Anda di halaman 1dari 8

Langkah memupuk semangat kejiranan

Malaysia merupakan negara yang amat unik apabila berjaya mencapai kemerdekaan
dengan adanya pelbagai bangsa dan etnik yang hidup dalam harmoni. Masa demi
masa berlalu, sentimen perkauman semakin menjadi isu yang boleh memburukkan
keharmonian yang telah dibentuk dan diperjuangkan oleh nenek moyang kita
dahulu. Justeru itu, keharmonian hendaklah bermula daripada rumah ataupun jiran
tetangga. Jiran tetangga adalah orang yang tinggal berdekatan dengan rumah atau
tinggal setempat samada di kiri, dan kanan, hadapan atau belakang, atas dan bawah
bagi rumah flat atau kondominium.
Antara usaha yang dapat dilakukan untuk memupuk semangat kejiranan yang kian
pudar hari ini adalah dengan mewujudkan satu pusat komuniti di setiap kawasan
perumahan. Sebagai contoh balai raya dan dewan serbaguna yang boleh digunakan
untuk aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong royong dan sebagainya. Kemudian,
perlunya organisasi seperti rukun tetangga ditubuhkan bagi mengurus hal-hal
berkenaan aktiviti di kawasan kejiranan. Jadi, seharusnya semua ahli masyarakat
mengambil bahagian dan menyumbangkan apa yang perlu untuk mencapai
semangat kejiranan yang harmoni dan sejahtera. Bulat air kerana pembentung, bulat
manusia kerana muafakat adalah peribahasa Melayu yang sesuai untuk digambarkan
dengan semangat kejiranan yang wajar disemat dalam diri rakyat Malaysia.
Usaha-usaha lain adalah dengan menggalakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan
seperti gotong-royong dan bersukan di antara kkawasan perjiranan. Tanggungjawab
ini bergantung kepada badan-badan bukan kerajaan seperti rukun tetangga dan
khidmat komuniti oleh syarikat swasta. Program gotong-royong pembersihan atau
membaik pulih balai raya atau dewan serbaguna dapat merapatkan hubungan antara
masyarakat yang sertai sekaligus mengindahkan infrastruktur masyarakat serta
menjamin kebersihan kawasan sekitar agar bersih daripada ancaman penyakit. Bak
kata peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air dimana aktiviti seperti ini
mendatangkan pelbagai faedah kepada semua.
Selain itu, usaha yang semakin pudar hari ini adalah budaya kunjung mengunjung.
Kesibukan mengejar kerjaya dan urusan harian telah menyumbang kepada
kemerosotan budaya berziarah antara jiran tetangga yang dahulu merupakan tradisi
nenek moyang kita. Maka, sekiranya kita berkesempatan untuk berkunjung ke
rumah jiran tetangga, terutamanya pada hari perayaan ia adalah suatu usaha yang
murni dan perlu ditunjukkan kepada golongan muda agar mereka sedar bahawa nilai
muafakat dalam berjiran adalah baik dan memberi manfaat kepada semua. Jika
segan menjadi halangan maka mulakan lah dengan menegur sapa apabila bertemu
ketika berselisih di kawasan perumahan masing-masing.
Media massa juga memainkan peranan penting dalam memupuk usaha supaya
masyarakat hidup dalam semangat kejiranan. Dengan kemudahan yang hanya
dihujung jari dewasa ini, media massa sepatutunya bertanggungjawab untuk
membuat program-program dengan pengisian yang menerapkan nilai kejiranan
dalam masyarakat kita. Drama yang melibatkan pelakon berbilang bangsa serta jalan
cerita yang menyentuh situasi sebenar masyarakat kita mampu menjadi medium
dalam membentuk semangat kejiranan melalui media massa. Media massa
seharusnya merasakan tanggungjawab yang berat kerana masyarakat kini lebih
menghabiskan masa melayari media-media massa dan mereka sewajarnya
menyuntik nilai-nilai kejiranan atau kekitaan dalam hiburan yang disajikan.

Intihannya, semangat kejiranan dalam masyarakat adalah budaya masyarakat


Malaysia yang amat unik dan perlu disemai dan dihargai dengan lebih baik agar
golongan muda mendapat manfaat daripada nilai yang baik ini. Tuntasnya, semangat
kejiranan bukan sahaja memastikan masyarakat hidup dalam keharmonian dan
sejahteran tetapi menjamin kesepaduan negara dalam menjadi negara yang lebih
maju dan berdaya saing dengan negara-negara lain. Rakyat yang berjaya adalah
rakyat yang kaya dengan nilai sahsiah dan menjamin modal insan kelas pertama yang
akan memacu negara menjadi negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Kepentingan Amalan Kitar Semula
Sampah-sarap merupakan satu perkara yang tanpa kita sedar semakin bertambah
dari hari ke hari. Menurut sebuah petikan akhbar Berita Harian pada tahun 2019,
rakyat Malaysia dianggarkan menghasilkan 37,000 tan sisa sampah setiap hari. Tidak
mustahil satu hari nanti tiada lagi kawasan untuk pelupusan sampah sehingga
menyebabkan kawasan penempatan atau rumah kita dikelilingi sisa sampah ini. Pasti
kita tidak mahukan situasi tersebut daripada berlaku. Di sini datangnya kesedaran
untuk kita mengamalkan kitar semula di setiap aspek kehidupan kita. Botol-botol
yang sebelum ini dibuang setelah kita menggunakannya boleh dikitar semula untuk
menjadi bahan kepada satu produk lain seterusnya dapat mengurangkan sampah
serta memberikan fungsi lain. Maka, mari kita huraikan kepentingan-kepentingan
kitar semula kepada manusia yang memberikan kebaikan untuk kita semua.

Kitar semula membantu usaha memelihara dan memulihara sumber alam semula
jadi. Setiap detik, jumlah kelahiran manusia bertambah dari hari ke hari tetapi
keluasan muka bumi kekal dan tidak boleh ditambah-tambah. Hampir keseluruhan
aspek kehidupan kita menggunakan sumber tenaga yang diproses bertahun-tahun
oleh alam semula jadi. Misalnya penghasilan kertas yang memerlukan pokok
ditebang sehingga mengakibatkan hutan ditarah demi kepentingan manusia sahaja.
Flora dan fauna akan kehilangan habitat atau tempat tinggal mereka dan akhirnya
pupus dek kerana kerakusan manusia mengejar apa yang dianggap sebagai
kemajuan. Oleh itu, amalan kitar semula seperti menggunakan produk atau bahan
yang boleh diperbaharui adalah penting untuk memelihara alam semula jadi yang
dikurniakan Tuhan. Pepatah melayu berkata, sudah terhantuk baru terngadah.
Sebelum kita kehilangan alam semula jadi yang menjadi sumber kehidupan kita,
inilah masanya untuk kita menyelamatkannya daripada musnah.

Pada masa yang sama, amalan kitar semula dapat mengurangkan kadar pencemaran
alam sekitar. Kitar semula secara langsung dapat mengurangkan pembuangan
sampah. Acapkali kita melihat di laporan berita aduan oleh masyarakat tentang
pencemaran bau, udara dan air akibat daripada pembuangan sampah yang tidak
terurus. Dengan jumlah penghasilan sampah yang dinyatakan di atas, pengurusan
sisa pepejal di dalam negara adalah tugas yang sukar. Berdasarkan satu kenyataan
oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, tanah yang dijadikan tapak
pelupusan sampah pula tidak boleh digunakan untuk sebarang pembangunan atau
projek kerana ia perlu dirawat sekurang-kurangnya selama 20 tahun selepas itu
berikutan ada air larutan serapan (leachate) dan gas berbahaya dengan kadar
pencemaran sangat tinggi. Oleh sebab itu, masyarakat perlu membuka mata dan
mengamalkan kitar semula bermula hari ini untuk mengurangkan kawasan
pelupusan sampah dalam negara ini. Natijahnya, kitar semula membantu usaha
mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar.
Di samping itu, penjimatan perbelanjaan kewangan dapat dipraktikkan di setiap
peringkat sekiranya kita mengamalkan kitar semula. Apabila kita kitar semula, kita
akan kurang membeli barang baharu dan secara asasnya menjimatkan perbelanjaan.
Dari sudut yang lebih besar, kos pengurusan sampah bagi tujuh negeri iaitu Wilayah
Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur; Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang,
Kedah dan Perlis mencecah RM2 bilion setiap tahun. Anggaran kos oleh SWCorp
yang merupakan syarikat pengurusan sisa pepejal ini menunjukkan pihak berkuasa
tempatan telah membelanjakan sejumlah peruntukkan yang banyak hanya untuk
menguruskan sampah yang kita hasilkan. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan
pembaziran dan memastikan peruntukkan kerajaan digunakan kepada perkara yang
lebih bermanfaat, kita hendaklah mengubah tabiat kita yang suka menghasilkan
sampah dan lebih menghargai setiap perkara. Sebagai contoh, sisa makanan kita
boleh menjadi baja kepada tanaman. Izharnya, banyak wang yang kita boleh
jimatkan jika mempraktikkan amalan kita semula.

Akhir sekali, kitar semula adalah amalan yang penting untuk memastikan
kelangsungan hidup generasi akan datang. Mutakhir ini, bencana alam seperti banjir
dan tanah runtuh berlaku tanpa sebarang amaran dan meragut nyawa serta
memusnahkan tempat tinggal. Ia berlaku kerana perubahan iklim yang semakin
ekstrem dan diluar kawalan kita sebagai manusia yang lemah. Kenaikan suhu bumi
akibat daripada pelepasan gas dan bahan kimia oleh manusia saban hari boleh
diselamatkan dengan amalan kitar semula. Penghasilan produk dan proses
industrisasi akan menjadi perlahan dan pendekatan teknologi yang mesra alam perlu
digunakan sepenuhnya. Adakah kita bersedia apabila bekalan petrol dan gas asli dari
perut bumi habis digali? Bak kata pepatah, inagt sebelum kena, jimat sebelum habis.
Tegasnya, amalan kitar semula sedikit sebanyak menyumbang kepada kelangsungan
generasi akan datang untuk terus menikmati kehidupan yang tenang dimuka bumi
ini.

Berdasarkan huraian-huraian di atas, kita dapat simpulkan kepentingan dan kebaikan


yang diperoleh daripada malan kitar semula. Sebagai generasi yang terdedah kepada
dunia globalisasi ini, kita dapat lihat negara-negara lain sudah mengorak langkah
untuk memastikan amalan kitar semula dipupuk dalam kalangan masyarakat kita.
Namun, di Malaysia, ia masih kurang mendapat kesedaran yang jelas dalam setiap
ahli masyarakat. Golongan pemimpin negara seharusnya sebulat suara berusaha
untuk memastikan amalan kitar semula menjadi budaya dalam kalangan penduduk
di negara ini. Semoga setiap di antara kita sedar bahawa kita hanya mempunyai satu
sahaja planet untuk didiami iaitu bumi. Jika musnah ekosistem, ke mana kita akan
pergi? Di mana anak dan cucu kita ingin tinggal secara aman dan sejahtera?
Langkah Memupuk Semangat Kejiranan
Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga
di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang
sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana
merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita
menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat
membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa
bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar
hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk
setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti
gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti
yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-
kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal
hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah
Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang
boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan
hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan
dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu
sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh
semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran
dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya,
melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul
dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh,
semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya
majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah
terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan
lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan,
semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti
berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti
Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa,
malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak,
gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi,
melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak
langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti
yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti
sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu
persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan
ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan
sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya.
Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-
gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak
diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan
tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam
kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan


rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup
bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan
mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu
berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital
kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai
jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.
Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat
merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan
kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita
itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk


setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak
mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu
“bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan,
semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada
pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu,
dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh.
Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat
kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.
Langkah-Langkah Menggalakkan Kempen Kitar Semula
Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah menjadi penanda aras untuk mencapai
kemakmuran dalam semua aspek khususnya ekonomi, sosial dan politik secara adil,
saksama. Namun masalah pembuangan sampah yang boleh dikitar semula masih
lemah walaupun tahun 2020 telah berlalu pergi. Masyarakat masih di takuk lama
kerana sehingga hari ini masalah pencemaran alam dan pembuangan sampah masih
berleluasa di negara kita. Oleh itu, satu prakarsa perlu diambil secara drastik lagi
efektif bagi menggalakkan kempen kitar semula agar dapat memberi kesedaran
kepada masyarakat. Persoalan yang mula menghantui pemikiran kita ialah, apakah
langkah bestari yang dapat menggalakkan kempen kitar semula?
Antara usaha bagi menggalakkan program kitar semula adalah dengan bermula dari
rumah. Ibu bapa hendaklah menjadi uswah hasanah kepada anak-anak dengan
melakukan aktiviti kitar semula di rumah seperti peribahasa yang menyebut
bagaimana acuan begitu la kuihnya. Ibu bapa hendaklah melibatkan aktiviti kitar
semula di rumah dengan mengasingkan barang buangan yang boleh dikitar semula
seperti kertas, botol, tin dan plastik yang terdapat di dalam rumah. Dengan cara ini,
anak-anak akan terdidik dari rumah sejak mereka kecil lagi tentang amalan kitar
semula dan didikan dari usia muda seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya ini
akan dapat menjadi amalan dalam kehidupan apabila dewasa kelak.
Usaha seterusnya dilihat dari sudut peranan sekolah yang bertanggungjawab untuk
memupuk amalan kitar semula melalui kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Sebagai
satu contoh yang lazim kita ketahui, pihak sekolah sering menganjurkan aktiviti
gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran sekolah dengan mengadakan
pertandingan mengumpul barangan kitar semula terbanyak turut menarik minat
pelajar untuk menyertai pertandingan kitar semula ini. Malah aktiviti ini mampu
memberi kesedaran kepada pelajar dan guru sekolah agar melakukan aktiviti kitar
semula. Oleh itu, usaha ini haruslah digiatkan melalui aktiviti di dalam bilik darjah
melalui aktiviti pembelajaran.
Dari sudut yang berlainan pula, kerajaan hendaklah berani untuk menggubal mana-
mana polisi yang berkaitan pembuangan sampah sarap dan kitar semula. Kerajaan
mestilah menetapkan peraturan tentang tatacara pembuangan sampah mengikut
kategori seperti sampah domestik, sampah pukal dan sampah barangan kitar
semula. Jadual kutipan sampah hendaklah diselaraskan agar memudahkan pengguna
mengeluarkan sampah yang tidak digunakan pada waktu yang telah ditetapkan
dalam jadual kutipan sampah. Usaha ini hendaklah dilakukan secara berterusan agar
rakyat melihat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serius dalam menggalakkan orang
ramai mengamalkan amalan kitar semula.
Tidak dinafikan juga, syarikat-syarikat korporat sewajarnya menunjukkan komitmen
dalam menggalakkan aktiviti kitar semula di syarikat mereka. Hal ini dikatakan
demikian kerana kebanyakan syarikat banyak menghasilkan sampah yang boleh
dikitar semula seperti kertas, plastik dan tin. Sebagai contoh, firma guaman dan
akauntan banyak menggunakan kertas untuk cetakan dokumen. Malah kebanyakan
syarikat mengamalkan sistem 5S iaitu Sisih, Sapu, Susun, Seragam dan Sentiasa
amalkan. Dengan sistem ini pekerja akan menyisihkan bahan atau dokumen yang
tidak diguna pakai lalu dibuang mengikut kategori tong kitar semula. Oleh itu,
amalan sistem kerja dalam syarikat swasta turut menjayakan aktiviti kitar semula.
Secara keseluruhannya, amalan kitar semula bukanlah suatu yang baharu dalam
negara dan program kitar semula ini secara berterusan diamalkan di peringkat
kerajaan tempatan di bawah Jabatan Sisa Pepejal. Isu kitar semula merupakan isu
global yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar dapat memastikan dunia
dan alam sekitar terus menjadi sumber untuk dinikmati masyarakat akan datang
menjelang 2030 Wawasan Kemakmuran Bersama.

Anda mungkin juga menyukai