Anda di halaman 1dari 2

FAKTOR PENGUKUHAN PERPADUAN KAUM

Perpaduan kaum penting dalam membentuk 1 Malaysia. Berikan pendapat anda tentang
cara-cara mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang berdaulat di rantau nusantara. Rakyat
Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama serta hidup makmur
dalam kehidupan sehari-hari. Gagasan Satu Malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB
Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia bertujuan untuk
mengeratkan tali silaturahim sekali gus merealisasikan perpaduan nasional.

Sebenarnya, terdapat beberapa cara untuk kita mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita.
Pertama sekali, kita mestilah berusaha membina semangat kejiranan yang baik dalam
kehidupan seharian. Dengan ini, nilai hormat-menghormati antara kaum akan terbentuk
dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Kita juga selalu dinasihati agar senantiasa
bersikap toleransi dan bertolak ansur terhadap amalan dan budaya masyarakat majmuk
Malaysia. Rakyat yang hidup aman, makmur dan harmoni akan menghasilkan masyarakat
yang progresif.

Selain itu, kita dapat mengeratkan perpaduan kaum dengan melibatkan diri secara proaktif
dalam sambutan perayaan utama kaum-kaum di Malaysia. Program rumah terbuka, amalan
kunjung-mengunjungi pada musim perayaan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina,
Deepavali dan Krismas, usaha sama dalam dunia perniagaan dan lain-lain dapat merapatkan
hubungan dan menjauhkan perseteruan. Bersempena dengan musim perayaan juga, kita dapat
mengambil peluang untuk mendalami nilai budaya kaum-kaum yang terdapat di Malaysia.
Jelasnya, rakyat jelata dapat hidup aman damai dan bersatu padu ke arah menjayakan gagasan
Satu Malaysia.

Pada zaman teknologi, kita sepatutnya memanfaatkan penggunaan media massa dan
teknologi maklumat dengan sepenuhnya. Media massa dapat membantu menyiarkan rencana
dan drama khas untuk menyemaikan perpaduan antara kaum. Kaedah ini dapat
menyampaikan mesej yang tepat secara langsung kepada rakyat jelata di segenap pelosok
tanah air sekali gus mananamkan semangat perpaduan, muhibah dan jati diri dalam kalangan
rakyat.

Seterusnya, pihak kerajaan berperanan penting untuk menyatupadukan rakyat melalui
pelbagai perancangan dan program menjurus kepada gagasan Satu Malaysia. Misalnya,
dalam bidang pendidikan, guru dapat memainkan peranan yang proaktif untuk menyemaikan
nilai-nilai kerjasama dan persefahaman dalam kalangan murid melalui mata pelajaran Bahasa
Melayu, Pendidikan Siviks dan Kewarganegaraan, Pendidikan Moral dan Sejarah. Usaha
gigih guru juga boleh diterjemahkan dalam aspek kokurikulum yang melibatkan murid-murid
dalam kegiatan unit beruniform, kelab atau persatuan dan permainan. Misalnya, penglibatan
murid-murid yang beraneka kaum dan agama dalam program Rancangan Integrasi Murid
untuk Perpaduan (RIMUP) dan aktiviti perkhemahan perdana pada setiap tahun.

Pendek kata, kita haruslah bersikap sehati sejiwa dalam usaha merealisasikan perpaduan
kaum dalam kelangan rakyat Malaysia yang berlainan kaum, agama dan latar belakang
kehidupan bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Jelaslah bahawa perpaduan rakyat dapat membangunkan dan memakmurkan bangsa dan
negara menjelang Wawasan 2020!

Sumber : http://kertas1bmspm.blogspot.com/2010/09/cara-cara-mengukuhkan-perpaduan-kaum-di.html#uds-search-results

Anda mungkin juga menyukai