Anda di halaman 1dari 2

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa
yang setia dengan jam randiknya serta hadirin dan hadirat sekalian. Salam sejahtera, salam
‘Perak Excellent’ dan salam satu Malaysia.

Ke gunung sama di daki,

Ke lurah sama dituruni,

Muafakat amalan murni,

Membawa berkat hidup harmoni.

Puisi yang saya lafazkan sebentar tadi jelas menyokong tajuk syarahan saya pada hari ini
iaitu “Muafakat Membawa Berkat”

Hadirin yang dihormati,

Peribahasa Melayu menyatakan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat. Menurut Kamus Dewan, muafakat bermaksud seia atau sepakat. Dalam
konteks masyarakat majmuk Malaysia, amalan murni ini perlu didukung dan diamalkan
dalam kehidupan seharian. Apabila kita muafakat, kita dapat hidup dalam keadaan seia
sekata sehati sejiwa.

Sesungguhnya, apabila kita bersatu hati, maka banyaklah manfaat yang akan kita peroleh.
Melalui kesepakatan, kita dapat bantu-membantu untuk kebaikan bersama. Contohnya, kita
dapat bergotong-royong membersihkan kawasan tempat tinggal dan bantu-membantu ketika
berlaku kecemasan atau bencana alam.

Warga dewan sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, Tanah Melayu yakni Malaysia telah mencapai kemerdekaan
pada tahun 1957. Namun, apakah yang menjadi penyumbang utama dan teras kejayaan
ini? Tidak lain tidak bukan, sudah tentu permuafakatan antara kaum.

Apabila muafakat, perpaduan antara kaum di negara kita akan bertambah kuat dan
intim. Dengan cara ini, kita dapat hidup dalam kesejahteraan dan keharmonian.
Persengketaan dan perbalahan kaum dapat dihindarkan demi merealisasikan impian nusa
bangsa, yakni Gagasan Satu Malaysia. Jadi, mengapa perlu kita sia-siakan permuafakatan
yang telah lama dibina? Tepuk dada tanyalah minda.
Kata orang tua-tua, kalau sepakat kita jadi kuat. Apabila hidup sepakat, kita dapat
bersatu padu dan menentang musuh negara dengan lebih mudah dan yakin. Oleh sebab
itulah, semua negara di rantau Asean ini seperti Malaysia, Singapura, Thailand dan
sebagainya perlu bersepakat bukan sahaja untuk kekuatan pertahanan tetapi juga untuk
kekuatan ekonomi dan sosial. Natijahnya, kegawatan ekonomi dan sosial sama ada di
peringkat nusantara mahupun di peringkat global dapat ditangani. Begitulah manfaatnya
hidup bermuafakat. Akhir kata, marilah kita mengamalkan hidup bermuafakat untuk
mencapai kata sepakat kerana muafakat membawa berkat.

Beras segantang sama disukat,

Lalu disimpan di atas para,

Andai seluruh masyarakat muafakat,

Negara damai rakyat sejahtera.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai