Anda di halaman 1dari 3

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA

SEMPENA PROGRAM JOM KE SEKOLAH

PERINGKAT SEKOLAH TAHUN 2020

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam


Sejahtera.Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah
SWT kerana dengan izin dan inayah-Nya jua, program “Jom Ke Sekolah
Peringkat Sekolah” dapat direalisasikan lagi pada tahun ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menghargai dan berbesar hati, kerana
diberikan kepercayaan untuk terus berkolaboratif dengan Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), bagi menangani permasalahan disiplin, serta
salah laku murid, melalui peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

PDRM amat prihatin tentang permasalahan sosial dan salah laku jenayah
dalam kalangan generasi muda, khususnya murid-murid sekolah. Dalam
hal ini, kerjasama yang tersusun dan bersistematik di antara pihak sekolah,
ibu bapa dan PDRM, dilihat mampu membendung isu salah laku sosial,
dadah dan perlakuan jenayah daripada terus menular.

PPS yang dilantik bagi setiap sekolah, perlu mewujudkan suasana sekolah
yang aman dan selamat dengan membuat rondaan, lawatan, ceramah atau
sesi dialog, berkaitan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah. PPS
juga hendaklah sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan
Guru, serta memberikan khidmat nasihat kepada pihak sekolah, berhubung
dengan tindakan yang wajar diambil, sekiranya berlaku sebarang kejadian
jenayah melibatkan para pelajar.

Selain itu, PPS turut bertanggungjawab untuk memberikan pendedahan


dan kesedaran tentang undang-undang kepada guru-guru, murid-murid
dan ibu bapa.

Dalam mendepani ancaman jenayah siber yang menggunakan pelbagai


modus operandi seperti love scam, black money, macau scam, penipuan
e-kewangan dan pewarisan harta, PPS perlulah memberikan pendedahan
dan menyuntik kesedaran kepada komuniti, termasuk para pelajar, agar
tidak mudah terjebak atau menjadi mangsa jenayah tersebut.

Dalam masa yang sama, saya berharap agar komuniti sekolah dan pihak
yang berkaitan, dapat bekerjasama untuk terus membimbing generasi
muda, agar mereka tidak mudah terpesong, dan sebaliknya menjadi modal
insan yang cemerlang dan disanjung tinggi.

Saya difahamkan, bahawa KPM, PDRM dan Kesatuan Perkhidmatan


Perguruan Kebangsaan, telah menerbitkan Buku Panduan Pegawai
Perhubungan Sekolah (BPPPS) sebagai garis panduan kepada PPS, dan
semua pihak yang berkaitan dalam melaksana program atau aktiviti yang
telah ditetapkan.
Akhir kalam, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada
KPM, para pengetua, guru-guru, ibu bapa dan PPS serta semua pihak
yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada setiap
program atau aktiviti yang dijalankan.

Ibarat terendam sama basah, terampai sama kering, diharapkan kerjasama


dan kesepakatan yang wujud antara KPM, ibu bapa dengan PDRM, akan
terus dieratkukuhkan lagi, demi memastikan usaha yang kita lakukan
selama ini tidak sia-sia. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai