Anda di halaman 1dari 3

Faktor berlaku rasuah

Kegiatan rasuah semakin berleluasa di negara kita dan menjadi ancaman kepada imej negara. Terdapat
beberapa faktor menyebabkan berlakunya kegiatan rasuah ini.
Antara faktor yang menyebabkan gejala rasuah ini ialah kelemahan peribadi seseorang individu.
Kelemahan peribadi ini mungkin disebabkan oleh kurangnya didikan agama dan moral seseorang.
Selain itu, sikap ingin hidup mewah dan ramak menyebabkan golongan yang mengambil rasuah ini
sanggup mengetepikan ajaran agama. Mereka hanya memikirkan kesenangan sementara tanpa sedar balasan
dan hukuman yang bakal diterima kelak.
Di samping itu, kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi juga merupakan faktor utama
berlakunya rasuah. Kepimpinan yang tidak cekap dan lemah menyebabkan kurang penyeliaan dan pemantauan
ke atas golongan pekerja. Hal ini akan mendorong aktiviti rasuah berlangsung secara berleluasa dalam sebuah
organisasi. Oleh itu, golongan pekerja merupakan golongan yang mudah terjebak dalam gejala rasuah.
Arus permodenan yang berlaku kini juga menyebabkan rasuah semakin berleluasa. Pembangunan sosial
ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan menyebabkan masyarakat
memandang mudah terhadap masalah rasuah ini. Contohnya kontraktor- kontraktor sanggup melakukan jenayah
rasuah ini bagi mendapatkan tender sesuatu projek.
Kesimpulannya, masyarakat perlu sedar akan bahaya serangan penyakit sosial yang telah melanda dunia
sejak sekian lama ini. Malah penularan penyakit ini dilihat semakin menjadi-jadi di negara kita. Tanpa sedar,
masalah ini boleh menyebabkan negara menjadi huru-hara dan timbul banyak masalah. Oleh itu, semua pihak
harus bekerjasama dalam membanteras masalah ini supaya dapat memupuk masyarakat yang lebih
bertanggungjawab, amanah dan ikhlas. Akhirnya, kita dapat membentuk generasi akan datang yang

bebas daripada rasuah.

Langkah mencegah rasuah


Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan
untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Melihat kepada akibat daripada
amalan rasuah ini, langkah-langkah membanteras perlu dilakukan dengan tegas dan konsisten.
Antaranya, semua pihak harus bekerjasama bagi menjayakan langkah pencegahan ini.
Masyarakat perlu peka terhadap masalah rasuah yang berlaku di negara ini. Masyarakat perlu
ada jati diri yang kuat untuk menghindarkan diri dari melakukan rasuah.
Selain itu, peranan ibu bapa dalam didikan agama dan moral tentang keburukan terhadap
perlakuan rasuah perlu diterapkan ke dalam diri anak-anak sejak kecil lagi supaya gejala rasuah
ini tidak wujud dalam generasi akan datang.
Pendedahan awal tentang bahayanya gejala rasuah sejak di bangku sekolah merupakan
satu langkah yang bijak bagi menangani gejala rasuah. Generasi yang dididik agar membenci
gejala rasuah ini akan lebih bersikap telus, jujur dan amanah semasa menjalankan tugas mereka.
Pendedahan awal tentang rasuah ini boleh diterrapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah
dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan
Pendidikan Islam.
Di samping itu, kerajaan telah mewujudkan sebuah badan untuk membanteras masalah
rasuah ini yang dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) bagi
membuat siasatan yang lebih mendalam atau membanteras masalah ini hingga ke akar umbi.
Kerajaan juga telah meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman bagi sesiapa
yang terlibat dalam rasuah ini agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah.
Natijah akhirnya, rasuah dianggap jenayah kerana perbuatan ini melanggar etika sesuatu
bidang pekerjaan malah secara tidak langsung si pelakunya mengambil atau ‘mencuri’ hak
orang lain. Justeru seharusnya langkah kerajaan dalam membendung gejala rasuah ini wajar
disokong oleh semua pihak supaya semua rakyat tanpa mengira kedudukan dan bangsa akan
hidup dengan aman.

Kesan rasuah kepada negara

Gejala rasuah ialah tindakan satu pihak memberikan hadiah atau wang sebagai jaminan kepada
apa yang mereka inginkan daripada pihak yang lain tanpa melalui prosedur atau cara yang
mengikut peraturan. Duit kopi, simpulan bahasa yang membawa maksud wang sogokan atau
memberikan wang secara tidak rasmi kepada seseorang sebagai imbuhan. Terdapat pelbagai
kesan rasuah kepda negara.

Antaranya, kegiatan rasuah boleh melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi.


Pentadbiran sesebuah negara juga boleh menjadi kucar-kacir seperti kemerosotan ekonomi,
pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Akhirnya boleh menghancurkan
pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. Bak kata peribahasa Melayu, harapkan pagar,
pagar yang memakan padi di mana seseorang yang kita berikan amanah telah mengkhianati
tanggungjawabnya dalam melaksanakan amanah tersebut.

Selain itu, sekiranya gejala rasuah semakin berleluasa, pentadbiran negara secara
keseluruhannya akan terjejas. Segala dasar atau penguatkuasaan menjadi lemah. Pelaksaanaan
undang-undang tidak dapat dijalankan secara adil dan boleh menumbangkan ekonomi negara
secara amnya.

Pada waktu yang sama, rasuah akan menjatuhkan imej negara di mata dunia. Kemajuan
media massa dalam mendapatkan maklumat mengenai segala perkara atau isu yang berlaku
dalam sesebuah negara mampu menjadi punca kejatuhan ekonomi negara tersebut. Maka, kita
hendaklah sentiasa memastikan tiada kes-kes rasuah agar tidak menjadi bahan berita kepada
media internasional dalam melaporkan berita kepada penonton mereka di seluruh dunia.

Kesimpulannya, pelbagai kesan negatif yang bakal dihadapi oleh negara yang kita cintai
sekiranya gejala rasuah tidak dibendung. Rasuah diibaratkan sebagai anai-anai yang boleh
menumbangkan sebuah kerana kerjanya tidak nyata tetapi mampu melumpuhkan sebuah
negara. Pihak kerajaan pula sewajarnya mencari cara untuk memperkasa ekonomi dan daya sara
diri rakyat agar mereka tidak terpesona dengan rasuah.

Anda mungkin juga menyukai