Anda di halaman 1dari 3

Yang mulia Tuan Pengerusi majlis, barisan panel hakim yang adil lagi bijaksana,

guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian. Salam sejahtera saya


ucapkan. Pada pagi yang mulia ini, izinkan saya menyampaikan sebuah syarahan
bertajuk Perpaduan Asas Pembangunan Negara.

Bersatu Kita Teguh

Bercerai Kita Roboh

Begitulah indahnya pepatah masyarakat dulu sebagaimana indahnya negara


Malaysia sebuah negara yang aman damai disamping penduduknya yang berbilang
kaum. Keadaan ini dapat dikekalkan kerana berlakunya toleransi antara kaum
utama terbesar di negara kita iaitu Melayu, Cina dan India. Justeru itu, kita
seharusnya bersyukur dengan keamanan dan keharmonian di mana kita boleh
duduk bersama serta berbincang tanpa ada rasa perbezaan antara satu sama lain.
Persefahaman yang telah berjaya dicapai ini perlu dikekalkan supaya tiada
perasaan curiga antara kaum kerana ia akan menjejaskan serta merosakkan
semangat kejiranan yang telah terjalin sejak sekian lama.

Sidang hadirin sekalian,

Perpaduan bermaksud bekerjasama ataupun saling membantu. Pembangunan


pula bermaksud segala pembaharuan dan kemajuan yang membawa kepada taraf
hidup yang lebih baik. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa amalan bersatu padu
dalam kalangan rakyat merupakan dasar kepada kemajuan sesebuah negara seiring
dengan gelombang modenisasi.

Para pemimpin negara kita saban hari dan setiap ketika menyeru rakyat
Malaysia membentuk benteng pertahanan yang teguh menentang anasir-anasir luar.
Hubungan dan kerjasama yang erat akan memastikan negara Malaysia terus maju
dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya perkara ini tidak diberi
perhatian, harapan dan aspirasi pemimpin kita pada masa lalu akan menjadi
angan-angan Mat Jenin sahaja. Perjuangan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan
Cheng Lock dan Tun Sambathan akan sia-sia sahaja. Justeru, sebagai seorang
rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri yang tinggi dan berhati waja, kita
haruslah menghargai kemerdekaan yang telah diperoleh ini dan berusaha
mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam jiwa kita demi pembangunan
negara.

Para hadirin yang dimuliakan,

Negara kita kini telah berjaya mencapai tahap yang tinggi dan dihormati di
mata dunia. Kecemerlangan negara kita dalam pelbagai bidang menyebabkan
negara lain cemburu dengan pencapaian negara kita. Malah, negara Malaysia telah
dijadikan negara contoh oleh negara-negara dunia ketiga. Biarlah mereka cemburu
melihat pencapaian nusa kita yang sememangnya merupakan berkat amalan nilai
bantu-membantu dan nilai toleransi. Pepatah Melayu ada mengatakan bulat air
kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Para hadirin yang dikasihi,

Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita, Dato Seri
Najib bin Tun Abdul Razak pada bulan Mac 2009 merupakan usaha beliau untuk
menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah satu slogan yang akan menjadi identiti
rakyat negara ini. Hasrat Perdana Menteri kita ialah untuk mewujudkan satu
bangsa Malaysia sekiranya mendapat sokongan padu semua lapisan masyarakat
negara ini. Menurut beliau, masyarakat perlu membuat anjakan paradigma
daripada masyarakat yang terkongkong dengan pemikiran yang dangkal, cetek dan
pesimistik kepada masyarakat yang mempunyai mentaliti kelas pertama. Dengan
semangat Satu Malaysia, Wawasan 2020, aspirasi rakyat Malaysia pasti akan dapat
direalisasikan.

Secara keseluruhannya, pihak kerajaan telah melakukan pelbagai usaha


dalam mengekalkan perpaduan kaum di Negara Malaysia tercinta ini. Sehubungan
itu,kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan keamanan dan
pembangunan yang berjaya kita kecapi hari ini. Oleh yang demikian, walau dalam
apa jua keadaan, kita haruslah bijak mengawal dan menjaga hubungan baik
sesama masyarakat.

Saya tutup syarahan saya dengan serangkap pantun

Tuan Puteri dari kayangan

Senyuman manis seperti madu


Bermacam keturunan bukan halangan

Untuk membina bangsa yang padu

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai