Anda di halaman 1dari 1

Sejambak kasih sekalung budi buat Pengerusi Majlis, panel hakim yang adil lagi bijaksana, penjaga

masa yang setia dengan detik-detik saat yang berlalu dan mendatang, barisan guru-guru yang dihormati,
seterusnya para hadirin yang budiman penegak perpaduan negara. Salam sejahtera dan salam perpaduan.

Hadirin yang dihormati,


Mari kita renung-renungkan dan berfikir sejenak. Dalam kehidupan kita, apakah erti nikmat
kebahagiaan? Ada orang berpandangan mempunyai wang, kereta , rumah besar, aset dan simpanan yang
banyak. Oh, bahagianya. Tetapi adakah itu nikmat kebahagiaan sebenar yang kita inginkan?

Justeru itu, pada pagi yang ceria ini, saya ingin menjemput hadirin untuk sama-sama menghalusi tajuk
syarahan saya iaitu “Nikmat Keamanan dan Perpaduan di Malaysia“.

Merujuk kamus dewan, keamanan bermaksud tenang, damai dan tenteram, bebas daripada keadaan
kacau bilau, peperangan, pergaduhan dan bebas daripada gangguan yang tidak menyenangkan.

Hadirin yang dimuliakan,


Malaysia adalah sebuah negara yang unik dan makmur. Walaupun penduduknya berbilang bangsa,
agama, adat-resam dan budaya. Namun kita mampu hidup aman dibawah satu Jalur Gemilang . Ramai
pemimpin dunia yang mengagumi keamanan dan kemajuan yang kita kecapi. Sebenarnya, kejayaan ini tidak
datang melayang, tidak pula datang bergolek. Semuanya hasil perpaduan dan kerjasama semua kaum .

Hadirin yang dikasihi,


Bersyukurlah kerana kita dilahirkan di Malaysia. Negara yang aman damai. Kita tidak pernah hidup
dalam ketakutan dan kesengsaraan. Masih segar dalam ingatan, tragedi Mei 2021. Negara Israel dengan rakus
dan ganas menceroboh, membedil, menghancurkan keamanan sebuah negara kerdil bernama Palestin. Ribuan
nyawa orang awam termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa terkorban. Inilah harga sebenar sebuah keamanan.
Oh, begitu mahal sekali.

Hadirin yang dikasihi,


Jika di Palestin, bunyi dentuman dan percikan api meragut ribuan nyawa. Di Malaysia, bunyi dentuman
dan percikan bunga api menandakan bermulanya satu pesta besar seperti Tahun Baru Cina. Ingatlah bahawa
negara ini milik kita semua. Perpaduan sebenarnya hadiah tidak ternilai, perlu dipelihara dan dihargai semua
rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,


Hari ini, Malaysia merupakan negara yang aman di dunia. Namun, ”Lautan mana tidak bergelora, bumi
mana tidak ditimpa hujan”. Walaupun ada segelintir pihak cuba mewujudkan suasana tidak harmoni dengan
menimbulkan isu-isu sentisif. Namunsemuanya dapat diselesaikan dengan semangat perpaduan.

Para hadirin yang berwawasan ,


Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Sekiranya, rakyat negara ini tidak bersatu,
bolehkah dan dapatkah negara kita terus kekal aman sehingga hari ini ? ”Tepuk dada dan tanyalah selera”.
Sebelum kaki melangkah pergi, sebelum bicara ternoktah disini, izinkan saya menguntaikan serangkap
pantun.

Pucuk pauh delima batu,


Anak sembilang di tapak tangan,
Hati di paut, jiwa bersatu,
Perpaduan diwujud mencipta keamanan.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai