Anda di halaman 1dari 5

Guru sebagai arkitek Bangsa (1Malaysia). Hujahkan.

Hari Guru 2009 pada 16 Mei telah menjadikan Guru Pembina Negara Bangsa sebagai tema bagi tahun ini. Kebetulan sehari sebelumnya, iaitu pada petang 15 Mei, saya diminta pihak penganjur mempengerusikan satu Forum Pendidikan dengan membahaskan tajuk yang sama di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Hari Guru 2009 adalah dibuat sambutan perayaannya di Kuala Terengganu. Tokoh besar lagi tersohor dalam dunia pendidikan dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan (1985-1991), Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abd Rahman Arshad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Operasi), Datuk Hajah Noor Rezan bt Bapoo Hashim dan serta Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Dr Julaihi Bujang menjadi Ahli Panel Forum. Kehadiran para guru, wakil-wakil pertubuhan dan jemputan khas kira-kira sekitar 1,300 orang cukup membanggakan dan amat terkesan. Bagi saya, guru adalah suatu istilah murni, besar, istimewa dan unik dalam konteksnya tersendiri. Bagi mana-mana negara maju atau yang ingin mencapai kemajuan, pendidikan menjadi teras utama pembangunan sumber manusia atau modal insannya. Itulah yang dilakukan Kerajaan Malaysia. Dasar-dasar pendidikan digubal dan diperkukuh sejak kemerdekaan melalui Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pelajaran (Pindaan) 1996. Dasar Pendidikan Kebangsaan Malaysia sangat jelas mendukung prinsip-prinsip pendidikan dan falsafah ke arah mengangkatkan martabat warga dengan keunggulan jasmaniah, emosi, rohaniah dan intelektual. Masyarakat menaruh harapan sangat besar terhadap guru, hatta isu mat rempit pun dikaitkan dengan guru. Masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak generasi baru sering dikaitkan dengan guru. Kita tidak mempertikaikan kalau guru dituding jari jika ia dalam soal disiplin di sekolah. Tetapi kalau masalah merempit dan perlakuan jenayah sewaktu berada di rumah atau di tengahtengah masyarakat, apakah guru masih mahu dipersalahkan? Pada hemat saya, tindakan menyalahkan guru kerana anak-anak menjadi mat rempit itu adalah tuduhan keterlaluan dan melampau. Ibu bapa harus mengambil tanggungjawab besar mengasuh, mendidik dan mengajar anak masing-masing sebagai sokongan utama kepada apa yang dilakukan sekolah. Negara bangsa sukar terbentuk dalam keadaan lunturnya kecintaan kepada ilmu, keruntuhan nilai moral, tipisnya amalan agama, merosotnya kesayangan kepada masyarakat dan kecintaan kepada citra kenegaraan secara bersama.

Memang seorang guru itu seorang pendidik, pemantau kemajuan pelajaran, pembimbing, pengasuh nilai, pengajar subjek dan harus menunjukkan teladan yang baik. Pepatah Melayu menyebut Guru kencing berdiri, pasti murid akan kencing berlari. Maknanya nilai-nilai adab dan adat, budi bahasa, berakhlak mulia datangnya daripada guru dan sekolah. Sungguh pun begitu, tanpa persepakatan ibu bapa-guru, perkongsian tanggung jawab bagi melahirkan anak bangsa yang berilmu, berkemahiran, berketerampilan dan holistik tidak mudah dicapai. Kadang-kadang masyarakat tidak semestinya selalu benar. Dahulu, nilai-nilai murni dikongsi bersama di kalangan masyarakat. Seorang anak yang nakal atau jahat apabila dimarahi guru atau mendapat hukuman sekolah akan disokong ibu bapa, bahkan ditambah hukumannya. Sekarang guru tidak boleh melakukan sedemikian lagi. Pesan orang-orang tua dahulu bahawa saya serahkan anak saya untuk belajar, hukumlah dia jika bersalah, asalkan tidak patah, buta dan pekak, mungkin hilang di tengah-tengah zaman yang dianggap serba moden ini, dipenuhi dengan tuntutan liberalisasi dan hak asasi manusia. Pedoman Islam tentang pendidikan atau rujukan kepada penulisan besar karya ulama dan hukama silam semakin diketepikan. Pemikiran tokoh besar seperti Ibnu Khaldun hanya tersimpan di rak-rak perpustakaan, walhal dunia Barat masih menjadikan karya-karya besar sarjana Islam itu sebagai bahan kajian mereka. Abad ke-21 adalah abad kuasa. Inilah abad kelompok manusia berpengaruh menguasai tampuk politik, perebutan kekayaan harta benda dan konflik sehingga menimbulkan perang dan keganasan. Jadi kebijaksanaan para guru bagi memahami dan menghayati hakikat sedemikian ikut dinanti. Jalan hikmah patut dibina sebagai pandu arah pembinaan sebuah negara bangsa yang berjaya. Kepelbagaian di Malaysia merupakan aset penting. Kepelbagaian etnik atau kaum, agama, budaya, bahasa, adat resam patut diterjemahkan secara kreatif dan inovatif. Kita mahukan perpaduan bangsa yang kukuh. Jika konsep negara bangsa sering dikaitkan sebagai satu bangsa bagi sebuah negara, maknanya bagaimana kita boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa mereka itu merupakan satu bangsa meskipun terdiri dari pelbagai keturunan. Bangsa dalam konteks kenegaraan bermakna sebuah nusa yang rakyatnya berkongsi citra kenegaraan dan ikatan persamaan-persamaan bukannya perbezaan. Kita menjadi satu kerana sebuah Perlembagaan Negara yang kita miliki, ada tonggak-tonggak kenegaraan dengan adanya ketetapan tentang dasar bahasa, agama, institusi ketua negara, hak-hak asasi dan sebagainya. Rakyat dan setiap warga negara perlu memahami ciri-ciri kesatuan dan persatuan bangsa, baik dalam bentuk institusi seperti institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja dalam institusi pemerintahan, mahupun institusi budaya, institusi pendidikan dan latihan, institusi agama dan

bermacam institusi sosial yang wujud. Pokoknya adalah pemahaman hierarki, peranan dan tanggung jawab institusi itu yang turut menjadikan kita ini satu bangsa. Kita akan selalu menanyakan apakah bentuk masyarakat dan rupa bangsa negara yang akan datang? Kita mahukan masyarakat yang progresif, dinamik dan pengamalan nilai-nilai positif serta sedia menghadapi cabaran-cabaran zaman. Sebenarnya tidak semua orang boleh menjadi guru. Maka kerjaya guru yang sedang berkembang ke arah suatu profesion itu, akan sama seperti pengamal undang-undang, jurutera, arkitek dan doktor yang dikawal badan-badan profesional masingmasing. Seseorang calon guru tidak perlu memilih kerjaya ini atas sebab kesukaran mendapat kerja lain yang diminati. Orang-orang begini dari awal-awal lagi tidak perlu menawarkan diri. Dalam bidang perguruan, kita memerlukan kualiti, tetapi bukannya kualiti akademik semata-mata, tetapi juga pengetahuan budaya. Negara kita yang terbahagi kepada bandar-luar bandar, kaya-miskin rakyatnya, sifat suku bangsa Sabah-Sarawak berbanding dengan kaum di Semenanjung, murid pandai-tidak pandai atau sebagainya menuntut guru-guru yang memahami hakikat tidak selorong jalan. Institusi latihan perguruan hendaklah melihat ke depan dari segi kurikulum latihannya. Kepemimpinan amat penting. Dalam konteks apa-apa pun, ciri-ciri kepemimpinan menjadi ukuran kejayaan atau kegagalan sesebuah sistem, institusi dan organisasi. Guru adalah juga seorang pemimpin, sama hebatnya dengan mana-mana peringkat seorang pegawai pendidikan. Malahan Kementerian tidak akan mengetahui semua perkara dan tidak boleh bertindak dengan arahan semata-mata. Hubungan dua hala atas ke bawah serta bawah ke atas semakin penting. Ada perbezaan antara gunung dengan jurang, antara peringkat pusat dengan negeri, daerah, desa. Peranan kepimpinan dari sekolah sehingga ke peringkat Kementerian perlu sentiasa padu dan bersatu. Tan Sri Abd Rahman Arshad mahukan kongkongan hubungan itu dilepaskan. Perubahan dan kepakaran dalam pendidikan ikut mencabar akal budi para guru untuk menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang bukan sahaja kepada pelajaran, keluarga, institusi tetapi perubahan persepsi. Di sekolah, tugas guru adalah mendidik. Sekolah pula merupakan institusi masyarakat. Jadi guru perlu peka dengan suasana tarikan negatif di luar dengan adanya pengaruh media elektronik dan cetak, gedung raya membeli belah, kafe siber, pusat-pusat hiburan dan pengaruh teknologi maklumat. Maknanya kerjaya pendidikan bukan semudah yang disangka. Citra negara bangsa adalah citra kesatuan. Konsep 1Malaysia memang kena pada tempat dan

masanya. Pemikiran ke hadapan di kalangan guru dan pakar pendidikan di Kementerian sangat penting. Minda atau akal budi yang berdisiplin, tahu melakukan sintesis, kreatif, tahu hormat dan membina etika dalam serba hal akan banyak membantu kelahiran sebuah negara bangsa yang kukuh perpaduannya, mantap kejatidiriannya dan seimbang. Maka pembinaan modal insan dalam struktur dan matlamat yang benar perlu didukung perubahan dan transformasi. Memang guru itu pembina negara dan bangsa. Semua orang kena menyatakan 'Terima kasih Cik Gu. guru arkitek bangsa..perancang dan pendidik insan supaya mereka berguna kepada diri, masyarakat dan negara.. Seorang guru yang jujur harus berniat agar muridnya lebih pintar daripadanya, manakala seorang murid yang jujur harus pula mengakui kepintaran gurunya.

PELAKSANAAN sekolah satu aliran kembali menjadi perbualan hangat. Pelbagai pihak baik kalangan ahli akademik, tokoh sejarah mahupun orang politik mula memandang serius cadangan ini. Malah ramai juga secara terus-terang mengutarakan sokongan mereka untuk melaksanakan cadangan tersebut dengan segera, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang. Selama ini negara kita dianggap unik kerana kejituan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum. Ia jarang sekali berlaku di negara luar. Nenek moyang kita telah bekerja keras dan melakukan pelbagai pengorbanan untuk mencapai keharmonian kaum yang kita nikmati sekarang. Namun apa yang dikhuatiri, semangat perpaduan ini semakin lama semakin terhakis. Untuk itu kerajaan perlu bertindak segera dan kembali kepada fitrah pembentukan semangat perpaduan seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu yang ternyata membuahkan hasil selama ini. Anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini perlu dididik dan dibentuk dari sekarang supaya mereka benar-benar dapat menghayati konsep dan erti sebenar perpaduan antara kaum yang terbina sekian lama. Apakah kita lupa bahawa anak-anak yang dilahirkan umpama sehelai kain putih. Justeru kita percaya ibu bapa dan guru yang rapat dengan mereka saban hari dapat membantu memupuk nilai dan semangat perpaduan yang kita kehendaki. Hanya sekolah dilihat sebagai tempat terbaik untuk membentuk anak- anak kita. Namun malangnya apa yang berlaku sekarang ialah anak- anak kita jelas terpisah dengan sekolah aliran masing-masing. Melayu di sekolah kebangsaan manakala Cina dan India masing-masing di sekolah jenis kebangsaan. Kita percaya sekolah satu aliran ini tidak akan menafikan hak kaum masing-masing yang mahu bahasa ibunda mereka dipelajari oleh anak-anak mereka. Ia juga pastinya tidak sama sekali menghilangkan identiti kaum tersebut. Bahasa ibunda masing-masing boleh terus diajar di sekolah satu aliran sebagai satu mata pelajaran wajib mengikut kaum masing-masing. Pokok pangkalnya adalah bak kata peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Memang ada golongan yang menentang keras cadangan mewujudkan sekolah satu aliran. Mereka mengutarakan pelbagai alasan mengikut perspektif dan logik akal masing-masing yang jelas mempunyai agenda tersendiri, dipengaruhi oleh emosi dan rasa tidak puas hati. Dalam hal

ini kerajaan sewajarnya bertindak dengan lebih bijak dan berhemah dengan mengambil kira pandangan dan pendapat majoriti penduduk negara ini yang rata-rata menyokong cadangan penubuhan sekolah satu aliran. Pedulikan golongan yang sering menjadi pengacau kepada pelbagai program yang hendak dilaksanakan. Kerajaan perlu melihat secara lebih menyeluruh kepada manfaat yang bakal diperoleh hasil daripada pelaksanaan cadangan ini yang boleh membantu ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang dicita-citakan. Usah endahkan golongan yang sememangnya sinonim dengan budaya tidak setuju. Mereka tidak pernah menyokong apa sahaja program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan sudah lali dengan budaya menentang dan membangkang. Jika kita mahu mencapai Wawasan 2020, Misi Nasional dan terkini gagasan 1Malaysia, maka kewujudan sekolah satu aliran adalah jawapan dan jalan penyelesaiannya. Hanya dengan sekolah satu aliran sahaja kita lihat anak-anak kita yang bakal mewarisi kepimpinan masa depan dapat meneruskan hasrat dan cita-cita yang telah kita bangunkan. Melentur buluh biarlah dari rebung. Anak-anak kita masih belum terlambat untuk dilentur atau dibentuk. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari.

Anda mungkin juga menyukai