Anda di halaman 1dari 2

Tajuk; Kepentingan sukan kepada negara

Nampak indah kemboja di jalan,


Banyak dilihat menghias pusara,
Bersukan beriadah jadikan amalan,
Mental sihat negara sejahtera.

Jutaan apresiasi buat tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa
yang budiman, para pendidik yang berwawasan, rakan-rakan seperjuangan seterusnya hadirin
hadirat warga dewan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikumwarahmatullahiwabaratuh
dan salam sejahtera..

Berdirinya saya di persada yang indah ini tidak lain dan tidak bukan ingin menghidangkan
sebuah pidato yang bertajuk kepentingan sukan kepada negara untuk menjadi santapan minda
pada hari yang gemilang ini.

Sebelum isi menyusur hujah izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato saya
pada hari ini. Menurut kamus dewan edisi keempat, sukan terdiri daripada pelbagai aktiviti
fizikal untuk pelbagai tujuan sama ada untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan,
kemahiran dan kecemerlangan. Perbezaan inilah yang membezakan sifat sesuatu sukan.
Misalnya, ‘The Pocket Rocket Man Malaysia’, Dato’ Azizulhasni Awang yang sudah
mengharumkan nama Malaysia di dalam velodrom dalam acara basikal trek dikira sebagai
sukan, tetapi anak-anak berbasikal di taman dianggap sebagai rekreasi untuk keseronokan.

Hadirin yang bervisi, initipati wacana saya yang pertama sukan meningkatkan kesihatan
mental serta fizikal masyarakat. Sebagai bukti, Dr Shaharudin Abdul Aziz, pensyarah fakulti
sains sukan dalam kajiannya menyatakan kekuatan minda serta intelektual seseorang
bergantung kepada kesihatan fizikal. Seperti yang kita maklum, badan sihat minda cerdas
justeru akan lahirlah seorang insan yang cemerlang dan holistik. Buktinya Fatin Nurfatehah atlet
memanah negara bukan sahaja hebat di lapangan malah lebih membanggakan beliau sedang
menyambung pengajian peringkat kedoktoran di Universiti Pendidikan Sultan Idris sekali gus
mampu memberi sumbangan kepada negara dari aspek sukan kelak. Maka benarlah sukan
mencerdaskan minda masyarakat yang akan menjadi tunjang negara.

Hadirin yang dihormati, intipati wacana saya yang kedua, sukan meningkatkan ekonomi
negara. Sebagai bukti Le Tour De Langkawi iaitu acara jelajah lumba basikal lebuhraya yang
menjadi acara tahunan di Malaysia telah berjaya menarik atlet-atlet luar negara dan pelancong
untuk datang ke Malaysia. Acara ini dapat membantu meningkatkan ekonomi negara contohnya
melalui sektor perhotelan serta makanan sepanjang acara berlangsung justeru secara tidak
langsung mereka akan mengenali Malaysia dan menceritakan pengalaman semasa bertanding
dan berada di Malaysia sekali gus meningkatkan kadar pelancong kerana para pelancong
masih tertarik dengan kecantikan dan keamanan Malaysia setelah kejohanan tamat. Maka
jelaslah bahawa sukan dapat meningkatkan ekonomi negara kita.
Hadirin yang budiman, intipati wacana saya yang ketiga, sukan memupuk perpaduan negara.
Seperti yang kita sedia maklum sukan merupakan alat penyatuan kaum yang utama di
Malaysia. Buktinya atlet-atlet Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.
Antara contoh yang boleh kita lihat, Datuk Lee Chong Wei, bekas pemain badminton Malaysia
dan nombor satu dunia yang amat gemilang pada zamannya. Lebih bangga lagi beliau amat
terkenal dengan sikap ramah dan pemurah. Misalnya, beliau telah menubuhkan Yayasan Lee
Chong Wei dan telah memberi dana RM243,000 untuk menaiktaraf Hospital Bukit Mertajam
bagi memberi keselesaan kepada masyarakat tidak mengira bangsa dan agama. Fakta ini
menunjukkan perpaduan di Malaysia sudah utuh dan tidak dapat dinafikan bahawa sukan
merupakan salah satu platform yang telah membina perpaduan kaum di Malaysia, benarlah
peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Hadirin yang dikasihi, imtihannya terdapat banyak faedah kepada negara yang diperoleh
daripada masyarakat yang melibatkan diri dalam sukan. Tiada halangan untuk kita bersukan
kerana banyak infrastruktur yang sudah tersedia lengkap pada hari ini. Hendak seribu daya tak
hendak seribu dalih. Marilah kita bersama-sama ringan tulang dalam menyertai aktiviti sukan
bagi membentuk rakyat yang efektif sekaligus mampu memacu negara menjadi lebih maju dan
berdaya saing. Majulah sukan untuk negara.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai