Anda di halaman 1dari 4

PERANAN GURU DALAM PEMBANGUNAN

NEGARA

Oleh : Nur Hasirah Binti Ghazali

Saban tahun, 16 Mei merupakan hari keramat lagi suci murni kepada warga sekolah, iaitu

Hari Guru di tanah air kita. Sekalung budi dan tahniah serta penghargaan yang setinggi-tingginya

kepada insan yang bergelar sebagai pendidik. Sehubungan dengan itu, setiap sekolah telah

meraikan Hari Guru dengan pelbagai aktiviti seperti mengadakan jamuan, memberikan hadiah

dan mengadakan persembahan kepada guru yang disayangi. Ternyata, setiap warga sekolah

perlu menghargai jasa dan sumbangan guru terhadap pembangunan individu, bangsa dan

Negara. Hal ini selaras dengan tema Hari Guru 2010, “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Walhal, guru memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan umat sejagat.

Atas bimbingan guru, lahirlah golongan profesional seperti doktor, jurutera, saintis dan lain-lain

lagi. Seperti kata mutiara Sasterawan Negara Usman Awang, “Lahirnya seorang Perdana

Menteri, Doktor, peguam, dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang

mengajarnya baca dan tulis.” Dengan kata lain, tanpa guru, siapakah kita? Tepuk dada tanya

selera. Guru turut menentukan pembangunan negara dengan melahirkan tenaga mahir dan

pakar-pakar dalam setiap bidang untuk menjamin kemajuan negara. Iltizam dan komitmen guru

telah berjaya mencambah insan yang berketerampilan dan berdaya saing untuk memartabatkan

pembangunan negara sehingga negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

dengan negara maju.


Pada era digital ini, guru tidak lagi memainkan peranan sebagai penyampai ilmu kepada

putera dan puteri yang berjuang dalam medan ilmu. Dalam zaman ledakan maklumat ini, pelajar

berupaya memperoleh ilmu melalui pelbagai wadah dan wahana, seperti internet, e-buku,

majalah, surat khabar malah televisyen satelit. Ekoran daripada itu, guru perlu bertindak sebagai

fasilitator untuk membimbing pelajar menimba ilmu. Mutakhir ini, guru bukan sahaja perlu

menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang majornya tetapi juga perlu menguasai ilmu psikologi

dan ICT supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif dalam pembelajaran dan

pemelajaran. Dalam situasi ini, pelajar lebih minat dan beria-ia untuk mengikuti pelajaran.

Sebagai impaknya, guru yang menguasai teknologi maklumat dan komunikasi dapat

membimbing pelajar mencapai akademik yang cemerlang.

Salah satu tanggungjawab yang dominan bagi setiap guru adalah melahirkan golongan

yang memiliki mentaliti kelas pertama kepada tanah air kita. Hal ini terjadi demikian kerana warga

didik bukan sahaja memberikan ilmu dunia tetapi juga perlu menyampaikan ilmu akhirat kepada

anak buahnya. Pendidikan kerohanian sangat mustahak kepada setiap insan. Guru perlu

sentiasa menyuntikkan nilai-nilai murni kepada pelajar supaya mereka dapat menuju ke arah

hakiki dan tidak mudah terpengaruh oleh hasutan syaitan. Dengan bimbingan, prihatin, asuhan

dan kasih sayang guru, insan yang bersikap penyayang, bersemangat kental dan berfikiran

terbuka akan bercambah. Jati diri penggerak wawasan. Atas sumbangan guru, pelajar yang

memiliki jati diri dan bersahsiah mulia dapat menjanakan pembangunan negara.
Kita perlu mengakui pengorbanan guru dalam melahirkan anak watan yang berguna.

Malangnya, kini banyak pelajar telah dipengarui oleh budaya barat dan hedonisme sehingga

terbelenggu oleh kemelut sosial . Remaja kita seolah-olah tidak dapat melepaskan diri dalam

kepompong sindrom sosial, seperti melepak, mat rempit, penagihan dadah, dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya guru perlu mendukung cita-cita untuk membanteras sindrom sosial dalam

pekarangan sekolah dan masyarakat kita. Rentetan daripada itu, guru perlu sentiasa

bekerjasama dengan ibu bapa untuk mengetahui kemusykilan pelajarnya . Para pendidik sentiasa

mengorbankan masa dan tenaga untuk memulihkan pelajar yang tersesat di hujung jalan supaya

mereka dapat balik ke pangkal jalan. Secara tidak langsung, guru berupaya mementuk

masyarakat madani dan sakinat. Jasa guru akan sentiasa dikenang dalam sanubari anak

muridnya hingga akhir hayat.

Guru selalu diibaratkan sebagai matahari yang menerangi orang lain. Dedikasi guru

dapat membentuk pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurilum serta berakhlak mulia.

Guru berkualiti aspirasi negara. Guru yang bertanggungjawab dan amanah sentisa dihormati oleh

rakan sejawatan dan anak murid. Sekalung budi dan sekeping kad Hari Guru sebagai tanda

terima kasih yang tidak terperi kepada semua guru. Jasa dan budi guru akan sentiasa dikenang.

Segala teguran dan kritikan daripada guru semata-mata adalah demi kebaikan pelajar.

Tampaknya, profesion guru semakin mencabar berbanding dengan zaman silam. Oleh itu guru

perlu bersemangat waja diri dan gigih untuk meladeni kerenah pelajar yang semakin liar. Jangan

putus asa dan patah semangat malah perlu sentiasa menyemarakkan semangat dan motivasi
pelajar supaya mereka dapat menjadi insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, rohani,

intelek dan emosi.

Natijahnya, komitmen yang utuh dalam kalangan guru dapat memperkasakan

pembangunan insan yang berkualiti sehingga mencapai visi negara, iaitu 1 Malaysia. Guru

cemerlang negara terbilang. Pendidik perlu melengkapkan diri supaya dapat membimbing anak

pelajar ke arah cemerlang. Gemilang dan terbilang. Selamat Hari Guru.

Anda mungkin juga menyukai