Anda di halaman 1dari 1

TAJUK PIDATO : CARA-CARA MENGATASI AMALAN RASUAH DI MALAYSIA

Selamat pagi dan salam sejahtera diucapkan kepada guru-guru serta rakan-rakan yang dihormati.

Sejak kebelakangan ini, negara kita digemparkan dengan perilaku rasuah yang berlaku dalam
kalangan pemimpin negara sehingga menjadi berita di luar negara. Implikasi daripada gejala
rasuah ini akan memburukkan imej negara dan juga kita sebagai rakyat. Tajuk pidato saya pada
pagi ini ialah Cara-Cara Mengatasi Amalan Rasuah Di Malaysia. Gejala rasuah ini telah
mencemarkan imej negara kerana masyarakat asing beranggapan masyarakat kita memerlukan
sogokan atau rasuah untuk menjalankan tugas yang diamanahkan. Oleh itu, setiap di antara kita
bertanggungjawab membendung gejala rasuah daripada berlaku supaya imej negara dan diri kita
diperbaiki seterusnya mendapat peluang untuk bekerja atau menjalankan urusan berdasarkan
merit dan pencapaian kita. gejala ini serta-merta.

Para hadirin,
Langkah pertama untuk menghalang salah laku rasuah berlaku di negara ini adalah dengan
memberikan pendidikan kepada masyarakat umum tentang amalan rasuah.  Budaya ini perlu
dijelaskan dan diingatkan kepada setiap anggota masyarakat khususnya golongan muda.
Walaupun mereka baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tetapi mereka
merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara ini. Sekiranya setiap rakyat mampu
menilai sama ada sesuatu tindakan itu dianggap sebagai rasuah atau tidak, barulah budaya atau
amalan rasuah dinegara ini dapat ditindas sehingga ke akar umbi.

Hadirin yang dihormati,


Selaras dengan langkah yang diusahakan di atas, amalan rasuah dapat dibanteras dengan
pelaksanaan undang-undang dan hukuman yang tegas. Umum mengetahui kita mempunyai
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai penguatkuasa yang memantau dan
bertindak ke atas salah laku yang melibatkan rasuah. Namun, keterbatasan jumlah pegawai dan
sumber untuk mereka menguatkuasakan undang-undang adalah terhad maka kita sebagai orang
awam juga bertanggungjawab menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa. Selain itu, Badan
Kehakiman Negara juga perlu memastikan perbicaraan yang melibatkan rasuah dilaksanakan
dengan pantas dan adil supaya pelaku rasuah tidak bebas untuk memutar-belitkan kenyataan dan
mengubah salah laku mereka. Jika pelaku rasuah dibicarakan dengan pantas dan dihukum untuk
menjalani hukuman penjara tanpa sebarang prejudis, nescaya ramai yang akan menjauhi amalan
buruk ini.

Seterusnya,
Kaedah lain untuk membendung gejala rasuah di negara kita adalah dengan memastikan sektor
awam beroperasi secara jujur, telus dan bertanggungjawab.  Dalam sesebuah organisasi,
pengurus merupakan jawatan yang paling penting untuk menguruskan tugas organisasi tersebut
dan menjadi contoh kepada pekerja yang lain. Begitu juga dengan sektor awam di negara kita di
mana jika pentadbiran negara dilaksanakan dengan baik dan menyingkirkan mereka yang parasit
seperti mengamalkan gejala rasuah, pasti sektor lain akan turut serta. 

Para hadirin,
Amalan rasuah juga boleh diatasi dengan menawarkan gaji yang bertepatan dan bermaruah untuk
semua ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana jika kita mempunyai sumber kewangan yang
cukup untuk menampung keperluan dan kehendak diri serta keluarga, keinginan untuk menerima
rasuah pasti dapat dielakkan. Sebagai individu dan keluarga, kita akan berasa gembira kerana
keperluan dan kemahuan kita dipenuhi tanpa perlu melakukan perkara yang terlarang. Tegasnya,
dengan membayar gaji yang bertepatan dan bermaruah, gejala rasuah pasti dapat diatasi.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh diadaptasi di negara kita untuk membendung gejala
rasuah yang semakin membarah. Masyarakat umum perlu sentiasa diingatkan supaya tidak
terjebak dengan gejala ini kerana sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Pemberi dan penerima rasuah wajar dihukum dengan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran
kepada orang ramai. Semoga setiap di antara kita menjalankan obligasi masing-masing
khususnya penguatkuasa agar polemik ini diselesaikan dengan cepat. Kesannya, masyarakat kita
akan bertambah intergriti dan dipercayai oleh negara asing untuk menjalankan urusan dan perihal-
perihal lain yang boleh meningkatkan imej negara di persada dunia.

Sekian.Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai