Anda di halaman 1dari 2

ESEI MENENGAH BAWAH

Menyemai Sikap Nasionalisme dan Cinta Akan Negara

Dasawarsa ini, sikap kasih dan sayang akan negara sudah semakin menghilang dan
luntur dalam golongan marhaen di setiap pelusuk empat penjuru dunia. Hal ini demikian kerana
sikap moral ini kurang dititik beratkan dalam urusan seharian mereka sama ada di bangku
persekolahan mahupun yang sudah bekerja sehingga mereka sendiri kurang arif tentang
sejarah-sejarah negara yang mereka huni. Ada antara mereka yang alpa akan keseronokan
dunia sehingga mereka tidak menghiraukan semangat patriotik dan langsung tidak melahirkan
rasa semangat untuk melaungkan “ Aku Cintakan Malaysia”. Paling merunsingkan lagi, ada
dalam kalangan rakyat yang langsung tidak mahu menyambut Hari Kebangsaan dan
merasakan perkara seperti mengibarkan Jalur Gemilang tersebut hanya membuang masa
mereka. Oleh hal yang demikian, usaha dalam menitik beratkan semangat patriotik ini perlu
ditingkatkan oleh pelbagai pihak demi Malaysia yang tersayang. 

            Pertama sekali, antara usaha yang boleh dilaksanakan bagi menyemai sikap
nasionalisme dan cinta akan negara dalam kalangan masyarakat ialah kerajaan perlu
menyelaraskan silibus subjek Pendidikan Moral dalam kalangan pelajar sejak di bangku
sekolah rendah lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana, sikap nasionalisme dan cinta akan
negara adalah salah satu sikap yang amat penting dalam diri setiap penghuni negara dan
perlulah dicorak dalam diri masyarakat sejak kecil lagi agar sikap patriotik ini terus bersemadi
dalam diri mereka hingga ke akhir hayat. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Jika masyarakat sudah dididik daripada bangku persekolahan
betapa pentingnya sikap sayangkan negara, pasti perkara-perkara yang bakal merendahkan
martabat Malaysia di mata dunia tidak akan dilakukan. Oleh itu, kerajaan perlu bersinergi bagi
merealisasikan usaha dalam meningkatkan sikap sayangkan negara demi kelestarian hidup
berbilang kaum di negara ini.

            Seterusnya, media massa juga bertanggungjawab dalam menggiatkan kempen dengan
menayangkan iklan-iklan tentang pentingnya semangat nasionalisme dalam kalangan
masyarakat agar rasa sayang tersebut tidak sirna ditelan zaman. Pada zaman moden kini, mata
masyarakat lebih tertumpu ke skrin telefon pintar dan juga muka televisyen. Oleh itu,
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu mengambil langkah bijak dan
berkesan bagi menggiat dan menyiarkan sebanyak mungkin kempen seperti “Aku Negaraku
Sedunia” ataupun poster bagi menyuburkan sifat patriotisme ini dalam diri mereka. Sebagai
contoh, media massa perlu sentiasa menayangkan filem-filem yang menonjolkan kesungguhan
dalam menyelamatkan negara daripada pihak musuh seperti “ Leftenan Adnan” dan terbaru
filem “Paskal” yang boleh memberi impak kepada masyarakat zaman kini. Konklusinya media
massa memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat yang cinta akan tanah air.

            Akhir sekali, dalam kita sedar ataupun tidak, ibu bapa juga memainkan peranan penting
dalam mencorakkan dan menanam sikap nasionalisme dalam diri anak-anak mereka. Anak
adalah seperti kain putih, ibu bapalah yang patut mencorakkannya. Ibu bapa merupakan contoh
teladan kepada anak- anak sejak mereka lahir ke dunia kerana peribadi anak-anak
melambangkan sikap ibu bapa mereka kerana peribahasa ada menyatakan bagaimana acuan
begitulah kuihnya. Ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka untuk mengikuti aktiviti seperti
sambutan Hari Kemerdekaan untuk menanamkan sikap nasionalisme tersebut dalam hati
mereka. Ibu bapa juga boleh membeli buku-buku yang menceritakan pemimpin-peminpin
negara tanpa mengira bangsa dan agama. Dengan itu, anak- anak akan menjadi masyarakat
yang mampu mencontohi pemimpin-pemimpin terdahulu untuk menjadi bangsa yang berjaya.
Jelaslah bahawa ibu bapa mampu menanamkan sikap cinta akan negara dalam diri anak-anak
mereka supaya menjadi pemuda-pemudi harapan bangsa. 

            Secara holistiknya, masyarakat yang mempunyai semangat yang tinggi untuk
memperjuangkan tanah airnya akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemajuan negara
supaya duduk sama rendah, tegak sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Oleh itu,
pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing demi memastikan sifat
patriotisme ini sentiasa dipupuk demi melahirkan masyarakat yang berjiwa murni.

Anda mungkin juga menyukai