Anda di halaman 1dari 1

Pidato Rasuah Pemusnah Integriti Masyarakat

Terima kasih, peneraju majlis. Yang dihormati warga intelektual penerus wawasan negara.
Salam perpaduan dan salam 1 Malaysia.

‘Rasuah Pemusnah Integriti Masyarakat’

Begitulah mauduk pidato yang bakal meniti di bibir saya. Sebelum madah bersulam indah,
sebelum fakta menyusur kata, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina mauduk
pidato saya pada hari ini agar yang kabur dijelaskan dan yang gelap diterangkan.

Definis rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud
wang yang diberikan oleh orang tertentu kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu
perkara atau untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang mudah dan cepat tetapi salah
mengikut undang-undang negara. Pemusnah membawa erti sesuatu yang membinasakan.
Integriti bermaksud kejujuran. Manakala masyarakat merupakan sekumpulan manusia yang
hidup bersama. Oleh itu, secara generalisasinya, amalan sogokan akan membinasakan nilai
kejujuran dalam sekumpulan manusia yang hidup bersama.

Hadirin yang dihormati,

Rasuah merupakan gejala yang sinonim dengan masyarakat kita pada hari ini. Gejala ini
merupakan duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita. Syed Hussein al-Attas
menyatakan bahawa rasuah sebagai penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan
peribadi. Rasuah yang berleluasa juga mencemarkan integriti dan maruah Malaysia sekaligus
menimbulkan kesan negatif.

Hadirin sekalian,

Gejala rasuah di Malaysia berada pada tahap sederhana dan terkawal. Namun begitu, amalan
rasuah masih berlaku dalam semua peringkat kehidupan manusia. Amalan rasuah juga
merupakan penyakit masyarakat yang sukar diatasi kerana pengetahuan tentang keburukan
gejala rasuah ini kurang diketahui oleh masyarakat pada hari ini. Walau bagaimanapun,
masyarakat sekarang yang masih mengamalkan amalan rasuah ini harus sedar bahawa
undang-undang negara kita tidak akan memandang enteng amalan rasuah ini kerana perkara
ini merupakan amalan yang buruk yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman
masyarakat setempat mahupun negara.

Oleh itu, saya ingin mengingatkan diri saya dan tuan-tuan, puan-puan sekalian, marilah sama-
sama mengukuhkan fahaman terhadap agama, agar virus rasuah ini tidak melekat pada diri
kita. Marilah sama-sama kita meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh
tanggungjawab dalam menghapuskan rasuah. Janganlah kita mudah termakan dengan janji
manis dan hasutan yang diberikan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Adalah
menjadi harapan kita semua untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan
berdaya saing dan bebas dari segala ancaman dalam dan luar negara. Tanamkan tekad di hati,
bulatkan azam penuh bermisi, jadikan bangsa Malaysia, bangsa bebas rasuah bangsa
berintegriti!

Anda mungkin juga menyukai