Anda di halaman 1dari 2

Pucuk manis permatang budi,

Pucuk purut di getus rusa,


Yang manis bernama budi,
Yang indah bernama bahasa.

Terima kasih pengacara majlis.


Yang berbahagia, puan pengetua,
Yang dihormati penolong kanan kurikulum,
penolong kanan hal ehwal murid,
penolong kanan kokurikulum,
guru-guru,
rakan-rakan,
kombinasi para juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan,
penjaga masa yang budiman,
dan seterusnya hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasihi sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera pembuka bicara.

Berdirinya saya di atas persada indah tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin menyampaikansebuah
pidato yang bertajuk "Sukan Memartabatkan Negara"

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kita membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah,
izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar hakim
tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata, seperti kata orang dahulu kala:

Yang buta tidak teraba-raba,


Yang pekak tidak tertanya-tanya,
Yang kecil tidak terambin-ambin,
Yang pendek tidak tertinjau-tinjau.

Secara umumnya, sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai pertandingan,
keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan dan sebagainya. Perbezaan tujuan inilah
yang membezakan sifat sesuatu sukan itu. Misalnya, berenang secara bersaingan di hadapan ribuan
penonton akan dikira sebagai sukan tetapi berenang bersendirian di koam atau laut dilihat sebagai
aktiviti rekreasi.

Para hakim yang bijaksana lagi arif,

Wacana saya yang pertama, sukan dapat melahirkan insan yang cergas dan cerdas. Memang tidak
dapat disangkal lagi bahawa sukan akan melahirkan insan yang cergas dan cerdas. Aktiviti sukan
melibatkan pergerakan anggota badan.

Senaman dapat menguatkan sendiri-sendi dan otot-otot tubuh. Lemak yang termendap dalam badan
dapat digunakan untuk menjana tenaga. Aktiviti sukan juga dapat membantu proses perpeluhan dan
menghilangkan panas badan. Dengan ini, seseorang akan dapat menghindarkan masalah penyakit
kronik seperti sakit jantung da diabetes. Dengan badan yang sihat, kita dapat menumpukan perhatian
yang sepenuhnya terhadap pekerjaan dan pelajaran Lantas, kemajuan dan kemakmuran sesebuah
negara dapat dicapai.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,

Selain itu, sukan juga boleh mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan. Kemajuan sukan akan
meningkatkan permintaan terhadap peralatan sukan. Oleh itu, bidang pembuatan dan pengeluaran
alat-alat suka secara komersial akan berkembang dengan lebih pesat. Selian itu, usaha untuk
menyediakan pelbagai kemudahan prasarana sukan turut mendatangkan pulangan yang lumayan.
Misalnya, untuk membina stadium, kolam renang bertaraf antarabangsa dan sebagainya. Peluang
perniagaan juga turut terbuka luas kepada kontraktor dan pembekal bahan binaan. Peluang-peluang
pekerjaan juga dapat diwujudkan. Hal ini bermakna, industri bukan sahaja menyumbang kepada
pendapatan negara tetapi menjamin peluang-peluang baharu bagi rakyat mencari kerjaya yang
sesuai.
Hadirin dan hadirat sekalian,

Di samping itu, sukan juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Sebelum sesuatu pertandingan, para atlet atau pemain akan berkumpul di kem latihan. Di situlah
mereka tinggal, makan, berehat,dan berlatih bersama-sama.

Pergaulan dan interaksi atlet dan pemain pelbagai kaum akan melahirkan persefahaman yang erat.
Ketika pertandingan berlangsung, mereka akan bersatu hati, saling membantu untuk menjayakan misi
negara. Rakyat jelata sebagai penyokong dan peminat sukan juga akan menunjukkan semangat
kebangsaan mereka dengan menyokong semua pemain yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Misalnya, kita boleh lihat situasi di mana terdapat 15 000 orang rakyat berbilang kaum mendaftarkan
diri sebagai sukarelawan untuk sukan Komanwel (SUKOM)1998.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Sukan juga dapat mengangkat martabat negara ke mercu yang lebih tinggi. Pencapaian cemerlang
dalam temasya sukan membolehkan nama Malaysia terukir dalam sukan antarabangsa. Contoh yang
paling ketara ialah apabila Malaysia berjaya merampas Piala Thomas semula pada tahun 1992
setelah 25 tahun kehialangannya. Pasukan badminton Piala Thomas telah menjadikan nama
Malaysia disebut-sebut di seluruh dunia.

Dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 pula, Dato Lee Chong Wei mengharumkan nama negara dengan
memenangi pingat perak dalam sukan badminton. Pencapaian Ratu Skuasy Negara, Dato' Nicol Ann
David, lebih membanggakan. beliau telah menjadi juara dunia dalam sukan itu sebanyak empat
kali,iaitu pada tahun 2005-2006 dan 2008-2009 serta menduduki ranking pertama dunia sejak tahun
2006.

Sukan juga dapat mengatasi masalah sosial seperti lepak, penyalahgunaan dadah, dan vandalisme
yang melanda remaja kita. Masalah ini terjadi kerana remaja tidak mempunyai hobi yang sihat untuk
mengisi masa lapang mereka. Aktiviti sukan merupakan salah satu hobi yang sihat dan membolehkan
remaja mengisi masa lapang dengan bermakna. Selain itu,sukan juga dapat memupuk disiplin dan
azam yang kuat yang membantu remaja menghindarkan diri daripada masalah sosial yang serius.

Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya menyusun sepuluh jari memohon maaf andai terkasar
bahasa, tersalah kata atau tersilap bicara. Saya mengakhiri pidato saya ini dengan serangkap pantun

Burung undan burung tempus,


Hinggap berehat di pohon cemara,
Sukan amalan untuk semua,
dapat memartabatkan negara.

Sekian, wabilahi taufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai