Anda di halaman 1dari 5

PERINTAH PASUKAN

POLIS DIRAJA MALAYSIA


08 FEBRUARI 2019 BIL. 04/2019

PERINTAH PASUKAN KHAS

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA


SEMPENA PROGRAM JOM KE SEKOLAH

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam
Sejahtera.

Setinggi-tinggi tahmid dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan


limpah rahmat serta izinNya jua, program “Jom Ke Sekolah 2019” dapat
diteruskan lagi pada tahun ini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berasa amat bertuah kerana sekali lagi
diberikan kepercayaan untuk berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) dalam menangani masalah disiplin serta salah laku jenayah
dalam kalangan pelajar menerusi program ini. Sesungguhnya, kerjasama ini
adalah noble effort yang perlu diteruskan ke arah membentuk sahsiah dan
sosiolisasi generasi pelapis agar kekal mapan demi kelangsungan negara
yang cemerlang dan gemilang.

“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, jelas menggambarkan


betapa pentingnya golongan ini sebagai pewaris kepimpinan yang bakal
memacu masa depan negara. Kita mampu tersenyum lega apabila melihat
prestasi akademik dan kokurikulum pelajarpelajar seluruh negara yang
saban tahun meningkat dan mencapai sasaran yang membanggakan.
Namun, kita tidak boleh terlalu berlapang dada kerana di sebalik sisi
permata, adanya segelintir anak muda yang terjerumus dalam kancah salah
laku jenayah dan memerlukan perhatian serta tindakan serius daripada
semua pihak untuk menanganinya.

Pelajar-pelajar sekolah kini, tidak hanya terlibat dengan kegiatan ponteng


sekolah, vandalisme dan buli, tetapi turut berjinak-jinak dengan jenayah
yang lebih advance dan ekstrem. Jual beli dadah, salah laku seks,
membunuh, menyertai kumpulan kongsi gelap dan militan antara jenayah
yang pernah dicatatkan dalam jurnal juvana. Selain itu, elemen-elemen
negatif yang disebarkan melalui kecanggihan teknologi serta kebebasan
penggunaan media sosial dalam kalangan remaja menjadi antara
penyumbang kepada keruntuhan dan kebejatan akhlak generasi muda masa
kini.

Ingin saya kongsikan statistik jenayah indeks melibatkan pelajar sekolah, di


mana pada tahun 2017, sebanyak 1,722 kes telah dilaporkan dan jumlah
tersebut menurun kepada 1,285 kes pada tahun 2018. Meskipun
menunjukkan pengurangan, usaha menanganinya masih perlu dipergiat
memandangkan jumlah kes ini masih berada pada tahap yang
menggusarkan.

Manakala statistik jenayah narkotik pula menunjukkan sebanyak 467


tangkapan melibatkan pelajar sekolah dibuat pada tahun 2017 dan angka
tersebut meningkat kepada 577 tangkapan pada tahun 2018. Jelasnya,
penglibatan pelajar dengan najis dadah yang semakin serius memerlukan
perhatian semua pihak, tambahan pula kita tidak dapat menolak pandangan
skeptikal masyarakat bahawa najis dadah adalah “ibu” kepada segala punca
perlakuan jenayah.

Menyedari bahawa proses pembentukan sosialisasi masyarakat bermula


seawal usia remaja, maka langkah awal dalam membendung salah laku
jenayah harus dilaksanakan menerusi kerjasama rapat antara pihak sekolah
dengan PDRM melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). PPS
berperanan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat,
sebagaimana yang telah digariskan dalam Buku Panduan Pegawai
Perhubungan Sekolah. Antaranya termasuklah mengumpul maklumat
daripada sekolah untuk diambil tindakan oleh KPM atau PDRM jika perlu,
melakukan rondaan/lawatan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan
ceramah berkaitan dengan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah.
Mekanisme ini secara tidak langsung berupaya mendorong dan memberi
kesedaran kepada warga sekolah berkaitan peranan yang boleh dimainkan
serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diimplementasi dalam usaha
mengekang kes salah laku disiplin murid, sekali gus menjayakan program
ini.

Tidak ketinggalan, penglibatan Kor Kadet Polis sebagai “mata-mata cilik”


yang terlatih dengan disiplin tinggi melalui latihan kawad, bekerja dalam
pasukan, perkhemahan, kerja khidmat masyarakat dan sebagainya.
Semangat kepolisan dan patuh kepada undang-undang yang diterapkan
dalam diri para ahli Kor Kadet Polis, melayakkan mereka menjadi role model
kepada rakan sebaya yang lain. Bonus kepada warga guru juga, Kor Kadet
Polis ini diyakini mampu menjadi “lensa” kepada warga sekolah dalam
mengenal pasti kegiatan yang melanggar etika dan disiplin sekolah.

Suka untuk saya kongsikan juga, jumlah keahlian Kor Kadet Polis di seluruh
negara telah mencecah 116,702 orang, pada tahun 2018. Jumlah ini tidak
termasuk 3,432 ahli bagi 52 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Ini
adalah satu jumlah yang besar dan membanggakan. Tahniah dan Syabas
saya ucapkan! Semoga semakin ramai ahli Kor Kadet Polis, semakin
kuranglah masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Insya-Allah.

Saya difahamkan bahawa, sempena pelancaran Program Jom ke Sekolah


ini, KPM telah mengambil inisiatif menyediakan Papan Kenyataan PPS di
sekolah-sekolah. Inisiatif ini bertujuan memberi maklumat mengenai aktiviti
yang dijalankan oleh PPS serta info-info semasa berkaitan undang-undang
dan kejadian jenayah yang berlaku dalam kalangan remaja. Adalah
diharapkan, usaha murni ini dapat memberikan kesedaran kepada warga
sekolah untuk sama-sama mewujudkan persekitaran sifar jenayah di
sekolah masing-masing.

Akhir kalam, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada


Kementerian Pendidikan Malaysia, para pengetua, guru-guru, ibu bapa dan
Pegawai Perhubungan Sekolah serta semua pihak yang sentiasa
memberikan sokongan dan kerjasama kepada PDRM selama ini. Marilah
sama-sama kita berdoa agar pelapis generasi negara ini dilindungi dan
dijauhi daripada segala keburukan dan kebinasaan. Semoga mereka
menjadi insan berjati diri, berilmu, berakhlak mulia serta selayaknya
bergelar, agent of change dan agent of social control.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai