Anda di halaman 1dari 1

Kebaikan Belajar Secara Berkumpulan

Pada era globalisasi ini, kita perlulah mengamalkan budaya belajar secara berkumpulan.
Sesungguhnya, banyak manfaatnya jika kita belajar secara berkumpulan.

Antaranya, kita dapat berkongsi buah fikiran bersama-sama rakan-rakan. Pada masa yang
sama, kita dapat bertukar pandangan serta idea dengan rakan-rakan supaya kita mempunyai
pengetahuan yang luas. Tambahan pula, kita akan menjadi orang yang berilmu dan
mengelakkan diri kita menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Selain itu, kita boleh mengulang kaji dengan rakan-rakan semasa kita belajar secara
berkumpulan dengan mereka. Rakan-rakan kita dapat membantu kita menyelesaikan masalah
pelajaran yang kita hadapi. Pada masa yang sama, kita boleh membuat latihan tambahan atau
kerja sekolah yang diberi oleh guru bersama-sama. Kita dapat berbincang sesuatu topik dengan
lebih mendalam seterusnya menguasai tajuk yang diajar oleh guru.

Di samping itu, sahsiah kita juga akan menjadi lebih baik apabila kita belajar secara
berkumpulan. Misalnya, kita dapat memupuk nilai bekerjasama semasa kita belajar secara
berkumpulan. Kita akan saling membantu dan bersepakat apabila rakan-rakan kita menghadapi
masalah. Oleh itu, masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan cepat, bak kata pepatah
bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Akhirnya, kita juga dapat mengelakkan sikap mementingkan diri, bak kata pepatah bagai enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Sesungguhnya, sikap mementingkan diri perlu
dielakkan dalam diri setiap masyarakat agar kita dapat hidup dengan aman dan harmoni. Hal ini
dapat dibuktikan apabila setiap ahli kumpulan bekerjasama dan saling berkongsi ilmu semasa
belajar secara berkumpulan. Jika sikap mementingkan diri dapat dielakkan sejak dari bangku
sekolah, sudah pasti nagara kita dapat melahirkan generasi yang berwawasan.

Konklusinya, kebaikan belajar secara berkumpulan tidak dapat kita nafikan lagi. Lantaran itu,
semua pihak perlulah menggalakkan murid-murid belajar secara berkumpulan supaya murid-
murid mendapat manfaatnya.

Anda mungkin juga menyukai