Anda di halaman 1dari 6

NILAI MURNI TANGGA KEJAYAAN NEGARA 2012 NILAI MURNI TANGGA KEJAYAAN NEGARA Bismillahirrahmanirrahim Memetik kata-kata Heraclitus

iaitu seorang ahli falsafah Greek kuno, pengamalan nilai murni yang dilengkapi dengan pembudayaan ilmu pengetahuan , kepimpinan dan pemerintahan yang berpasakkan keadilan serta ruang lingkup kehidupan yang dihiasi dengan warna-warna keperimanusiaan merupakan satu bentuk pakej yang tidak boleh dipisahkan ibarat isi dan kuku. Kesemua itu perlu untuk sama dipacu bagi membina sebuah negara yang jitu. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia bumi merdeka. Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majilis yang bervisi serta sidang hadirin yang dikasihi. Demi melaksanakan tugasan saya pada hari ini, saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk Nilai Murni Tangga Kejayaan Negara. Tajuk saya berkehendakkan kita berbicara tentang strategi penerapan nilai murni yang terbaik terhadap rakyat dalam melahirkan masyarakat yang berkualiti sekaligus membawa negara kita seiring dengan negara maju yang lain. Negara kita akan dahagakan generasi yang bersatu padu, berbudi bahasa, berjati diri tinggi, berfikiran positif dan berjiwa patriotik jika nilai-nilai murni ini tidak diterapkan dalam kehidupan seharian. Jadi, bagaimana cara-cara untuk memupuk nilai-nilai murni ini daripada terus hilang ditelan zaman?. Bagi merungkai persoalan ini dan membuktikan kemampuannya, lima benua idea kita jelajahi. Hadirin hadirat yang saya hormati sekalian, Pendefinisian tajuk kita pada hari ini secara tuntasnya ialah nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Sememangnya sudah menjadi tujuan semua agama untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi seorang yang insan yang berakhlak mulia, terbaik dan tidak lupa juga yang terhebat dalam kalangan manusia.

NILAI MURNI TANGGA KEJAYAAN NEGARA 2012 Hadirin hadirat penggerak wawasan sekalian, Hijab pidato ini saya buka dengan hujah pertama iaitu strategi pemupukan nilai-nilai murni dapat direalisasi dengan adanya keazaman daripada diri kita sendiri. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ar-Rad Ayat 11: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apaapa yang ada pada diri mereka. Melalui kalam suci ini,kita dapat simpulkan perubahan diri sendiri merupakan faktor perdana dalam apa-apa sahaja perkara. Suffean Hussin (1995) dalam karyanya iaitu Pengajaran Nilai Dalam Kurikulum ada menyatakan bahawa kehidupan manusia umpama pertumbuhan pokok. Pokok tumbuh daripada biji benih, bermula dengan akar tunjang yang menjalar masuk ke dalam tanah lalu memancang biji benih untuk berdiri tegak. Hari silih berganti, pokok pun terus membesar dan bertambah tinggi tanpa henti. Jika datang hujan ribut, pokok masih teguh berdiri. Jika datang panas, pokok tidak akan layu kekeringan. Jika datang banjir, pokok tetap tidak tumbang dan hanyut. Begitulah falsafah idealisme yang dipaparkan oleh pokok. Manusia yang berpekerti dan berhemah tinggi umpama sebatang pokok yang terus berdiri tegak dalam sebarang keadaan. Manusia begini percaya tentang kebolehan diri sendiri, sentiasa rajin berusaha dan mempunyai prinsip hidup idealistik. Mereka menjadi penaunng dan menabur bakti bagi kehidupan manusia lain. Manusia yang bertamadun dan berperadaban tinggi mempunyai sistem nilai, adat, budaya, ekonomi dan politik yang stabil. Setiap sistem menyokong di antara satu sama lain dan terus berkembang maju pada setiap masa. Hadirin hadirat penggerak minda kelas pertama sekalian, Hujah saya yang kedua ialah ibu bapa harus menerapkan amalan nilai-nilai murni terhadap anak-anak mereka dalam membentuk sebuah negara yang jitu. Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng oleh setiap ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit. Pepatah Melayu ada mengatakan Melentur buluh biarlah dari rebungnya Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik amalan ini kepada anak-anak sejak kecil lagi.

NILAI MURNI TANGGA KEJAYAAN NEGARA 2012 Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat pada hari ini terlalu materialistik dan mementingkan kemewahan. Oleh itu, tanggapan sesetengah pihak yang menganggap kononnya nilai kasih sayang yang boleh ditukar ganti dengan harta benda merupakan satu kesilapan besar. Sebenarnya, gejala sosial yang semakin berleluasa ini berpunca daripada kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa terlalu sibuk dan tiada masa untuk menerapkan nilai-nilai murni kekeluargaan seperti kesopanan, adab dan kelakuan yang baik kepada anak-anak. Dalam usaha memupuk nilai murni dalam diri anak-anak, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin terhadap anak mereka bagi membina sebuah keluarga yang harmoni. Kanak-kanak secara analoginya diibaratkan kain putih dan ibu bapalah yang berperanan untuk mencorakkan kehidupan mereka. Tamsilannya, ibu bapa harus menerapkan ajaran agama yang mantap dalam atma anak-anak dengan membawa mereka mendekati Tuhan seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-masing. Selain itu, ibu bapa haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati orang tua. Mereka mestilah memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa sahaja apatah lagi ahli keluarga sendiri. Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak tentang cara bercakap dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di rumah orang. Apabila selalu terdedah kepada pengajaran sedemikian, kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu dengan permata. Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bapa borek anak rintik. Hal ini tidak dapat disangkal lagi bahawa institusi kekeluargaan sememangnya merupakan tonggak dan tulang belakang ke arah melahirkan rakyat dan negara yang bertamadun. Ikhtisarnya, ibu bapa mendidik anak-anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai murni yang disanjungi, bak rangkap sajak berikut, Hikayat Melayu disanjungi warisan, Menjadi wahana penglipur nestapa, Anak bersopan tonggak wawasan, Berkat usaha ibu dan bapa.

NILAI MURNI TANGGA KEJAYAAN NEGARA 2012 Sidang hadirin yang saya kasihi sekalian, Hujah saya yang ketiga pula ialah institusi pendidikan tidak kira sekolah, kolej atau universiti berperanan memupuk nilai-nilai murni dan melahirkan modal insan kelas pertama sekaligus membawa negara kita seiring dengan negara maju yang lain. Mantan Perdana Menteri kita yang ke-4, Tun Sri Dr. Mahathir Mohamad telah memperkenalkan subjek Pendidikan Moral di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Pengenalan subjek ini bertujuan memupuk nilai-nilai murni remaja sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini demikian kerana negara memerlukan generasi yang berpengetahuan, berwibawa dan berwawasan, berdisiplin, berdedikasi, berfikiran luas serta positif. Guru-guru dan keadaan sekolah yang kondusif boleh membantu para pelajar untuk mewujudkan nilai murni dalam diri mereka. Kewujudan nilai-nilai murni ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga bidang kokurikulum. Untuk mencapai misi yang komprehensif dan konkrit ini, nilai-nilai murni haruslah diamalkan secara berkesan. Justeru itu, bagi melahirkan para pelajar yang tinggi nilai murninya, institusi pendidikan terutamanya guru-guru perlu memberi ilmu pengetahuan sepenuhnya di samping mendidik anak bangsa untuk menjadi bangsa yang berakhlak mulia, berhemah tinggi, berjiwa besar, cintakan negara,mempunyai kekuatan rohani dan kekuatan jasmani. Hal ini seiring dengan misi pendidikan negara kita yang bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan. Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia. Sidang hadirin pencetus minda kelas pertama sekalian, Andakah anda ingat akan iklan Hari Raya Aidilfitri yang dihasilkan oleh Petronas pada tahun 2006 yang bertajuk Aku Ingin Pulang?. Iklan ini mengisahkan tentang seorang ayah yang sakit tetapi tiada tempat berlindung. Jadi, ayah tersebut terpaksa

NILAI MURNI TANGGA KEJAYAAN NEGARA 2012 dibawa pulang oleh anak perempuannya dan menantunya. Namun, kepulangannya dianggap sebagai satu beban malah dilayan dengan buruh oleh anak dan menantunya sehingga cucunya sendiri yang memberi pengajaran kepada anak dan menantu mereka. Iklan ini telah berjaya menitiskan air mata jutaan rakyat Malaysia. Iktibar daripada iklan ini ialah seorang ayah atau ibu mampu membesarkan ramai anak, tetapi sepuluh orang belum tentu mampu menjaga seorang ayah atau ibu. Iklan seperti ini bukan sahaja berbaloi ditonton, malah mencerminkan nilai-nilai murni contohnya pentingnya institusi kekeluargaan. Oleh itu hadirin sekalian, terhurailah hujah saya yang keempat iaitu media massa sama ada media cetak atau media elektronik merupakan wadah bagi memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari rakyat sesebuah negara. Tuan-tuan dan puan-puan saya muliakan, Nilai-nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang supaya segala tindakan mereka tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Nilai-nilai murni ini dapat melahirkan insan yang unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara. Hasilnya, negara akan memiliki rakyat yang produktif dan berkualiti. Hujah saya yang kelima ialah pihak kerajaan memainkan peranan penting kepada masyarakat akan pentingnya pengamalan nilai-nilai murni dalam menjalani kehidupan seharian. Memetik kata-kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan,Datuk Seri Dr. Rais Yatim, sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, adalah amat perlu bagi Malaysia untuk mempunyai rakyat yang mengamalkan ciri-ciri kebudayaan yang tinggi. Tambah beliau lagi, kementerian akan merancakkan semula kempen nilai-nilai murni bagi menerapkan amalan seperti berbudi bahasa, menghormati orang tua dan sentiasa memberi senyuman dalam masyarakat. Di Eropah, apabila kita masuk kedai, mereka akan bertanya "How are you today sir? How can I help you?" Persoalannya di sini adakah amalan ini kita amalkan di Malaysia?. Jika tidak atau tidak cukup kita harus mengamalkannya. Oleh itu, kita sepatutnya menggunakan kempen ini sebagai sebahagian daripada amalan dalam kehidupan kita kerana sebagai sebuah negara yang maju, kita seharusnya semakin berbudaya.

NILAI MURNI TANGGA KEJAYAAN NEGARA 2012 Selain itu, pihak sekolah pula haruslah mewajibkan penglibatan murid-murid dalam kempen ini untuk memastikan keberkesanannya, bak kata pepatah, bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat. Di samping itu, kempen tersebut haruslah disokong oleh idola masyarakat, seiring dengan trend pemuda-pemudi kini yang suka mengikut jejak langkah idola mereka dari semua aspek. Hal ini jelaslah menunjukkan bahawa kempen-kempen yang mendapat sokongan semua pihak mampu mencapai matlamat melahirkan para pelajar yang bersahsiah mulia. Konklusinya, lima fokus bicara telah saya utarakan maka membuktikan strategi penerapan nilai-nilai murni mampu mewujudkan negara yang produktif. Marilah kita sama-sama bersatu-padu memupuk nilai nilai murni dalam kalangan masyarakat seterusnya berjaya memartabatkan nama Malaysia di mata dunia bak kata pepatah bersatu kita teguh,bercerai kita roboh. Jika dahulu Malaysia seolah-olah tiada dalam peta dunia, namun pada hari ini Malaysia mulai gah di seantero dunia. Percayalah hadirin sekalian, sesungguhnya nilai murni ialah tangga kejayaan negara. Dayung sudah di tangan perahu sudah di air, jangan biarkan ayam di reban disambar helang padi di tangan menjadi lalang. Ilmu penerapan nilai murni sudah anda ketahui. Jadi, apa yang ditunggu lagi? Ayuh, bergerak menjunjung visi bagi melahirkan modal insan yang berkualiti. Sekian, pemidato pertiwi mengundur diri. (1645 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai