Anda di halaman 1dari 2

Pendahuluan Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan

pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak
oleh pelbagai permasalahan yang mengancam khazanah negara kita iaitu alam sekitar. Kekayaan flora
dan fauna yang dimiliki negara kita seperti kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air semakin
diancam pencemaran dek kerana pembangunan sosioekonomi yang berlangsung bagai cendawan
tumbuh selepas hujan. Kesan daripada kecuaian manusia mengejar kekayaan tanpa memikirkan akibat
terhadap alam sekitar telah menyebabkan insiden atau bencana berlaku yang mengancam nyawa
manusia. Justeru, kita perlu sedar bahawa demi kelangsungan tamadun manusia sejagat dan habitat
yang kita huni, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar perlu menjadi agenda utama pada masa
kini. Apakah langkah-langkah yang boleh kita laksanakan untuk menjaga alam sekitar? Isi 1 Prakarsa
utama dalam mendepani cabaran yang melibatkan setiap pihak adalah bermula dengan polisi yang
digunakan oleh negara serta mampu menjadi model kepada negara serantau. Sebagai pihak berkuasa,
anjakan paradigma perlu diambil bagi memastikan kemajuan masyarakat tempatan berlaku dari semasa
ke semasa. Penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui wajar diperkenalkan dan diperkasa
dalam industri-industri yang berisiko mengancam pemeliharaan alam sekitar di negara ini. Sebagai
contoh, penggunaan sumber solar sebagai tenaga elektrik di kawasan bandar perlu diperluaskan supaya
penggantungan terhadap penjanaan elektrik daripada sumber arang dan hidro eleketrik berkurangan.
Sebaliknya, sumber air yang digunakan dapat disalirkan ke kawasan-kawasan yang kurang bekalan air
bersih dan juga digunakan untuk pertanian di kawasan luar bandar. Isi 2 Langkah alternatif yang boleh
dilakukan dalam membuka mata masyarakat tentang isu ini adalah dengan melaksanakan kempen
secara konsisten. Apabila pihak berkuasa mula mengorak langkah yang jitu dalam menjaga kekayaan
alam sekitar negara, media massa perlu memainkan peranan penting untuk menyampaikan mesej
kepada setiap golongan masyarakat. Semua pihak perlu mengkaji dan mengaplikasikan norma
masyarakat umum pada masa ini yang menggunakan media sosial sebagai medium utama dalam
komunikasi antara satu sama lain. Oleh itu, sekiranya kita ingin mengubah stigma masyarakat terhadap
kepentingan memelihara alam sekitar, cara yang mudah hendaklah dekat dan efektif kepada diri
mereka. Misalnya, memperbanyakkan rancangan yang melibatkan selebriti dalam kempen mengitar
semula dan sebagainya. Institusi lain yang melibatkan masyarakat seperti sekolah, universiti dan
oraganisasi kerja juga bertanggungjawab menjalankan kempen kesedaran terhadap penjagaan alam
sekitar. Intihannya, kempen yang menyeluruh pasti dapat mencapai sasaran yang kita kehendaki. Isi 3
Selain itu, langkah-langkah untuk menjaga alam sekitar yang boleh disertai oleh ahli masyarakat adalah
melakukan aktiviti sukarelawan membersihkan kawasan sekitar. Persis kata peribahasa, kerana nila
setitik, rosak susu sebelanga. Hal ini demikian kerana masih terdapat segelintir pihak yang tidak
bertanggungjawab membuang sisa-sisa yang tidak sepatutnya ke dalam sungai atau laut. Pemerkasaan
undang-undang juga mungkin tidak diendahkan atau meninggalkan kesan kepada mereka. Oleh itu, kita
sebagai warganegara yang cinta akan negara seharusnya menyertai aktiviti-aktiviti sukarelawan yang
berusaha membersihkan kawasan yang dicemari seperti kawasan sungai dan pantai. Pencemaran
sampah dan sisa lain yang sering berlaku di negara kita perlu diambil serius oleh semua pihak. Jika
insiden ini dibiarkan, hidupan akuatik dan juga sumber air kita akan terancam dan menyebabkan kita
kekurangan sumber tersebut. Sebagai contoh, di Jepun pernah berlaku satu wabak yang menyebabkan
setiap penduduk di kampung yang menggunakan sungai tercemar sebagai sumber air harian mati dan
lahir dengan kecacatan yang kekal. Maka, kita seharusnya mengambil sejarah ini sebagai iktibar bagi
menjamin kelangsungan hidup untuk masa hadapan. Isi 4 Pada peringkat individu pula, amalan kitar
semula adalah langkah terbaik bagi menyelamatkan alam sekitar. Kitar semula adalah menggunakan
semula bahan-bahan terpakai menjadi bahan lain yang bermanfaat. Misalnya, takungan air hujan boleh
digunakan sebagai air siraman pokok atau tumbuhan yang kita tanam di halaman rumah. Bahan-bahan
lain seperti plastik, kaca dan bahan elektronik yang tidak berfungsi boleh disumbangkan kepada
pengusaha kitar semula. Setiap bahan berpotensi untuk diproses semula menjadi barang yang berguna
kepada masyarakat tanpa perlu membazirkan sumber yang baharu. Mutakhir ini, syarikat-syarikat
pakaian seperti kasut dan beg mula menggunakan bahan terpakai sebagai bahan asas dalam produk
baharu mereka. Dengan kesedaran entiti-entiti besar dalam mementingkan pemeliharaan alam sekitar
mampu menjadi medium kepada sebahagian masyarakat untuk sedar akan manfaatnya. Dengan
berbuat demikian, kita bukan sahaja dapat menyelamatkan alam sekitar, ia juga dapat membantu kita
menjadi pengguna yang berhemah dan tidak menggunakan wang yang banyak dalam mendepani
cabaran ekonomi yang telah meningkatkan kos sara hidup.

Anda mungkin juga menyukai