Anda di halaman 1dari 4

“Berikan saya sepuluh remaja, nescaya akan saya gegarkan

dunia ini,” begitulah lontaran suara Presiden Indonesia,


Soekarno tentang kepentingan remaja yang merupakan tiang
sandaran konkrit untuk memacu kemajuan negara pada masa
hadapan. Malaysia amat memerlukan remaja berwawasan
menelusuri arus pemodenan untuk melangkah dengan seribu
kekuatan menerusi aktiviti sukan. Usaha murni Kementerian
Pelajaran mewajibkan Program 1Murid 1Sukan menuntut setiap
anak watan mengotakan aspirasi ke arah menjulang negara ke
puncak jagat untuk membentuk generasi muda yang sihat,
proaktif, dan berdaya saing. Namun sayang seribu kali sayang,
minat bersukan dalam kalangan remaja pada hari ini semakin
berkurangan. Aspirasi yang diwara-warakan oleh kerajaan tidak
mampu direalisasikan sekirannya semua pihak memandang
enteng dengan sekadar membutakan mata dan memekakkan
telinga terhadap permasalahan ini dalam mengharungi masa
depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan. Memetik
ungkapan badan sihat, otak cerdas, semua pihak perlu
mengorak langkah mengatur langkah sederap berasaskan rasa
tanggungjawab bersama bagai aur dengan tebing untuk
memupuk minat bersukan dalam kalangan remaja.
Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh
semua pihak untuk mengembalikan minat remaja untuk
bersukan?

Dunia semakin canggih, taraf hidup masyarakat semakin


meningkat dan hal ini menuntut rakyat saling bersaing bagi
membuktikan keunggulan masing-masing setelah lima dekad
menghirup udara kemerdekaan demi mengharumkan nama
negara tercinta. Remaja memainkan peranan utama bagi
membuktikan keupayaan mereka mendepani realiti baru dunia
yang pantas berubah dan berkembang dalam mengetengahkan
semangat kesukanan sebagai asas pembentukan masyarakat
sakinah dan membenam budaya hedonistik yang tidak
berfaedah. Kesedaran remaja amat diperlukan agar dapat
menyerlahkan potensi dan bakat mereka dalam bidang sukan
yang mampu membina kekuatan dan sahsiah diri. Dunia
memandang tinggi terhadap pencapaian generasi muda yang
aktif bersukan menerusi penganjuran Sukan Olimpik, Sukan
Komanwel dan Sukan SEA yang cukup berprestij bagi
melahirkan atlet pelapis yang berwibawa. Remaja tidak harus
menafikan bahawa mereka memikul peranan yang cukup besar
untuk meningkatkan imej negara di mata dunia. Lihatlah hari ini
Malaysia cukup berbangga dengan lahirnya permata negara
seperti Datuk Lee Chong Wei, jaguh badminton negara dan
Pandalela Rinong, perenang wanita negara yang seharusnya
dijadikan ikon oleh para remaja untuk berkecimpung dalam
lapangan sukan yang ternyata banyak manfaatnya. Negara juga
bertuah memiliki sebutir bintang bernama Datuk Nicol Ann
David yang kini gah merangkul gelaran Ratu Skuasy Dunia.
Rekod kejayaan cemerlang para atlet negara perlu dijadikan
sebagai motivasi dan pembakar semangat remaja agar lebih
meminati aktiviti sukan di samping usaha kental yang mungkin
dapat menjadikannya laluan kerjaya suatu hari nanti
kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya.
Ibu bapa menjadi cerucuk utama pembangunan keluarga dalam
melahirkan remaja yang minat bersukan. Ibu bapa merupakan
guru pertama dalam kehidupan anak-anak yang usianya
masih setampuk pinang dan tidak mampu membezakan
antara intan dengan kaca. Sebagai suri teladan, ibu bapa
sewajarnya menunjukkan minat bersukan yang mendalam agar
tidak dikatakan seperti aforisme seperti ketam
mengajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa seharusnya
mempengaruhi minda generasi muda untuk menjadikan aktiviti
sukan sebagai rutin harian sejak kecil seperti melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Tamsilnya, anak-anak seharusnya
dibawa oleh ibu bapa untuk bersama-sama ke kompleks sukan
untuk bermain badminton, berenang, dan sebagainya bagi
memantapkan nilai-nilai kesukanan dalam jiwa remaja dan
mengeratkan wasilah kekeluargaan. Nasihat yang berguna
tentang maslahat aktiviti sukan haruslah ditekankan oleh para
ibu bapa agar persepsi negatif anak-anak terhadap bidang
tersebut dapat dikikis. Sebaliknya sukan bukan sahaja
menjanjikan kemantapan fizikal malah membina keyakinan
mental yang positif dalam kalangan remaja. Dengan kata lain,
ibu bapa memainkan peranan penting dalam menampilkan
wajah baru anak-anak yang disulami tekad untuk bersukan demi
keseimbangan jasmani dan rohani diri.
Peranan seterusnya dalam memupuk remaja meminati sukan
digalas oleh pihak sekolah yang seyogianya memastikan semua
pelajar menyertai aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolah.
Meskipun dasar 1Murid 1Sukan diwajibkan di semua sekolah,
namun pihak sekolah harus membimbing pelajar-pelajar
memenuhi impian agar tiada pelajar yang tidak melibatkan diri
dalam aktiviti tersebut. Pihak sekolah harus membetulkan
tanggapan pelajar yang masih terbelenggu dengan cara berfikir
yang sempit bahawa aktiviti sukan kononnya hanya untuk atlet
sekolah dan mereka yang bercita-cita untuk menceburi bidang
sukan sahaja serta mengganggu tumpuan pembelajaran. Guru-
guru juga sewajarnya menjalankan obligasi dengan
mendedahkan kepentingan bersukan seperti menyertai Kelab
Hoki, Kelab Olahraga dan sebagainya bagi keperluan 10 peratus
markah kemasukan pelajar ke universiti. Pelajar-pelajar harus
diterapkan hakikat bahawa kelulusan akademik semata-mata
bukanlah tiket jaminan untuk mereka berjaya menempatkan diri
di menara gading jika tidak diseimbangkan dengan
kecemerlangan dalam arena sukan. Tindakan tegas juga
haruslah diambil oleh guru-guru penasihat sekiranya para
pelajar gagal menghadirkan diri dalam aktiviti kokurikulum di
sekolah tanpa mengemukakan alasan yang munasabah. Oleh
yang demikian, kesedaran terhadap kepentingan penglibatan
para pelajar perlu dibajai kembali oleh pihak sekolah demi
membangunkan generasi yang berketrampilan, bersahsiah
mulia, dan berilmu.

Seorang cendekiawan Barat pernah memfasiqkan, “Pokok utama


kemajuan seseuatu bangsa ialah jiwa yang hidup”. Berlandaskan
kata-kata tersebut maka kerajaan harus menjalankan peranan
dengan membina lebih banyak infrastruktur seperti pusat sukan
dan taman rekreasi secara percuma bagi membolehkan rakyat
terutamanya remaja berpeluang melakukan pelbagai aktiviti
sukan untuk menghidupkan semula budaya sukan dalam atma
mereka. Keprihatinan kerajaan dengan menubuhkan sekolah-
sekolah sukan di seluruh negara menjadi landasan terbaik untuk
menyuburkan minat bersukan dalam kalangan anak-anak muda
memaksimumkan kemampuan mereka. Kerajaan juga
sewajarnya menumpukan usaha dengan mencari jurulatih
berpengalaman untuk membentuk ahli sukan bertaraf dunia.
Biasiswa sukan juga wajar diperluas kepada lebih ramai pelajar
yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam bidang sukan di
samping peluang untuk berkhidmat dalam bidang tersebut bagi
menggalakkan remaja lebih serius meminati sukan. Oleh itu,
kerajaan dapat memajukan taraf bangsa dengan menyediakan
prasarana sukan mencukupi agar dijadikan sumber inspirasi
remaja agar dapat menggapai cita yang luhur.

Akhirulkalam, hulurkan tanganmu, bukalah hatimu dan


lapangkanlah mindamu untuk bersama-sama menyokong hasrat
murni ke arah hidup sihat sejahtera kerana sukan memajukan
masyarakat dan negara. Generasi pelapis yang memiliki minda
kelas pertama dan jati diri unggul akan sentiasa mengutamakan
kesejagatan dalam hidup dengan menjadikan sukan sebagai
amalan hidup agar nilai keinsanan yang syumul dapat dipupuk
kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Manhaj-manhaj yang istiqamah, proaktif, pragmatik, dan jitu
mestilah digerakkan mulai sekarang kerana perjalanan beribu
batu bermula dari langkah yang pertama.

Anda mungkin juga menyukai