Anda di halaman 1dari 5

LATIHAN 15

Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anakanak menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anakanak dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.
Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju
menjelang 2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan
mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya
bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar. Barangan
keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya,
malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik.
Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari
tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi
orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih
kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan
penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah
ibu bapa perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak
akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada
mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan
insan yang paling dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anakanak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa
yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan
bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar
anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa
kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli
kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik
seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri
teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia
yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anakanak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini
terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari
remaja supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai
tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap
barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta
akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk
negara kepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk
mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga

untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama
Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama
Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang
merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar Pandang Ke
Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk
meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan
semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan
terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan
remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja
juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk
Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa
membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa
bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan
oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara.
Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai
tawaran potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan dan batik, yang
merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu
mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada
pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta
sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut
dan barang tersebut mestilah merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga
pameran yang mengadakan pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu
bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-pertandingan seperti
menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal
ini secara tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui
kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan
Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah
membeli barangan buatan Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi
baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan
Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedahfaedahnya, menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa
haruslah memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini
bukan sahaja kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah
harganya juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh
menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan
Malaysia kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui
secara mendalam barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah
barangan tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu
bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya,

membinakan semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan
standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam
menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak
supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan
kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang
merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan
peranannya yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong,
membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia
supaya negara kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga
mengeksport barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan
Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah
mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walalau bagaimanapun, usaha daripada
ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi. Rakyat Malaysia patut menghayati
tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan
semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin
memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia.
Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar
kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
LATIHAN 16
Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin
berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk
menarik minat orang ramai membaca karya sastera
Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki
sebuah komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding
mencari maklumat atau membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk
membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah
ada yang telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh
sasterawan negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan
sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang
dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita.
Minat untuk membaca karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam
kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil
oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya
sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang
ramai membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat
Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan
karya agung seperti novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, Salina

oleh A.Samad Said, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur oleh Kamaludin Muhamad
dan Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang agar murid mahupun guru
berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan
mengulas novel, sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini
membolehkan para pelajar untuk membaca karya-karya sastera memandangkan
mereka ingin menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat
pelajar terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh
menggalakkan setiap kelas menyediakan satu ruang atau sudut membaca di kelas
bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya sastera ketika guru tiada di
dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam
menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk
menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan
pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata
pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh
membaca sastera ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui
cara ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat
dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya
masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera
untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil
warisan bangsa selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa
boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur mereka.
Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu
membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya,
ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan
pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi
tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan
itu, minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai
dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam
mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya
sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera
kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini,
lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di
pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau
ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai.
Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita
dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan
peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya
sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik
perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.

Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan


kempen menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini,
rakyat berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat.
Tambahan pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap
daerah bagi memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya
sastera untuk dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk
mengurangkan kadar cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat
menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat khususnya golongan
berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri.
Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam
mengambil langkah untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih
banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak
penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai
genre sastera. Penerbit juga perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan
kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi
karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan
keuntungan dan bagi membolehkan para peminat berkongsi pendapat bersama
dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera
dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk
menghasilkan karya sastera yang bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak
menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat
orang ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati
terbuka supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan
seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai
dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan
mencerminkan identiti kita.

Anda mungkin juga menyukai