Anda di halaman 1dari 2

Perkasa bangsa kerana bahasa

Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Salam 1 Malaysia. Yang saya hormati tuan
pengerusi majlis, barisan panel hakim, penjaga masa seterusnya hadirin sekalian.
Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk PERKASA
BANGSA KERANA BAHASA
Hadirin yang dihormati sekalian
Ayuh kita imbas semula. Sudah termaktub dalam lembaran sejarah bahawa bahasa
menyatukan manusia. Saya yakin benar dengan fakta ini namun berlegar-legar di
minda saya persoalan, apakah rahsia disebalik intipati penyatuan tersebut?
Hadirin yang dihormati,
Cetusan minda saya yang pertama, Megah bangsa kerana bahasa
Tidak terlahir bangsa bersatu jika yang berdiri membela pertiwi hanya satu individu.
Sebaliknya ia terbina dengan penyatuan manusia yang sentiasa bergerak dalam
suatu ikatan kukuh. Begitu jugalah dengan penyatuan bangsa di Malaysia.
Sesungguhnya segala yang dikecap pada masa ini adalah hasil daripada muafakat
jitu mereka terdahulu. Kajian oleh pengkaji sains sosial membuktikan bahawa
perhubungan yang terjaga bahasanya akan mewujudkan suasana aman, harmoni
dan sejahtera. Namun jika cacamarba bahasanya maka hasilnya juga cacamarba.
Atas dasar itu, dalam menjalin pertalian saudara, bahasa memainkan peranan
sebagai alat komunikasi yang berkesan. Hal ini saya kaji dengan terperinci. Orang
dahulu amat menjaga bait-bait yang bakal keluar dari mulut mereka. Satu hamburan
kata mampu menukar seorang sahabat kepada musuh selama-lama. Oleh hal yang
demikian individu sewajarnya menggunakan bahasa yang mengandungi nilai hormat
yang tinggi dengan kosa kata halus dan bertatasusila serta tidak menyinggung
perasaan masyarakat. Hal ini mewujudkan kesalingfahaman, dan kerjasama ke
arah kebaikan sekali gus membentuk cara hidup yang dikenal sebagai kebudayaan
dan pada tingkat tinggi yang disebut sebagai tamadun atau peradaban. Ringkas
bicara bersatu bangsa kerana santunnya bahasa.
Hadirin yang dihormati

Jana minda saya yang kedua, Bersatu bangsa kerana bahasa.


Bangsa Malaysia menuturkan Bahasa Malaysia, bahasa watan yang mampu
merapatkan dan menimbus pelbagai jurang. Ia bukan sekadar alat komunikasi,
tetapi wahana pengikat sosial yang mampu merentas geografi, dan dinding kaum.
Hal ini benar kerana penggunaan bahasa yang sama mampu mengelakkan salah
faham dan prejudis dalam masyarakat majmuk. Lantas terhakis nilai etnosentrik,
iaitu riak bangsa yang membelenggu jiwa dan diganti dengan nilai relativisme, iaitu
variasi budaya diterima dengan hati terbuka. Aneka budaya dikongsi indahnya
dengan bahasa. Sesungguhnya kekuatan negara terletak pada watan yang bersatu
dalam satu simpulan.
Lontaran minda saya yang terakhir, Bahasa cerminan bangsa
Pada saat ini luluh seni bahasa kerana luluhnya integriti manusia marcapada. Hal
ini saya fokuskan pada wadah utama penyebaran maklumat iaitu media elektronik.
Kerancuan penggunaan bahasa dalam berlaku dalam sebaran maklumat pada
masa ini menyebabkan ia sukar dibendung. Bahkan segala yang terhasil lekat di
minda, dan terpahat di hati masyarakat. Oleh hal yang demikian media massa
seperti televisyen, radio dan laman-laman sesawang tidak harus mementingkan
aspek penyampaian maklumat dan hiburan semata-mata tetapi mengambil iktibar
dengan memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menyebarluaskan
penggunaan bahasa yang baik, dengan baris-baris kata gramatis dan indah. enar
bagai dikata kerana tatkala berbunyi bahasa maka diketahuilah bangsa.
Akhir bicara, ayuh refleksi, di mana akan kita cari pembela bahasa agar terbina
bangsa megah yang bermaruah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Bahasa
Dijunjung, Bangsa Disanjung. wassalam

Anda mungkin juga menyukai