Anda di halaman 1dari 3

TAJUK: KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

Dewasa ini, sikap kasih dan sayang akan negara sudah semakin menghilang
dan luntur dalam golongan marhaen di setiap pelusuk empat penjuru dunia.
Hal ini demikian kerana sikap moral ini kurang dititik beratkan dalam urusan
seharian mereka sama ada di bangku persekolahan mahupun yang sudah
bekerja sehingga mereka sendiri kurang arif tentang sejarah-sejarah negara
yang mereka huni. Ada di antara mereka yang alpa akan keseronokan dunia
sehingga mereka tidak menghiraukan semangat patriotik dan langsung tidak
melahirkan rasa semangat untuk melaungkan “ Aku Cintakan Malaysia”.
Paling merunsingkan lagi, ada dalam kalangan rakyat yang langsung tidak
mahu menyambut Hari Kebangsaan dan merasakan perkara seperti
mengibarkan jalur gemilang tersebut hanya membuang masa mereka. Oleh
hal yang demikian, usaha dalam menitik beratkan semangat patriotik ini perlu
ditingkatkan oleh pelbagai pihak demi Malaysia yang tersayang. 
Pertama sekali, antara usaha yang boleh dilaksanakan bagi menaikkan
semangat sayang akan negara dalam kalangan masyarakat ialah kerajaan
perlu menyelaraskan silibus kelas moral dalam kalangan pelajar sejak di
bangku sekolah rendah lagi. Hal ini kerana, sikap sayang akan negara adalah
salah satu sikap yang amat penting dalam diri setiap penghuni negara dan
perlulah dicorak dalam diri masyarakat sejak kecil lagi agar sikap patriotik ini
terus bersemadi dalam diri mereka hingga ke akhir hayat. Peribahasa melayu
ada menyatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika masyarakat
sudah dididik daripada bangku persekolahan betapa pentingnya sikap
sayangkan negara, pasti perkara-perkara yang bakal merendahkan martabat
Malaysia di mata dunia tidak akan dilakukan. Oleh itu, kerajaan perlu
bersinergi bagi merealisasikan usaha dalam meningkatkan sikap sayangkan
negara demi kelestarian hidup berbilang kaum di negara ini.
Selain itu, para pendidik juga memainkan peranan penting dalam
mencorak sikap patriotisme dalam kalangan pelajar demi melahirkan
masyarakat yang sangat cinta akan negara. Pengajar perlu memberi
penekanan yang agak kritikal mengenai sikap patriotisme sewaktu sesi
pengajaran di sekolah mahupun kelas. Kaedah ni dapat menggalakkan
pelajar-pelajar untuk terus mempraktikkan dan memahami sikap semangat
cinta akan negara sehingga mereka dewasa. Tamsilnya, para pengajar juga
boleh mengadakan ujian formal di dalam kelas bagi sesuatu topik yang
mempunyai kaitan dengan negara kita bagi melihat sejauh mana mereka tahu
tentang negara Malaysia yang tercinta. Dengan ini, para pelajar akan sedar
dan sedikit sebanyak cuba mendalami isi kandungan negara kita, dan secara
tidak langsung dapat menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan
mereka supaya adat sayang akan negara ini tak lapuk dek hujan tak lekang
dek panas. Oleh hal yang demikian, pendidik perlulah mengambil inisiatif
dalam meningkatkan semangat patriotisme demi melahirkan pelajar yang
cemerlang sahsiahnya dalam membangunkan malaysia kelak. 
            Seterusnya, media massa juga bertanggungjawab dalam menggiatkan
kempen dengan menayangkan iklan-iklan tentang pentingnya semangat
patriotisme dalam kalangan masyarakat agar rasa sayang tersebut tidak sirna
ditelan zaman. Pada zaman moden kini, mata masyarakat lebih tertumpu ke
skrin telefon pintar dan juga muka televisyen. Oleh itu, Kementerian
Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu mengambil langkah bijak dan
berkesan bagi menggiat dan menyiarkan sebanyak mungkin kempen seperti
“Aku Negaraku Sedunia” ataupun poster bagi menyuburkan sifat patriotisme
ini dalam diri mereka. Sebagai contoh, media massa perlu sentiasa
menayangkan filem-filem yang menonjolkan kesungguhan dalam
menyelamatkan negara daripada pihak musuh seperti “ Kapten Hassan” dan
terbaru filem “Paskal” yang boleh memberi impak kepada masyarakat zaman
kini. Konklusinya media massa memainkan peranan penting dalam
melahirkan masyarakat yang cinta akan tanah air.
Dalam kita sedar ataupun tidak, ibu bapa juga memainkan peranan
penting dalam mencorakkan dan menanam sikap patriotisme dalam diri anak-
anak mereka. Anak adalah seperti kain putih, ibu bapalah yang patut
mencorakkannya. Ibu bapa adalah contoh teladan kepada anak- anak sejak
mereka lahir ke dunia kerana peribadi anak-anak melambangkan sikap ibu
bapa mereka kerana peribahasa ada menyatakan bagaimana acuan
begitulah kuihnya. Ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka untuk
mengikuti aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan untuk menanamkan
sikap patriotisme tersebut di dalam hati mereka. Ibu bapa juga boleh membeli
buku-buku yang menceritakan tentang pemimpin-peminpin negara tanpa
mengira bangsa dan agama. Dengan itu anak- anak akan menjadi
masyarakat yang mampu mencontohi pemimpin-pemimpin terdahulu untuk
menjadi bangsa yang berjaya. Jelaslah bahawa ibu bapa mampu
menanamkan sikap cinta akan negara dalam diri anak-anak mereka supaya
menjadi pemuda-pemudi harapan bangsa. 
  Secara holistiknya, masyarakat yang mempunyai semangat yang tinggi
untuk memperjuangkan tanah airnya akan sentiasa berusaha untuk
meningkatkan kemajuan negara supaya duduk sama rendah, tegak sama
tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Oleh itu, pelbagai pihak perlu
berganding bahu bagai aur dengan tebing demi memastikan sifat patriotisme
ini sentiasa dipupuk demi melahirkan masyarakat yang berjiwa murni.

Anda mungkin juga menyukai