Anda di halaman 1dari 3

NEGARAKU TERBILANG Tatkala aku menggagahi diri membelah kotaraya, Aku mendongak melihat tiang-tiang seri mencecah awan,

Rasa bangga bangsa menyala-nyala di dada, jauh sudah rupanya negaraku mengembara. Fikiran menggugah zaman remajaku, Zaman tiada gerbang, tiada simbol pencakar langit, Yang ada hanya siulan burung di bendang, Tapi disana kaya kemanusiaan, Kaya keampunan dan kasih sayang, Kaya tangan menghulur bantuan, Di tengah ribuan wira tak didendang. Di luar sempadan ada cabaran, Dunia semakin deras bergelora, Tidak terperangkap kite dengan kata-kata, Yang cepat mendapat habuan luar biasa, Yang lambat mendapat sisa-sisa, Kita memilih sederhana daripada yang mutlak, Pelbagai daripada yang menyendiri, Percaya daripada mencurigai, Bersama daripada menguasai, Ke hadapan dengan acuan kita sendiri, Yang diwarisi tidak berkurang, Yang dijaga tidak susut. Di sini di bumi ini, Kita sulam pencakar langit dengan jernih susu kemanusiaan, Anyamkan cita-cita Alfred Nobel dengan puisi Jalaludin Rumi Bajai kembang kemboja keamanan pada kubur rakusnya perang, Tiupkan serunai budaya cinta merentas sempadan, Sambil memacak panji-panji di puncak khairuummah Cemerlang, gemilang dan terbilang. Oleh:- DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI (Sajak ini dideklamasikan pada Pesta Puisi Patriotik Ke-5, 29 Ogos 2004 Sunken Garden, Putrajaya.)

NEGERI INI, ANAK Negeri ini, anak adalah tanah hijau penuh mahsul terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya. Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang! Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan yang telah melahirkan ribuan pahlawan. Rela memilih terbuang dari berputih mata, kerana baginya, mati itu cuma sekali dan tidak harus sia-sia. Mereka tidak rela ini negeri tercinta jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama. Meski darah dan tulang jadi gantian. Kerana baginya: negeri adalah tanah adalah air, adalah api, adalah angin. Adalah maruah, adalah permai, adalah berani, adalah susila. Adalah segala-galanya. Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan. Tanpa mengira kulit atau warna, tampuk atau asal, percaya atau agama: MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Di negeri ini anak, mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza. Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah. Darahnya tetap merah. Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam. Mari kita dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan.

Marsli N.O 17 Jun Julai 1988 Dari antologi: Di Atas Mimbar Merdeka, terbitan DBP 1989

Anda mungkin juga menyukai