Anda di halaman 1dari 3

Bismillahirahmanirrahim

Amerika Syarikat bertamadun tinggi berdiri kukuh sebagai kuasa besar dunia, namun
kebejatan sosialnya semakin menggila sekaligus menidakkan nilai-nilai insani yang
seharusnya menunjangi kehidupan keluarga bahagia. Institusi keluarga tergugat,
lantaran akhlak yang mulia telah diabaikan, sebaliknya digantikan dengan konsep
matlamat menghalalkan cara dalam segala aspek kehidupan keluarga. Nantikan
natijahnya, renungkan.
Assalamualikum WBT dan salam keluarga bahagia.
Sejambak kasih seharum kasturi buat saudara peneraju majlis, jemaah hakim yang
berintegriti, warga pendidik yang disanjungi seterusnya rakan-rakan seperjuangan yang
dihormati.
Akhlak Mulia Keluarga Bahagia, demikianlah bingkisan wacana saya pada pagi ini.
Hadirin yang bervisi,
Manyusuri konsep AKHLAK MULIA KELUARGA BAHAGIA mempunyai kolerasi
tersendiri. Ramai percaya bahawa akhlak mulia adalah kuasa kebahagiaan keluarga,
masyarakat dan negara. Justeru, hadirin sekalian, saya ingin mengajak anda menghayati
tiga fokus bicara intipati wacana saya pada hari ini.
Pertama senario semasa institusi keluarga hari ini. Kedua cabaran yang dihadapi oleh
institusi keluarga dan ketiga, langkah mewujudkan keluarga bahagia melalui
pembentukan akhlak mulia.
Putera-puteri anak pertiwi
Senario semasa institusi keluarga. Masih segar dalam ingatan, kita disentak dengan
peristiwa duka si suami menikam mati si isteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil,
isteri tua menyimbah asid kepada suami tersayang kerana isu berpoligami, si anak pula
membunuh ibu kandung angkara dadah yang menghantui diri. Harapkan pagar, pagar
makan padi. Statistik kes sumbang mahram, yang dikeluarkan oleh kementerian
Pembangunan Wanita dan Keluarga menunjukkan ada peningkatan kes setiap tahun
iaitu 2503 kes pada tahun 2010 kepada 2952 kes pada tahun 2011. Senario realiti
masyarakat Malaysia sebegini amat menakutkan kita kerana seolah-olah masyarakat kita
kehilangan rentak memacu bahtera keluarga. Anak-anak muda di bangku persekolahan
sudah mempraktikkan gejala sumbang yang ditonton melalui media sosial dek kemajuan
teknologi. Perbuatan memalukan ini berpunca daripada rapuhnya pegangan agama serta
faktor persekitaran seperti pengaruh rakan sebaya yang mampu mempengaruhi anak-
anak muda sehingga membawa kepada keruntuhan akhlak dalam kalangan anak-anak.
Persoalannya, mempukah kita membentuk akhlak mulia dalam kalangan masyarakat kita
dan seterusnya melahirkan keluarga yang bahagia dalam situasi sebegini?
Warga dewan budiman,
Cabaran dalam membentuk keluarga bahagia. Kehidupan moden hari ini bukan sahaja
menuntut manusia untuk bekerja keras bagi menampung kehidupan, namun manusia
mula melupakan asas pembinaan keluarga menurut lunas dan akhlak yang mulia.
Pembentukan keluarga nukleus tidak lagi menjadi keutamaan dalam era kemodenan ini.
Para ibu bapa begitu sibuk bekerja sehingga anak-anak dibiarkan membesar tanpa ada
pengawasan. Tambahan pula ibu bapa kini telah membesarkan anak-anak yang akan
menjadi tuan kepada ibu bapa. Fenomena ini memberi kesan yang amat besar kepada
masa depan anak-anak yang tidak boleh dibentuk atau ditegur oleh sesiapa sahaja.
Statistik kes lari dari rumah yang dikeluarkan oleh PDRM Bukit Aman menunjukkan 87
peratus kes lari rumah kerana kelalaian ibu bapa. Pakej Keluarga bahagia berteraskan
yang muda disayangi, yang tua dihormati, Konsep Rumahku Syurgaku tidak lagi menjadi
ikutan bahkan dipandang sepi dalam masyarakat. Sungguh sedih melihat kehancuran
akhlak dalam kalangan remaja. Imam Al Ghazali pernah berkata, untuk melihat kemajuan
sesuatu bangsa, lihatlah remajanya hari ini. Namun, sayang seribu kali sayang, kes-kes
moral terus meningkat saban tahun dan dilihat tiada kesudahannya.
Hadirin yang dikasihi,
Langkah mewujudkan keluarga bahagia. Pepatah Melayu ada mengatakan, hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peranan dan tanggungjawab membentuk
masyarakat berkualiti diperkasakan melalui pelbagai médium di peringkat akar umbi.
Agensi-agensi yang prihatin mesti menyahut pelan strategik kerajaan mengajak
masyarakat mengubah paradigma. Kursus pra perkahwinan diwajibkan kepada
pasangan yang seia sekata mengikat janji agar memperolehi kemahiran keibubapaan
yang secukupnya. Kerajaan menaruh harapan besar agar pasangan suami isteri dapat
memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa yang mampu membentuk akhlak anak-anak.
Anak-anak ini umpama kain putih di mana ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk
mencorakkannya demi membentuk keluarga sakinah. Amalan Budi Bahasa Budaya Kita,
disemarakkan agar jutaan rakyat Malaysia bersama-sama menghayati konsep jati diri
dan membetulkan organisasi lantas menanam dan menggambus jauh telunjuk lurus
kelingking berkait. Didikan ágama dan kerohanian disemaisuburkan dalam diri setiap ahli
keluarga dengan akhlak-akhlak mulia dan mahmudah agar sikap sayang menyayangi
dalam keluarga dan masyarakat tidak bertepi. Sudah tentulah puncak kasih akan
berpanjangan. Jelas menunjukkan usaha-usaha yang telah dilakukan mampu
membentuk akhlak mulia dan akhirnya membentuk keluarga bahagia.

Anak-anak bangsaku
Saya dapat menyimpulkan bahawa bangsa Malaysia mempunyai kekuatan dan
kelebihan yang tersendiri. Nilai-nilai tradisi dan akhlak mulia masih utuh mendasari
prinsip keluarga bahagia. Ayuhlah anak-anak bangsaku, kita kekalkan warisan gemilang
selagi hayat di kandung badan. Kita merupakan peneraju masa depan sesebuah negara.
Marilah kita lakarkan potret kegemilangan Malaysia pada masa hadapan.
Pokok rambutan penuh kerengga
Buahnya manis bangkit selera
Akhlak mulia teguhkan keluarga
Demi negara aman sejahtera

Sekian Salam keluarga Bahagia. Wabillah hitaufiq walhidayah wassalamualikum WBT.

Anda mungkin juga menyukai