Anda di halaman 1dari 3

Perjuangan Kemerdekaan

Assalamualaikum w.b.t. salam sejahtera, salam Perak aman jaya dan salam 1 Malaysia !

Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju majlis,
kombinasi dif-dif kehakiman,
saudari penjaga masa yang cakna dengan randiknya,
warga pendidik yang bermisi,
seterusnya warga intelektual penerus wawasan Negara !

Memetik kata-kata bapa kemerdekaan kita, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman,
Merdeka itu adalah suatu perkqara yang bukan mudah untuk diperoleh, ianya
memerlukan pengorbanan bukan sahaja wang ringgit dan usaha tenaga ! bahkan nyawa
sendiri juga ! Justeru, berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin
menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana, melalui mauduk pidato
saya. Perjuangan Kemerdekaan

Sebelum Tirai membuka bicara, sebelum bait kata melontar idea, terlebih dahulu izinkan saya
menghuraikan definisi tajuk pidato saya secara konseptual dan holistik. Mengikut Kamus Dewan
Edisi keempat, perkataan perjuangan bermaksud berjuang untuk merebut sesuatu, manakala
perkataan kemerdekaan pula membawa maksud bebas. Namun secara holistiknya Perjuangan
Kemerdekaan bermaksud berjuang untuk mendapatkan kebebasan sesebuah negara bagi
membentuk negara bangsa.

Sidang dewan yang dikasihi sekalian,
Hayatilah citra bicara perdana, lontaran isi saya yang pertama iaitu jerit-perih pemimpin dan
rakyat dalam mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dicapai
menerusi pertumpahan darah sebagaimana negara-negara Asia lainnya, hal ini kerana
kesanggupan, jerit-perih dan pengorbanan yang diberikan oleh rakyat pada masa itu dan
sebelumnya amatlah besar. Jika dikira dari mula pendudukan Inggeris pada 1786 apabila Francis
Light mula mengibarkan bendera penjajahan secara rasmi di bumi Tanah Melayu, penentangan
menuntut kebebasan telah pun bermula walaupun hanya sekadar diperingkat wilayah. Bentuk-
bentuk penentangan ini walaupun kecil dan sering dilabel oleh pihak Inggeris sebagai
pengkhianat, lanun dan pemberontak namun semangat mereka telah menjadi rujukan kepada
pejuang selepas itu. Nama-nama seperti Mat Kilau, Dol Said, Tok Janggut, Dato'
Maharajalela, Panglima Hitam, Tun Tan Cheng Lok, Tunku Abdul Rahman dan ramai lagi
telah menjadi sebutan di bibir rakyat Malaysia dari generasi ke generasi. Pengorbanan mereka
bukanlah kecil, tetapi demi negara tercinta, nyawa sanggup mereka pertaruhkan.
Sidang hadirin yang penuh intelektual,
Menyingkap fokus saya yang kedua, semangat nasionalisme membawa kepada
kemerdekaan. Ya, melalui semangat NASIONALISME inilah yang telah menjadikan negara
kita sebagai sebuah sebuah negara bangsa. Setelah dilabel sebagai bangsa yang lemah, malas dan
tidak bertamadun, rakyat negara kita mula menunjukkan kesungguhan yang tidak berbelah-bagi
apabila peluang untuk kemerdekaan mula terbuka selepas Perang Dunia Kedua tamat.
Desakan yang berupa tunjuk perasaan, bantahan, berkabung, perhimpunan gerakan
kemerdekaan dan rundingan akhirnya membuahkan hasil. Akhirnya pihak Inggeris terpaksa
mengaku bahawa penjajahan mereka sudah sampai masanya untuk berakhir pada tanggal 31
Ogos 1957. Bagi saya nasionalisme Melayu harus dipandang sebagai teras nasionalisme Malaya
dan perjuangan kemerdekaan. Mengapa? Pertama, secara akar umbinya warisan politik dan
budaya Melayu adalah wajah keseluruhan Tanah Melayu berabad lamanya. Kedua, selama lebih
500 tahun orang Melayu dijajah dan akhirnya orang Melayu bangkit menentang penjajah dengan
penuh tenaga dan upaya. Ingin saya menyokong hujah di atas dengan merujuk kepada penulisan
James Ongkili yang bertajuk The British and Malayan Nationalism, yang menyifatkan
nasionalisme Malaya adalah kesinambungan daripada semangat nasionalisme Melayu 1946.
Sidang saksi yang bervisi,
Menyusuri aspirasi saya yang ketiga, iaitu sejarah memerdekakan kita, mengapa sejarah
dikatakan memerdekakan kita? Mari kita merungkai persoalan ini. Sejarah menceritakan prihal
pahlawan-pahlawan dahulu kala yang bertungkus-lumus untuk memerdekakan negeri masing-
masing dari cengkaman penjajah. Mereka mempunyai semangat cinta akan negara yang
membara, dan semangat kental itu tidak berakhir sehingga titisan darah terakhir mereka. Melalui
sejarah yang telah dicipta oleh pejuang-pejuang terdahulu inilah yang menyebabkan Malaysia
sehingga hari ini mampu mempertahankan kemerdekaannya. Mengapa pula? Kerana rakyat
Malaysia mengambil secebis semangat kental pejuang terdahulu untuk dijadikan tangkal azimat
demi memerdekakan negara dan mengekalkan kemerdekaan yang diperoleh. Semangat ini juga
terus mengalir di dalam darah anak-anak merdeka dari generasi ke generasi. Pengetehuan mereka
mengenai sejarah menjadikan mereka terus berusaha mengekalkan kemerdekaan kerana gusar
sejarah akan berulang. Saya ingin memetik bait-bait kata mantan perdana menteri kita yang
keempat Tun Dr. Mahathir Mohammad Orang yang tidak tahu sejarah akan mengulangi
sejarah. Jelaslah sejarah merupakan kalam pedoman dan tauladan yang perlu menjadi penanda
arah dalam titik kehidupan setiap individu.
Konklusinya, menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan
menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya
kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan
kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk
kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden. Pengorbanan pejuang-pejuang
kebebasan dan mempertahankan kedaulatan negara haruslah kita kenang dengan ucapan terima
kasih dan doa. Sesungguhnya tiada kemerdekaan tanpa perjuangan !
Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku! Dirgahayu Malaysiaku!
Sekian. Saya akhiri pidato saya dengan Wabilahitaufik wal hidayah, assalammualaikum w.b.t





Nukilan : Sara, Syafina, En Google

Anda mungkin juga menyukai