Anda di halaman 1dari 4

TUGASAN 2 : PENGUCAPAN AWAM (PENULISAN TEKS)

Nama : 1) Maisarah Binti Kamaruzaman 2) Atiqah Amirah Binti Makhtar

Tujuan pengucapan : memberitahu dan mempengaruhi

Syarahan : Rukun Negara Membentuk Jati Diri Rakyat Malaysia

Burung nuri hinggap di dahan,


Dahan dari pohon kuini,
Kalau tidak kerana syarahan,
Tak akan saya berdiri di sini.

Cahaya mentari menyilau mata,


Rasa pedih berusaha tahankan,
Lafaz bismillah pembuka kata,
Gelanggang syarahan saya mulakan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada pengerusi majlis, barisan


panel hakim yang arif lagi bijaksana, dif-dif kehormat serta warga dewan yang dikasihi. Pada
tanggal 13 Mei 1969 telah tersemat satu peristiwa hitam dalam lipatan sejarah yang
menggoyahkan perpaduan negara. Lantas, Rukun Negara diperkenalkan dengan kekuatan-
kekuatanya yang tersendiri agar rakyat Malaysia bangkit dengan tiang jati diri yang ampuh.
Maka, pada pagi yang hening ini, saya telah memilih syarahan yang bertajuk “Rukun
Negara Membentuk Jati Diri Rakyat Malaysia” untuk diperdengarkan kepada warga dewan
tercinta.

Warga dewan kebanggaan negara,


Sesungguhnya tidak lengkap irama tanpa lagu. Begitu juga gelanggang syarahan ini
yang tidak akan lengkap tanpa pendifinisian dua kata kunci yang terkandung dalam tajuk
syarahan saya iaitu Rukun Negara dan jati diri. Rukun Negara merupakan satu ideologi
kebangsaan Malaysia yang dibentuk pada 31 Ogos 1970. Ianya terdiri daripada lima prinsip
manakala jati diri pula didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai sifat atau ciri
yang unik dan istimewa dari pelbagai sudut seperti adat, bahasa, budaya, agama dan
sebagainya yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu ataupun
sesuatu bangsa. Secara tuntasnya, syarahan ini akan memberikan pembuktian bahawa jati
diri seseorang rakyat Malaysia akan dibentuk dengan penghayatan dan amalan kelima-lima
prinsip Rukun Negara.

2
Saudara saudari yang disayangi,

Medan ini dibuka dengan hujah pertama di bawah prinsip kepercayaan kepada
tuhan. Prinsip ini bertepatan dengan lumrah manusia iaitu setiap individu pasti memiliki
agama, pegangan hidup atau fahaman yang tersendiri mengikut kepercayaan masing-
masing. Di Malaysia, agama rasmi negara ialah agama Islam, namun agama-agama lain
seperti Hindu, Buddha, Kristian dan Sikh bebas diamalkan secara aman selagi tidak
mengganggu gugat kesejahteraan bersama. Oleh sebab wujudnya masyarakat berbilang
agama yang berpegang kepada prinsip kepercayaan kepada Tuhan maka telah lahirnya
sikap toleransi yang amat tinggi dalam diri setiap individu, yang menjadi salah satu ciri jati
diri rakyat Malaysia. Kerajaan Malaysia sendiri telah mengadakan pelbagai program
keagamaan sebagai inisiatif bagi membentuk jati diri insan yang cemerlang, gemilang dan
terbilang dalam jiwa rakyat Malaysia sesuai dengan prinsip pertama Rukun Negara.
Contohnya, setiap kali tibanya hari perayaan mana-mana kaum sama ada perayaan Hari
Raya Aidilfitri, sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali mahupun Krismas, pasti diadakan
sambutan rumah terbuka dan kongsi raya. Sambutan ini dihadiri semua rakyat Malaysia
tidak mengira kaum dan agama tanpa sebarang syak wasangka. Persoalannya,
mengapakah semua sambutan perayaan ini diadakan? Hal ini kerana, kita percaya bahawa
perayaan keagamaan ini dapat membentuk jati diri rakyat Malaysia. Maka, jelaslah prinsip
rukun negara yang diperkenalkan di bawah paksi kepercayaan kepada tuhan, dapat
membentuk jati diri mampan rakyat Malaysia.

Sidang dewan yang budiman,

Hujah saya yang kedua adalah di bawah naungan prinsip kesetiaan kepada Raja
dan Negara. Raja adalah pemerintah negara yang tertinggi di Malaysia dan menjadi tugas
hakiki kita sebagai rakyat Malaysia untuk mentaati Raja dan Negara.  Namun, apakah bukti
kesetiaan itu? Adakah cukup sekadar ungkapan di bibir sahaja? Tepuk dada tanya selera.
Ayuh kita fikir sejenak, setiap negeri di Malaysia mempunyai lagunya yang tersendiri dan
senikatanya memuji dan menghargai Raja dan negeri masing-masing. Maka, tidak hairanlah
lagu negeri wajib dinyanyikan sekurang-kurangnya sekali pada setiap minggu bagi
menanam semangat jadi diri terhadap Raja dan negeri seterusnya kepada negara. Masih
ingatkah lagi, ketika lagu Negaraku dipermain-mainkan, ketika Jalur Gemilang dipijak-pijak
tanpa hormat? Rakyat Malaysia telah bangun bersatu menentang pengkhianat itu. Tindakan
ini membuktikan kepada semua bahawa kesetiaan rakyat dapat membentuk jati diri warga di
bawah panji kesetiaan kepada raja dan negara. Tidak dapat disangkal lagi, bahawa prinsip
kesetiaan kepada raja dan negara, dapat membentuk jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.

3
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Bicara wacana saya yang ketiga adalah berkaitan dengan keluruhan perlembagaan
dan kedaulatan undang-undang. Negara kita yang berdaulat ini, mempunyai
perlembagaannya yang tersendiri dan undang-undang yang mantap sehingga mampu
menjadi aspirasi negara yang hebat bagi melahirkan masyarakat yang seimbang dan
mempunyai jati diri cemerlang. Uniknya perlembagaan ini kerana ianya perlu dipatuhi dan
dituruti oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, agama ataupun pangkat
sesuai dengan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Ianya sentiasa
menjadi panduan bagi pemimpin serta menjadi landasan bagi rakyat yang dipimpin.
Sesungguhnya, dengan perkongsian perlembagaan dan undang-undang yang sama inilah
yang menyatukan kita di bawah satu acuan undang-undang yang sama dan akhirnya
terbentuklah jati diri warganegara Malaysia. Disebabkan itulah perlembagaan dan undang-
undang negara, mesti dipelihara setiap masa, mengikut keadaan dan perkembangan dunia
kerana ia menjadi asas bagi warga Malaysia untuk hidup dalam satu kawasan secara
bersama-sama dan melahirkan jati diri bertoleransi.

Hadirin dan hadirat,

Hujah saya yang keempat ialah prinsip kesopanan dan kesusilaan. Kesopanan dan
kesusilaan adalah perlakuan budi yang begitu tinggi dan harus diikuti oleh masyarakat di
negara ini. Kesopanan dan kesusilaan dapat melahirkan jiwa rakyat yang mementingkan,
amalan budi dalam kehidupan seharian. Amalan budi ini juga dapat memperkuatkan jati diri
insan walaupun hidup dalam kemodenan kerana moden sahaja tidak akan membawa apa-
apa erti jika budi pekerti mati. Oleh itu, kerajaan begitu hebat mengadakan pelbagai kempen
kesopanan dan kesusilaan seperti kempen budi bahasa dan hidup berjiran kepada rakyat
tempatan agar menjadi pegangan dan amalan dalam kehidupan hingga akhirnya
terbentuklah jati diri mampan. Pandangan pelancong asing adalah buktinya, mereka
menyatakan rakyat Malaysia begitu berbudi pekerti dan mesra. Kajian Penerbangan
Malaysia tentang tarikan pelancong ke negara kita, menyatakan 65 peratus adalah kerana
rakyatnya yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Penghayatan prinsip rukun negara ini
adalah bukti bahawa jati diri rakyat negara ini dapat dibentuk dengan amalan Rukun Negara.
Konklusinya, terbuktilah Rukun Negara dapat melahirkan rakyat yang berjati diri tinggi di
bawah prinsip kesopanan dan kesusilaan.

4
Warga dewan yang dihormati,

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Berdasarkan hujah-hujah yang
telah dilontarkan maka sudah terang lagi bersuluh keputusan yang diambil oleh pihak
kerajaan hampir 50 tahun yang lalu untuk mewujudkan Rukun Negara adalah tepat.
Kesannya kita dapat lihat sekarang apabila kelima-lima prinsip Rukun Negara mampu
membentuk jati diri warganegara Malaysia yang utuh lagi teguh. Oleh itu, ayuhlah kita
selaku rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab kita dengan menyemai kesemua lima
prinsip Rukun Negara agar menjadi sebahagian dari jiwa raga.

Mendengar nenek mengarang cerita,


Kisah lanun mencari harta,
Segala nasihat dan juga kata,
Harus di renung jangan di lupa,

Pergi memburu si anak rusa,


Lari sembunyi di dalam gua
Segala yang baik dari yang Esa,
Yang buruk harap di maafkan jua.

Sekian, assalamualaikum dan salam sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai