Anda di halaman 1dari 5

Kepentingan Iman Dalam Proses Pembangunan 08 May, 2006

KEPENTINGAN IMAN DALAM PROSES PEMBANGUNAN


Oleh: Haji Matussein bin Haji Jumat, JHES, KHEU.
Kejayaan gemilang yang dicapai oleh umat Islam pada zaman silam sebagaimana tercatit
dalam lipatan sejarah amat sesuai untuk menjadi iktibar, pedoman dan sukat-sukat bagi
generasi masa kini dan akan datang. Kehebatan mereka membangunkan sebuah tamadun
yang unggul di persada dunia, dalam keadaan yang tidak pernah mengabaikan peranan
agama dalam proses pencapaian kegemilangan tersebut, jelas membuktikan betapa
penting keimanan atau kepercayaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam proses
pembangunan supaya seluruh aktiviti dapat digerakkan secara terancang dan dalam
bentuk yang bersepadu agar ia tidak terkeluar dari skop penunaian tugas manusia sebagai
'hamba' dan 'khalifah' di atas muka bumi dengan batasan kuasa dan kapasiti kemampuan
yang ada.
Keimanan merangkumi kepercayaan kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya,
para rasulNya, Hari Akhirat dan dengan takdir Allah Subhanahu Wata'ala sama ada baik
ataupun sebaliknya. Menurut Dr. Yousef al-Qardawi, seorang tokoh ulama terkenal masa
kini, iman yang sebenar merujuk kepada penanggapan atau pencapain akal manusia
mencecah peringkat yakin, tanpa diseliputi oleh sebarang apa jua unsur syak dan ragu,
disusuli dengan keakuran hati yang terserlah menerusi ketundukan dan kepatuhan
seseorang terhadap semua perintah dan arahan yang diterima dari Allah Subhanahu
Wata'ala, Tuhan yang diimaninya.
Dengan cahaya keimanan, dapat membentuk seseorang mukmin yang sempurna,
sebuah masyarakat yang harmoni, negara yang aman dan sejahtera. Keimanan mampu
mencorakkan seluruh aktiviti manusia berasaskan kacamata 'al-din' agama Islam dan
memandu segala kegiatan pembangunan dengan tujuan supaya seluruh ahli masyarakat
boleh mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Kesan daripada iman dalam diri
seseorang akan dengan sendirinya menjadikannya sebagai manusia yang berguna,
sentiasa bergerak dan berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua proses pembangunan.
Kepentingan iman dalam proses pembangunan ialah sebagai nadi penggerak dan
pemandu ke arah jalan yang betul yang tidak bertentangan dengan ajaran syariat Islam.
Mana-mana projek yang bercanggah dengan syariat Islam seperti arak, judi, pusat-pusat
hiburan maksiat tidak dapat dinamakan sebagai pembangunan kerana ianya pasti akan
membawa kepada kehancuran dan ini berlawanan dengan pembangunan itu sendiri yang
bermaksud menuju ke arah kehidupan yang lebih baik atau mengekalkan kehidupan yang
sedia ada pada tahap yang baik.
Masyarakat Islam seharusnya perlu tahu bahawa mereka tidak ada pilihan lain untuk
membangunkan negaranya melainkan mestilah mendapat bimbingan wahyu. Wahyu itu
pula perlu kepada rasul yang membawa, menyampaikan dan menunjukkan dalam bentuk
perbuatan kehendak wahyu tersebut. Sebab itu setiap pengutusan seseorang rasul akan
diikuti dengan kebangkitan umat yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Kebangkitan sesuatu umat itu pula bermula dengan kebangkitan kerohanian iaitu
keimanan atau kepercayaan kepada Allah Subhanahu Wata
'
ala dan diikuti dengan
pencapaian kebendaan yang tinggi berasaskan aqidah, hukum syarak dan akhlak yang
mulia. Firman Allah Ta'ala dalam surah al-A'raaf ayat 96:

Tafsirnya:
Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka
kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan
bumi.
Iman dan takwa adalah dua perkara yang sangat mulia di sisi Allah Subhanahu
Wata'ala. Membina rumah, bangunan, kereta, kapal, menimba ilmu dan sebagainya yang
mendatangkan faedah dan manfaat adalah termasuk dalam amal salih. Namun, amal salih
tidak sempurna jika tidak disertai dengan keimanan yang jitu akan keEsaan Allah
Subhanahu Wata'ala. Selepas selesai sesuatu projek, bertawakkallah kepada Allah
Subhanahu Wata'ala supaya apa yang diusahakan akan mendatangkan hasil yang baik dan
bermanfaat untuk kebahagiaan hidup dunia akhirat.
Pembangunan yang direncanakan dalam Islam adalah menyeluruh mengambil kira
aspek fizikal dan spiritual, kebendaan dan kerohanian. Sebagai contoh, bagi projek
pembangunan perumahan kos rendah, setentunya mengandungi paling kurang tiga buah
bilik tidur. Ini adalah kerana dalam ajaran Islam perlu mengasingkan tempat tidur anak-
anak lelaki dengan perempuan apabila sampai peringkat umur tertentu. Begitu juga
dengan projek-projek mega perumahan penduduk, perlu juga mengambil kira supaya
masjid atau balai ibadat dibangunkan di tempat berkenaan sesuai dengan bilangan jumlah
penduduk yang akan mendiami projek berkenaan.
Hal ini sebenarnya perlu diberi perhatian utama oleh semua pihak, khususnya
kalangan yang terlibat dalam usaha pembangunan, samada penggubal dasar, jentera
pelaksana dan kalangan yang terlibat dalam mana-mana projek pembangunan. Apatah
lagi dalam konteks negara-negara membangun yang pernah dijajah oleh pihak penjajah
yang bukan sedikit meninggalkan warisan idea tentang falsafah pembangunan dan
strategi pelaksanaan yang tidak bersendikan asas-asas ajaran agama Islam. Semua pihak
perlu memperbetulkan hala tuju apatah lagi bila sudah tersasar agar mempastikan setiap
pembangunan yang diungkayahkan sekali-kali tidak mengenepikan unsur 'rabbani',
khususnya dari aspek falsafah pembangunan yang mendasari seluruh kegiatannya.
Usaha-usaha mengkesampingkan peranan iman dalam proses pembangunan negara
akan melahirkan generasi yang hilang kemanusiaannya walaupun mereka mungkin
terkedepan dari aspek pencapaian material. Ini adalah kerana mengenepikan aspek
keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala boleh mengheret pembangunan itu menjurus
ke arah kegagalan dan menimbulkan generasi yang terlalu mementingkan kebendaan dan
kurang menekankan aspek penghayatan terhadap prinsip-prinsip ajaran Islam yang luhur.
Maka tidak menghairankan, timbul bermacam-macam isu keruntuhan moral dan gejala
sosial yang diwarnai dengan berbagai keanekaan ragamnya sesuai dengan perkembangan
kemajuan teknologi terkini. Di tambah lagi dengan kekayaan yang diperolehi dari
keuntungan berlipat ganda digunakan bagi menaja pelbagai rupa bentuk kemaksiatan,
yang hanya menguntungkan si penaja danmenghancurkan pihak-pihak yang terjerumus
dalam kancah tersebut. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan mewarnai pembangunan
yang dikecapi, ianya boleh menghancurkan pembangunan itu sendiri. Firman Allah
Ta'ala dalam surah al-Israa ayat 16:

Tafsirnya:
Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri,
Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan
kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan
maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami
menghancurkannya sehancur-hancurnya.
Bagi mengelakkan proses pembangunan berakhir dengan kegagalan dan kehancuran,
falsafah-falsafah yang tidak berasaskan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala
seperti sistem kapitalis dan sosialis komunis hendaklah diketepikan sama sekali.
Walaupun akal, ilmu, falsafah dan idealogi yang dimiliki oleh manusia dapat mengenal
pasti kebaikan dan keburukan, tetapi kemampuannya amat terbatas, tidak mutlak dan
banyak dikuasai oleh kepentingan-kepentingan diri, kebendaan dan nafsu yang tidak
pernah puas. Sebagai contoh, teori modenisasi yang diwar-warkan oleh negara-negara
maju adalah berasaskan kepada hepotesis bahawa negara-negara membangun kekurangan
tabungan dan teknologi dan rakyat pula enggan mengubah cara hidup sosiobudaya
mereka yang dilabel Barat sebagai penghalang pembangunan. Teori ini menegaskan
bahawa negara Barat adalah model untuk diikuti negara membangun dan untuk maju
negara berkenaan harus mengimpot modal, teknologi, kepakaran dan nilai serta institusi
dari Barat. Falsafah ciptaan Barat ini sebenarnya dipenuhi dengan unsur keraguan dan
kekeliruan. Apa tidaknya, struktur sosioekonomi politik negara-negara membangun
direkabentuk oleh penjajah dan bekas penjajah sehingga harus sentiasa bergantung
kepada mereka dalam hampir semua kegiatan pembangunan. Misalnya, untuk
mendapatkan modal dan teknologi moden, negara-negara membangun akan diberi
bantuan atau pinjaman oleh negara-negara maju jika memenuhi syarat-syarat tertentu
seperti membuka pasaran bebas, menaikkan faedah bank dan cukai yang kesannya boleh
menindas pengusaha-pengusaha tempatan dan rakyat sesebuah negeri. Oleh itu, setiap
lapisan masyarakat khususnya orang-orang Islam berkewajipan untuk memahami proses
pembangunan. Kesedaran tentang pembangunan perlu wujud di kalangan masyarakat
supaya pembangunan yang menurut acuan Islam tidak hanya setakat teori atau hanya
dalam lipatan sejarah kegemilangan zaman silam. Jika jiwa pembangunan tidak wujud di
kalangan masyarakat, maka kelancaran sesuatu perancangan projek pembangunan boleh
terjejas atau pembangunan itu hampir-hampir tidak ada kerana masyarakat tidak terfikir
untuk membangunkan suatu kawasan atau projek yang sebenarnya berpotensi untuk
diperkembangmajukan.
Masyarakat Islam perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang konsep
pembangunan sebagai kegiatan yang tidak terkeluar dari tugas manusia sebagai hamba
dan khalifah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk
mentadbir dunia berasaskan ajaran tauhid. Segala aktiviti pembangunan dalam sebuah
masyarakat tidak harus mengkesampingkan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang
bermoral dan beretika serta berpegang teguh dengan nilai-nilai agama dan kerohanian.
Dimensi utama yang sewajarnya menjadi teras dalam pembangunan sesebuah negara
ialah pembangunan keinsanan menyeluruh dan bersepadu berakarkan keimanan dan
kepatuhan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Anda mungkin juga menyukai