Anda di halaman 1dari 2

-Langkah-Langkah Untuk Menjaga Alam Sekitar-

Pendahuluan
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang
semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan yang
mengancam khazanah negara kita iaitu alam sekitar. Kekayaan flora dan fauna yang dimiliki negara kita seperti
kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air semakin diancam pencemaran dek kerana pembangunan
sosioekonomi yang berlangsung bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kesan daripada kecuaian manusia
mengejar kekayaan tanpa memikirkan akibat terhadap alam sekitar telah menyebabkan insiden atau bencana
berlaku yang mengancam nyawa manusia. Justeru, kita perlu sedar bahawa demi kelangsungan tamadun manusia
sejagat dan habitat yang kita huni, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar perlu menjadi agenda utama pada
masa kini. Apakah langkah-langkah yang boleh kita laksanakan untuk menjaga alam sekitar?

Isi 1
Prakarsa utama dalam mendepani cabaran yang melibatkan setiap pihak adalah bermula dengan polisi yang
digunakan oleh negara serta mampu menjadi model kepada negara serantau. Sebagai pihak berkuasa, anjakan
paradigma perlu diambil bagi memastikan kemajuan masyarakat tempatan berlaku dari semasa ke semasa.
Penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui wajar diperkenalkan dan diperkasa dalam industri-industri
yang berisiko mengancam pemeliharaan alam sekitar di negara ini. Sebagai contoh, penggunaan sumber solar
sebagai tenaga elektrik di kawasan bandar perlu diperluaskan supaya penggantungan terhadap penjanaan elektrik
daripada sumber arang dan hidro eleketrik berkurangan. Sebaliknya, sumber air yang digunakan dapat disalirkan
ke kawasan-kawasan yang kurang bekalan air bersih dan juga digunakan untuk pertanian di kawasan luar bandar.

Isi 2
Langkah alternatif yang boleh dilakukan dalam membuka mata masyarakat tentang isu ini adalah dengan
melaksanakan kempen secara konsisten. Apabila pihak berkuasa mula mengorak langkah yang jitu dalam menjaga
kekayaan alam sekitar negara, media massa perlu memainkan peranan penting untuk menyampaikan mesej kepada
setiap golongan masyarakat. Semua pihak perlu mengkaji dan mengaplikasikan norma masyarakat umum pada
masa ini yang menggunakan media sosial sebagai medium utama dalam komunikasi antara satu sama lain. Oleh
itu, sekiranya kita ingin mengubah stigma masyarakat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar, cara yang
mudah hendaklah dekat dan efektif kepada diri mereka. Misalnya, memperbanyakkan rancangan yang melibatkan
selebriti dalam kempen mengitar semula dan sebagainya. Institusi lain yang melibatkan masyarakat seperti
sekolah, universiti dan oraganisasi kerja juga bertanggungjawab menjalankan kempen kesedaran terhadap
penjagaan alam sekitar. Intihannya, kempen yang menyeluruh pasti dapat mencapai sasaran yang kita kehendaki.

Isi 3
Selain itu, langkah-langkah untuk menjaga alam sekitar yang boleh disertai oleh ahli masyarakat adalah melakukan
aktiviti sukarelawan membersihkan kawasan sekitar. Persis kata peribahasa, kerana nila setitik, rosak susu
sebelanga. Hal ini demikian kerana masih terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa-
sisa yang tidak sepatutnya ke dalam sungai atau laut. Pemerkasaan undang-undang juga mungkin tidak diendahkan
atau meninggalkan kesan kepada mereka. Oleh itu, kita sebagai warganegara yang cinta akan negara seharusnya
menyertai aktiviti-aktiviti sukarelawan yang berusaha membersihkan kawasan yang dicemari seperti kawasan
sungai dan pantai. Pencemaran sampah dan sisa lain yang sering berlaku di negara kita perlu diambil serius oleh
semua pihak. Jika insiden ini dibiarkan, hidupan akuatik dan juga sumber air kita akan terancam dan menyebabkan
kita kekurangan sumber tersebut. Sebagai contoh, di Jepun pernah berlaku satu wabak yang menyebabkan setiap
penduduk di kampung yang menggunakan sungai tercemar sebagai sumber air harian mati dan lahir dengan
kecacatan yang kekal. Maka, kita seharusnya mengambil sejarah ini sebagai iktibar bagi menjamin kelangsungan
hidup untuk masa hadapan.

Isi 4
Pada peringkat individu pula, amalan kitar semula adalah langkah terbaik bagi menyelamatkan alam sekitar. Kitar
semula adalah menggunakan semula bahan-bahan terpakai menjadi bahan lain yang bermanfaat. Misalnya,
takungan air hujan boleh digunakan sebagai air siraman pokok atau tumbuhan yang kita tanam di halaman rumah.
Bahan-bahan lain seperti plastik, kaca dan bahan elektronik yang tidak berfungsi boleh disumbangkan kepada
pengusaha kitar semula. Setiap bahan berpotensi untuk diproses semula menjadi barang yang berguna kepada
masyarakat tanpa perlu membazirkan sumber yang baharu. Mutakhir ini, syarikat-syarikat pakaian seperti kasut
dan beg mula menggunakan bahan terpakai sebagai bahan asas dalam produk baharu mereka. Dengan kesedaran
entiti-entiti besar dalam mementingkan pemeliharaan alam sekitar mampu menjadi medium kepada sebahagian
masyarakat untuk sedar akan manfaatnya. Dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja dapat menyelamatkan alam
sekitar, ia juga dapat membantu kita menjadi pengguna yang berhemah dan tidak menggunakan wang yang banyak
dalam mendepani cabaran ekonomi yang telah meningkatkan kos sara hidup.

Penutup
Secara tuntas, pelbagai langkah perlu dilaksanakan dalam menjamin pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.
Setiap pihak di setiap peringkat seharusnya memainkan peranan masing-masing bagi mencapai objektif kelestarian
alam sekitar. Inisiatif ini merupakan usaha yang kolektif dimana dengan penglibatan setiap di antara kita dapat
membuahkan hasil yang sangat berbaloi bukan sahaja kepada kita malah untuk kehidupan generasi-generasi akan
datang. Bak kata peribahasa Melayu, bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Semoga ahli pemikir bekerjasama
dengan badan eksekutif dalam negara menjadikan polemik ini sebagai agenda utama negara dan mencari
mekanisme terbaik dalam memastikan pembangunan dan alam sekitar kita mencapai tahap terbaik dan menjadi
kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai