Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PENGETUA PUAN SRI HJH.

NORLIAH BT ADAM

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum WBT

Yang berusaha Pn. Hjh. Khairun Niza Bt Abu, Guru Penolong Kanan 1,
Yang berusaha Puan Hjh. Alimah Bt Mohd Zain, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid,
Yang berusaha Puan Salminah Bt Suradi, Guru Penolong Kanan Kokurikulum
Guru-guru Ketua Bidang, guru-guru, dan seterusnya murid-murid yang dikasihi

1. Terlebih dahulu, saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas rahmat dan izin-
Nya jua, kita telah dapat bersama-sama menjayakan Pelancaran Program Jom Datang Awal
ke Sekolah dan Jom ke Sekolah yang bermatlamat untuk membina semangat baharu yang
lebih berkobar-kobar dan kuat untuk kita meneruskan perjuangan kita demi kegemilangan
kita dan sekolah kita.

Rasional sekolah ini mengadakan program seumpama ini adalah ekoran daripada sikap
segelintir murid-murid sekolah ini yang mula cenderung ke arah budaya lewat dan ponteng
sekolah.

2. Program ini diwujudkan sebagai satu daripada usaha-usaha kami bagi meningkatkan
peratus kehadiran murid dan guru ke sekolah. Peningkatan peratus yang kami hasratkan ini
merupakan usaha awal pihak sekolah ke arah matlamat 100% kehadiran ke sekolah. Usaha
mendidik manusia ke arah perkara-perkara yang bersifat positif bukanlah umpama
menyediakan mi segera, sebaliknya usaha ini banyak onak durinya yang memerlukan kami
bertindak dengan penuh hemah yang bertunjangkan kesabaran yang tinggi. Peningkatan
peratus kehadiran yang menjadi aspirasi sekolah ini merupakan langkah pertama kami bagi
mencipta kejayaan. Hal ini selari dengan kata-kata hikmat yang sering diucapkan oleh para
pakar motivasi dalam ceramah mereka yang berbunyi, Sesungguhnya kejayaan bermula
dari langkah yang pertama. Oleh itu, kami berkeyakinan penuh bahawa langkah pertama
itu memang penting, lebih-lebih lagi jika perkara itu dilakukan pada awal tahun. Hal ini
sudah tentu boleh menjadi perangsang bagi menjana usaha-usaha seterusnya.
3. Usaha murni Program Jom Datang Awal Ke Sekolah dan Jom Ke Sekolah ini tidak akan
sempurna jika tidak melibatkan para ibu bapa dan masyarakat setempat kerana sekolah
juga merupakan satu daripada institusi masyarakat. Para ibu bapa dan masyarakat
setempat akan turut bersama-sama kami memantau tingkah laku murid-murid bagi
membendung gejala ponteng sekolah yang berleluasa sejak mutakhir ini. Faktor
mengharapkan pihak sekolah semata-mata bagi membendung fenomena ini merupakan
pandangan yang kurang tepat. Justeru, pihak sekolah ini akan terus memperkasa
hubungan baik dan mesra dengan para ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari
jalan terbaik untuk menangani masalah ini sebelum gejala ini menjadi barah yang akan
menggerhanakan masa depan para remaja yang bakal mewarisi kepemimpinan negara
yang bertuah ini. Ingatlah pesanan bijaksana Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Oleh hal yang demikian, gejala ponteng tidak lagi dipikul di bahu warga pendidik
sahaja, malah perlu juga dipikul bersama-sama oleh para ibu bapa dan masyarakat
setempat sebagai kerja berpasukan bagi membanteras kegiatan salah laku ini.

4. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya memetik kata-kata yang dinukilkan oleh
penyair Arab yang bernama Shauki untuk kita sama-sama renungkan, antaranya beliau
pernah menyebutkan, Bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka
lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini merupakan
generasi yang mempunyai jati diri yang unggul dan hebat, adalah menjadi satu jaminan
bahawa masa depan negara akan terjamin dan maju. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya
generasi muda hari ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka lihatlah
keruntuhan sesebuah negara yang mana kita tidak berkehendakkannya berlaku.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillah hirahmanirahim, saya merasmikan Program Jom Datang
Awal Ke Sekolah dan Jom Ke Sekolah dengan rasminya.

Wassalamualaikum warahmatullahiwabaraktuh. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai