Anda di halaman 1dari 4

Pertandingan Syarahan Piala Perpaduan

Tajuk : Hargai Barangan Buatan Malaysia

Bintang tujuh sinarnya bercahaya,


Bulan purnama datang menerpa,
Dengarkan tajuk syarahan saya,
Hargai barangan buatan Malaysia.
Salam sejahtera, salam perpaduan dan salam satu Malaysia. Terima kasih
diucapkan kepada pengacara majlis. Barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,
penjaga masa, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin sekalian. Hargai barangan buatan
malaysia. Begitulah tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini.
Hadirin sekalian,
Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan
dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba
masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan
keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi
kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi.
Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang
sememangnya pun tidak menguntungkan. Demikian juga sikap prejudis memandang
rendah barangan tempatan seharusnya dilontar jauh-jauh dari sudut pemikiran kita dan
sebaliknya membina semangat Malaysia.
Hadirin sekalian,
Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati bahawa peratusan
rakyat Malaysia yang menggunakan barang buatan negara malah menyokong
barangan buatan Malaysia telah menurun setiap tahun. Mengapakah perkara sebegini
berlaku? Tepuk dada tanyalah selera kerana isu-isu ini telah menjadi buah
mulut masyarakat negara kini. Pelbagai cara perlu dilaksanakan untuk menggalakkan
pembelian barangan buatan Malaysia terutamanya rakyat negara sendiri.
Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi pemikiran dan
sikap rakyat kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi sikap dan
pemikiran tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah
kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini. Rakyat Malaysia perlu
mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap
barangan tempatan.

Manfaat serampang dua mata akan dinikmati oleh pelbagai pihak apabila rakyat
mengutamakan barangan tempatan. Manfaat pertama ialah dapat mengelakkan
pengaliran keluar wang negara ini. Kedua, dapat menggalakkan pembangunan industri
tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.
Hadirin sekalian,
Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya sehingga
menyebabkan ramai yang rambang mata. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal
industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang
menembusi pasaran di luar negara. Selain itu, semakin banyak jenama buatan
Malaysia membanjiri pasaran untuk mengalakkan rakyat membeli barangan buatan
Malaysia. Rakyat sepatutnya menyokong barang buatan Malaysia yang tidak sekadar
lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan
kuantiti yang baik
Dalam hal ini, pihak media memainkan peranan yang penting dalam memberi
sokongan kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan
buatan Malaysia. Pihak media cetak memainkan peranan dalam menerangkan
kebaikan barangan buatan Malaysia serta faedahnya malalui surat khabar dan majalah.
Manakala, media elektronik seperti radio, televisyen dan internet juga merupakan
wadah yang penting dalam penyebaran maklumat. Sebagai contoh, kewujudkan online
membeli-belah membolehkan rakyat membeli barang buatan Malaysia dengan senang
melalui internet. Kempen Beli Barangan Malaysia harus dijalankan disamping pelbagai
iklan, rancangan dan sebagainya harus disiarkan dalam media cetak dan elektronik..
Pada masa yang sama, pihak swasta juga harus bertindak proaktif untuk
mempromosikan barangan Malaysia. Jelasnya, pelbagai pihak perlu berganding bahu
dan bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mempromosikan kabaikan dan faedah
membeli barangan buatan Malaysia.
Ingat hadirin sekalian. Negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang
tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
Harum baunya bunga cempaka,
Bunga mawar kembang berseri.
Sekian sahaja syarahan saya,
Panjang umur jumpa lagi
Sekian, terima kasih.

