah dibawa bersiar-siar ke Kampung Serusup. Pengalaman yang
cukup berharga ialah saya dapat mengikut keluarga angkat pulang ke rumah mereka. Ia
merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan. Kami telah mendapat keluarga angkat
yang merupakan guru besar sekolah tersebut. Ini memberikan satu cabaran yang agak besar
kepada kami untuk memberi contoh yang baik. Mereka banyak memberikan nasihat kepada
saya supaya belajar bersungguh-sungguh dan jangan lupa jasa ibu bapa apabila berjaya
kelak. Saya berasa bersyukur dikurniakan ibu dan bapa angkat yang sangat tabah dan
penyayang.

Di samping itu, saya juga dihidangkan dengan pengisian rohani yang cukup baik untuk
dijadikan panduan dalam kehidupan mendatang semasa mendengar taklimat daripada
pensyarah maktab sendiri iaitu Encik Rozaimi. Saya dapat pelbagai maklumat serta semangat
baru daripada taklimat beliau tentang realiti kehidupan seorang guru yang mempunyai sikap
taat setia kepada negara terutamanya dalam dunia pendidikan masa kini. Ia telah

1
menyedarkan saya bahawa kerjaya guru pada masa kini dan masa akan datang amat
mencabar. Oleh itu, saya perlu ada kekuatan mental-mental dan fizikal untuk menjadi seorang
pendidik yang berjaya. Di samping itu, beliau juga menjalani satu forum tentang bagaimana
membina sebuah keluarga yang bahagia. Melalui forum ini, saya mendapati keluarga bahagia
bukan sahaja tanggungjawab ibu bapa; ia juga merupakan tanggungjawab sebagai anak
dalam keluarga tersebut.

Sepanjang program anak angkat ini dilaksanakan, saya dapati terdapat beberapa
perkara yang boleh dibanggakan dan dianggap sebagai faktor kekuatan dalam program ini.
Pertama, dari awal proses pemilihan dan penubuhan jawatankuasa, kemudian kepada
pembahagian tugasan, mesyuarat dan hingga ke pelaksanaan aktiviti dan juga pemulangan
alatan-alatan pada hari akhir program ini kami sentiasa bekerjasama. Sifat kekitaan jelas
diperlihatkan, bak kata pepatah, “ Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Semua
jawatankuasa saling bantu-membantu dalam usaha menjadikan program ini berjaya
dilaksanakan dan mencapai objektifnya. Kami juga berjaya dalam berpakat untuk
mengenakan pakaian yang seragam supaya dapat menaikkan imej kami sebagai bakal guru
yang disegani.

Kekuatan kedua program ini dapat dilihat pada faktor pengalaman sedia ada kami
dalam merancang sesebuah program. Ramai di antara ahli kelas kami yang sudah
mempunyai pengalaman dalam mengendalikan program-program seumpama ini sebelum ini,
jadi kebanyakan tugas menjadi mudah. Sebagai contoh, banyak urusan-urusan diplomasi,
surat menyurat dan proses mendapatkan kelulusan daripada pihak pentadbiran dapat
dipercepatkan kerana kami telah mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan
untuk menyempurnakan tugas tersebut.

Kekuatan program ini yang seterusnya dapat dilihat daripada segi penduduk Kampung
Serusup itu sendiri. Ini kerana sikap mereka yang peramah dan sentiasa bersemangat dalam
melakukan aktiviti-aktiviti bersama kami sepanjang program ini berlangsung. Selain itu,
mereka juga banyak memberikan kerjasama dan sokongan yang penuh dalam seiap aktiviti.
Malahan penyediaan tempat dan kawasan untuk aktiviti serta alatan juga banyak membantu
dalam menjayakan program ini. Contohnya semasa aktiviti gotong royong yang sekaligus
mengeratkan hubungan di antara kami. Kami juga turut rasa dihargai dan berbaloi merancang
program anak angkat di tempat tersebut.

Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa lubang-lubang kelemahan yang


menggangu dan perlu diperbaiki supaya hasil dan objektif yang direka tercapai. Pertama dari
segi cuaca, sepanjang tiga hari dua malam berada di sana iklim cuaca tidak begitu menentu.
Tetapi apa yang sudah tentu, hujan akan turun dalam pada sebelah petang mahupun malam
dalam satu hari. Walaupun dewan telah disediakan namun, proses kedatangan murid-murid

2
merangkap adik angkat kami turut terganggu. Mereka terpaksa menunggu sehingga hujan
berhenti baru dapat hadir ke dewan dan ini secara tidak langsung telah menjejaskan kelicinan
perjalanan program yang telah dirancang.

Kelemahan kedua ialah, masa yang singkat. Sepanjang tiga hari, dua malam kami
berada disana masa kami bersama adik-adik angkat tidak banyak. Kami hanya dapat
berjumpa dengan mereka selepas mereka pulang dari sekolah dan juga pada sebelah malam.
Kebanyakan masa kami juga telah dibahagikan untuk program dan aktiviti yang lain.

Oleh itu, cadangan yang dapat saya utarakan bagi mengatasi masalah ini ialah pada
masa akan datang dan sebagai panduan kepada pelajar-pelajar junior supaya mungkin
apabila menjalani program anak angkat ini, pastikan tarikh yang dipilih tidak bertemu dengan
hari persekolahan dan mungkin lebih elok jika program seperti ini dilakukan pada waktu cuti
sekolah. Masalah cuaca juga boleh diselesaikan jika pemilihan tarikh dilakukan dengan
merujuk ramalan kaji cuaca sekiranya terdapat aktiviti yang memerlukan kawasan luar dewan
yang luas. Sekaligus, perjalanan program yang telah dirancang berjalan dengan lancar.

Akhir kata, saya amat berpuas hati setelah menjalani program anak angkat ini kerana
terdapat banyak kebaikan yang seharusnya ada pada guru pelatih. Saya akan sentiasa
memastikan hubungan diantara saya dan keluarga angkat saya sentiasa berkekalan sehingga
akhir hayat. Ini kerana komitmen yang ditunjukkan oleh mereka membuat saya terharu dan
menyedarkan saya betapa pentingnya erti kasih sayang dan tanggungjawab terhadap
keluarga sepanjang menjalani kehidupan. Saya berharap program ini bukanlah penamat
tetapi permulaan yang baik serta diteruskan pada masa yang akan datang. Secara
keseluruhannya, semua aktiviti yang telah dirancang dalam program anak angkat ini
sememangnya menepati apa yang diperlukan oleh bakal-bakal guru untuk menjadi seorang
guru yang berjaya dari sudut sahsiah, akhlak dan juga pemikiran yang murni. Banyak manfaat
yang saya perolehi semasa menjalankan program ini. Diharapkan hasil yang akan terbentuk
daripada program ini benar-benar berkualiti dan mencapai tahap yang dikehendaki.

Anda mungkin juga menyukai