Anda di halaman 1dari 2

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum WBT

Yang dihormati KPL Mohd Hashim Bin Che Hassan dan L/KPL Abdul Syanie, Pegawai
Perhubungan Sekolah, Yang berusaha Encik Tajuddin Bin Hussain, Guru Penolong
Kanan Pentadbir, Puan Yee Sook Haan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Encik Muhammad Fuad Bin Abdul Aziz, Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Puan
Zaiharah Binti Ngojar, Penolong Kanan Pendidikan Khas
Guru-guru dan seterusnya murid-murid yang dikasihi.

Terlebih dahulu, saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas rahmat dan
izinNya jua, kita telah dapat bersama-sama menjayakan Pelancaran Program Jom Ke
Sekolah, Sekolah Selamat dan Guru Penyayang dengan kerjasama Unit Bimbingan
dan Unit Disiplin SK (2) Sultan Alam Shah. Program ini dirangka bagi menerapkan
amalan nilai murni yang menzahirkan nilai kegembiraan, kasih sayang dan
menghormati dalam kalangan warga sekolah dan juga masyarakat luar. Program ini
bermatlamat untuk memperkukuhkan nilai murni di sekolah melalui pembudayaan
amalan penyayang, hormat-menghormati, keseronokan, bertanggungjawab dan
manusiawi.

Murid-murid yang dikasihi,

2. Usaha mendidik manusia ke arah perkara-perkara yang bersifat positif bukanlah


umpama menyediakan mi segera, sebaliknya usaha ini banyak onak durinya yang
memerlukan kami bertindak dengan penuh hemah yang bertunjangkan kesabaran
yang tinggi, sedangkan Nabi Muhammad SAW yang dikurnia oleh Allah SWT
dengan mukjizat yang hebat pun memerlukan 23 tahun untuk melahirkan generasi
sahabat yang gilang gemilang. Jadi, peningkatan peratus kehadiran yang menjadi
aspirasi sekolah ini merupakan langkah pertama kami bagi mencipta kejayaan. Hal
ini selari dengan kata-kata hikmat yang sering diucapkan oleh para pakar motivasi
dalam ceramah mereka yang berbunyi, “ Sesungguhnya kejayaan bermula dari
langkah yang pertama”. Oleh itu, kami berkeyakinan penuh bahawa langkah
pertama itu memang penting, lebih-lebih lagi jika perkara itu dilakukan pada awal
tahun. Hal ini sudah tentu boleh menjadi perangsang bagi menjana usaha-usaha
seterusnya.

Murid-murid yang dikasihi,

3. Kami pihak sekolah akan sedaya upaya membangunkan fizikal sekolah dan
masyarakatnya dengan pengisian program yang akan dapat membangkitkan rasa
cinta yang mendalam yang pada akhirnya akan tercetus rasa yang membuak-buak
dalam diri peribadi murid-murid untuk datang ke sekolah, tanpa didorong rasa
keterpaksaan. Walaubagaimanapun, usaha murni dalam menjalankan semua
program ini tidak akan sempurna jika tidak melibatkan para ibu bapa dan
masyarakat setempat kerana sekolah juga merupakan satu daripada institusi
masyarakat. Para ibu bapa dan masyarakat setempat akan turut bersama-sama
kami memantau tingkah laku murid-murid bagi membendung gejala ponteng sekolah
yang berleluasa sejak mutakhir ini. Faktor mengharapkan pihak sekolah semata-
mata bagi membendung fenomena ini merupakan pandangan yang kurang tepat.
Justeru, pihak sekolah ini akan terus memperkasa hubungan baik dan mesra
dengan para ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari jalan terbaik untuk
menangani masalah ini sebelum gejala ini menjadi barah yang akan
menggerhanakan masa depan para remaja yang bakal mewarisi kepemimpinan
negara yang bertuah ini. Ingatlah pesanan bijaksana “Pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara”. Oleh hal yang demikian, gejala ponteng tidak hanya terletak di
bahu warga pendidik sahaja, malah perlu juga dipikul bersama-sama oleh para ibu
bapa dan masyarakat setempat sebagai kerja berpasukan bagi membanteras
kegiatan salah laku ini.

Murid-murid yang dikasihi,

5. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya memetik kata-kata yang
dinukilkan oleh penyair Arab, “ Bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah
negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini. Jika generasi
mudanya hari ini merupakan generasi yang mempunyai jati diri yang unggul dan
hebat, adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan negara akan terjamin dan
maju. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya generasi muda hari ini tidak berpegang
pada nilai dan jati diri yang benar, maka lihatlah keruntuhan sesebuah negara yang
mana kita tidak berkehendakkannya berlaku”. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai