Anda di halaman 1dari 7

Cincin suasa cincin pusaka,

Disimpan rapi dalam peti;


Cintai negara sayangi bangsa,
Kekalkan perpaduan tanpa sangsi.
Pantun empat kerat ini membuka tirai syarahan saya pada pagi ini
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, barisan
hakim yang arif dan berdiri di atas paksi keadilan, guru-guru dan tidak dilupakan
hadirin sekalian yang saya muliakan. Assalamualaikum wbt dan salam satu
Malaysia. SATU MALAYSIA PEMANGKIN PERPADUAN , demikianlah bunyinya
tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada pagi yang mulia ini.

Hadirin sekalian,
Kalau kita dapat menyatukan masyarakat menjadi satu rakyat dengan satu
impian, kita akan jadikan Malaysia sebuah negara lebih kuat, gagah perkasa dan
berjaya. Begitulah kata Dato Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri
Malaysia keenam negara kita yang faham akan secara realitinya masyarakat
berbilang keturunan dan agama di negara ini perlu bersatu bagi menjadikan
Malaysia sebuah negara yang kukuh.

Konsep 1Malaysia merupakan konsep yang berpaksikan bumi nyata dan realiti
sebenar rakyat pelbagai kaum di negara ini. 1Malaysia diwujudkan dengan tujuan
untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan
tentang perkara yang benar-benar dekat di hati kita sebagai satu bangsa.
Matlamat 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di
dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal
sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan.

Sebanyak lapan nilai yang tidak saling eksklusif telah diperkenalkan dalam
konsep satu Malaysia ini. Budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati,
penerimaan, kesetian, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Kelapan-lapan nilai
ini telah menjadi asas kepada satu Negara satu bangsa.

Para hadirin,

Kesetiaan adalah penting kerana ia adalah asas kepada kepercayaan. Contohnya


sebagai kawan, anda setia kepada kawan anda tak kisah dari segi keturunan dan

keagamaan, kerana kesetiaan tersebut akan membina kepercayaan. Satu ikatan


peribadi antara anda dengan seorang yang lain. Dengan adanya kepercayaan
antara kawan, maka wujudlah keharmonian di antara jiran memandangkan jiran
kita kawan kita. Semangat kejiranan yang kukuh penyumbang kepada keamanan
masyarakat. Tambahan pula, KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA begitulah
bunyinya prinsip kedua rukun Negara kita. Semua rakyat dituntut setia kepada
raja dan negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara yang
menyimbolkan penyatuan rakyat.

Perbezaan yang agak ketara adalah antara toleransi dan penerimaan. Apabila
kita menyebut toleransi, mungkin kita tidak berapa suka akannya, tetapi tetap
menerimanya kerana kita tiada pilihan. Tetapi jika kita bercakap dari segi
penerimaan, ia memperlihatkan keadaan pemikiran bahawa kita menerima
sepenuhnya sesuatu secara positif. Penerimaan dari segi kita bersedia untuk
menerima sebarang perkara. Jika kita sanggup menerima sebarang perkara, kita
mengambil perkara tersebut dengan kerelaan, maka dengan kepastian kita akan
dapat melihat kepada semua perkara secara lebih positif. Oleh hal yang
sedemikian, dengan nilai penerimaan ini, kita sebagai rakyat Malaysia patut
menerima konsep satu Malaysia secara positif.

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara


mencapai kejayaan dan disepanjang sejarah kita telah melihat hanya empayar
yang berteraskan akal yang terus wujud, khususnya dalam konteks semasa.
Sebuah empayar yang terbina daripada kekuatan tentera tidak bertahan dan
tidak mampu bertahan. Pendidikan yang disepadukan dengan nilai, kita akan
memiliki sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat menempatkan pendidikan
dan pengetahuan di mercu segala yang lain malah dapat menghayati erti
perpaduan yang dikecapi selama ini.

Saudara-saudari,

'Satu Malaysia' - bukanlah suatu 'nyanyian perang' (battle cry). Ia juga bukannya
suatu pernyataan slogan yang kosong. Kita mesti sama-sama menghayati
kepentingan 'Satu Malaysia' dalam keadaan dan perkaitannya dengan suasana
sedia ada. Tidak ada satu bangsa hebat di dunia ini yang mampu mencapai
klimaks kehebatan dengan bangsanya yang berpecah-belah dan tidak ampuh. Ini
fakta sejarah yang tidak mungkin mampu dinafikan. Susur sahaja kehebatan
tamadun dunia apa sekalipun, ia bermula dengan 'cita-cita kebernegaraan' yang
dikongsi bersama.

Justeru, generasi muda Malaysia khususnya perlu membina 'fikrah Satu Malaysia'
yang sejujur-jujurnya. Kita perlu banyak meninggalkan syak wasangka. Kita perlu
meruntuhkan kefahaman prejudis yang merosakkan. Kita perlu bersangka baik
antara satu sama lain. Kita perlu mempunyai yakin diri bahawa tempat dan langit
terbaik yang kita miliki ada di bumi bertuah Malaysia ini. Semua rakyat Malaysia
perlu menganggap diri mereka adalah bangsa Malaysia yang berfikir dan
bertindak dalam satu nada dan satu matlamat. Ciri-ciri demografi seperti negeri,
daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi menwujudkan satu
bangsa Malaysia yang berfikiran terbuka serta ingin memajukan negara secara
bersama.

Perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi
dengan menganggap kita adalah rakyat Malaysia dan bangsa Malaysia. Keadaan
ini akan dapat mewujudkan suasana negara yang aman, harmoni, selesa,
keselamatan yang terjamin dan memberi kemakmuran kepada negara. Rakyat
perlu memahami bahawa negara yang mempunyai kestabilan dan keselamatan
yang terjamin akan memberi perkembangan ekonomi yang pesat. Oleh itu rakyat
akan dapat menikmati limpahan daripada kerancakan ekonomi negara.

Para hadirin yang saya hormati,

Sebagai rumusan, setelah 52 Merdeka, rakyat Malaysia yang terdiri daripada


pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam memerlukan satu misi bagi
memajukan negara secara bersama. Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan
oleh YAB Perdana Menteri adalah langkah yang amat bertepatan dengan suasana
untuk menyatakan impian satu bangsa satu Negara.

Sekian terima kasih.

Langit biru, segera hitam ciptaan Tuhan. Sayangnya manusia sekarang, akal ada,
akhlak hilang, sibuk mencari impian, lupa diri, lupa Tuhan. Akhirnya datang suatu
cahaya dari kunang-kunang yang berterbangan.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih tuan pengerusi
majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang tidak lari dari
landasan waktunya, dif-dif kehormat, tidak dilupakan saudara dan saudari yang
dihormati. Tampilnya saya selaku anak nusa mengepal segenggam harapan,
menjunjung seribu impian menerusi sentuhan rasa topik syarahan saya yang
berbunyi, Ke arah melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin.
Sidang hadirin,
Secara keseluruhannya, topik syarahan pada malam yang permai ini
menyentuh tentang suatu usaha ataupun ikhtiar untuk mewujudkan golongan
yang berpengetahuan tinggi dan seterusnya mempunyai sifat patuh kepada
segala peraturan yang diberi. Pengertian ini dalam konteks syarahan pada malam
ini merangkumi suatu aspek yang luas, meliputi kepandaian dan pengetahuan
yang melibatkan keduniaan dan keakhiratan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Ilmu umpama bintang-bintang yang bergemerlapan, memberi sinar
paduan kepada manusia; disiplin pula diibaratkan umpama tabir hitam yang
menampakkan seri kerlipan bintang-bintang yang menerangi kegelapan malam.
Ikatan mesra antara dua perkataan itu adalah bagaikan aur dengan tebing; tak
mungkin berpisah kerana kedua-duanya saling berperanan dalam memajukan
manusia. Berkat ilmu dan disiplin, pembesar suara ini tercipta, Dewan ini indah
bercahaya, penonton pula tersenyum ria semoga pertandingan syarahan pada
malam ini dapat dijalankan dengan lancar dan jayanya.
Hadirin dan hadirat,
Apa yang dipertekankan dalam konteks syarahan pada malam ini ialah
mewujudkan golongan berilmu dan berdisiplin di samping memperlihatkan dan
mendedahkan kesan-kesan langsung atau tidak langsung yang akan timbul
daripadanya. Sesungguhnya kesedaran merupakan benih utama yang
mencambahkan keutuhan ilmu dan disiplin di kalangan masyarakat, di mana

kita harus bersama-sama memelihara dan menanam dalam sanubari kita.


Golongan pertama yang memainkan peranan ialah institusi keluarga. Setiap anak
yang dilahirkan umpama tabula rasa - kosong tiada isi. Justeru, ibu bapalah
selaku rabbi yang akan mencorakkan rasa kesedaran ini di kalangan anak-anak
mereka. Pendidikan secara tidak
langsung yang diterima di rumah melalui
pembentukan rohani, emosi dan jasmani ternyata jelas membentuk satu asas
ilmu dan disiplin di kalangan anak-anak yang menjadi harapan mereka.
Setelah generasi kecil ini menjadi dewasa dan mula mengenali alam
persekolahan, institusi pendidikan akan meneruskan peranannya . Dalam usaha
ini, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kebijaksanaannya telah
melengkapkan KBSR dan KBSM, malah kini Sekolah Bestari sudah mula
diperkenalkan di seluruh negara. Selain itu, Bahagian Pembangunan Kurikulum
(BPK) yang merupakan nadi dalam merangka, menyusun, menyemak semula dan
melaksanakan kurikulum, akan memperkenalkan kurikulum baharu. Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 2025 pula bercirikan futuristik dengan
harapan melahirkan modal insan yang dapat bersaing dengan generasi luar
negara. Hal ini penting berdasarkan cabaran yang akan dihadapi dalam era
globalisasi.
Di samping itu, kerajaan juga memainkan peranannya. Selepas merdeka,
didapati bahawa sistem penddikan negara hanya menekankan kecemerlangan
dari segi ilmu sedangkan keunggulan disiplin dan amalan dianaktirikan. Apabila
menyedari akan hakikat ini, kerajaan Malaysia dengan tradisi membela rakyatnya
cuba mewujudkan msyarakat yang berpengetahuan dan berdisiplin dengan
melaksanakan berbagai-bagai dasar seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam,
Cintailah Bahasa Kita, dan Dasar Pandang Ke Timur yang meliputi etika kerja
dan kawalan mutunya ternyata berupaya melahirkan masyarakat yang berilmu
dan berdisiplin. Selain itu, kerajaan kita juga merangka dan menjalankan
program-program pembangunan diri seperti Rumahku Syurgaku, Rakan Muda,
Wawasan 2020, Koridor Raya Multimedia, dan internet. Sesungguhnya usaha
murni ini harus dipertingkatkan; janganlah dinanti-nanti, janganlah ditangguhtangguh sehingga masyarakat kita kembali teraba-raba dalam kegelapan,
kembali ketandusan moral dan pendirian sehingga rambut mereka terpacak, baju
terangkat, seluar terencat, wujud kumpulan Black Metal, Hip-Hop hingga
mata naik terbeliak.
Ya, tuan-tuan dan puan-puan,
Seterusnya golongan yang memainkan peranan paling besar ialah
masyarakat - ya termasuklah saya, panel hakim dan anda semua. Oleh yang
demikian, apakah yang harus kita lakukan? Ya, dengan mencelikkan mata jiran
tetangga, menyedarkan saudara-mara dengan semangat cintakan negara agar
kita dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin. Seterusnya
dapat mewujudkan rasa cinta mereka kepada ilmu dan disiplin - bagaimana
cintanya Dewi Sita kepada Dewa Rama dalam Hikayat Seri Rama.
Dengan adanya ilmu dan disiplin, rakyat Malaysia dapat menghindarkan
dakyah-dakyah beracun yang boleh menimbulkan konfrontasi. Suasana konflik

dan suasana kritikal ini akan mencemarkan status negara kita yang berdaulat
dan meredeka. Demikianlah sidang hadirin dan hadirat, betapa pentingnya
peranan dan peraturan dalam mewujudakan manusia yang berpengetahuan dan
berdisiplin.
Sidang hadirin,
Setelah mengetahui peripentingnya peranan dan peraturan ini, marilah
bersama-sama mengkaji apakah kesan-kesan yang diperlihatkan hasil daripada
perancangan ini. Ilmu dan disiplin tidak mudah terpisah dalam perkembangan
politik tanahair. Berkat kecekapan dan kepandaian pemimpin kita dengan sifat
Besih, Cekap, dan Amanah yang ditunjukkan, YAB Dato Seri Mohd Najib Bin Tun
Razak dengan Barisan Nasionalnya telah membentuk suatu pakatan yang utuh,
dengan benteng yang kukuh bersama-sama MCA dan MIC. Pembentukan ini
akhirnya membawa kepada penyatuan rakyat yang menjurus kepada kemajuan
negara.
Keutuhan ilmu dan disiplin dalam kalangan perwira merupakan tonggak
kekuatan pertahanan negara. Berbekalkan ilmu pertahanan di dada,
diperteguhkan lagi dengan disiplin yang sedia ada, diperkuatkan lagi dengan
tiupan semangat Kanang Anak Langkau Agi Hidup Agi Ngelaban dapat
menjinakkan seteru-seteru negara. Bayangkanlah sidang hadirin bayangkanlah
perwira negara kita yang cetek pemikiran dan goyah pendirian, terpengaruh dan
terjebak dalam kancah dadah, terhoyong-hayang, tidak mampu memegang
senapang di perbatasan, mampukah, terdayakah mereka mempertahankan
negara sidang hadirin sekalian?
Saudara dan saudari,
Begitu jugalah dalam bidang sukan dan rekreasi. Dengan berbekalkan
ilmu dalam mendaki gunung dan disiplin semasa menjalani latihan, pasukan
pendaki Gunung Everest telah berjaya menawan puncak Gunung Everest yang
merupakan gunung tertinggi di dunia dan wira negara kita telah mengharumkan
nama negara. Mereka juga membuktikan kepada dunia bahawa MALAYSIA
BOLEH.
Sidang hadirin yang dihormati,
Dahulu nenda berpelita, kini cahaya dari kaca; dahulu bonda terpaksa
mengambil air di perigi, kini hampir semua ini tiada lagi, air di pili menjadi
pengganti. Di samping itu, berkat ilmu dan disiplin dalam pembuatan kereta,
negara kita telah berjaya mengeluarkan kereta nasional kita, iaitu kereta Proton.
Kini kita boleh berbangga dengan pencapaian kereta nasional kerana telah
berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa ilmu dan disiplin
merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya. Marilah kita bersama-sama
melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin.

Kalau ada sawah bendang,


Dapat kita menuai padi;
Kalau ada umur panjang,
Dapat kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai