Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan / Kebaikan / Faedah Amalan Kitar Semula.

       Alam sekitar merupakan satu anugerah yang tidak ternilai dan tiada galang
gantinya .Dalam satu sidang media massa yang diadakan baru-baru ini , Perdana Menteri
Malaysia yang keenam, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak ada
menyatakan bahawa rakyat Malaysia perlu berganding bahu melakukan amalan kitar semula
sebelum nasi menjadi bubur. Di dada-dada akhbar tempatan pada terutamanya Berita Harian
sering mengutarakan rencana amalan kitar semula memberikan nilai yang paradoks apabila
rakyat Malaysia khususnya amat liat untuk mengamalkan kitar semula. Pihak-pihak yang
bertanggungjawab terhadap alam sekitar sudah mula melakukan inisiatif dengan
menggalakkan masyarakat mengamalkan amalan kitar semula kerana amalan ini dapat
menjamin persekitaran alam yang sihat. Persoalannya, apakah kepentingan amalan kitar
semula?

      Antara kepentingan amalan kitar semula adalah dapat mengurangkan pencemaran alam
sekitar. Hal ini amat signifikan kerana bahan-bahan buangan atau barangan terpakai tidak
akan dibuang ke tempat yang sepatutnya. Sampah sarap dan bahan buangan yang tidak
berada di tempat pelupusan sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan orang
yang menetap berhampirannya. Hal ini demikian kerana longgokan sampah tersebut akan
menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit dan berbahaya seperti nyamuk, tikus, ular dan
lipas. Tamsilnya, bahan buangan domestik akan menarik perhatian tikus yang kelaparan dan
pembuangan tayar terpakai akan mengakibatkan pembiakan nyamuk kerana terdapat
takungan air hujan di dalamnya. Oleh yang demikian, masyarakat harus menyahut seruan
kerajaan untuk melakukan kitar semula yang dapat dilaksanakan dalam pelbagai cara seperti
gotong-royong perdana. Kesannya, masalah pencemaran yang berlaku di negara Malaysia
dapat diatasi dengan lebih efektif dan pragmatik. Sudah terang lagi bersuluh, pengurangan
pencemaran alam sekitar merupakan salah satu kepentingan amalan kitar semula.

       Seandainya dipandang pada perspektif yang lain, amalan kitar semula dapat menjimatkan
kos perbelanjaan pelupusan sampah .Perkara ini lebih menjimatkan berbanding usaha
menyelenggara tapak pelupusan sampah yang makin meningkat di negara ini. Oleh itu, caj
untuk pelupusan sampah akan dikurangkan selain dapat meningkatkan ekonomi negara agar
setaraf dengan negara maju yang lain. Melalui jumpaan carian di Internet, fakta ada
menyatakan bahawa plastik mengambil masa 500 tahun untuk dilupuskan. Apabila aktiviti
kitar semula dilaksanakan, pembuatan plastik yang menggunakan petroleum yang dijumpai
melalui hasil cari gali di dasar lautan dapat dikurangkan sekali gus mengelakkan berlaku
perkara yang tidak diingini kepada hidupan akuatik. Pusat pelupusan sampah yang tidak
diurus akan menyebabkan pencemaran bau akibat pelepasan gas semasa pereputan semula
jadi sampah berlaku. Rakyat Malaysia yang ingin hidup bebas daripada sampah perlulah
berusaha membuang secara sistematik dan terus istiqamah melaksanakannya persis
peribahasa Melayu, berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu
bersenang-senang kemudian. Izharnya, salah satu kepentingan amalan kitar semula adalah
menjimatkan kos pelupusan sampah.
   
        Pada perspektif yang lain, kepupusan sumber alam dapat dielakkan merupakan antara
kepentingan amalan kitar semula. Hal ini demikian kerana sebanyak 17 pohon pokok yang
matang terpaksa ditebang untuk menghasilkan satu tan kertas. Oleh yamg demikian,
masyarakat perlulah mengguna semula barang terpakai atau barang-barang buangan selain
dapat mengubah fungsinya dengan mereka cipta sesuatu yang baru dan boleh memberi
manfaat. Hal ini persis peribahasa Melayu yang menyatakan, ingat sebelum kena jimat
sebelum habis agar seseorang itu tidak akan menyesal di kemudian hari. Tambahan pula,
bahan mentah yang dieksploitasi di negara ini dapat dikurangkan dan digunakan oleh
generasi pada masa akan datang dan menjamin kelangsungan ekonomi negara, Masyarakat
Malaysia terutamanya perlu memelihara hutan hujan tropika yang terdapat di bumi bertuah
ini kerana pokok-pokok tersebut membekalkan oksigen kepada manusia dan haiwan melalui
proses fotosintesis yang memerlukan cahaya matahari dan karbon dioksida . Kesan daripada
kepupusan sumber alam akan menyebabkan bumi menjadi gondol dan bencana alam akan
berlaku dengan kerap seperti banjir kilat dan tanah runtuh. Tuntasnya, salah satu kepentingan
amalan kitar semula adalah dapat mengelakkan kepupusan sumber alam yang indah ini.

         Seterusnya, kepentingan amalan kitar semula adalah menambahkan pendapatan


masyarakat. Hal ini diutarakan demikian kerana sesetengah masyarakat beroleh pendapatan
tetap atau sampingan melalui amalan jual beli bahan terbuang dan terpakai sekali gus dapat
menurunkan peratus pengangguran di Malaysia. Perkara ini dapat meningkatkan ekonomi
individu dan sesebuah organisasi keluarga terutama yang mempunyai banyak tanggungan.
Tamsilnya, masyarakat terutama pihak ibu bapa bokeh menjual majalah dan surat khabar
lama ke kilang atau kedai membeli kertas untuk dikitar semula selain dapat menjadi contoh
teladan yang baik kepada anak-anak kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Tin-
tin minuman yang sering digunakan juga dapat dijual dengan harga yang tinggi mengikut
beratnya. Sering kali kita dipaparkan dengan panorama yang tidak enak dilihat di kawasan
rekreasi iaitu bekas-bekas tin ditinggalkan apabila isinya sudah selamat masuk ke perut
manusia. Tin-tin tersebut lebih baik dihantar ke kilang untuk diproses menjadi bahan baru
berbanding menjadi hiasan di taman rekreasi yang akan mengundang pelbagai kesan negatif.
Jelaslah bahawa pendapatan masyarakat dapat ditambah merupakan kepentingan amalan kitar
semula.

       Akhir sekali, persekitaran alam yang ceria merupakan kepentingan amalan kitar semula.
Perkara ini dapat dilaksanakan melalui kaedah guna semula barangan terpakai. Barangan
terpakai tersebut dapat dimanfaatkan untuk menceriakan persekitaran berbanding hanya
berada di pusat pelupusan sampah. Sebagai contohnya, botol-botol plastik terpakai dapat
digubah dan dijadikan sebagai sebuah pasu mini selain dapat menghiasi pagar rumah dengan
terdapat pokok bunga bervariasi warna di dalamnya. Kesannya, jiran tetangga akan mengikuti
kaedah yang ditunjukkan kerana penggunaan botol plastik untuk menghasilkan pasu mini
lebih menjimatkan kos daripada membeli pasu sebenar di kedai yang jauh lebih tinggi
harganya. Tambahan pula, melalui Sambutan Hari Bumi yang disambut pada setiap tahun,
masyarakat dapat mengubah fungsi pelbagai barang terpakai dan mendapat impak yang baik
daripadanya. Tegasnya, antara kepentingan amalan kitar semula adalah dapat menceriakan
alam sekitar melalui penghasilan produk baru.

       Deduksinya, untuk mendapatkan faedah atau kepentingan alam sekitar, semua pihak
haruslah seia sekata untuk istiqamah dalam mengamalkan amalan kitar semula. Masyarakat
tidak boleh memandang remeh perkara ini supaya alam ini selamat untuk didiami oleh
generasi sekarang dan akan datang agar keindahan alam akan terus dapat dinikmati. Mantan
Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah menyatakan bahawa rakyat
yang sihat bergantung kepada persekitaran alam yang bersih dan indah. Masyarakat harus
mengamalkan amalan kitar semula kini kerana alah bisa tegal biasa. Oleh yang demikian,
rakyat Malaysia diseru untuk terus mengamalkan amalan kitar semula dan berupaya
meluaskan horizon pemikiran masyarakat untuk melahirkan generasi yang cinta akan alam
sekitar.

Anda mungkin juga menyukai