Anda di halaman 1dari 3

Tajuk Pidato : Akhlak Mulia Keluarga Bahagia

Bismillahirahmanirrahim

Amerika Syarikat bertamadun tinggi berdiri kukuh sebagai kuasa besar dunia,
namun kebejatan sosialnya semakin menggila sekaligus menidakkan nilai-nilai
insani yang seharusnya menunjangi kehidupan keluarga bahagia. Institusi
keluarga tergugat, lantaran akhlak yang mulia telah diabaikan, sebaliknya
digantikan dengan konsep matlamat menghalalkan cara dalam segala aspek
kehidupan keluarga. Nantikan natijahnya, renungkan.

Assalamualikum WBT dan salam keluarga bahagia.

Sejambak kasih seharum kasturi buat saudara peneraju majlis, jemaah hakim
yang berintegriti, warga pendidik yang disanjungi seterusnya rakan-rakan
seperjuangan yang dihormati.

Akhlak Mulia Keluarga Bahagia, demikianlah bingkisan wacana saya pada pagi
ini.

Hadirin yang bervisi,


Manyusuri konsep AKHLAK MULIA KELUARGA BAHAGIA mempunyai kolerasi
tersendiri. Ramai percaya bahawa AKHLAK MULIA adalah kuasa kebahagiaan
keluarga, masyarakat dan Negara. Justeru, hadirin sekalian, saya ingin mengajak
anda menghayati TIGA focus bicara intipati wacana saya pada hari ini.
Pertama senarioa semasa institusi keluaraga hari ini, . Kedua cabaran yang
dihadapi oleh istitusi keluarga dan ketiga , langkah mewujudkan keluaraga
bahagia melalui pembentukan akhlak mulia.

Putera-puteri anak pertiwi

Masih segar di ingatan, kita disentak dengan peristiwa duka si bapa menikam
mati si isteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil, isteri tua menyimbah
asid kepada suami tersayang kerana isu berpoligami, si anak pula membunuh
ibu kandung angkara dadah yang menghantui diri.Statistik kes sumbang
mahram, harapkan pagar, pagar makan padi yang dikeluarkan oleh kementerian
Pembangunan Wanita dan Keluarga menunjukkan ada peningkatan kes setiap
tahun iaitu 2503 kes pada tahun 2010 kepada 2952 kes pada tahun 2011.
Senario reality masyarakat Malaysia sebegini amat menakutkan kita kerana
seolah-olah masyarakat kita kehilangan rentak memacu bahtera keluarga. Anak-
anak muda di bangku persekolahan sudah mempraktikkan gejala sumbang yang
ditonton melalui kemajuan teknologi. Persoalannya, mempukah kita membentuk
akhlak mulia dalam kalangan masyarakat kita dan seterusnya melahirkan
keluarga yang bahagia dalam situasi sebegini.

Warga dewan budiman,

Cabaran dalam membentuk keluarga bahagia. Kehidupan moden hari ini bukan
sahaja menuntut manusia untuk bekerja keras bagi menampung kehidupan,
namun manusia mula melupakan asas pembinaan keluarga menurut lunas dan
akhlak yang mulia. Pembentukan keluarga nukleus tidak lagi menjadi keutamaan
dalam era kemodenan ini. Para ibu bapa begitu sibuk bekerja sehingga anak-
anak dibiarkan membesar tanpa ada pengawasan. Statistik kes lari dari rumah
yang dikeluarkan oleh PDRM Bukit Aman menunjukkan 87 peratus kes lari
rumah kerana kelalian ibu bapa. Pakej Keluarga bahagia berteraskan yang muda
disayangi, yang tua dihormati, Konsep Rumahku Syurgaku tidak lagi menjadi
ikutan bahkan dipandang sepi dalam masyarakat. Sungguh sedih melihat
kehancuran akhlak dalam kalangan remaja. Imam Al Ghazali pernah berkata,
untuk melihat kemajuan sesuatu bangsa, lihatlah remajanya hari ini. Namun,
sayang seribu kali sayang, kes-kes moral terus meningkat saban tahun dan
dilihat tiada kesudahannya.

Hadirin yang dikasihi,

Pepatah Melayu ada mengatakan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Peranan dan tanggungjawab membentuk masyarakat berkualiti diperkasakan
melalui pelbagai mdium di peringkat akar umbi. Agensi-agensi yang prihatin
menyahut pelan strategik kerajaan mengajak masyarakat mengubah
paradigma. Kursus pra perkahwinan diwajibkan kepada pasangan yang seia
sekata mengikat janji Agar memperolehi kemahiran keibubapaan yang
secukupnya. Amalan Budi Bahasa Budaya Kita, disemarakkan Agar jutaan rakyat
Malaysia bersama-sama menghayati konsep jati diri dan membetulkan organisasi
lantas menanam dan mengkambus jauh telunjuk lurus kelingking berkait.
Didikan gama dan kerohanian disemaisuburkan dalam diri setiap ahli keluarga
dengan akhlak-akhlak mulia dan mahmudah agar sikap sayang menyayang
dalam keluarga dan masyarakat tidak bertepi. Sudah tentulah puncak kasih akan
berpanjangan. Jelas menunjukkan usaha-usaha telah dilakukan bagi membentuk
akhlak mulia dan akhinya membentuk keluarga bahagia.

Anak-anak bangsaku
Saya dapat menyimpulkan bahawa bangsa Malaysia mempunyai kekuatan dan
kelebihan yang tersendiri. Nilai-nilai tradisi dan akhlak mulia masih utuh
mendasari prinsip keluarga bahagia. Ayuhlah anak-anak bangsaku, kita kekalkan
warisan gemilang selagi hayat di kandung badan. Marilah kita lakarkan potret
kegemilangan Malaysia pada masa hadapan. Sekian Salam keluarga Bahagia.
Wabillah hitaufiq walhidayah wassalamualikum WBT.

Disediakan oleh : SHAHNUN BIN ABDUL GHANI


Disampaikan oleh : DINIE ZHAFRI BIN ZAINUDDIN
(Naib Johan Pertandingan Pidato Piala KPM Peringkat Negeri Perak 2012)

Anda mungkin juga menyukai