Anda di halaman 1dari 2

CIRI – CIRI KELUARGA IDAMAN

Intitusi kekeluargaan yang sihat merupakan asas paling penting dalam melahirkan generasi masa
hadapan yang lebih kreatif serta produktif. Keluarga boleh didefinisikan sebagai orang yang
mempunyai pertalian darah dengan kita. Tanpa keluarga, kita pasti tidak boleh menjalani kehidupan
yang bahagia. Ikatan kekeluargaan yang rapat dapat menjamin masa depan yang gemilang untuk
anak-anak selain dapat membentuk peribadi dan rohani yang sempurna.
Setiap orang pasti mempunyai impian untuk memiliki keluarga yang sempurna. Mengikut
pendapat saya, keluarga impian yang diinginkan oleh semua orang sudah pastilah keluarga yang
sentiasa menyokong serta memberi dorongan dalam setiap apa yang kita lakukan. Jika seseorang itu
mendapat sokongan serta dorongan daripada keluarga mereka, sudah pasti perkara yang ingin
dilakukan itu, dilaksanakan dengan penuh semangat. Hasil daripada kerja yang dilakukan dengan
penuh semangat sudah pastilah berkualiti dan memuaskan hati pelbagai pihak. Sebagai contoh,
sekiranya seorang anak itu ingin menyertai sesuatu pertandingan dan keluarganya memberi
sokongan, sudah pastilah anak itu akan lebih yakin dan berkobar-kobar perasaannya untuk menyertai
pertandingan itu. Daripada perasaan inilah, terjamin kejayaan akan tercapai. Sudah terang lagi
bersuluh, keluarga yang memberi sokongan serta dorongan kepada ahli keluarga mereka, akan
melahirkan generasi yang lebih bersemangat serta cenderung untuk menjuarai sesuatu perkara yang
mereka lakukan.
Selain itu, satu lagi aspek penting yang sentiasa diimpikan oleh orang ramai dalam keluarga
mereka ialah keupayaan ahli keluarga itu untuk membimbing keluarga ke jalan yang menjanjikan
kebahagiaan. Sebagai tunjang dalam keluarga, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang paling
besar dalam membimbing anak-anak mereka. Kadangkala, anak-anak akan tersilap langkah dalam
hidup mereka dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk prihatin tentang anak mereka lalu mencari
jalan untuk membimbing anak itu ke jalan yang benar semula. Sebagai contoh, sekiranya seseorang
anak itu ingin menyertai pertandingan menari, ibu bapa perlulah mengimbangkan baik buruknya
sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, pertandingan menari itu mendatangkan lebih banyak keburukan
kerana melalaikan serta menjanjikan impian yang tidak berharga kepada anak itu. Maka ibu bapa
perlulah membimbing anak ini dengan cara memberi nasihat ataupun member pilihan untuk anak itu
memilih minat yang lain. Sudah jelaslah bahawa keluarga impian ialah keluarga yang dapat memberi
bimbingan kepada kita untuk tidak tersilap langkah dan kemudian tidak akan menyesalinya di lain
hari.

Saya juga mengatakan bahawa keluarga yang memahami kita serta menyayangi kita
seadanya kita merupakan salah satu lagi nilai yang perlu ada dalam sebuah keluarga impian.
Penerimaan keluarga tentang diri kita sangatlah penting kerana penerimaan ini menunjukkan bahawa
rasa kasih dan sayang dalam sesebuah keluarga itu wujud. Memang pasti, dalam sesebuah keluarga
itu pasti ada ahlinya yang tidak digemari oleh ahli keluarga yang lain. Tetapi sekiranya keluarga ini
mampu memahami dan menyayangi ahli keluarga mereka itu, sudah jelas bahawa rasa kasih dan
sayang itu cukup kuat sehingga mengatasi kekurangan yang ada pada mereka. Sekiranya keluarga
tidak menerima salah seorang ahli mereka itulah punca keretakan dalam rumah tangga. Sebagai
contoh, sekiranya seseorang anak itu tidak disukai oleh adik-beradik yang lain, sudah pastilah anak
ini akan menyendiri. Mereka yang suka menyendiri ini lebih mudah terpengaruh dengan pengaruh
negatif rakan-rakan. Daripada keadaan inilah berlakunya banyak gejala yang tidak sihat sekarang ini
semuanya berpunca daripada hubungan kekeluargaan yang pincang. Di sini jelas menunjukkan
bahawa keluarga yang menerima segala baik buruknya ahli keluarga mereka serta
menyayangi mereka dengan sepenuh hati ialah keluarga impian semua orang. Walaupun ada yang
tidak baik tentang ahli keluarga, tetapi perasaan kasih sayang yang kuat dalam ahli keluarga
menjamin kebahagiaan hidup.

