Anda di halaman 1dari 3

PERUTUSAN SEMPENA PROGRAM JOM KE SEKOLAH

PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2019


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Setinggi-tinggi tahmid dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat
serta izinNya jua, program “Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan” dapat diteruskan
lagi pada tahun ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berasa amat bertuah kerana sekali lagi diberikan
kepercayaan untuk berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
dalam menangani masalah disiplin serta salah laku jenayah dalam kalangan pelajar
menerusi program ini.

Sesungguhnya, kerjasama ini adalah noble effort yang perlu diteruskan ke arah
membentuk sahsiah dan sosiolisasi generasi pelapis agar kekal mapan demi
kelangsungan negara yang cemerlang dan gemilang.

“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, jelas menggambarkan betapa


pentingnya golongan ini sebagai pewaris kepimpinan yang bakal memacu masa depan
negara. Kita mampu tersenyum lega apabila melihat prestasi akademik dan kokurikulum
pelajar-pelajar seluruh negara yang saban tahun meningkat dan mencapai sasaran yang
membanggakan. Namun, kita tidak boleh terlalu berlapang dada kerana di sebalik sisi
permata, adanya segelintir anak muda yang terjerumus dalam kancah salah laku jenayah
dan memerlukan perhatian serta tindakan serius daripada semua pihak untuk
menanganinya.

Pelajar-pelajar sekolah kini, tidak hanya terlibat dengan kegiatan ponteng sekolah,
vandalisme dan buli, tetapi turut berjinak-jinak dengan jenayah yang lebih advance dan
ekstrem. Jual beli dadah, salah laku seks, membunuh, menyertai kumpulan kongsi gelap
dan militan antara jenayah yang pernah dicatatkan dalam jurnal juvana.

Selain itu, elemen-elemen negatif yang disebarkan melalui kecanggihan teknologi


serta kebebasan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja menjadi antara
penyumbang kepada keruntuhan dan kebejatan akhlak generasi muda masa kini.
Ingin saya kongsikan statistik jenayah indeks melibatkan pelajar sekolah, di mana
pada tahun 2017, sebanyak 1,722 kes telah dilaporkan dan jumlah tersebut menurun
kepada 1,285 kes pada tahun 2018. Meskipun menunjukkan pengurangan, usaha
menanganinya masih perlu dipergiat memandangkan jumlah kes ini masih berada pada
tahap yang menggusarkan.

Manakala statistik jenayah narkotik pula menunjukkan sebanyak 467 tangkapan


melibatkan pelajar sekolah dibuat pada tahun 2017 dan angka tersebut meningkat
kepada 577 tangkapan pada tahun 2018. Jelasnya, penglibatan pelajar dengan najis
dadah yang semakin serius memerlukan perhatian semua pihak, tambahan pula kita tidak
dapat menolak pandangan skeptikal masyarakat bahawa najis dadah adalah “ibu”
kepada segala punca perlakuan jenayah.

Menyedari bahawa proses pembentukan sosialisasi masyarakat bermula seawal


usia remaja, maka langkah awal dalam membendung salah laku jenayah harus
dilaksanakan menerusi kerjasama rapat antara pihak sekolah dengan PDRM melalui
Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

PPS berperanan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat,


sebagaimana yang telah digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan
Sekolah. Antaranya termasuklah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil
tindakan oleh KPM atau PDRM jika perlu, melakukan rondaan/lawatan berjadual di
kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan dengan hal-hal keselamatan
kepada warga sekolah.

Mekanisme ini secara tidak langsung berupaya mendorong dan memberi


kesedaran kepada warga sekolah berkaitan peranan yang boleh dimainkan serta
langkah-langkah pencegahan yang boleh diimplementasi dalam usaha mengekang kes
salah laku disiplin murid, sekali gus menjayakan program ini.

Tidak ketinggalan, penglibatan Kor Kadet Polis sebagai “mata-mata cilik” yang
terlatih dengan disiplin tinggi melalui latihan kawad, bekerja dalam pasukan,
perkhemahan, kerja khidmat masyarakat dan sebagainya.

Semangat kepolisan dan patuh kepada undang-undang yang diterapkan dalam diri para
ahli Kor Kadet Polis, melayakkan mereka menjadi role model kepada rakan sebaya yang
lain. Bonus kepada warga guru juga, Kor Kadet Polis ini diyakini mampu menjadi “lensa”
kepada warga sekolah dalam mengenal pasti kegiatan yang melanggar etika dan disiplin
sekolah.

Suka untuk saya kongsikan juga, jumlah keahlian Kor Kadet Polis di seluruh
negara telah mencecah 116,702 orang, pada tahun 2018. Jumlah ini tidak termasuk
3,432 ahli bagi 52 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Ini adalah satu jumlah
yang besar dan membanggakan. Tahniah dan Syabas saya ucapkan! Semoga semakin
ramai ahli Kor Kadet Polis, semakin kuranglah masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Insya-Allah.

Saya difahamkan bahawa, sempena pelancaran Program Jom ke Sekolah ini,


KPM telah mengambil inisiatif menyediakan Papan Kenyataan PPS di sekolah-sekolah.
Inisiatif ini bertujuan memberi maklumat mengenai aktiviti yang dijalankan oleh PPS serta
info-info semasa berkaitan undang-undang dan kejadian jenayah yang berlaku dalam
kalangan remaja. Adalah diharapkan, usaha murni ini dapat memberikan kesedaran
kepada warga sekolah untuk sama-sama mewujudkan persekitaran sifar jenayah di
sekolah masing-masing.

Akhir kalam, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian


Pendidikan Malaysia, para pengetua, guru-guru, ibu bapa dan Pegawai Perhubungan
Sekolah serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada
PDRM selama ini. Marilah sama-sama kita berdoa agar pelapis generasi negara ini
dilindungi dan dijauhi daripada segala keburukan dan kebinasaan. Semoga mereka
menjadi insan berjati diri, berilmu, berakhlak mulia serta selayaknya bergelar, agent of
change dan agent of social control.

Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SRI MOHAMAD FUZI BIN HARUN) IG


Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

Anda mungkin juga menyukai