Anda di halaman 1dari 2

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kepada tanah air kita kerana mendapat

kemerdekaan dan bebas daripada penjajah. Sehingga hari ini, polemik yang sering dibincangkan
kerana menganggu-gugat kedaulatan negara adalah mengenai isu perkauman. Tetapi sebaliknya,
masyarakat kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk hidup bersama sesiapa sahaja walaupun
berlainan bangsa, agama dan budaya lebih-lebih lagi pada era globalisasi ini. Kebanyakan di antara
kita cakna dan menerapkan nilai hormat serta toleransi antara satu sama lain. Polemik sebenar yang
mengancam kedaulatan negara ini adalah gejala salah laku rasuah. Jelas di kaca televisyen dan
media sosial kita dapat melihat gejala ini berlaku di setiap peringkat dan yang menyedihkan adalah
rasuah dalam kalangan kakitangan awam. Hal ini kerana mereka menggunakan dana yang
sepatutnya dinikmati atau memberi manfaat kepada orang awam. Pepatah Melayu berkata, sepandai-
pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Mari kita bincangkan cara-cara mengatasi amalan
rasuah di Malaysia untuk membanteras gejala ini serta-merta

Langkah pertama untuk menghalang salah laku rasuah berlaku di negara ini adalah dengan
memberikan pendidikan kepada masyarakat umum tentang amalan rasuah.  Menurut Kamus Dewan
Bahasa Dan Pustaka, rasuah bermaksud pemberian atau sogokan. Secara definisi, Seseorang akan
memberi rasuah kepada individu yang berkuasa atau bertanggungjawab dengan harapan untuk
mendapat balasan dalam bentuk kerja atau projek. Pemberian hadiah yang bernilai tinggi kepada
seseorang yang di luar kemampuannya tetapi mempunyai kelebihan untuk menolong pemberi hadiah
tersebut juga dianggap sebagai merasuah. Budaya ini perlu dijelaskan dan diingatkan kepada setiap
anggota masyarakat khususnya golongan muda. Walaupun mereka baru berumur setahun jagung,
darah setampuk pinang tetapi mereka merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara
ini. Sekiranya setiap rakyat mampu menilai sama ada sesuatu tindakan itu dianggap sebagai rasuah
atau tidak, barulah budaya atau amalan rasuah dinegara ini dapat ditindas sehingga ke akar umbi.

Selaras dengan langkah yang diusahakan di atas, amalan rasuah dapat dibanteras dengan
pelaksanaan undang-undang dan hukuman yang tegas. Umum mengetahui kita mempunyai
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai penguatkuasa yang memantau dan
bertindak ke atas salah laku yang melibatkan rasuah. Namun, keterbatasan jumlah pegawai dan
sumber untuk mereka menguatkuasakan undang-undang adalah terhad maka kita sebagai orang
awam juga bertanggungjawab menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa. Selain itu, Badan
Kehakiman Negara juga perlu memastikan perbicaraan yang melibatkan rasuah dilaksanakan dengan
pantas dan adil supaya pelaku rasuah tidak bebas untuk memutar-belitkan kenyataan dan mengubah
salah laku mereka. Jika pelaku rasuah dibicarakan dengan pantas dan dihukum untuk menjalani
hukuman penjara tanpa sebarang prejudis, nescaya ramai yang akan menjauhi amalan buruk ini.
Persis kata peribahasa, menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Jelas bahawa dengan
melaksanakan undang-undang dan hukuman yang tegas, amalan rasuah dapat dibanteras secara
menyeluruh.

Kaedah lain untuk membendung gejala rasuah di negara kita adalah dengan memastikan sektor
awam beroperasi secara jujur, telus dan bertanggungjawab.  Dalam sesebuah organisasi, pengurus
merupakan jawatan yang paling penting untuk menguruskan tugas organisasi tersebut dan menjadi
contoh kepada pekerja yang lain. Begitu juga dengan sektor awam di negara kita di mana jika
pentadbiran negara dilaksanakan dengan baik dan menyingkirkan mereka yang parasit seperti
mengamalkan gejala rasuah, pasti sektor lain akan turut serta. Tamsilnya, kes yang berlaku dalam
kalangan kakitangan kerajaan, menyerahkan projek kepada mereka yang melobi harga yang paling
tinggi dan bukan berdasarkan kemampuan sebuah syarikat tersebut. Hasilnya, projek disiapkan pada
kos yang minima kerana berlaku banyak serahan kerja dan orang awam hanya mendapat infrastruktur
yang ala kadar. Situasi ini sepatutnya boleh dielakkan jika kakitangan awam terutamanya pemimpin
negara melantik syarikat yang mempunyai merit serta rekod yang baik. Bak kata pepatah, hanya
jauhari yang mengenal manikam

Amalan rasuah juga boleh diatasi dengan menawarkan gaji yang bertepatan dan bermaruah untuk
semua ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana jika kita mempunyai sumber kewangan yang cukup
untuk menampung keperluan dan kehendak diri serta keluarga, keinginan untuk menerima rasuah
pasti dapat dielakkan. Sebagai individu dan keluarga, kita akan berasa gembira kerana keperluan dan
kemahuan kita dipenuhi tanpa perlu melakukan perkara yang terlarang. Sebagai contoh, anggota polis
yang ditugaskan menjaga keselamatan masyarakat awam hanya dibayar gaji yang cukup untuk diri
dan keluarga kecil serta menetap di kuarters yang kecil dan uzur. Mereka mudah untuk disogok oleh
pihak lain yang tidak bertangungjawab demi mendapatkan wang lebihan.  Kesannya, jenayah boleh
disembunyikan dan aktiviti terlarang boleh berleluasa. Contoh ini bukan menyapu rata semua anggota
polis tapi sekadar contoh bahawa wang boleh membeli intergriti seseorang. Tegasnya, dengan
membayar gaji yang bertepatan dan bermaruah, gejala rasuah pasti dapat diatasi.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh diadaptasi di negara kita untuk membendung gejala rasuah
yang semakin membarah. Masyarakat umum perlu sentiasa diingatkan supaya tidak terjebak dengan
gejala ini kerana sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Pemberi dan
penerima rasuah wajar dihukum dengan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada orang
ramai. Semoga setiap di antara kita menjalankan obligasi masing-masing khususnya penguatkuasa
agar polemik ini diselesaikan dengan cepat. Kesannya, masyarakat kita akan bertambah intergriti dan
dipercayai oleh negara asing untuk menjalankan urusan dan perihal-perihal lain yang boleh
meningkatkan imej negara di persada dunia

Ⓒ Artikel Asal Di : https://www.ipendidikan.my/mengatasi-amalan-rasuah.html

Anda mungkin juga menyukai