Seterusnya, keluarga yang dapat memberikan kasih sayang yang sama rata antara ahli
keluarga merupakan satu lagi ciri keluarga bahagia. Ibu bapa yang menyayangi anak-anak mereka
secara sama rata dan tidak pilih kasih dapat menjamin kebahagiaan keluarga. Jika anak-anak
merasakan kasih sayang yang sama rata maka perkara seperti anak yang memberontak tidak akan
berlaku. Salah satu punca anak memberontak kepada ibu bapa ialah kerana mereka merasakan
ketidakadilan yang berlaku apabila ibu bapa lebih menyayangi adik beradik mereka yang lain.
Sebagai contoh, ibu bapa lebih menyayangi kakak yang sulung mungkin kerana kakak sulung lebih
banyak membawa pulang kejayaan jika dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Sepatutnya ibu
bapa ini tidak mencurahkan kasih sayang berdasarkan kejayaan anak-anak mereka tetapi
menyayangi anak-anak secara sama rata kerana ini dapat menjamin masa depan yang lebih bahagia.
Sudah jelaslah bahawa keluarga impian ialah keluarga yang mampu menyayangi ahli keluarga
mereka dengan kasih sayang yang adil.

Akhir sekali, aspek yang semestinya dimiliki oleh keluarga impian ialah ketabahan ahli
keluarga menghadapi musibah yang mendatang. Amatlah mustahil jika sesebuah keluarga tidak
pernah menghadapi sebarang musibah. Apabila mengahadapi sesuatu musibah, kemampuan
keluarga untuk mengatasi musibah itu menunjukkan tahap ketabahan dan pengorbanan yang
diberikan. Sebuah keluarga impian perlulah mampu mengatasi musibah dengan tenang. Sebagai
contoh, sekiranya terdapat ahli keluarga yang mengalami kecelakaan di jalan raya, ahli keluarga yang
lain perlulah tabah dan sabar menghadapi dugaan daripada Tuhan. Setiap perkara yang menimpa diri
kita pasti ada sebabnya. Kadangkala, perkara seperti kemalangan inilah yang merapatkan lagi ikatan
kekeluargaan. Selain itu, keluarga juga perlulah bijak menyelesaikan konflik yang berlaku dalam
rumah tangga. Contohnya, mungkin berlaku pergaduhan antara ahli keluarga yang menggugat
ketenteraman institusi kekeluargaan. Kebijaksanaan ahli keluarga untuk menyelesaikan konflik ini
amatlah penting supaya dapat mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Walaubagaimanapun,
seteruk mana pergaduhan dalam keluarga, air dicincang tidak akan putus. Sudah terang lagi bersuluh
bahawa keluarga yang diimpikan semua orang, sudah pastilah mampu mengatasi musibah serta
menyelesaikan konflik dengan bijak.

Tuntasnya, keluarga yang sempurna dapat menjamin masa depan diri yang lebih cerah.
Keluarga yang diimpikan bukanlah sekadar impian sahaja malah kita perlu berusaha untuk
merealisasikan impian tersebut.

Anda mungkin juga menyukai