Pertandingan Syarahan Piala Perpaduan


Tajuk : Sekolah Penyayang Murid Cemerlang

Bintang tujuh sinarnya terang,


Bulan purnama datang menerpa,
Sekolah penyayang murid cemerlang,
Begitulah tajuk syarahan saya.
Salam sejahtera, salam perpaduan dan salam satu Malaysia. Terima kasih
diucapkan kepada pengacara majlis. Barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,
penjaga masa, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin sekalian. Sekolah penyayang murid
cemerlang. Begitulah tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini.
Pendidikan adalah aktiviti berkaitan pembentukan dan perkembangan ilmu,
kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Sekolah sebagai organisasi yang
didokung golongan pendidik menjadi wadah terpenting dalam menjana modal insan
terpuji di samping melahirkan intelektual. Hari ini bidang pendidikan menjadi tonggak
utama sesebuah negara dalam proses pembangunan.Maju atau mundur sesebuah
negara terletak pada keberkesanan sistem pendidikannya.
Hadirin sekalian,
Konsep Sekolah Penyayang merupakan salah satu konsep yang penting dalam
sistem pendidikan Malaysia. Konsep Sekolah Penyayang adalah konsep yang mampu
menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sekolah Penyayang juga
mampu menjana generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek,
jasmani dan mempunyai disiplin diri yang tinggi.
Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan konsep Sekolah
Penyayang untuk melahirkan pelajar berketrampilan, sekali gus membendung salah
laku pelajar. konsep Sekolah Penyayang yang menekankan sayang menyayangi dan
mewujudkan kemesraan guru dengan murid serta warga sekolah dengan ibu bapa
hendaklah dipertingkatkan lagi. Dengan wujudnya kemesraan itu, gejala tidak sihat
dalam kalangan murid dapat dihindari dan dibendung.
Sekolah Penyayang jika diperkasakan mampu menjadi satu pendekatan
berkesan untuk membendung masalah sosial murid dan menangani gejala ponteng
sekolah. Satu mekanisma efektif mesti diambil untuk menarik kembali para murid agar
mereka sentiasa seronok, suka dan sayang untuk meninggalkan kawasan sekolah serta
tertunggu-tunggu untuk datang semula esoknya.
Hadirin sekalian,
Sekolah penyayang dapat melahirkan insan yang berjiwa harmoni dan
bertanggungjawab. Apabila kehidupan di sekolah penuh keceriaan, bermakna
hubungan antara warga sekolah menjadi bersepadu, saling hormat menghormati serta
saling membantu dalam apa jua aktiviti.

Ciri-ciri seorang guru yang hebat dan berkesan ialah tidak berperilaku
menakutkan, tidak bersikap kasar, sentiasa menyayangi murid dan murid turut
menyayangi mereka.
Seseorang pendidik penyayang itu akan sentiasa bersemangat tinggi ketika
menyampaikan pengajaran di samping tidak putus-putus memberi motivasi agar
muridnya berjaya dengan cemerlang, tetapi yang lebih penting seseorang pendidik
mesti bersikap peramah dan menunjukkan wajah ceria di hadapan muridnya.
Hadirin sekalian,
Dalam memastikan keberkesanan konsep sekolah penyayang, ibu bapa perlu
berperanan sebagai pengukuh kepada kejayaan anak. Dalam hal ini, peranan
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu digerakkan secara optimum. Kehadiran ibu
bapa dalam aktiviti sekolah mampu menghidupkan situasi lebih kondusif, malah boleh
menjadi pemangkin kepada penyelesaian masalah disiplin di sekolah.
Jalinan hubungan erat antara pentadbir sekolah, guru, dengan pihak PIBG akan
membina kekuatan kepada usaha mencapai kecemerlangan akademik dan pembinaan
sahsiah murid.
Memang tidak dinafikan kejayaan seseorang murid memang bergantung kepada
usaha murid itu sendiri bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Namun, sokongan daripada guru dan keluarga serta dengan adanya konsep sekolah
penyanyang ini dapat membantu murid untuk lebih bermotivasi bagi mencapai kejayaan
yang lebih cemerlang.
Hadirin sekalian,
Konsep Sekolah Penyayang mesti disegarkan kembali dan ditambah nilai
dengan pendekatan lebih efektif agar matlamat melahirkan pelajar seimbang dari segi
intelek, rohani, jasmani dan emosi sebagaimana termaktub dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan akan tercapai selaras merealisasikan Wawasan 2020.

Rusa betina berbelang kaki,


Mati dijerat di malam hari,
Izinkan saya mengundur diri,
Lain masa kita jumpa lagi.
Sekian sahaja syarahan saya pada kali ini. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai