Anda di halaman 1dari 2

CONTOH TEKS PIDATO ‘KELUARGA MALAYSIA PEMANGKIN KEMAKMURAN’

Pucuk manis permatang budi,


Pucuk purut di getus rusa,
Yang manis bernama budi,
Yang indah bernama bahasa.

Terima kasih pengacara majlis. Yang berbahagia, guru besar, guru-guru, rakan-rakan, kombinasi para
juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan, penjaga masa yang budiman, dan seterusnya
hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasihi sekalian. Salam sejahtera pembuka bicara.

Berdirinya saya di atas persada indah ini, tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin menyampaikan
sebuah pidato yang bertajuk, Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

Hadirin yang saya muliakan,

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum
dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang
aman dan damai malah saling menghormati Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan
bekerjasama berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara. Perpaduan yang wujud ini mampu
mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata
pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan untuk mewujudkan perpaduan kaum yang aman dan
membolehkan masyarakat hidup secara bersatu hati dan tolong-menolong. Hal ini untuk mengelakkan
pergaduhan antara kaum ataupun persalahfaham. Persoalannnya, apakah usaha-usaha memupuk
kemakmuran dalam masyarakat majmuk di negara kita?

Sidang dewan intelektual sekalian,

Wacana saya yang pertama, untuk memupuk kemakmuran, kita perlulah berpegang teguh kepada
ajaran Islam sepertimana yang terkandung dalam ayat al-Quran yang digunakan untuk menyatukan
penduduk dalam kalangan kaum Yahudi, Aus, dan Khazraj di Madinah.

Dalam al-quran juga perkataan perpaduan disebut sebanyak 534 kali. Ini membuktikan betapa
pentingnya perpaduan dalam sesebuah negara sebagai pemangkin kemakmuran.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Wacana saya yang kedua, kita dapat melihat perpaduan kaum pada masa kini sudah semakin pudar.
Hal ini amat merisaukan kerana mungkin sejarah hitam yang lepas akan kembali lagi. Contohnya di
Malaysia kini melibatkan banyak isu perkauman. Ini semakin membimbangkan, oleh itu kita perlu
mencari penyelesaiannya untuk menghindari peristiwa berulang kembali. Antara penyelesaian yang
dapat kita lakukan dalam menyemai perpaduan sebagai sebuah keluarga, kita mestilah saling
memahami, menghormati dan tolong menolong antara satu sama lain tanpa mengira agama dan
bangsa. Langkah ini penting bagi memupuk kemakmuran dalam masyarakat dan juga negara.

Hadirin yang saya muliakan,

Wacana saya yang ketiga, sebagai rakyat Malaysia, seharusnya kita memahami dan menghayati lima
prinsip Rukun Negara. Penghayatan terhadap Rukun Negara dilihat semakin berkurangan
terutamanya dalam kalangan generasi muda dan ini amat membimbangkan. Ramai rakyat yang tidak
lagi melihat kepentingan Rukun Negara pada masa ini. Di dalam keadaan kita menuju kemajuan, ianya
dilupakan sebagai salah satu alat penting yang membantu rakyat Malaysia bersatu padu suatu ketika
dahulu. Ia sepatutnya bukan setakat dibaca atau dihafal sahaja tetapi juga diamalkan di dalam
kehidupan seharian kita. Kesannya, akan lahirlah masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara
akan dapat dinikmati secara adil dan saksama.

Konklusinya, kita dapat mengetahui langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mewujudkan
kemakmuran dalam masyarakat majmuk. Keamanan negara juga dapat dipertingkatkan apabila
amalan perpaduan kaum telah meresap ke dalam jiwa dalam rakyat Malaysia. Oleh itu, semua pihak
haruslah berganding bahu dan tidak mengharapkan pihak kerajaan dalam mewujudkan kedamaian
perpaduan kaum. Justeru, kita juga janganlah bersikap evasive mahupun “bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing” kepada perpaduan kaum dan kita mestilah mewujudkan
semangat “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Maka harmonilah perpaduan kaum di tanah
air yang tercinta.

Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada terkasar
bahasa, tersalah kata atau tersilap bicara. Saya mengakhiri pidato saya ini dengan serangkap pantun:

Lingkaran hikayat Sempadan si Genting,


Sejarah keagongan Gangga Negara;
Kemakmuran rakyat aspek terpenting,
Membentuk kekuatan kestabilan negara.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai