Anda di halaman 1dari 7

SKRIP DRAMA PUTERI SANTUBONG

WATAK

1. PUTERI SANTUBONG : Seorang puteri dewi yang jelita yang turun dari negeri Kayangan
untuk membantu mengembalikan keamanan antara dua kampung
2. PUTERI SEJINJANG : Seorang puteri dewi yang diarahkan membantu mengembalikan
keamanan antara dua kampung & beriri hati akan kecantikan Puteri
Santubong
3. RAJA KAYANGAN : Seorang raja dewa yang mengutamakan keamanan & keharmonian
4. PUTERA MAHKOTA : Seorang putera yang berwajah tampan
SERAPI
5. BENDAHARA
6. TEMENGGUNG
7. PENDUDUK KAMPUNG
PASIR KUNING
8. PENDUDUK KAMPUNG
PASIR PUTIH

BABAK PERTAMA

Tempat: Istana Negeri Kayangan

Sekumpulan penari menari tarian Ketipang Payung di hadapan singgah sana Raja Kayangan.

PENCERITA : Alkisah maka di sebuah negeri yang dinamakan Kayangan, tinggalnya seorang raja
dewa dan dua orang anak perempuannya yang juga merupakan puteri-puteri dewi. Maka suatu hari,
raja Kayangan mengadakan perkenaan dengan Bendahara dan Temenggung.

Raja Kayangan masuk dan duduk di atas singgahsananya. BENDAHARA dan TEMENGGUNG
masuk setelah RAJA KAYANGAN duduk.

BENDAHARA & TEMENGGUNG : (hormat takzim) Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun tuanku! Patik
menjunjung duli Tuanku!

RAJA KAYANGAN : Sudah lamanya beta tidak dengar khabar dari Bumi di bawah. Adakah semuanya
di Bumi masih baik, seperti pada masa mula kewujudannya?

BENDAHARA : Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun Tuanku! Untuk pengetahuan Tuanku, kebanyakan
makhluk di Bumi telah berkelakuan baik. Si haiwan yang meragut rumput, yang berhuyung-hayang di
celah pokok dalam hutan itu bersikap baik, Si tumbuhan yang bertumbuh yang menghijaukan tanah
rata juga aman damai. Si manusia pula… er…

TEMENGGUNG : (kepada BENDAHARA) Tuan hamba, maafkan hamba jika tuan hamba segan
untuk meneruskan ucapan tuan hamba. (melihat RAJA KAYANGAN) Ampun Tuanku, secara
keseluruhannya, si manusia kebanyakannya aman damai, Cuma terdapat masalah keamanan di
Pasir Putih dan Pasir Kuning. Penduduk di kampung kedua-dua tersebut sedang saling bertengkar,
saling bermusuhan serta saling bunuh-berbunuh. Ampun Tuanku!

RAJA KAYANGAN : (terkejut apabila terdengar kata “bunuh”. Apa? Berbunuh-bunuhan?

TEMENGGUNG : Ya Tuanku. Mereka telah melupakan apa tuanku telah kurniakan, dan sanggup
mengetepikan keamanan dan keharmonian demi perkara remeh-temeh seperti rezeki.
BENDAHARA : Ya Tuanku. Mereka saling menunding jari antara satu sama lain dan mengatakan
bahawa pihak bertentangan telah mencuri rezeki pihak sendiri, pada hal sebenarnya tiada apa yang
berlaku seperti yang dipertikaikan.

RAJA KAYANGAN : (bersedih) Aduhaii..

BENDAHARA & TEMENGGUNG : Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun Tuanku! Patik meminta diri
dulu. Ampun Tuanku! (hormat takzim dan keluar)

RAJA KAYANGAN : Sudah lama Bumi direka, dicipta bersama tanah dan lautnya, dengan negeri beta
di atas langitnya. Beta amat bangga dengan kejayaan dan keagungan yang telah dicapai selama ini.
Namun, beta amat berduka cita, amat murka terhadap penduduk bumi yang tidak bersyukur dengan
kekayaan yang diberi oleh beta. Wujudnya kekecohan, pertelingkahan sampai berdarahnya tanah
yang sebelumnya suci itu. Beta perlu berfikir caranya untuk menyelesaikan masalah ini. Hmm..

PENCERITA : Maka pada masa itu, datanglah dua anak perempuannya yang kejelitaan tiada
tandingannya itu.

PUTERI SANTUBONG dan PUTERI SEJINJANG masuk dan mendekati singgahsana.

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG : Wahai ayahanda yang kelihatan duka itu!

PUTERI SANTUBONG : Apakah yang ayahanda berduka cita itu?

PUTERI SEJINJANG : Sudikah ayahanda berkongsinya?

RAJA KAYANGAN : Hai anakanda-anakanda yang prihatin, bukankah sejak turun-temurun anak
perempuan tidak patut campur tangan dalam hal lelaki?

PUTERI SANTUBONG : Wahai ayahanda, tetapi anakanda berasa duka cita melihat ayahanda
termenung itu!

PUTERI SEJINJANG : Ya ayahanda, lagipun, ayahanda telah membesarkan anakanda sehinggalah


anakanda berdua telah besar panjang, malah jelita pula!

RAJA KAYANGAN : Jika para anakanda sudi mendengar, maka ayahanda tidak akan
menyembunyikannya lagi. (menunjuk jari) Adakah anakanda-anakanda lihat perbalahan yang berlaku
di bawah itu?

PUTERI SANTUBONG : Ya ayahanda. Adakah itu yang merunsingkan ayahanda?

PUTERI SEJINJANG : (menyampuk) Kalau bukan?

RAJA KAYANGAN : Kedamaian dan keamanan yang berterusan di Bumi di bawah merupakan
kehendak ayahanda. Malangnya….

PUTERI SANTUBONG : Wahai ayahanda yang tersayang, untuk menghilangkan kerunsingan


ayahanda, anakanda sanggup berbuat apa saja.

PUTERI SEJINJANG : Ya ayahanda, anakanda sanggup turun ke Bumi dan menghentikan


perbalahan itu.

RAJA KAYANGAN : (kelihatan terkejut) Adakah begitu? (kembali termenung) Tetapi, anakanda-
anakanda tidak pernah bersusah-payah. Lagipun, anakanda sekalian tidak tahu apakah caranya
untuk mengembalikan kedamaian.
PUTERI SANTUBONG : Ayahanda, anakanda sudi bersusah payah untuk menggembirakan
ayahanda.

PUTERI SEJINJANG : Ya ayahanda, anakanda sudi mencari akal untuk mengembalikan kedamaian
demi menceriakan ayahanda.

RAJA KAYANGAN : Jika begitu, maka… maka pergilah, anakanda-anakanda, walaupun terdapat
banyak ketidaksanggupan.

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG : (menangis dan pergi ke arah ayahanda) Ayahanda!

RAJA KAYANGAN : Janganlah menangis, anakanda! Tangisan anakanda tidak dapat mengubah
apa-apa yang berlaku di bawah, apatah lagi mengembalikan keharmonian di Bumi.

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG : (berhenti menangis) Baiklah, ayahanda! Akan
anakanda pergi sekarang. Selamat tinggal, ayahanda! (beredar dari pentas)

RAJA KAYANGAN : (berdiri) Selamat tinggal, anak-anakku yang tersayang! Kembalikanlah


kedamaian yang hilang sekian lama. Selamat maju jaya, nak! Ayah akan sentiasa menanti khabar
baik daripadamu!

RAJA KAYANGAN beredar.

BABAK KEDUA

Tempat : Kampung Pasir Kuning & Pasir Putih

PENCERITA : Maka, kedua-dua puteri dewi dari negeri Kayangan pun tinggalkan rumah halamannya
dan turun ke Bumi untuk menyelamatkan keadaan kekecohan di antara Pasir Kuning dan Pasir Putih.
Di Bumi pula, pertelingkahan masih berlaku.

PENDUDUK KAMPUNG PASIR KUNING DAN PASIR PUTIH masuk dari kiri dan kanan pentas serta
sedang bertengkar.

PENDUDUK KAMPUNG P. PUTIH : Apakah kau buat di sini?

PENDUDUK KAMPUNG P. KUNING : Eh, aku yang patut tanya kau apa kau buat di sini!

PENDUDUK KAMPUNG P. PUTIH : Cis, ini tanah aku! Aku nak buat apa itu hal aku! Kau yang
menceroboh tanah kampung aku dan nak mencuri sumber rezeki kampung aku!

PENDUDUK KAMPUNG P. KUNING : Amboi amboi amboi.. Ini baru tanah aku, orang yang mencuri
rezeki adalah kau!

PENDUDUK KG. P. PUTIH : Biadap kau! Biar aku beri rasa perangku!

PENDUDUK KG. P. KUNING : Nak cari pasal ya? Bia raku yang beri kau rasa perangku!

PENDUDUK KAMPUNG P. KUNING & P. PUTIH mengeluarkan senjata dan bergaduh.

PENCERITA : Maka, kedua-dua puteri berjumpa dengan penduduk-penduduk kampung.

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG masuk dari kiri dan kanan pentas.

PUTERI SANTUBONG : (menarik tangan PENDUDUK KAMPUNG PASIR KUNING) Eh, jangan
bergaduh!
PUTERI SEJINJANG : (menarik tangan PENDUDUK KAMPUNG PASIR PUTIH) Ya, jangan
bertengkar!

PENDUDUK KAMPUNG PASIR KUNING & PASIR PUTIH termangu-mangu dan menjauhkan senjata
mereka apabila terlihat PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG.

PENDUDUK KG. P. PUTIH : Adakah saya sedang bermimpi?

PENDUDUK KG P. PUTIH : Tak pernah sehidupku melihat kecantikan yang seumpama dewi-dewi di
atas kayangan.

PUTERI SANTUBONG : Ya betul tekaan saudara. Kami merupakan puteri-puteri dewi yang datang
dari negeri Kayangan. Tapi janganlah termangu-mangu seperti kena rasuk hantu pula!

PENDUDUK KG. PASIR KUNING : (tercungap-cungap) A…. apa?

KESEMUA PENDUDUK KAMPUNG : Puteri dewi?! (beberapa penduduk kampung pengsan lalu jatuh
ke lantai)

PUTERI SANTUBONG : Aduhai adinda, kakanda telah menakutkan mereka!

PUTERI SEJINJANG : Aduhai kakanda, bagaimana sekarang?

PUTERI SANTUBONG : Eloklah kakanda membawa saudara ini balik Pasir Kuning, lagipun kakanda
perlu berjumpa dengan penduduk Pasir Kuning. (mengangkat Penduduk Pasir Kuning)

PUTERI SEJINJANG : Adinda bersetuju. Elok adinda membawa saudara ini pula balik Pasir Putih
(mengangkat Penduduk Pasir Putih)

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG beredar dari pentas dengan mengangkat
PENDUDUK PASIR KUNING & PASIR PUTIH.

PENCERITA : Maka, kedua-dua puteri kayangan pun menuju ke kedua-dua kampung. Maka
sampailah kampung-kampung tersebut, puteri-puteri mula mencadangkan cara mendapatkan rezeki
yang lain untuk menamatkan kekecohan.

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG masuk ke pentas.

PUTERI SANTUBONG : (berucap) Tuan-tuan dan Puan-puan,

PUTERI SEJINJANG : (bersambung) saudara dan saudari,

PUTERI SANTUBONG : Pak cik dan mak cik,

PUTERI SEJINJANG : Abang dan adik,

SEMUA kecuali mengatakan “huh?” serta dengan memberi pandangan dengan penuh bingung
kepada kedua puteri

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG : Penyelamat anda telah datang untuk
menyelamatkan kamu semua!

PUTERI SANTUBONG : Janganlah kamu semua bertanyakan tentang siapa saya

PUTERI SEJINJANG : Untuk mengelakkan kamu semua jatuh pengsan apabila terdengar kewujudan
dewi-dewi.
PUTERI SANTUBONG : Saya di sini akan mengajar kamu semua bagaimana mendapatkan wang
yang lebih banyak selain mengutip hasil hutan.

PUTERI SEJINJANG : Ini boleh menghentikan segala pertelingkahan dan kekecohan dengan Pasir
Kuning kerana kamu tidak perlu berebut tanah dan hasil hutan.

PUTERI SANTUBONG : Saya akan mengajar kamu semua kemahiran saya, iaitu menenun kain.

PUTERI SEJINJANG : Bercucuk tanam merupakan kemahiran saya yang akan disampaikan kepada
anda semua.

PENCERITA : Maka, kedua-dua puteri mengajar penduduk-penduduk kampung kemahiran menenun


kain dan bercucuk tanam. Maka, penduduk-penduduk kampung menggunakan kemahiran yang diajar
dan menjadi kaya-raya.

BABAK KETIGA

Tempat: Kampung P. Kuning & P. Putih

PENCERITA : Terdapat penduduk-penduduk lelaki yang tertarik dengan kecantikan serta bakat
kedua-dua puteri tetapi kebanyakannya telah pergi berjumpa dengan Puteri Santubong yang lebik
cantic untuk merisik.

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG masuk dari kiri dan kanan pentas dengan membawa
mesin penenum kain dan padi.

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG : (menyanyi) ikan di laut, asam di darat, dalam periuk,
biji muafakat..

PENDUDUK P. KUNING & P. PUTIH masuk.

PENDUDUK KG. P. KUNING & P. PUTIH : (berselang-seli semasa berpantun) Mendayung sampan di
tengah tasik, terjumpa permata menjadi kaya; Kami di sini datang merisik, Adakah tuan puteri sudah
berpunya?

PUTERI SANTUBONG : Aduhai, si manusia yang naif, tidak tahulah anda bahawa puteri dewi perlu
berkahwin dengan putera jikalau ingin berkahwin dengan manusia? Maafkan say ajika anda semua
dikecewakan.

PENDUDUK KG. PASIR KUNING & PASIR PUTIH kelihatan kecewa dan menuju ke arah PUTERI
SEJINJANG untuk keluar.

PUTERI SEJINJANG : (menghalang penduduk kampung) Eh, eh, apakah kamu terburu-buru nak
beredar? Bukankah kamu berdua ingin berkahwin dengan puteri dewi? Saya pun seorang puteri dewi!

PENDUDUK PASIR KUNING : Er… maaf tuan puteri, kami tidak ingin menyalahi apa-apa peraturan
di Kayangan sana.

PENDUDUK PASIR PUTIH : Lagipun, kami hanya berhajat untuk berjumpa dengan Puteri Santubong
untuk merisik. Maaflah jika tuan puteri dikecewakan.

Kedua PENDUDUK KAMPUNG beredar.

PUTERI SEJINJANG : (marah) Cis! Kini semua orang pergi merisik kakanda, dan tiada yang ingin
merisik saya! Apa mereka sudah buta kerana kecantikan kakanda saya? Cis, apakah mereka tidak
Nampak saya juga cantic? Geramnya saya!
PENCERITA : Maka suatu hari, kedatangan Putera Mahkota Serapi yang kelihatan tampan dan kacak
di Pasir Kuning dan Pasir Putih dijadikan.

PUTERA MAHKOTA SERAPI masuk. Ketika PUTERA MAHKOTA SERAPI masuk, PUTERI
SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG kelihatan termangu-mangu.

PUTERA MAHKOTA SERAPI : Wah! Kampung-kampung ini memang maju dan kaya-raya. Alangkah
baik jika tempat ini dijadikan naungan negeri beta! (melihat PUTERI SANTUBONG & PUTERI
SEJINJANG) Alangkah baik juga jika kedua-dua gadis yang menjadi permaisuri beta!

PUTERI SANTUBONG : (hairan) Adakah saudara ingin berkahwin dengan tuan puteri?

PUTERI SEJINJANG : (terburu-buru) Dengan ketampanan saudara, saya sudi berkahwin dengan
saudara serta-merta.

PUTERA MAHKOTA SERAPI : Apa saudara! Beta ialah satu-satunya yang bergelar Putera Mahkota
Serapi!

PUTERI SANTUBONG : Ah, rupa-rupanya seorang putera, dan seorang yang kacak sekali!

PUTERI SEJINJANG: (bercakap bersendirian) Saya tidak boleh memberikan peluang keemasan ini
terlepas! Saya tidak boleh melepaskan putera ini menjadikan suami kakanda! Saya mesti rebut!
(berpaling kepada PUTERA MAHKOTA SERAPI dan menarik lengannya) Wahai putera manusia,
adinda merupakan seorang puteri, malah puteri dewi! Bukankah adinda sepadan denganmu?

PUTERI SANTUBONG : (menarik lengan PUTERA MAHKOTA SERAPI) Adinda juga seorang puteri
dewi, tetapi adinda rasa tuan putera telah mempunyai hajat untuk berkahwin dengan adinda, bukan?

PUTERA MAHKOTA SERAPI : (sedikit malu) Sebenarnya, beta ingin berkahwin dua, malah
berkahwin empat!

PUTERI SANTUBONG : Tidak boleh! Adinda tidak mahu berkongsi suamiku dengan orang lain, lebih-
lebih lagi dengan adikku!

PUTERI SEJINJANG : Saya tidak bersetuju! Adinda juga tidak mahu menjadi permaisuri kedua
kerana kakakku menjadi permaisuri pertama!

PUTERA MAHKOTA SERAPI : Apa? Kalian adik-beradik? Lebih bagusla tu!

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG : (marah) Apa yang bagus?

PUTERA MAHKOTA SERAPI : Er….

PUTERI SANTUBONG : (menarik lengan PUTERA MAHKOTA SERAPI) Walau apa pun, adinda
sudah berpunya, dan dimiliki tuan putera!

PUTERI SEJINJANG : (menarik lengan PUTERA MAHKOTA SERAPI) Adakah kakanda gila? Tuan
putera ini bakal suamiku!

PUTERA MAHKOTA SERAPI : (menanggalkan kedua-dua tangan PUTERI SANTUBONG & PUTERI
SEJINJANG) Masya Allah! Jika bakal permaisuri beta berkelakuan begitu, maka beta perlulah
mencari gadis yang lain untuk menjadikan permaisuri! (beredar)

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG melihat PUTERA MAHKOTA SERAPI beredar.

PUTERI SANTUBONG : (marah) Adinda! Adinda sudah menakutkan putera yang bakal menjadi
suami kakanda!
PUTERI SEJINJANG : (marah) Siapa yang menakutkan putera itu pergi? Sudah adinda telah
bersabar dengan betapa lamanya, tentang kakanda mencuri perhatian orang, tidak kira dengan
ayahanda dan orang-orang manusia! Adinda tidak mahu hidup di bawah bayangan kakanda lagi!

PUTERI SANTUBONG : Jadi, apakah adinda mahu? Sebuah pertarungan?

PUTERI SEJINJANG : Ooo adinda bersetuju dengan cadangan pertarungan. Akanku panggil
penduduk kampung Pasir Putih untuk bertarung denganmu!

PUTERI SANTUBONG : Jika begitu, kakanda juga akan memanggil penduduk kampung Pasir Kuning
untuk bertarung!

PENCERITA : Maka, kedua-dua puteri memanggil penduduknya untuk bertarung.

PENDUDUK KG. PASIR KUNING : (berperang) pergilah kau menjadi buaya!

PENDUDUK KG. PASIR PUTIH : (berperang) Dan pergilah kau menjadi monyet!

PUTERI SANTUBONG : Adinda yang mahu pertarungan ini, jangan adinda kesal!

PUTERI SEJINJANG : Tidak akanku kesal, asalkan aku dapat membalas dendam yang disimpan
sejak lama lagi!

PUTERI SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG membaling senjata-senjata mereka dan PENDUDUK
KAMPUNG PASIR KUNING DAN PASIR PUTIH membantu dalam balingan senjata-senjata. PUTERI
SANTUBONG & PUTERI SEJINJANG jatuh rebah.

PENCERITA : Batu lesung Puteri Sejinjang telah menghentam kepala Puteri Santubong lalu
menyebabkan Puteri Santubong rebah dan menjadi gunung Santubong, manakala belidak Puteri
Santubong telah menyebabkan Puteri Sejinjang ditabur menjadi Pulau Kera di Laut China Selatan.
Maka akhirlah cerita ini.

RAJA KAYANGAN masuk.

RAJA KAYANGAN : Eh, penglipur lara! Apa terjadi kepada penduduk-penduduk kampung?

PENCERITA : Oh! Hampir-hampir terlupa. Nasib baik tuanku mengingatkan patik. Masihkah saudara-
saudari ingat tentang sumpahan penduduk-penduduk?

Gambar buaya dan monyet dipaparkan.

PENCERITA : Beginilah kesan perbalahan. Menang jadi arang, kalah jadi abu, atau menjadi Abu si
Kera, yang berada di Pulau Kera ini. Kita hendaklah bertoleransi dan mengelakkan pertelingkahan
dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup. Sekian persembahan kami pada hari ini, harap
kalian telah bersuka-ria sepanjang persembahan tadi. Terima kasih

Nyanyian dan tarian lagu Puteri Santubong, Puteri Sejinjang.

Anda mungkin juga menyukai